Ceramah Bahasa Melayu STPM Penggal 3
SMK Bintulu - Semua sekola di Daerah Bintulu, September 2016
Sifat nakal wujud pada setiap manusia ciptaan Tuhan Yang Maha Esa.
Saya mengkategorikan sifat nakal ini kepada dua, iaitu nakal positif dan nakal
negatif. Nakal positif merupakan satu sifat yang digalakkan kerana boleh
membawa kemaslahatan kepada seseorang individu. Nakal negatif pula sifatnya
amat berlawanan dengan kelaziman yang diinginkan. Orang yang mempunyai sifat
nakal negatif biasanya boleh membawa keburukan kepada dirinya atau orang lain.
Sifat nakal negatif ini akan membawa pelbagai impak yang menyusahkan diri dan
keluarga. Orang yang mempunyai sifat yang sebegini akan melakukan pelbagai
perkara yang boleh mendatangkan pelbagai keburukan baik kepada dirinya mahupun
orang lain. Sebagai contohnya, pelajar yang mempunyai sifat nakal negatif ini
suka berbuat bising semasa guru mengajar. Dia akan menyampuk dengan menyebut
perkara yang bukan-bukan sewaktu guru
mengajar atau menyoal. Bagi dia itu kepuasan namun sebenarnya sifatnya itu
melambangkan betapa rendahnya akhlak dirinya sendiri. Pelajar yang bersifat
sebegini langsung tidak membawa kemasalahatan kepada dirinya sendiri. Yang dia
tahu ialah menganggu orang sehingga mengakibatkan dirinya dimarahi atau dihukum
oleh guru.
“Ketika orang lain hidup senang di hari tua, awak masih terkurung
di sangkar derita. Bergelut dengan kemiskinan dan kemelaratan. Serba ketiadaan
dan kekurangan. Semuanya sebab awak nakal semasa zaman sekolah”
KURANG AKAL ATAU KURANG AJAR
Saya tidak pernah mengatakan golongan pelajar nakal ini sebagai
orang yang kurang ajar kerana saya berpendapat tidak ada ibu bapa di dunia ini
yang merelai anak-anak kesayangan mereka berkelakuan sebegitu. Semua ibu bapa
mengimpikan anak-anak yang mereka lahirkan membesar sebagai manusia yang
sempurna dan bijaksana, bukannya menjadi sampah masyarakat. Saya juga
berpendapat semua ibu bapa memang menasihati anak-anak mereka supaya jangan
nakal, jangan lakukan keganasan di sekolah atau jangan berkawan dengan
budak-budak nakal di sekolah. Walau bagaimanapun, anak bertuah ini akan
bertukar watak apabila mereka berada di sekolah. Mereka akan bergaduh, ponteng
kelas, ponteng aktiviti kokurikulum, mencuri barang orang lain, membuli, dan
sebagainya perbuatan yang menyalahi undang-undang. Kadang-kadang pelajar nakal ini
sengaja mencari kesalahan orang lain untuk dia melepaskan geramnya. Misalnya,
sewaktu berjalan, tiba-tiba ada seorang pelajar terpijak kasutnya menyebabkan
dia hampir-hampir terjatuh. Perkara yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan
cara bermaaf-maafan boleh menyebabkan semua warga sekolah berkerumun untuk
melihat aksi pergaduhan antara dia dengan pelajar yang terpijak kakinya tadi.
Perbuatan ini bukanlah perbuatan yang dilakukan oleh orang yang kurang ajar?
Saya sifatkan golongan pelajar nakal sebegini sebagai kurang akal.
Oleh itu, apabila saya berhadapan dengan golongan ini saya banyak mengunakan
andaian-andaian yang mungkin berlaku akibat daripada sifat mereka yang kurang
akal itu. Andaian-andaian itu hanyalah untuk menimbulkan kesedaran dalam diri
mereka. Pelajar nakal yang kurang akal ini tidak pernah berfikir panjang.
