10 September 2012

ISU SOSIAL : APABILA POLIS BERTINDAK



Betul, pasukan polis yang berfungsi menguatkuasakan undang-undang tidak boleh tergelincir daripada nilai asas, misi dan matlamatnya untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara. Dalam keadaan apa juga sekali pun ciri berkenaan perlu dipertahankan. Ini adalah cabaran paling besar dihadapi anggota dan pegawai polis zaman ini kerana tugas mereka untuk menjaga keselamatan rakyat dan negara sering disalahertikan. Hari ini tindakan mereka mententeramkan keadaan, contohnya untuk meleraikan perhimpunan ditakrif sebagai berlaku ganas, tidak berperikemanusiaan, melanggar hak asasi dan sebagainya. Suasana ini memaksa anggota dan pegawai polis membezakan garisan sempadan nipis antara dua kumpulan yang ditakrif melanggar undang-undang – penjenayah dan mereka yang berdemonstrasi dengan niat tertentu, walaupun kedua-duanya boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada majoriti rakyat.

Senario ini tetap berlaku walaupun pasukan polis di negara ini sudah melalui proses kemajuan daripada model kepolisian tradisi kepada model kepolisian masyarakat yang sudah tentunya untuk memastikan kesejahteraan rakyat diberi keutamaan. Rakyat juga sepatutnya juga berubah daripada terlalu mengharapkan polis mengawal keselamatan kepada bersama-sama membantu polis untuk menjaga keamanan. Oleh itu, sewajarnya rakyat menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan keselamatan negara. Betul, kerajaan tidak mahu pasukan polis bersikap kasar ketika menghadapi rakyat dalam keadaan apa sekali pun. Ini terbukti daripada penegasan Datuk Seri Najib Razak yang meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjamin keselamatan awam dan bijak menyeimbangi antara hak asasi individu dengan kepentingan masyarakat. Apa dinyatakan Perdana Menteri itu selari dengan nilai utama bidang kepolisian yang menjadi faktor penting rakyat meletakkan harapan tinggi kepada pasukan polis untuk menjaga keselamatan setiap rakyat.

Rakyat tidur lena tanpa perlu bimbang terhadap keselamatan negara atau mereka bebas ke mana saja kerana yakin keselamatan mereka terjamin. Rakyat yang rasional sepatutnya faham misi polis dan yakin anggota dan pasukan polis bersikap adil kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang asalkan mereka juga akur kepada peraturan dan undang-undang. Bagi polis, mereka tahu kunci mencapai matlamat dan memenuhi misi ialah dengan menyempurnakan hasrat rakyat. Namun, setiap anggota dan pegawai polis juga ada tanggungjawab mereka terhadap golongan yang cuba menggugat keamanan. Mereka juga menilai tindakan individu dan kumpulan yang relevan atau tidak relevan dengan penguatkuasaan undang-undang.

Rakyat perlu faham, di mana-mana negara sekali pun setiap anggota dan pegawai polis dilatih mengenai cara dan taktik penyelesaian masalah ketika menghadapi senario penguatkuasaan undang-undang. Jika ditekan dengan provokasi berterusan hingga menimbulkan ketegangan, penyelesaian perlu dicari. Satu keputusan yang wajar akhirnya terpaksa juga diambil. Walaupun sentiasa mengambil tindakan berhemah, pasukan polis juga perlu menilai keadaan semasa yang boleh berubah pada bila-bila masa. Keadaan ini mungkin memaksa pasukan polis mengikut rentak perubahan berkenaan. Dalam keadaan terdesak, macam-macam boleh berlaku.

Polis bukan saja dilatih menyelesaikan masalah tetapi juga dilatih mempertahan keselamatan diri sendiri. Paling baik. Jauhilah daripada individu atau kumpulan yang boleh mencetuskan ketenteraman awam walau apa pun sekali alasan atau motif sesuatu perhimpunan yang ada kaitannya dengan kepentingan politik. Untuk menjamin kesejahteraan, hubungan polis dan masyarakat amat penting dan perlu wujud semua peringkat. Masing-masing perlu memahami hasrat antara satu dengan lain.

Sumber :
Berita Harian
10 September 2012

ISU SOSIAL : CABARAN KEKALKAN SAHSIAH ANAK


Rencana ini ditulis oleh:
Wan Marzuki Wan Ramli


Budi pekerti adalah perilaku yang terserap dalam jiwa seseorang. Daripada perilaku itulah lahirnya tindakan sementara yang memerlukan kecerdasan kemantapan minda untuk mengawalnya supaya tidak terbabas daripada landasannya. Pepatah Arab ada menyatakan, kecantikan sebenar seseorang itu bukanlah terletak pada rupa paras, bentuk badan atau pakaian, tetapi kecantikan hakiki ialah pada ketinggian ilmu, keunggulan akhlak serta sahsiah diri.  Tugas membentuk sahsiah mulia bukan sesuatu yang mudah kerana ia bermula daripada didikan awal pasangan ibu bapa kepada anak. Menjadi ibu bapa pada zaman pesat berkembang dan sentiasa berubah ini bukan mudah. Ibu bapa menghadapi banyak cabaran dan dugaan dalam usaha membesar, mendidik serta membentuk sahsiah akhlak anak.

Pengaruh luar

Peringkat paling sukar sekali ialah peringkat peralihan daripada zaman kanak-kanak kepada remaja apabila anak mula menunjukkan perubahan tingkah laku, pergaulan, minat, pilihan kawan, peningkatan nafsu syahwat serta gaya berpakaian. Inilah peringkat yang penuh pelbagai pengaruh serta tekanan luar yang kebanyakannya membawa pengaruh tidak baik, melekakan, mengkhayalkan, menyeleweng akidah dan akhirnya merosakkan akhlak hingga menyebabkan jenayah remaja. Pembangunan sosioekonomi yang berlaku begitu pesat, minda, ketahanan iman dan jati diri mudah tergugat akibat pengaruh pemikiran yang diimport, budaya serta nilai luaran mencemari seterusnya menghakis nilai Islam.

Kemewahan cemar budaya

Kemewahan dan kebendaan daripada kekayaan yang dinikmati hasil usaha pembangunan ekonomi sedikit demi sedikit mula menghakis dan mencemari budaya kita. Akhirnya ketahanan diri remaja lentur dan pupus mengakibatkan sebahagian daripada mereka terjebak dalam penagihan dadah, aktiviti jenayah, lepak, pengangguran dan maksiat. Wajarkah kita menyalahkan ibu bapa jika anak tersalah pilih kawan yang mempengaruhi dirinya bertindak di luar batasan. Sukar untuk menangani isu ini kerana tidak tahu ke mana jari hendak dituding. Bagaimanapun, sedikit sebanyak, ibu bapa perlu memikul tanggungjawab jika anak terjebak dalam perkara menyalahi undang-undang serta ajaran agama. Sikap tidak mahu bertegas atau memberi perhatian terhadap perkembangan anak boleh menyebabkan mereka tersalah langkah.

Bina keluarga berpandu ajaran agama

Islam memberi penekanan kepada kepentingan membina keluarga yang sejahtera berpandukan ajaran agama kerana jika ibu bapa mampu menanam keimanan jitu, anak akan dapat membezakan yang baik dengan buruk. Justeru, ibu bapa tidak boleh beranggapan apabila anak sudah dewasa, mereka boleh dibiarkan menentukan cara hidup. Ibu bapa masih perlu memberi pandangan serta panduan terutama apabila melihat anak mula tersasar daripada jalan yang benar.

Sumber :
Berita Harian
9 September 2012
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...