PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman IslamMalaysia (IKIM)
OMBAK RINDU
DITAYANGKAN DI PAWAGAM
1 DISEMBER 2011
Jika membaca akhbar-akhbar utama negara, berita-berita tentang Bajet 2012 dan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU) merupakan antara topik yang mendapat perhatian. Manakan tidak, kedua-duanya, secara langsung atau tidak amat berkaitan dengan kehidupan bermasyarakat di Malaysia. Namun, mari kita berehat sebentar dan alihkan perhatian terhadap perbincangan lain pula. Perbincangan yang dimaksudkan adalah tentang dunia sains, yang sebenarnya penting tetapi kelihatan amat terasing dalam kehidupan bermasyarakat di Malaysia. Perhatikan sekeliling. Bila bercakap tentang bajet mahupun PRU, semua orang merasakan mereka layak dan boleh berbicara tentang dua isu itu tetapi bila bercakap tentang dunia sains, ramai berasakan biarlah pihak pakar sahaja yang menguruskannya. Ini satu cara berfikir yang salah kerana peranan ahli masyarakat sebenarnya penting dalam usaha melonjakkan dunia sains negara ke arah kejayaan dan dalam masa sama dapat dipastikan bahawa aktiviti sains berjalan pada landasan yang benar.
Dalam sebuah buku bertajuk Science and Ethics yang ditulis oleh Bernard E. Rollin, seorang profesor dalam bidang veterinar dan kini memberi tumpuan terhadap persoalan nilai dan etika dalam dunia sains, terdapat beberapa perkara menarik yang boleh dikongsikan bersama. Di dalam buku ini dinyatakan bahawa satu ketika dulu, dunia sains merupakan satu dunia yang hebat dan dikagumi di Barat. Maka, tidak hairanlah, ada kumpulan yang menganggap sains sebagai satu "agama" baru. Namun, kehebatan dunia sains itu semakin terhakis dan tercemar. Menurut Rollin, hal ini berlaku kerana pengabaian terhadap aspek-aspek nilai dan etika dalam sains. Beliau merujuk contoh permasalahan alam sekitar kini sebagai sebahagian daripada pengabaian terhadap nilai dan etika sains. Oleh itu, Rollin menyeru ahli sains kembali kepada nilai dan etika kerana dengan cara ini, bukan sahaja dapat mengelakkan salah laku dalam kegiatan sains tetapi dalam masa sama dapat mengembalikan kepercayaan dan minat masyarakat terhadap sains.
Katanya, jika ahli sains tidak cuba membincangkan serta melibatkan nilai dan etika dalam kegiatan sainsnya, maka persoalan itu akan dibincangkan oleh "orang lain" yang bukan pakar dalam sains. Perbincangan oleh orang lain ini akan hanya memburukkan keadaan, iaitu melemahkan imej sains dan saintis. Antara 'orang lain' yang dimaksudkan Rollin ialah golongan agama. Dalam masa sama, Rollin melihat bahawa ahli sains perlu bergaul dengan pakar-pakar atau individu dari pelbagai bidang lain. Ini kerana kesepaduan pelbagai pakar atau ahli dalam pelbagai bidang boleh membentuk aspek check and balance dalam kegiatan sains. Hal ini perlu kerana bagi Rollin, saintis kadang kala gagal melihat sesuatu perkara atau kegiatannya dari sudut etika, maka kumpulan dalam bidang lain itu akan bertindak sebagai 'tukang tegur'. Berdasarkan penerangan di atas, elok juga kita lihat perbincangan Rollin ini dalam konteks negara Malaysia. Secara umumnya, penulis tidak nampak masyarakat Malaysia hilang keyakinan terhadap sains dan saintis.
Ini kerana, pada asalnya pun, masyarakat Malaysia seolah-olah tidak peduli akan sains dan apa yang dilakukan oleh saintis. Antara masyarakat dan dunia sains di Malaysia seolah-olah ada satu jurang. Malah boleh dikatakan bahawa masyarakat tidak tahu (dan mungkin tidak peduli) apa yang dilakukan saintis. Jika ini diterima maka persoalan hilang keyakinan sebenarnya tidak wujud langsung. Namun, dari satu sudut lain, banyak perkara yang berlaku di sekeliling memerlukan penjelasan dan penyelesaian dari sudut sains. Malah, jika dilihat dalam konteks masyarakat Muslim di Malaysia, penjelasan dan penyelesaian sains demi kelangsungan dan kelancaran hidup masyarakat Muslim, adalah amat diperlukan. Pada masa kini, dengan perkembangan sains dan teknologi yang pesat, penjelasan dan penyelesaian sains dalam aspek-aspek pemakanan dan perubatan amat diperlukan. Misalnya, isu makanan ubah suai genetik, biofarmaseutikal, pendermaan organ, kesan merokok, pengklonan, bank genetik, kaedah persenyawaaan tiruan dan yang terbaru Bank Susu Ibu, semuanya memerlukan penjelasan dan penyelesaian sains.
Penjelasan dan penyelesaian sains ini pula tidak seharusnya berdiri sendiri tetapi perlu dibantu dari sudut syariah Islam. Dengan itu, peranan ahli agama amat diperlukan. Oleh itu, dalam konteks masyarakat Islam di Malaysia, golongan agamawan tidak boleh dianggap sebagai "memburukkan keadaan" seperti mana yang dijelaskan di atas. Sewajarnya, golongan ini dianggap sebagai pelengkap kepada kegiatan dan dunia sains demi kesejahteraan umat Islam di Malaysia. Malah, golongan saintis seharusnya melihat golongan agama sebagai salah satu 'rakan pergaulan dari pelbagai bidang' seperti mana yang disarankan Rollin. Dalam hal ini, kerjasama saintis dan ahli-ahli dalam pelbagai bidang bukan bersifat 'sekali-sekali'. Malah, sewajarnya menjadi budaya dalam masyarakat kita, saintis dan ahli-ahli dalam pelbagai bidang berbincang dan berdebat tentang pelbagai persoalan sains pada setiap masa. Walaupun ini agak sukar dilakukan namun jaringan hubungan seperti ini wajar diusahakan, sama ada dalam keadaan formal mahupun tidak.
Akhirnya, kesepaduan seperti ini akan memberi manfaat besar kepada umat Islam terutamanya dari segi menyelesaikan masalah sains yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat Muslim. Di Malaysia, terdapat pelbagai isu berkaitan sains yang memerlukan pandangan dan penyelesaian dari sudut syariah Islam, misalnya dalam bentuk fatwa. Pada ketika ini, masyarakat bukan sahaja perlu mematuhi apa-apa fatwa yang dikeluarkan tetapi dalam masa sama memahami sebab-sebab fatwa tersebut dikeluarkan dan kesannya dalam kehidupan mereka. Bukan itu sahaja, dengan perkembangan pesat dunia sains dan teknologi masa kini, perbincangan, penjelasan dan penyelesaian dari sudut sains dan syariah Islam dapat digerakkan secara bersepadu dan segera jika wujudnya kerjasama yang baik antara saintis, golongan agama dan pakar-pakar dalam bidang lain seperti sosial, ekonomi, budaya dan sebagainya.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA