Benarlah manusia sanggup melakukan apa sahaja demi mengejar pangkat, harta dan status sosial. Ia termasuklah membeli gelaran Datuk pada harga ratusan ribu ringgit. Sanggup mereka membazirkan sejumlah besar wang demi memenuhi nafsu untuk tujuan tersebut. Lebih baik wang itu digunakan untuk tabungan hari tua, pelaburan saham amanah atau memulakan perniagaan baru. Mungkin bagi pembeli gelaran Datuk itu, sejumlah wang yang besar itu tidak memberi apa-apa makna, berbanding dengan 'faedah' yang bakal diraih selepas bergelar Datuk. Pada anggapan mereka gelaran itu akan membawa tuah kerana seorang Datuk tentunya akan lebih mudah berurusan bagi mendapatkan pelbagai projek kerajaan, yang mana itu bermakna akan bertambah tebal poket mereka kelak. Namun, soalnya adakah tenang hidup mereka dan adakah lena tidur mereka kerana setiap hari perlu memikul beban menipu yang lambat laun, ia pasti akan terbongkar juga.
Bagi penerima gelaran Datuk palsu yang tidak mampu lagi menanggung beban tersebut, maka satu hari kelak, mereka akan muncul di khalayak untuk membuat pengakuan. Begitulah yang berlaku kepada Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd. Ali Baharom pada Januari lalu yang mengaku membeli gelaran Datuk pada harga RM250,000 daripada ejen yang kononnya mewakili keluarga diraja di sebuah negeri di utara Semenanjung. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Namun, kisah Mohd. Ali itu tidak pernah mahu dijadikan pengajaran apabila semalam, media tempatan melaporkan kemurkaan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V yang kecewa dengan tindakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengurniakan darjah kebesaran termasuk gelaran Datuk kepada lebih 150 orang sejak tahun lalu. Tidakkah penerima gelaran palsu Datuk itu tahu bahawa hanya baginda Sultan yang boleh mengurniakan gelaran dan pingat kebesaran? Mungkin juga mereka tahu, tetapi seperti yang dijelaskan tadi, kerana nafsu maka mereka buat-buat tidak tahu.
Justeru, tindakan undang-undang perlu dikenakan terhadap individu, golongan profesional atau ahli perniagaan yang menyamar bergelar Datuk untuk kepentingan diri. Sebarang hukuman tegas adalah wajar bagi memberi pengajaran kepada semua pihak. Langkah itu boleh mengingatkan kita terutama pihak tidak bertanggungjawab supaya jangan sewenang-wenangnya menggunakan gelaran Datuk, apa lagi untuk tujuan tidak baik seperti melakukan jenayah. Sekiranya tindakan tidak dilakukan, dibimbangi sesiapa pun akan menggunakan gelaran Datuk palsu untuk mencapai tujuan masing-masing. Tindakan tegas terhadap pihak yang mengurniakan gelaran Datuk palsu dan penerima gelaran itu wajar kerana ia satu tindakan yang tidak beretika. Kita perlu mengekangnya daripada berleluasa dan kenal pasti apa yang boleh dilakukan untuk menangani perkara ini. Mungkin Jabatan Peguam Negara boleh mengisytiharkan perbuatan mereka itu sebagai satu jenayah. Selepas itu, gunakan apa sahaja peruntukan yang ada untuk mengekangnya. Jangan biar ia menjadi barah yang boleh memalukan negara.
UTUSAN MALAYSIA
22 MAC 2011