JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



14 Mac 2011

MOTIVASI : CERITA SETELAH SAKIT


Pujangga pernah berkata kesihatan diri ialah permata yang harus dibiarkan bersinar terang dan bercahaya sepanjang masa. Jika sinarnya malap maknanya rasa sakit akan menyelinap dan mengigit tubuh kita tanpa mengira masa. Azabnya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Sepanjang masa kita akan dikelilingi oleh kerisauan dan kebimbangan yang berselang-seli dengan rasa sakit tidak tertahan. Tidur kita akan terganggu. Siang dan malam kita hanya mampu menahan dan tidak pernah berhenti berharap agar kesakitan itu hilang dan lenyap dengan cepat. Aduhai, apabila kita sakit segala nikmat yang kita kecapi selama ini akan hilang. Yang dimakan akan dimuntahkan. Rasanya tawar. Selera kita akan terputus untuk merasa dengan tiba-tiba. Jika selama ini kita gagah bejalan, berlari dan bekerja, secara tiba-tiba kita bagaikan kapal patah kemudi atau layar yang hilang sauhnya. Berjalan pun terasa diawang-awangan. Setiap saat seluruh tubuh digigit kesakitan.

"Cerita Setelah Sakit" merupakan pengalaman yang Cikgu Zul alami sendiri. Sepanjang tahun 2010, seluruh kehidupan diri saya digunakan untuk bekerja dan bekerja sahaja. Saya langsung tidak fikirkan kesihatan diri kerana tercabar dengan keputusan subjek yang saya ajar merundum dengan teruk dari segi peratusan dan GPS pada tahun 2009. Lantas, saya kuatkan tekad dan azam untuk mengembalikan kegemilangan lalu yang telah hilang bertahun lamanya. Sebagai guru berpengalaman, saya bagaikan tercabar dan rasa bersalah apabila pelajar-pelajar saya gagal merangkul kecemerlangan hanya disebabkan oleh subjek yang saya ajar iaitu Bahasa Malaysia STPM. Saya perah minda siang dan malam untuk membuat nota, memikirkan strategi, menyediakan panduan, menyemak latihan dan sebagainya. Lebih separuh daripada kehidupan saya difokuskan kepada akademik. Saya buat kelas tambahan, kelas pengayaan dan kelas pemulihan tanpa jemu. Walaupun rasa letih yang teramat saya gagahi jua untuk melangkah dan berpura-pura ceria di hadapan para pelajar demi suatu tekad iaitu mengembalikan semula kecemerlangan yang hilang itu. Alhamudillah, berkat kegigihan itu segalanya membuahkan hasil yang amat memuaskan.

Walau bagaimanapun, sewaktu saya sedang bergembira meraikan kejayaan pelajar-pelajar saya yang tersayang, saya tiba-tiba diserang sakit. Sakitnya teramat pedih. Dari pinggang hingga ke kaki bagaikan dicucuk-cucuk dengan belati tajam. Hendak ke bilik air pun kena merangkak. Seksanya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Hari-hari yang dilalui bagaikan meniti ranjau yang berduri. Walaupun sakit aku gagahi jua turun untuk mengajar dan berpura-pura sihat dihadapan rakan sejawat dan para pelajar tetapi emosi memang tidak dapat ditahan. Aku menjadi seorang guru yang mudah marah dan panas hati lantaran di samping mengajar aku juga terpaksa menahan rasa sakit yang teramat. Pergi ke hospital hanya diberi ubat penahan sakit sahaja oleh doktor. Lepas makan ubat sakitnya hilang untuk seketika tetapi selepas itu menyerang lagi untuk kesekian kalinya. Sakit memang sakit !. 

Sebaik sahaja tamat hari persekolahan pada 11 Mac 2011 yang lepas aku bertekad untuk X-ray seluruh badan untuk mengesan punca rasa sakit yang tidak berpenghujung ini. Aku bertekad, jika ditahan di wad hospital pun biarlah disebabkan minggu hadapan adalah waktu cuti sekolah. Langkah pertamaku dihalakan ke salah sebuah hospital swasta di daerah Sibu. Keputusan X-ray kuserahkan kepada doktor pakar untuk dianalisis. Rupa-rupanya, tulang belakangku mulai retak. Setelah membuat bayaran di kaunter, akau diarahkan pergi mengambil ubat ke kaunter ubat. Kemarahan aku meledak apabila diberikan ubat gastrik dan panadol dengan bayaran melebihi RM200. Aku geram yang teramat sangat, sakit tulang belakang tetapi diberikan ubat gastrik dan penadol!. Aku pulangkan ubat tersebut kepada Si Pemberi untuk dia makan sendiri. Dalam kesakitan kugagahi jua ke kereta untuk memandu balik ke rumah sendiri.


Mungkin nasib aku agak baik, seorang kawan tiba-tiba menelefon untuk bertanya khabar. Lepas mendengar penerangan aku tentang kesakitan yang aku alami, dia mencadangkan diri untuk membawa aku berjumpa seorang tukang urut berbangsa Cina. Aku yang tidak berdaya hanya menurut sahaja. Lepas diurut oleh tukang urut selama dua jam, kesakitan yang aku alami hampir 80 peratus hilang. Rasa pening dan hendak muntah terus tiada. Aku kembali normal. Esoknya, aku pergi berurut lagi. Rasa sakit di pinggang hilang 100 peratus. Cuma dikaki masih ada mengigit sedikit sehingga ke hari ini tetapi aku bersyukur kerana aku mampu berjalan dan sehingga kini aku sudah pulih hampir 90 peratus. Harapanku, agar kesihatan aku pulih seperti sedia kala dan boleh menjalankan tugas-tugas sebagai pendidik dengan jayanya. 

Aku tak tahu, apa rasionalnya aku berkongsi cerita ini dengan pembaca blog aku ini? Bagiku, kesihatan haruslah diutamakan sentiasa walau sesibuk mana pun kita kerana kita tidak tahu waktu kita akan sakit. Kadang-kadang kita terlalu ghairah dengan nikmat dunia sampai terlupa bahawa kita telah mengabaikan sesuatu yang amat berharga iaitu KESIHATAN DIRI KITA SENDIRI. 

HASIL KARYAKU : JIKA BENCANA DATANG

JIKA BENCANA DATANG


Jika bencana datang
mampukah kita terajang
dapatkah kita tentang
bolehkah di lawan


Datangnya tanpa surat
tanpa e-mel
tiada alamat
datangnya tanpa dijemput
juga tidak diundang
jauh sekali dipelawa
dipersila


Jika bencana datang
secanggih manapun kita
rebah, musnah, parah
seksanya sepanas neraka
azabnya sampai berbaldi-baldi air mata
deritanya dirasa di seluruh buana


Jika bencana datang 
Amerika yang gagah pun tumbang
Jepun yang maju pun layu
Tiada lagi negara yang bermegah
Tiada lagi negara yang bongkak
Tiada lagi negara yang garang
semuanya bisa hancur
dilanda bencana


Jika bencana datang
panjatkan doa kepada-Nya
agar azab menjadi mukjizat
derita menjadi nikmat
semua manusia bisa insaf
kerana selama ini khliaf
sampai terlupa
nikmat pemberian-Nya.






Nukilan Pena Bestari Seorang Pendidik
Zulkarnain Farihin
SMK Sacred Heart
Sibu, Sarawak
10.20 pm, 14 Mac 2011

ISU PENDIDIKAN : TUGAS TENAGA PENGAJAR IPT TUMPU KEPADA PENGAJARAN BUKAN POLITIK


Institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan, khususnya universiti adalah wadah untuk menimba ilmu. Pada masa sama, ia juga tempat melahirkan bakal pemimpin, profesional, ahli akademik, sasterawan, ahli korporat, pekerja mahir serta individu yang menguasai pelbagai cabang ilmu dan kemahiran. Bersandarkan kepada impian untuk ke menara gading, setiap tahun beribu-ribu pelajar memohon memasuki IPT. Namun, disebabkan tempat terhad ramai yang gagal, walaupun memiliki kelayakan. Apapun, sejak akhir-akhir ini wujud kebimbangan, IPT gagal melaksanakan tanggungjawab sebenarnya melahirkan insan berilmu berikutan ada kakitangan akademiknya terlalu leka berpolitik. 

Ada antara warga akademik ini berlumba-lumba mengejar jawatan sehingga mengabaikan tugas hakiki, iaitu mengajar dan melakukan tugas penyelidikan. Kebimbangan itu, turut disuarakan Datuk Seri Najib Razak yang mahu tenaga akademik IPT tempatan tidak terlalu asyik berpolitik, termasuk mengejar jawatan tinggi sehingga mengabaikan tanggungjawab mendidik dan membentuk modal insan berkualiti. Perdana Menteri ketika berucap sempena lawatan rasmi beliau ke Universiti Malaysia Pahang (UMP) kampus Pekan, kelmarin, tegas menyatakan rasa malu dengan senario itu dan mahu budaya tidak sihat itu dikikis, sebaliknya tenaga pengajar IPT memberi tumpuan kepada meningkatkan kualiti minda anak bangsa. Kita amat memahami hasrat Perdana Menteri itu, ketika beliau berusaha melakukan transformasi dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, sebaliknya IPT tempatan seakan statik dan berundur satu langkah ke belakang. 

Yang jelas kita mahu IPT turut melakukan transformasi pada semua peringkat. Warga akademik, kakitangan dan pelajarnya perlu sanggup dan sedia berubah dan maju menuju kecemerlangan akademik setanding universiti asing. Justeru, pelantikan Naib Canselor atau Timbalan Naib Canselor mahupun pelbagai jawatan penting lain di universiti tidak sewajarnya turut dipolitikkan. Pelantikan individu untuk sesuatu jawatan itu sebenarnya satu amanah dan tanggungjawab berat. Mereka yang dilantik untuk jawatan itu sudah pasti melalui satu proses temu duga yang ketat, berdasarkan merit, pengalaman dan kelayakan tinggi diperlukan. Oleh itu, penyebaran surat layang mempersoalkan pelantikan seseorang Naib Canselor atau Timbalan Naib Canselor, pada masa sama, melobi untuk individu tertentu bagi memenuhi jawatan itu tidak sepatutnya timbul. Dalam kelompok komuniti universiti yang didiami golongan cerdik pandai, sememangnya akan ada segelintir yang tidak berpuas hati terhadap sesuatu pelantikan itu. 

Sudah pasti akan ada dalam kalangan warga akademik yang berasakan mereka lebih layak menjawat sesuatu jawatan berdasarkan prestasi semasa. Namun, hakikatnya pelantikan perlu dibuat dan tugas mentadbir serta mengurus universiti perlu diteruskan bagi memastikan semua aspek berkaitan pembelajaran dan pengurusan pelajar berjalan lancar. Kita tidak mahu ketika universiti tempatan terlalu mengejar ranking untuk berada dalam kelompok terbaik dunia, pihak universiti mungkin terlepas pandang bahawa ia bukan segala-galanya. Reputasi sesebuah universiti bukan saja diukur daripada prestasi akademiknya, tetapi sejauh mana kakitangan akademiknya dapat berinteraksi secara berkesan dengan pelajar dan seterusnya memenuhi keperluan intelektualnya. Malah, lebih penting sejauh mana IPT dapat melahirkan pelajar yang dapat memenuhi keperluan negara dalam pelbagai bidang mengikut acuan kita sendiri.



BERITA HARIAN, 14 MAC 2011

ISU ALAM SEKITAR : MALAYSIA HARUS CONTOHI NEGARA JEPUN TANGANI BENCANA

Oleh Manja Ismail
BERITA HARIAN, 14 MAC 2011


Sehingga  semalam, angka kematian akibat gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter yang diikuti gelombang tsunami di timur laut Jepun Jumaat lalu, mencecah lebih 10,000 orang termasuk yang masih hilang, manakala 20,800 kediaman dan bangunan musnah. Pagi semalam juga, satu lagi gempa bumi dengan kekuatan 6.8 skala Richter melanda pantai timur pulau Honshu, tetapi ia tidak menyebabkan tsunami dan kemusnahan baru. Namun, kebimbangan timbul apabila beberapa loji reaktor nuklear dikesan bermasalah ekoran gempa bumi Jumaat lalu, apabila sistem penyejuknya tidak berfungsi dan berisiko meletup.  Memang kejadian di Jepun itu, yang dapat kita saksikan dengan jelas di kaca televisyen, malapetaka amat dahsyat. Walaupun dari segi korban, tsunami Aceh pada 2004 jauh lebih tinggi dengan ratusan ribu nyawa, detik-detik ketika gempa berlaku dan tsunami melanda tidak dapat kita saksikan seperti mana di Jepun, Jumaat lalu.  

Bencana, sekecil mana pun pasti menyebabkan kerugian dan kesedihan. Pada masa sama, ia juga menguji keimanan, kesabaran, kebijaksanaan serta sejauh mana kita mempelajari daripadanya.  Jepun, sebagai negara termaju di dunia dengan rakyatnya yang terkenal berdisiplin ternyata sudah lama belajar daripada bencana alam itu. Mungkin kerana itu, angka kematian dan jumlah kemusnahan akibat kejadian Jumaat lalu masih boleh dianggap kecil berbanding kekuatan gempa dan kedahsyatan tsunami yang melanda.  Sikap kebanyakan rakyat Jepun menghadapi gempa bumi dan tsunami Jumaat lalu mungkin boleh dipelajari kita, walaupun bencana besar di negara ini mungkin hanya banjir setiap musim tengkujuh. Sejak gempa bumi berskala 7.9 Ritcher pada 1 September 1923 yang hampir meranapkan Tokyo, rakyat Jepun sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan dilanda gempa lebih buruk daripada itu.

Pada kejadian 88 tahun lalu itu, Tokyo terbakar selama tiga hari dan 140,000 terkorban.  Sejak bencana itu, Kerajaan Jepun memperkenalkan peraturan yang memastikan setiap bangunan, empangan dan binaan mampu menghadapi gegaran sebaik mungkin. Mulai 1980, Agensi Meteorologi Jepun memasang lebih 130 alat pengesan di gunung dan dasar laut untuk mengesan gegaran geologi yang mungkin petanda kedatangan gempa bumi di wilayah selatan Tokyo.  Data elektronik yang dikumpul melalui kaedah itu diawasi komputer dan dua petugas sepanjang masa. Gempa bumi Kobe pada 1995 pula menyedarkan pihak berkuasa bahawa keadaan bangunan pejabat yang uzur serta kelewatan badan bertindak pada peringkat jabatan kerajaan, menyebabkan 6,400 orang terkorban selepas terperangkap di bawah runtuhan.  Rakyat Jepun memang sedar bahawa gugusan pulau yang membentuk negara itu terletak di atas titik lingkaran Pasifik di mana tiga kerak bumi sentiasa berlaga, menyebabkan antara 30 hingga 40 gegaran dapat dirasai setahun.

Ketidakstabilan geologi sudah menjadi sebahagian kehidupan harian rakyat Jepun, manakala istilah ‘jishin’ (gempa bumi) menjadi mainan bibir setiap kali mereka merasai gegaran.  Kebanyakan bangunan baru di Jepun kini memang mempunyai alas getah bawah tanah untuk menahan kesan gegaran, manakala pencakar langit direkabentuk supaya dapat bertahan goyangan selepas gempa bumi.  Setiap 1 September pula, sempena memperingati gempa bumi 1923, jutaan rakyat Jepun menyertai latihan menghadapi bencana anjuran pihak berkuasa tempatan di daerah masing-masing. Kanak-kanak sekolah memakai penutup kepala dan berlatih berlindung di bawah meja. Warga tua diingatkan supaya memilih tempat untuk bertemu dengan orang tersayang sekiranya terpisah ketika bencana. Kedai pula menjual peti kecemasan mengandungi air, lampu picit dan makanan tahan lama.  

Kita sendiri dapat menyaksikan siaran televisyen bagaimana rakyat Jepun agak tenang ketika menghadapi saat-saat cemas ketika menghadapi gegaran itu – sama ada di sekolah, rumah, pejabat dan di dalam pasar raya. Murid terus memakai pelindung kepala dan berlindung di bawah meja sebaik saja merasai gegaran. Pekerja pejabat yang keluar dari bangunan juga dilihat memakai alat pelindung kepala, tindakan yang sudah menjadi sebahagian daripada piawaian keselamatan di tempat kerja ketika menghadapi gempa kuat. Malah penyampai berita televisyen tempatan juga dilihat memakai topi keselamatan ketika bertugas.  Walaupun kita di Malaysia belum pernah dilanda gempa bumi besar, semakin kerapnya gegaran kecil dirasai sejak beberapa tahun kebelakangan ini, turut menimbulkan pertanyaan sejauh manakah persediaan kita jika ditakdirkan bencana itu berlaku pada tahap menyebabkan kemusnahan. Jika cara kita menghadapi banjir besar dijadikan ukuran, walaupun dari segi korban dan kemusnahan tidak sebesar gempa bumi, tsunami atau gunung berapi rasanya kita masih perlu banyak belajar daripada rakyat Jepun.