Mereka tidak memikirkan kesan tindakan mereka kepada orang lain. Mereka tidak
kasih kepada ibu, ayah, adik beradik, guru dan semua orang yang mereka kenali.
Yang mereka tahu ialah melakukan perkara-perkara salah demi kepuasan diri
mereka sendiri. Apabila masalah timbul mereka pun akan menyelesaikannya tanpa
menggunakan akal yang rasional. Terdapat beberapa kes yang melibatkan pelajar
kurang akal ini, misalnya jika ada krisis dengan pelajar lain di dalam kelas,
dia akan selesaikan di luar kelas dengan membawa geng-geng dia membelasah
pelajar tersebut. Geng-geng dia yang kurang akal seperti dia pun ikut perbuatan
jahatnya itu. Mereka melakukan semua ini hanya untuk kepuasan atau menunjukkan
kuasa kumpulan mereka ke atas pelajar tersebut.
Minda mereka tidak pernah memikirkan nasib diri sendiri. Bayangkan
jika pelajar yang dibelasah itu menghadapi kecederaan yang serius atau tindakan
mereka boleh menyebabkan kehilangan nyawa atau kecacatan seumur hidup. Siapakah
yang akan menanggung akibatnya? Bayangkan jika ibu bapa pelajar yang dibelasah
itu mengambil tindakan untuk menyaman? Siapakah akan dikenakan saman? Siapakah
pula yang akan dimasukkan ke dalam penjara jika gagal membayar saman? Bayangkan
jika kes itu tersebar dengan meluas di media massa? Siapakah yang terpaksa
menanggung malu? Siapakah yang kehilangan maruah dan harga diri? Akibat
daripada mereka yang kurang akal, semua pihak terkena tempiasnya. Ibu bapa,
guru-guru, pihak sekolah, pihak polis, dan pelbagai lagi pihak terpaksa
meluangkan masa bagi menyelesaikan kes pelajar kurang akal ini. Mereka mungkin
berjaya melepaskan kemarahan kepada si mangsa tetapi mereka tidak akan berjaya
untuk melepaskan diri daripada tindakan disiplin ataupun tindakan
undang-undang. Situasi sebegini amat mudah untuk difahami, hari ini awak
musnahkan orang lain, esok hari awak pula yang akan kena. Tuhan bayar cash
setiap kesalahan kita itu.
‘BUNUH’ MASA DEPAN SENDIRI
Pintu rezeki, pintu kejayaan, dan pintu masa depan pelajar nakal
yang kurang akal ini pasti akan tertutup. Sifat nakal akan menjadikan mereka
lupa akan tanggungjawab sebagai seorang pelajar. Mereka tidak memberikan
tumpuan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Mereka
tidak menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru. Kerja rumah terbengkalai.
Datang ke sekolah Cuma berlenggang membawa tubuh dan otak kosong mereka sahaja.
Bagi mereka, dengan berkelakuan sebegitu, merekalah hero atau heroin. Mereka
tidak tahu yang mereka itulah pelajar yang paling malang di dunia. Semua
manusia dikurniakan akal dan berikan peluang untuk mendapatkan ilmu di sekolah
demi masa depan yang cerah. Akan tetapi, pelajar nakal ini sanggup membunuh
ruang dan peluang diri mereka sendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana
golongan ini merupakan golongan yang sudah menempah sijil kegagalan dalam
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ataupun Sijil Tinggi Persekolahan
Malaysia (STPM). Mereka bukan sahaja gagal malahan tidak layak mendapat sijil.
Kejayaan mereka memusnahkan masa depan diri mereka sendiri ini secara tidak
langsung menjadi tiket untuk mereka menjadi warganegara yang tidak berguna.
Mereka tidak akan berubah sampai bila-bila kerana sikap tidak berdisiplin itu
sudah sebati dengan meresap ke seluruh jiwa raga mereka.
Pelajar nakal yang kurang akal ini kebanyakannya tidak ada impian
dan cita-cita. Mereka hanya akan hidup dalam penyesalan yang tidak
berkesudahan. Segelintir daripada golongan ini akan menyusahkan ibu bapa hingga
ke tua kerana tiada pekerjaan atau menjadi bangkai bernyawa (akibat dadah).
Sedih sungguh sedih, jika kita mempunyai anak sebegini. Kelahiran mereka ke
dunia bukannya membawa kesenangan tetapi membawa kemudaratan kepada kita.
Kawan-kawan yang seusia dengan kita hidup dilimpahi kemewahan dan kesenangan
kerana berjaya dalam persekolahan. Mereka mempunyai kereta besar, rumah besar,
gaji tinggi dan berpangkat. Kita apa yang ada? Nak beli beras untuk bagi makan
anak isteri pun kena mengemis daripada ibu bapa. Hidup dalam kemiskinan. Kemiskinan
yang diinginkan oleh kita sendiri Kita tiada pekerjaan tetap. Segalanya amat
sukar bagi kita. Siapakah yang perlu dipersalahkan? Jika kita salahkan hujan
kemiskinan yang turun pada pukul 6:00 pagi membanjiri tempat tidur kita yang
bocor, kita robohkan rumah pun, hujan itu tetap akan turun juga. Jika kita
salahkan ribut yang bertiup sehingga menumbangkan pokok di hadapan rumah kita,
ribut itu tetap akan bertiup juga kerana ribut tidak mengenali siapa kawan,
siapa lawan. Yang perlu disalahkan ialah diri kita sendiri. Namun begitu, waktu
yang berlalu tetap akan berlalu, kita yang tertinggal akan terus tertinggal.
Tertinggal sampai bila-bila.
ADA MASA UNTUK BERUBAH
Tuhan itu Maha Kaya. Pintu untuk berubah sentiasa terbuka luas
untuk kita. Walau bagaimanapun, kita tidak dapat mengulang kembali alam
persekolahan yang telah kita lalui dahulu. Alam persekolahan hanya sekali.
Setiap peringkat alam persekolahan itu cuma setahun sahaja. Kita sendiri pun
tidak tergamak untuk mendaftar masuk darjah satu dengan anak kita sendiri. Oleh
sebab itu, saya merayu semua pelajar yang masih di bangku sekolah. Jangan
nakal. Jika nakal, jadilah orang yang nakal tetapi berakal dan pintar. Jangan
jadi nakal tetapi kurang akal dan kurang pintar. Ingatlah, masa depan kita
hanya kita sahaja yang boleh menentukan haluannya. Sebelum melakukan sesuatu
berfikirlah dengan bijaksana. Ambil cermin, berdiri tegak di hadapan cermin,
tengok diri kita sendiri. Tanya diri kita, apakah yang kita mahu dalam hidup
ini? Orang yang sedar pada dirinya sendiri tidak akan tergamak melakukan
kenakalan yang boleh mengundang kegagalan kepada dirinya sewaktu berada di
sekolah. Mereka akan menggunakan kenakalan itu untuk mewakili sekolah menaikkan
imej sekolah dan imej diri mereka. Mereka akan aktif dalam bidang kokurikulum.
Mereka akan menjadi juara dalam pelbagai kejohanan yang disertai. Mereka akan
menjadi pemidato dan pembahas yang disegani. Mereka tidak ada masa untuk
melepak, ponteng sekolah, dan berfoya-foya. Mereka sedar perbuatan itu hanya
akan merugikan diri mereka sendiri. Gunakan kenakalan itu untuk memahat nama di
puncak kejayaan sebagai Pelajar Terbaik Malaysia dalam PT3, SPM, dan STPM.
Gunakan kenakalan itu untuk memahat nama sebagai Pelajar Tebaik Malaysia yang
menjadi olahragawan atau olahragawati dalam sukan SUKMA dan seterusnya mewakili
Malaysia dalam Sukan Olimpik seperti Pandela Rinong! Kenapa dia boleh, kenapa
awak tak boleh? Awak tak boleh sebab awak yang membuat awak tak boleh!
Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak