Oleh Rejal Arbee
rejal@mcoba.org
Penulis ialah Felo Kanan UKM
Akhir-akhir ini timbul pelbagai macam kerenah dan kesulitan mengenai pengambilan dan kemasukan semula pembantu rumah dari Indonesia. Setelah pelbagai rundingan diadakan antara kedua-dua kerajaan untuk memulihkan keadaan berikutan pembekuan kemasukan mereka ke negara ini pada 26 Jun 2009, soal ini masih menimbulkan pelbagai masalah seolah-olah ia tidak dapat dileraikan. Mulanya mereka dikatakan akan ke negara ini semula akhir Februari, kemudian akhir bulan ini dan terakhir pada bulan depan pula. Dalam pada itu sudah timbul pula masalah baru bahawa ada dua pembantu Indonesia didera majikan mereka, seorang pegawai kanan kerajaan dan isterinya. Bukan itu saja, mereka ini juga dikatakan tidak diberikan gaji oleh majikan mereka itu. Ini membuatkan Menteri Kaunselor Penerangan, Sosial dan Hubungan Budaya Kedutaan Indonesia, Suryana Sastradiredja mengisytiharkan kedutaan itu akan meminta kerajaannya menangguhkan kemasukan kembali mereka.
Walaupun kemasukan mereka itu untuk memenuhi kehendak bilangan yang agak besar rakyat negara ini yang memerlukan mereka sudah diputuskan, perkembangan baru ini seolah akan mengusutkan kembali perkara itu. Kenyataan pegawai kanan kedutaan Indonesia itu juga menimbulkan banyak tanda tanya. Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam terkejut dengan kenyataan itu dan mempersoalkan kuasanya berbuat demikian berikutan perjanjian yang sudah dirundingkan begitu lama antara kedua-dua kerajaan hingga membabitkan Presidennya, Susilo Bambang Yudhoyono dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Anehnya kedutaan itu tidak pula mahu membuat laporan polis terhadap kejadian terakhir ini yang tentunya membantut penyiasatan mengenai kesahihan tuduhan ini. Sekiranya betul berlaku penganiayaan itu kenapa ia tidak mahu atau meminta kedua-dua pembantu itu membuat laporan polis supaya siasatan terperinci boleh dilakukan? Apakah ada hal lain yang menimbulkan penderaan itu yang tidak ingin diketahui umum?
Sememangnya bukan semua pembantu rumah Indonesia melaksanakan apa yang mereka harus lakukan dengan baik. Banyak juga wujud kerenah yang tidak menyenangkan dilakukan mereka, termasuk mencuri dan bersekongkol dengan penjenayah Indonesia untuk merompak atau memecah masuk rumah majikan mereka. Ada pula yang lari selepas beberapa bulan bekerja hanya untuk pergi bekerja dengan majikan lain dengan bantuan ejen tidak bertanggungjawab dan dengan itu meraih pendapatan lebih. Maknanya seperti wujud majikan tidak berhati perut dan pembantu rumah yang tidak menjalankan tugas dengan baik, malah ada pula yang menipu dan mencuri. Dalam pada itu, kenyataan dikeluarkan bahawa penangguhan itu sebenarnya atas permintaan Indonesia sendiri untuk membolehkan pembantu rumah itu menjalani latihan selama 200 jam merangkumi bahasa, budaya setempat dan latihan kerja rumah yang diwajibkan sebelum dibenarkan ke negara ini.
Sememangnya sekarang ramai daripada rakyat negara ini memerlukan pembantu rumah untuk menjaga anak yang masih kecil kerana kedua-dua ibu bapa terpaksa bekerja untuk menyara hidup mereka. Mengikut keadaan sedia ada dengan sara hidup yang terus melambung kedua-dua suami isteri memang perlu bekerja, lebih-lebih lagi bagi pasangan yang jumlah gaji mereka hanya sekitar RM3,000 sebulan. Dengan corak hidup di kota yang tidak lagi mempunyai keluarga besar seperti hidup di kampung mereka yang mempunyai ramai anak tentunya memerlukan pembantu untuk menjaga anak, selain mengemas rumah. Oleh kerana wujud pula pelbagai kerenah untuk mendapatkan pembantu rumah itu dan Indonesia sendiri sudah menyatakan hasrat untuk menyekat terus penghantaran rakyatnya keluar bekerja sebagai pembantu rumah pada 2017, satu pendekatan baru perlu difikirkan. Apakah kerajaan tidak boleh menetapkan peraturan semua pejabat dan tempat bekerja baik jabatan kerajaan mahu pun swasta tanpa mengira kecil atau besar menyediakan ‘creche’ iaitu tempat asuhan bayi dan anak kecil bagi membolehkan ibu bekerja meninggalkan anak mereka untuk dijaga waktu mereka bekerja?
Usaha ini sebenarnya boleh dijadikan penyelesaian untuk jangka masa berterusan supaya sesebuah keluarga tidak lagi perlu mencari pembantu hanya untuk menjaga anak-anak. Dalam pada menyediakan ‘creche’ itu, setiap keluarga yang menggunakannya tidak harus dibebankan dengan caj yang tinggi. Sebenarnya setiap jabatan atau syarikat harus memberi subsidi terhadap penubuhan dan penyelenggaraannya. Bagi syarikat kecil, mereka boleh bergabung untuk mendirikan sebuah ‘creche’ berdekatan dengan pejabat atau kedai mereka untuk menampung keperluan kakitangan mereka. Ini bermakna ‘creche’ harus diwujudkan di merata tempat di mana ada pejabat atau kedai. Ini tentunya akan membantu pekerja yang sudah berkeluarga dan tidak perlu lagi mendapatkan pembantu rumah. ‘Creche’ boleh juga digunakan sebagai ‘play school’ untuk menerima kanak-kanak sehingga berumur empat atau lima tahun. Kaedah lain juga harus boleh difikirkan bagaimana mahu menolong keluarga yang mempunyai anak pada peringkat sekolah rendah mendapat makanan tengah hari. Tentunya usaha demikian ini boleh dilakukan sekiranya kerajaan benar-benar mahu menolong keluarga berpendapatan rendah atau sederhana tanpa perlu mencari pembantu rumah.
Masa untuk kita dimanja-manjakan pembantu rumah sudah berlalu dan sekiranya keadaan tidak lagi mengizinkan, keluarga berpendapatan rendah atau sederhana perlu melihat pendekatan baru sedemikian dan sewajarnya penubuhannya diusahakan. Kerajaan sendiri boleh menetapkan peraturan supaya ‘creche’ dan ‘play school’ boleh diwujudkan dengan baik dan diselenggarakan dengan betul. Soal mengemas dan membersihkan rumah boleh dilakukan dengan memberi upah secara mingguan. Sememangnya kini sudah pun ada perkhidmatan sedemikian yang mana khidmat mereka ini digunakan untuk beberapa jam saja pada akhir minggu.
Sila berikan komen anda. Terima kasih.
Sumber
Berita Harian
8 Mac 2012