Drama
kerja rumah ini masih berlaku hingga kini walaupun zaman telah berubah dan
musim pun sudah berbunga. Saya akui semasa sekolah dahulu saya rajin buat kerja
rumah, rakan-rakan saya yang tersayang pula rajin-rajin sekali meniru. Semasa
Tingkatan Empat, kami kantou dengan Guru Bahasa Inggeris, enam orang kami
diminta berdiri kerana jawapan sama, masing-masing tidak mengaku siapa tiru
siapa. Saya sanggup kunci mulut demi kawan. Kami dirotan oleh guru itu seorang
demi seorang, saya ambil giliran paling akhir, sampai giliran saya dirotan guru
itu berhenti, dia suruh saya balik ke tempat duduk. Dia kata muka saya bukan
muka yang meniru. Leganya saya bukan kepalang.
Masa
dulu kalau dipukul dengan rotan sakitnya bukan kepalang, kena pula kalau guru
itu sedang panas, saya lihat lima orang rakan saya menitis air mata. Seorang
yang paling nakal antara kami yang kena rotan tu pula apabila sesi kelas
bermula bukunya hilang. Dia tarik kerusi duduk dengan saya, guru BI yang garang
itu datang dan rotan dia lagi, tapi tak pula halau dia duduk tempat sendiri.
Kawan saya ini masa belajar tangan dia bukannya diam, ada-ada sahaja hal dia
buat, buku dia ada pun dia kata tinggal, duduk dengan saya sepanjang masa. Kami
masih berkawan hingga ke hari ini. Anak-anak dia semua pintar belajar. Hingga
kini pun dia masih minta pendapat saya dalam urusan belajar anak-anak dia.
Setelah
saya menjadi guru, saya pula berhadapan dengan situasi pelajar tidak siap kerja
rumah ini. Saya mengajar di sekolah lelaki, daripada 30 orang yang buat kerja
rumah hanya 10 orang. Yang 20 orang lagi ragamnya bukan main. Semasa saya semak
dari meja ke meja pun dia sempat meniru kerja kawan. Tulisan tunggang terbalik
tidak mengapa janji siap. Sekolah tempat saya mengajar selama 19 tahun itu pula
masih guna rotan mendisiplinkan pelajar. Akan tetapi, saya bukan jenis guru
yang merotan betul-betul, saya rotan meja sekuat-kuatnya kalau marah! Itulah
saya. Kalau kena dengan pelajar yang berbadan kerdil, kita hendak marah atau
hendak rotan pun tidak sampai hati tetapi dia itulah yang selalu tidak siap
kerja rumah, mulut becok macam murai dan kaki meniru kerja orang lain di dalam
kelas.
Kalau
guru macam saya yang jenis marah tak sampai hati bagi kerja rumah pelajar
memang tidak ambil pusing. Mereka akan buat kerja rumah yang cikgu garang bagi
dan subjek yang mereka suka. Pelajar sekolah saya paling suka subjek Matematik.
Saya pula guru Bahasa Melayu. Nanti saya kongsi cerita pelajar buat Matematik
semasa saya megajar Bahasa Melayu. Saya kagum dengan pelajar pintar, kita bagi
kerja rumah tulis sebuah karangan, dia hantar 5 karangan. Saya masih ingat ada
seorang pelajar suka buat begini setiap minggu. Sekarang dia berkerja sebagai
Doktor Bedah. Tahap kerajinan dia memang luar biasa sampai buku teks Sejarah
pun dia hafal.
Lama
kelamaan saya memahami situasi ini. Saya tukar strategi, saya bagi tugasan di
dalam kelas dan bagi masa untuk pelajar siapkan, akhir waktu saya kutip buku
dan semak di bilik guru. Dengan cara ini semua pelajar siap kerja, saya pun
tidak memberikan kerja rumah. Jika saya bagi pun, saya berikan tugasan yang
berbentuk bacaan. Saya faham, kalau ada 10 subjek, semua guru bagi kerja rumah
hampir setiap hari, kasihan juga pelajar yang terpaksa menyiapkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan