Rencana ini ditulis
oleh :
Kucing Jantan - Bro
Tompok
Drama Korea yang
ketika ini cukup menjadi kegilaan terutamanya dalam kalangan kaum wanita. Macam-macam
cerita lelaki yang bernama suami berhubung gelagat isteri masing-masing yang
dah terkena penangan drama Korea ini. Sebenarnya, inilah 'penyakit' yang ada
kepada kaum perempuan, mereka mudah sangat lentuk dengan drama-drama Korea yang
sebahagian besarnya tidak memberi apa-apa pun faedah dalam kehidupan kita
terutama bagi yang sudah bergelar isteri. Kita tidak kisah jika ada isteri yang
meluangkan masa untuk merehatkan minda selepas bekerja untuk menonton drama
berkenaan. Malahan kita hormat kepada perempuan yang menjadikan drama tersebut
sekadar hiburan semata-mata. Akan tetapi
yang pertikaikan ialah ada antara perempuan-perempuan ni sudah terlalu taksub
dengan drama Korea sampai tanggungjawab melayan suami diabaikan.
Ini belum lagi
mengambil kira bagaimana perempuan bertaraf 'nenek' habis masa berjam-jam
tonton cakera padat video (VCD) drama Korea, sampai cucu pun tak minat nak
pergi rumah dia. Mungkin ada kaum perempuan yang menempik dengan menganggap
semua ni tuduhan palsu tetapi ini realiti. Masa kualiti bersama suami banyak
dihabiskan dengan menonton drama yang tidak berfaedah itu. Malahan ada sesetengah
perempuan sanggup membiarkan suami terkebil-kebil seorang diri di atas katil
kerana hendak menonton dulu drama Korea yang ditayangkan di kaca televisyen. Bagi
perempuan macam ini, seolah-olah terlepas satu episod ibarat satu kerugian
terbesar dalam hidup, sedangkan drama tu boleh ditonton semula di internet,
bukan macam zaman dulu tak ada internet.
Sepatutnya, apabila
berada di samping suami tumpu perhatian kepada suami, lelaki ni perlukan
belaian apatah lagi ketika keletihan selepas seharian bekerja. Tetapi masalah
perempuan ni, mereka buat-buat tak faham, ikut kepala mereka sahaja, bagi
mereka drama Korea itu lebih penting daripada bergurau senda atau berbual-bual
dengan suami. Apa yang paling malang ada sesetengah perempuan terikut-ikut dengan
perangai dan taktik yang digunakan oleh watak-watak dalam drama yang mereka
tonton. Bercakap dengan suami pun dah kasar, melayan suami pun macam hendak tak
nak sahaja, lepas tu dah pandai bercakap soal hak kaum perempuan. Kita bukannya
anti drama Korea, sekali kala kita pun tonton juga tetapi bukannya cerita fasal
perempuan kena aniaya dek suami atau perempuan yang dikecewakan oleh lelaki.
Semua itu buang masa
sahaja, kita hanya tonton drama yang boleh bagi kita berfikir macam drama
berjudul 'Ghost' - tapi kita yakin ramai perempuan tak tonton drama ni sebab
perempuan malas nak fikir, mereka nak tengok drama yang boleh mengalirkan air
mata sahaja, cerita-cerita kononnya perempuan dianiaya mereka sukalah. Tetapi
dalam realiti sebenarnya, tidak semua lelaki mengecewakan perempuan, banyak
juga perempuan yang mengecewakan lelaki, namun drama macam ni tak begitu
diminati oleh perempuan sebab tidak menyebelahi mereka. Apa pun kita nak pesan,
kita tak kisah banyak manapun drama yang hendak ditonton oleh perempuan tapi
pandai-pandailah membahagikan masa dan menunaikan tanggungjawab kepada suami. Kita
ada ramai kawan perempuan yang minat cerita Korea ini, ada antaranya sanggup
menghabiskan masa berjam-jam tonton drama itu melalui internet, kita tak kisah
sebab kita tahu mereka tidak mengabaikan
tanggungjawab kepada suami.
Apa yang kita nak
nasihatkan ialah kepada perempuan yang mengabaikan tanggungjawab memenuhi masa
berkualiti bersama suami dan terlalu taksub dengan drama Korea sehingga
terbawa-bawa dalam kehidupan sebenar. Cukup-cukuplah fikiran kita dah
berserabut dengan banyak drama Melayu yang memberi contoh tidak baik kepada
kehidupan manusia, tak usahlah drama Korea pula nak menambahkan lagi kerosakan
berkenaan. Kalau dah taksub sangat kepada drama Korea itu pandai-pandailah
bahagi masa antara melayan suami dengan menonton drama berkenaan. Kita percaya
ramai suami tidak kisah, kalau isteri mereka menonton drama Korea asalkan
layanan terhadap mereka tidak diabaikan dan tidak mencontohi budaya buruk dalam
drama itu. Satu lagi kita nak pesan kepada kaum perempuan, ubahlah sikit sikap
suka sangat drama-drama yang mengalirkan mata ini. Baru-baru ini heboh fasal
satu drama Melayu yang dianggap oleh kaum perempuan kalau tak tengok rugi
seumur hidup.
Bila kita
tinjau-tinjau rupanya kisah fasal sepasang suami isteri yang sampai ke tanah
suci Mekah dan Madinah pun bertengkar, macam ni ke kita nak buat contoh dalam
kehidupan rumah tangga. Sepatutnya, sudah ada kematangan dalam kalangan kaum
perempuan untuk menolak drama-drama yang tidak memberi contoh baik kepada
masyarakat termasuklah drama Korea. Tetapi biasalah perempuan, kononnya hati
mereka lembut dan mudah tersentuh, sedangkan drama tetap drama ia bukan sebuah
realiti dalam kehidupan di alam fana ini. Sebab itulah ramai pelakon pandai
berlakon termasuklah dalam kehidupan sebenar mereka dan itu bukanlah sesuatu
yang menghairakan kerana dalam kalangan perempuan bergelar isteri yang bukan
artis atau pelakon pun, ramai yang pandai berlakon.
Sumber
Mingguan Malaysia
11 November 2012