JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



08 April 2023

SEJARAH TERCIPTA MINGGU PERTAMA SESI PERSEKOLAHAN YANG MENYENANGKAN



Pemimpin harus berani membawa perubahan ke arah kebaikan. Itulah gambaran yang saya lihat apabila satu demi satu pembaharuan dalam bidang pendidikan disabdakan oleh Yang Berhormat Puan Fadhlina Sidek sejak beliau menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia pada 3 Disember 2022. Alhamdulillah, akhirnya Malaysia mempunyai seorang menteri yang mampu berfikir ke hadapan terutama dalam hal mengurangkan tekanan dan beban guru. Pada ketika ini, segala tindakan beliau untuk memadanikan warga pendidik dan pelajar di segenap empat penjuru negara amatlah baik. Awalnya, semasa beliau dilantik menjadi Menteri Pendidikan saya melayari Internet untuk mengenali beliau dengan lebih terperinci.

Saya selalu tertarik dengan penggunaan bahasa Melayu beliau yang sungguh hebat. Saya sering berkongsi semua kosa kata yang digunapakai dalam ucapan dan temu bual yang melibatkan beliau. Kemahiran berbahasa Menteri Pendidikan pada kali ini memang antara yang terbaik, apabila beliau berucap dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu, sedap didengar dan mudah difahami. Beliau mampu mengeluarkan pendapat secara spontan dengan mengeluarkan idea yang tersusun. Apabila beliau mengumumkan tujuh perkara yang akan dilaksanakan dalam sesi persekolahan 2023/2024 baru-baru ini saya menarik nafas lega. Inilah Menteri Pendidikan Malaysia yang betul-betul amanah, ikhlas, jujur dan berkarisma dalam menunaikan tanggungjawab kepada nusa dan bangsa. 

Bertahun-tahun warga guru bertungkus lumus bersedia pada hari pertama persekolahan kerana sekumpulan pegawai akan datang ke sekolah untuk  melihat PdP berlangsung. Oleh sebab itu, masa cuti guru jadi singkat kerana dipanggil datang ke sekolah untuk membuat persediaan. Minggu pertama persekolahan memang sepatutnya minggu bersedia untuk belajar ibarat kita bersenam, aktiviti memanaskan badan harus dilakukan terlebih dahulu. Kalau tidak, muka guru sentiasa moyok dan keletihan kerana terus mengajar, kalau tidak mengajar mereka terpaksa berhadapan dengan teguran. Minggu ini sesi persekolahan amat berbeza, sesi suai kenal antara warga sekolah dan ibu bapa begitu menceriakan suasana. Keadaannya amat manis dan indah. 

Guru-guru pula kelihatan amat bersemangat menyediakan diri untuk memulakan sesi PdP pada minggu hadapan. Pelbagai aktiviti diadakan seperti aerobik beramai-ramai, surat khas untuk guru, Tak Kenal Maka Tak Cinta, Berat Sama Dipikul Ringan Sama Dijinjing (Istilah Aktiviti Gotong-royong) dan lain-lain. Suasana menjadi lebih kondusif dan damai. Saya saksikan pelajar dan guru bersatu dan berpadu menceriakan kelas masing-masing seindah yang mereka mampu dan mahu. Kreativiti mereka terserlah. Yang paling utama, ikatan kasih antara mereka terjalin sudah. Jadi, sesi persekolahan pada minggu hadapan akan menjadi lebih bermakna. 

Semua Menteri Pendidikan sejak dahulu selalu berjanji meringankan beban guru tetapi yang berlaku sebaliknya. Beban guru kian bertambah, resah dan tekanan guru semakin meningkat. Mereka bukan tidak hebat tetapi mereka mungkin tidak menghayati dengan lebih mendalam. Biarpun terlalu awal untuk memuji Puan Fadhlina Sidek namun saya percaya sedikit sebanyak warga guru mulai mengagumi beliau seperti saya. Warga guru memerlukan menteri yang benar-benar boleh membawa pembaharuan dalam dunia pendidikan negara kerana maju mundur negara pada masa hadapan bergantung kepada generasi yang kita bentuk akal dan mindanya di semua sekolah pada hari ini. Guru seperti saya bukan pembuat dasar, kami merupakan yang sedia berkhidmat walaupun kami tahu dasar itu akan secara tidak langsung menaikkan bacaan darah tinggi kami. Yang Berhormat Puan Fadhlina Sidek, saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk puan dan pasukan di Kementerian Pendidikan. Insya-Allah, dalam tempoh lima tahun akan nampaklah hasilnya. 

