TAN SRI ROZALI ISMAIL ialah Presiden Majlis Perundingan Ekonomi Melayu (MAPEM) dan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS)
|
TERUMBU KARANG
HEBAT DI AUSTRALIA |
Semasa merasmikan pembukaan Sidang Kemuncak Pelaburan Domestik (Domestic Investment Summit) di Kuala Lumpur baru-baru ini, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, menggesa lebih ramai para pelabur tempatan untuk melabur di dalam Malaysia serta meneroka peluang-peluang sedia ada. Perdana Menteri turut menyarankan agar para pelabur tempatan memberikan sumbangan kepada negara, setanding dengan sumbangan para pelabur asing di negara ini. Saranan ini diharap dapat memantapkan lagi ekonomi negara terutamanya semasa ekonomi kuasa dunia kini yang semakin merudum, dan dikhuatiri akan menganggu-gugat ekonomi negara jika tidak dibendung. Bagi mencerminkan komitmen yang jitu, kerajaan telah mengambil inisiatif menyediakan pelbagai insentif serta prasarana yang mesra kepada para pelabur tempatan, selain memberi peluang sama rata kepada mereka untuk meraih faedah daripada perkembangan ekonomi negara ini. Sehubungan itu, adalah diharap agar para pelabur tempatan menjadi sumbangan baru di dalam memacu perkembangan ekonomi negara. Walaupun kebergantungan negara kepada para pelabur asing masih lagi tinggi bagi memastikan ekonomi Negara berkembang, akan tetapi sumbangan para pelabur tempatan kini menjadi semakin penting terutamanya semasa ketidakstabilan ekonomi global di samping perubahan pasaran semasa yang sentiasa tidak menentu.
Dengan adanya sumbangan para pelabur tempatan ini, pelaburan persendirian di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) akan dapat dipertingkatkan, dan seterusnya memastikan bahawa hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berstatus pendapatan tinggi pada 2020 berada di landasan yang betul. Kemelesetan ekonomi serta pergolakan di United Kingdom, timbunan hutang menggunung yang menimpa Amerika Syarikat dianggarkan sebanyak US$600 bilion serta ekonomi Jepun yang menjunam sejak 50 tahun lalu perlulah diteliti dan diambil iktibar, agar negara tidak turut terjebak ke dalam situasi yang sama. Oleh itu, saranan ini dilihat sebagai komitmen kerajaan di dalam mengkaji semula struktur dan strategi ekonominya bersesuaian dengan situasi semasa ekonomi global. Kita tidak boleh memandang remeh akan kebolehan serta kemampuan para pelabur tempatan. Walaupun jumlah mereka kecil, akan tetapi mereka juga memainkan peranan yang penting serta memberikan impak yang besar di dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhannya. Sehubungan itu, kita menjangkakan bahawa polisi fiskal baru kerajaan yang akan di umumkan oleh Perdana Menteri tidak lama lagi akan mencerminkan sokongan kerajaan di dalam menarik lebih banyak penyertaan para pelabur tempatan agar ekonomi negara dapat digerakkan ke arah yang lebih positif.
Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Ekonomi Baru (NEM) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) tidak dapat dilaksanakan serta disempurnakan dengan baik sekiranya tidak mendapat sokongan para pelabur tempatan, sama ada dari aspek ekonomi, politik mahupun sosial. Akan tetapi, semasa sesi sidang kemuncak tersebut, Perdana Menteri menyatakan bahawa realitinya, pelaburan tempatan Malaysia kini adalah sangat sedikit berbanding sasaran tahunan sebanyak RM94 bilion. Situasi ini agak membimbangkan memandangkan cita-cita kerajaan untuk menjadi negara berstatus pendapatan tinggi dan membangun pada 2020 akan terjejas jika para pelabur tempatan tidak menyertai serta memainkan peranan masing-masing di dalam aktiviti-aktiviti pertumbuhan ekonomi negara pada masa ini. Kenyataan Perdana Menteri ini menunjukkan kepentingan pelaburan tempatan di dalam mengukuhkan lagi ekonomi negara. Ia juga dilihat sebagai suatu cabaran kepada para peniaga tempatan di masa akan datang. Secara amnya, nisbah para pelabur tempatan dan asing adalah sebanyak 40:60 sejak lima tahun lalu. Di bawah ETP, kerajaan menyasarkan agar nisbah penyertaan pelabur tempatan akan dapat ditingkatkan daripada 40% kepada 73%. Sejajar dengan hasrat ini, pihak kerajaan telah menyediakan pelbagai peluang melalui ETP sendiri.
Sebagai contoh, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) telah mengenalpasti 131 projek-projek yang dirujuk sebagai "Entry Point Projects" (EPPs) yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang. Adalah diharapkan agar pelaksanaan projek-projek tersebut dapat menggalakkan lagi pelaburan persendirian di kalangan para pelabur tempatan. Hasrat ini tidak mustahil dapat dicapai, memandangkan pihak kerajaan telah mengenalpasti beberapa sektor yang berpotensi serta mempunyai impak yang tinggi untuk diberikan sokongan serta keperluan pinjaman agar dapat berdaya saing di peringkat yang lebih tinggi. Sektor-sektor tersebut termasuk industri halal, tenaga hijau, bioteknologi, angkasa lepas, elektronik lanjutan, farmasutikal dan peralatan perubatan serta industri kejuruteraan penyelenggaraan-pembaikan-pemeriksaan. Dari segi pelaksanaan inspirasi Perdana Menteri ini tidak mungkin dapat dicapai jika kerjasama erat di antara sektor swasta dan sektor awam tidak diseragamkan dan saling bantu membantu antara satu sama lain. Di pihak kerajaan juga adalah diharapkan peluang-peluang perniagaan yang boleh atau mampu dilaksanakan oleh syarikat tempatan tidak diberi kepada syarikat luar kerana syarikat tempatan sudah tentu membelanjakan wang pendapatan di dalam negeri dan kesan gandaan yang lebih luas kepada syarikat tempatan.
Bagi mencapai hasrat ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri digesa memainkan peranan aktif di dalam menyediakan serta menyalurkan lebih banyak insentif, sama ada fiskal mahupun bukan fiskal, bagi menarik lebih banyak para pelabur tempatan melabur di dalam negara. Adalah menjadi hasrat juga agar peluang sama rata dapat diberikan kepada para pelabur tempatan di dalam menyertai pelbagai aktiviti pembangunan ekonomi negara, sama seperti para pelabur asing. Peluang kini terbuka luas kepada para pelabur tempatan. Mereka kini mempunyai dua pilihan - mengambil serta merebut peluang ini atau memilih untuk terus ketinggalan.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA