JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



28 Mei 2023

PRODUK TIMBANG KILO, SOAL DOSA TOLAK TEPI, JANJI KAYA RAYA


Saya selalu memikirkan kejayaan beberapa orang faunder kosmetik yang berjaya mengaut untung berjuta-juta hanya dengan menjual produk mereka. Saya sungguh kagum dengan usaha yang mereka lakukan terutama dalam aspek pemasaran dengan menggunakan pelbagai strategi. Saya anggap mereka ini sungguh kreatif dan berfikiran jauh ke hadapan. Orang ramai memang sudah tahu produk mereka hanyalah produk timbang kilo yang dibeli dari negara Thailand, Indonesia, atau China. Akan tetapi, kepetahan mereka mengulas produk masing-masing dalam sesi siaran langsung di media sosial beraya meyakinkan beribu-ribu orang yang menonton untuk membeli. Bayangkan, dengan modal hanya RM5.00 hingga RM20.00 untuk satu unit produk, mereka jual dengan harga melebihi RM50.00 bagi satu unit maka jika ada 100000 ribu orang yang membeli, andai keuntungan untuk setiap unit produk mereka memperoleh keuntungan bersih RM5.00 pun mereka sudah mendapat RM500,000. Oleh sebab itu, jumlah penjual produk kosmetik timbang kilo ini semakin bertambah dari sehari ke sehari di negara kita. Walaupun produk itu sudah disenaraihitamkan mengandungi bahan kimia berbahaya, sambutannya tetap laris di pasaran. 

Cara Promosi Memang Hebat

Penjual produk timbang kilo ini akan mempromosikan produk mereka berhabis-habisan dengan menggunakan pelbagai cara. Seorang penjual jamu yang memang mendapat sambutan hangat daripada ramai wanita di Malaysia, sanggup mengeluarkan kata-kata lucah dan berpakaian seksi agar produknya dikenali. Hasilnya memang mantap, produk jamu penjual ini laris di seluruh negara hingga dia begitu megah mempamerkan kemewahan dan kekayaan hasil daripada jualan produk tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana dia berjaya menarik ramai ejen yang membayar dengan harga sekurang-kurannya RM1000.00 ke atas untuk menjual produknya di seluruh negara. Keuntungan yang diperoleh daripada ejen belum lagi ditambah dengan pembeli persendirian yang membeli di Shopee, Lazada dan sebagainya. Ejen-ejen itu pula akan menyokong habis-habisan produk yang dijual dengan menulis komen dan ulasan yang memuji keberkesanan produk di media sosial. Mereka akan mempertahankan dan menghalalkan segala strategi pemasaran asalkan mendapat keuntungan. Hakikatnya, bukan semua ejen akan menjadi kaya raya tetapi penjual boleh tidur lena kerana berjaya menarik ribuan ejen dan pembeli. Untungnya berlipat ganda.

Orang Kita Mudah Terperdaya

Produk-produk yang sentiasa mendapat sambutan hebat dalam kalangan pembeli di Malaysia jika kita melihat jumlah jualan di kedai TikTok, Shopee, dan Lazada ialah produk kecantikan. Semua produk kecantikan terutama yang boleh memutihkan kulit, menghapuskan jeragat, dan menegankan muka amat laris. Saya lihat ada produk yang dijual oleh seorang Datuk Seri, dijual hingga 300,000 unit dengan harga RM120.00 seunit. Bayangkan betapa banyaknya keuntungan yang mereka peroleh. Semasa rakyat Malaysia sedang berkurung di rumah ketika COVID-19 melanda ketika itulah ramai penjual produk timbang kilo ini bekerja di alam maya hingga memperoleh berjuta-juta keuntungan. Semoga LHDN berjaya mengutip cukai daripada kumpulan ini daripada penjual hingga ke ejen. Mereka merupakan kumpulan jutawan yang sukar dikesan jika hanya dipandang sebelah mata oleh pihak LHDN. Saya sebagai orang yang minat berniaga (selepas bersara) memang kagum dengan golongan ini. Jika orang melihat mereka dengan pandangan negatif, saya melihat sesi positif tentang cara mereka berfikir untuk memajukan diri. Hakikatnya, untuk berjaya kita harus berani melakukan sesuatu yang diluar jangkaan. 

Sumber produk adalah sama. Yang berbeza hanyalah cara mereka membotolkan produk dengan jenama sendiri. Selepas dijenamakan dan dibungkus maka terhasillah produk milik mereka yang tidak diketahui kilang dan sumbernya. Yang nyata, produk mereka tidak dijual di premis sah seperti Watson, Guardian, dan farmasi yang lain. Jangan terkejut, doktor pun terlibat dalam penjualan produk-produk sebegini! Sejajar dengan kepesatan perkembangan perniagaan dalam talian maka ruang untuk golongan ini berniaga semakin meluas. Mereka mengumpulkan ribuan pengikut yang setiap membeli produk mereka yang sanggup mempertahankan jika mereka ditegur atau dikutuk oleh ulama atau orang tertentu. Kebolehan mereka mengumpulkan pengikut sendiri ini amatlah mengagumkan. Sesi siaran langsung mereka akan dipenuhi dengan komen-komen positif daripada ejen dan pengikut yang akhirnya mempengaruhi ribuan yang lain untuk membeli. Produk timbang kilo ini akhirnya bercambah kepada pelbagai jenis perniagaan seperti jamu, produk kesihatan, produk untuk menjadikan badan sasa (six pack), minyak wangi, produk kuruskan badan, dan sebagainya. Jualan teramatlah laris  dan boleh menghasilkan untung jutaan ringgit!

Mereka Kalis Tomahan dan Kutukan

Saya selalu membaca atau melihat aksi atau cara mereka mempromosikan produk kadang kala viral kerana mereka sengaja mencetuskan kontroversi supaya dikenali ramai. Mereka sengaja menyebut kata-kata lucah atau kasar supaya viral dan daripada viral itu orang akan mendapatkan info tentang produk mereka dan membeli. Jika sebelum kontroversi, yang mengenali mereka mungkin 1000 orang, selepas kontroversi yang mengenali mereka bertambah hingga melebihi 100,000 orang. Daripada jumlah itu, jika ada 50,000 yang membeli produk mereka pun sudah menjanjikan keuntungan buat mereka. Kecaman, kutukan, cacian, hinaan itu mereka sudah lali dan tidak peduli. Majoriti mereka menggunakan cara ini untuk melariskan jualan kecuali jika mereka betul-betul artis terkenal. Tanpa kontroversi pun jualan kekal berjuta-juta. Jika mereka artis suam-suam kuku atau individu yang tidak dikenali langsung mereka perlu fikirkan idea gila-gila untuk mengutip untung berganda dalam sekelip mata. Natizen Malaysia pula sukakan benda-benda kontroversi. Apabila viral di media sosial dalam tempoh tidak sampai 1 jam, berita itu akan mendapat ribuan komen dan like. Dengan itu, mereka akan popular dan dikenali. Itulah yang mereka mahu. Sesi seterusnya ialah minta maaf, permohonan mereka dimaafkan. 

Belajar Sesuatu Daripada Mereka

Saya anggap penjual-penjual produk ini memang hebat. Saya berpegang kepada prinsip kita harus berani melakukan sesuatu untuk membahagiakan diri kita sendiri kerana jika bukan kita yang bantu kita, siapa lagi? Walau bagaimanapun, saya menolak soal mengetepikan nilai-nilai ketimuran dan kesopanan dalam berinteraksi ketika ghairah mempromosikan produk masing-masing. Saya juga mengharapkan produk-produk yang dijual tidak mendatangkan mudarat kepada kesihatan pembeli dengan adanya campuran bahan-bahan beracun dan bahan kimia berbahaya. Jika ini berlaku, penjual itulah yang terpaksa menanggung dosa akibat perbuatannya. Ingatlah, perbuatan kita tidak menghalalkan kita menggunakan cara-cara yang salah untuk mendapatkan rezeki yang halal. Semua orang mengimpikan kejayaan dan kekayaan untuk kesejahteraan hidup di dunia pinjaman ini namun cara kita untuk meraih keuntungan biarlah betul kerana kehidupan yang akan datang di dunia yang kekal abadi, kita akan disoal dan menerima pembalasan. Sebijak manapun kita menangkis teguran daripada ulama di dunia kita tetap akan kalah juga semasa menjawab di hari pengadilan sebenarnya nanti. Jadi, berpada-padalah. Jangan terlalu megah dan berbangga dengan yang kita terima di dunia.