HIDUP MEMBUJANG, PILIHAN ATAU JODOH TERLALU JAUH BERGELANDANGAN DI BUMI ALLAH


Manusia dilahirkan ke dunia untuk berkahwin, dikahwini, dan mengahwini. Akan tetapi, ada segelintir insan yang sukar bertemu jodoh walaupun niat untuk berkahwin itu tidak pernah padam. Ya, semua orang mengimpikan untuk memiliki keluarga sendiri, mempunyai isteri atau suami, mertua, anak dan cucu sebelum menutup mata. Walau bagaimanapun, impian itu sedikit demi sedikit lebur apabila usia kian bertambah tetapi jodoh yang diidamkan tidak kunjung tiba. Pada pandangan mata orang mungkin golongan yang lambat jodoh ini terlalu memilih. Pandangan itu memang ada benarnya. Namun begitu, terdapat juga yang pernah mengalami pengalaman silam hingga tertutup pintu hati untuk membina mahligai indah impian semua insan. Saya mempunyai seorang kawan yang pernah ditolak pinangan oleh keluarga perempuan yang telah menjalin cinta dengannya selama bertahun-tahun. Alasannya orang tua kekasihnya begitu ringkas, tidak mahu bermenantukan bangsa lain walaupun sahabat saya itu seorang mualaf yang taat kepada agama Islam. Pengalaman itulah yang menyebabkan dirinya tersekat niat untuk mencari suri idaman hati walaupun dia lebih daripada mampu.

Cerita soal jodoh lambat sampai ini boleh menjadi mimpi ngeri apabila kita asyik memikirkan kehidupan pada masa akan datang. Ketika usia masih muda, segak, berkerjaya, dan mampu menguruskan diri sendiri kita mungkin tidak memikirkan sangat kesannya. Akan tetapi, apabila kita sakit atau demam, peritnya menguruskan diri sendirian menyebabkan kita melihat kelam kehidupan tanpa pasangan di sisi. Kawan-kawan sebaya elok-elok mengecapi bahagia manakala kita masih memeluk bantal busuk ketika kedinginan di waktu malam. Kendatipun demikian, janganlah berhenti berdoa supaya dipertemukan dengan jodoh yang memahami dan menerima kita seadanya. Saya yakin, jodoh itu ada andai kita terus berdoa dan berusaha, sudah pasti Allah akan bukakan pintu hati seseorang untuk kita yang dikasihani-Nya. Selagi masih bernyawa dan diberikan peluang mengecapi nikmat duniawi, kita jangan berhenti mencari dan mencari sehinggalah bertemu sidia idaman hati.

Orang yang liat jodoh ini selalu dikaitkan dengan sifat terlalu memilih. Pandangan ini berkemungkinan tepat bagi sesetengah orang kerana rambut sama hitam hati lain-lain. Orang yang terlalu inginkan kesempurnaan pada pasangan pasti sukar mendapat jodoh yang benar-benar padan dengan citarasanya. Ada juga yang begitu megah menolak jodoh dengan alasan mampu hidup berdikari kerana mereka berkerjaya, berpendidikan, dan berpangkat serta berharta. Mereka mempunyai alasan tertentu untuk menangkis andaian orang yang tidak bersetuju dengan pendirian sebegitu. Apapun alasan, saya tidak pernah merendah-rendahkan rakan-rakan saya baik lelaki mahupun perempuan kerana saya tahu mereka sudah matang dalam membuat keputusan. Yang penting, saya nasihatkan mereka supaya menikmati hidup ini sepuas-puasnya dengan pilihan masing-masing sama ada berpasangan atau bersendirian. Setiap keputusan yang dibuat sudah pasti disertakan dengan perancangan yang sudah difikirkan semasak-masaknya. 

Pengalaman melihat rakan-rakan bercerai dan berperang dengan masalah rumah tangga berpanjangan sedikit sebanyak menyebabkan segelintir orang malas mencari pasangan. Kita mendirikan mahligai perkahwinan untuk mengecapi bahagia dengan orang tersayang hingga ke hujung nyawa namun indahnya hidup seringkali dicemari dengan pelbagai perlakuan pasangan yang bisa meruntuhkan tiang kebahagiaan. Zaman ini, kes curang kepada pasangan sendiri kian menjadi-jadi dalam kalangan orang yang sudah berumahtangga tanpa mengira usia sesebuah perkahwinan. Kita sering membaca dan menonton di media sosial tentang hal perceraian artis popular dan orang awam yang tidak disembunyikan. Suami dan isteri berbalas-balas pernyataan di media sosial tanpa rasa malu dan segan kepada anak-anak, ibu bapa, saudara-mara dan rakan-rakan mereka. Maruah dan harga diri amat murah bagi pasangan yang sebegini. Rasa malu dan segan sudah hilang ditelan ghairah berkongsi masalah di media sosial.

Saya selalu mendoakan rakan-rakan yang belum bertemu jodoh agar disegerakan jodoh untuk mereka. Perkahwinan itu bukanlah penamat total zaman bujang seseorang. Perkahwinan itu suatu syarat yang wajib dipenuhi untuk melengkapi hidup setiap insan yang menghuni bumi ini. Ya, Allah, berikanlah jodoh untuk mereka. Andai jodohnya masih jauh tolong dekatkan. Andai hatinya masih tertutup tolong bukakan. Andai dirinya terlalu memilih permudahkan fikirannya. Andai hatinya terluka kerana jodoh tidak jadi sebab ditolak, ubatilah lukanya. Sesungguhnya, kita dilahirkan berpasang-pasangan. Pasangan itu ada cuma kitab harus berusaha untuk mencari.