ISU SOSIAL : IMPAKS KEBANJIRAN WARGA ASING ANCAM KESELAMATAN NEGARA

Oleh Ibrahim Ali


Baru-baru ini saya membaca laporan akhbar mengatakan bahawa Kementerian Sumber Manusia akan membawa masuk 45,000 pekerja asing daripada India. Saya harap kerajaan menangguhkan tindakan ini sehingga seluruh masalah berkaitan dengan warga asing yang menghilangkan diri sesudah tamat tempoh visa mereka dapat diselesaikan secara berkesan. Saya membuat cadangan ini sebab saya tidak mahu Malaysia dibanjiri oleh rakyat asing yang kini tinggal secara haram dan mungkin mencetuskan masalah keselamatan negara pada masa akan datang. Hakikatnya, hari ini ramai warga asing mencari rezeki di Malaysia. Ada di antara mereka yang dibawa masuk mengikut proses undang-undang. Tetapi, ramai lagi di antara mereka yang menyeludup masuk ke negara kita secara haram atas daya usaha pengoperasi Jenayah Rentas Sempadan atau JRS. Di samping itu, ada juga di antara mereka yang masuk ke negara ini menerusi visa pelancong.

Tetapi, sesudah tamat tempoh viasnya, pelancong ini pun melencong entah ke mana dan tidak dapat dikesan oleh penguat kuasa undang-undang kita. Contohnya, sempena Tahun Melawat Malaysia 2007, terdapat seramai 26,252 pelancong yang menggunakan Visa Ketibaan atau Visa on Arrival (VOA) telah menghilangkan diri sebai-baik sahaja tempoh sebulan lawatan mereka tamat. Daripada jumlah pelancong yang tinggal lebih masa ini, rakyat India mencatatkan jumlah paling ramai, iaitu 26,252 orang; diikuti oleh rakyat Pakistan 9,719 orang; rakyat China 3,866 orang; rakyat Bangladesh 5,663 orang, dan rakyat Sri Lanka 3,379 orang. Ini bermakna bahawa pelancong yang melencong dan menghilangkan diri ini adalah mereka yang datangnya daripada luar alam Nusantara Melayu. Soalnya di sini, ke manakah melencongnya pelancong-pelancong ini? Adakah pelancong-pelancong daripada luar Nusantara yang lesap ini mencerminkan kewujudan beberapa sindiket di kalangan rakyat Malaysia yang memberikan perlindungan kepada mereka.

Adakah ini juga bermakna bahawa sindiket yang sama akan berusaha mendapatkan kad pengenalan bagi mereka dengan pembohongan, kononnya oleh kerana mereka tinggal jauh di pedalaman - di estet-estet dan di kebun-kebun sayur - maka mereka tidak mempunyai surat beranak dan dengan itu tidak berani keluar ke pekan-pekan untuk mendapatkan kad pengenalan masing-masing sebagaimana dituntut oleh undang-undang negara. Lantaran itu, mereka pun menggunakan khidmat sesetengah kelompok, mungkin termasuk kita sebagai ahli politik, untuk mendapatkan kad pengenalan mereka. Adakah ini hakikatnya? Adakah kerajaan sudah bertindak terhadap perkara seperti ini? Atau, adakah tindakan pelancong yang melencong seperti ini belum dapat diselesaikan hingga ke hari ini? Selain itu, ada pula dakwaan - saya tidak tahu ini sahih atau sebaliknya - bahawa sesetengah wanita asing yang lesap setelah tamat tempoh visanya, sebenarnya disimpan, atau disembunyikan di beberapa pekan kecil, untuk berkhidmat dengan sindiket tertentu dalam industri yang dikenali sebagai "industri bikin anak."

Maksudnya, wanita-wanita asing ini disimpan di suatu tempat khas yang jauh daripada bandar, untuk mereka melakukan hubungan seks dengan sekumpulan lelaki upahan Malaysia, bagi pihak sesetengah pasangan tua Malaysia yang inginkan anak. Tetapi - ini juga hanya desas-desus yang saya dengar - matlamat akhir "industri bikin anak" ini adalah untuk menambahkan jumlah penduduk sesetengah etnik tertentu di Malaysia bagi perancangan politik jangka panjang etnik berkenaan di masa akan datang. Soalnya, adakah ini hanya dongeng, atau adakah ini merupakan satu realiti? Soalnya, adakah autoriti Malaysia tahu akan dongeng seperti ini? Kepada saya, mungkin ada kebenarannya di sebalik dongeng ini. Sebabnya, "industri bikin anak" ini memang wujud di sebuah negara ASEAN tertentu, walaupun matlamat akhirnya di negara berkenaan adalah berbeza. Jika di Malaysia, dongeng pasal "industri bikin anak" ini mempunyai matlamat politik, di negara ASEAN berkenaan, "industri bikin anak" ini adalah untuk mewujudkan satu generasi baru yang dilahirkan daripada kombinasi pelbagai baka bangsa terpilih di seluruh dunia.

Kerana itulah lelaki yang diupah untuk melakukan hubungan seks dengan wanita-wanita asing di negara berkenaan adalah daripada kalangan cerdik-pandai dan profesional di pelbagai bidang daripada seluruh pelosok jagat. Oleh sebab itu, saya mendesak kerajaan bertindak tegas terhadap kumpulan pelancong yang melencong seperti ini. Kerajaan juga menyiasat sama ada inikah impak dan kesan penyalahgunaan kuasa di kalangan segelintir pegawai penguat kuasa kita yang bertanggungjawab mengenai imigresen. Saya tidak menuduh, saya sekadar ingin tahu akan kisah dongeng ini sebab impaknya kepada masa depan negara adalah serius dan mungkin parah. Seterusnya, saya bangkitkan persoalan, adakah benar bahawa Jabatan Imigresen telah mengenal pasti lebih 300,000 warga asing tinggal di Malaysia secara menipu dengan menyalahgunakan permit mereka, sejak beberapa tahun kebelakangan ini?

Adakah juga benar bahawa hampir separuh atau kira-kira 24,000 daripada 49,000 penghuni penjara di seluruh negara adalah warga asing? Selain itu, adakah benar bahawa pada tahun 2006, dianggarkan antara 300,000 dan 500,000 orang pendatang asing tanpa izin berada di Malaysia dan kos penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin kini paling rendah adalah RM 3.5 juta setahun? Saya bimbang akan soal pendatang asing yang tidak boleh dikesan ini sebab saya percaya mereka akan menjadi masalah kepada negara kita di hari muka. Mereka akan menjadi punca kepada masalah identiti dan etnisiti di Malaysia. Mereka juga akan menjadi punca masalah sosial dan masalah politik di Malaysia. Kita tidak wajar bersambil lewa dalam menang.

UTUSAN MALAYSIA, 14 MAC 2011

ISU ALAM SEKITAR : SIAP SEDIA HADAPI KESAN TSUNAMI YANG MELANDA JEPUN


Seluruh masyarakat antarabangsa bersimpati dengan Negara Matahari Terbit yang dilanda tragedi tsunami. Gambar dan video mengenai kejadian yang berlaku di timur laut Jepun itu dengan kekuatan 8.9 skala Richter amat mengharukan. Perkara yang paling membimbangkan sekarang ialah kesan susulan selepas tsunami. Sekarang Jepun berdepan bahaya kesan daripada loji nuklear Fukushima Daiichi 1 meletup dan terbakar. Ia dikhuatiri menyebarkan radiasi ke kawasan sekitar, negara-negara jiran serta Lautan Pasifik. Kejadian tsunami di Jepun nampaknya memberi kesan kepada seluruh dunia. Kesan segera yang lain ialah kedudukan ekonomi dan pasaran dunia yang sudah tentu akan terjejas kerana Jepun merupakan kuasa ekonomi dunia. Merana ekonomi Jepun bermakna perit juga ekonomi negara lain di dunia. Maknanya kita di Malaysia perlu bersedia menerima kesan-kesan secara langsung dan tidak langsung susulan tragedi tsunami di Jepun. Banyak yang perlu kita fikirkan segera dalam menangani kesan-kesan ekonomi yang boleh kita jangkakan, misalnya harga pasaran minyak dunia, turun naik harga pasaran komoditi dan lain-lain.

Hakikatnya, negara kita harus bersedia menghadapi semua jangkaan ini. Tragedi tsunami di Jepun ini juga mengingatkan kita supaya bersyukur kerana negara kita dilindungi daripada bahaya bencana gempa bumi dan tsunami. Namun begitu, kita tidak boleh terus leka dan ambil mudah bahawa gempa bumi dan tsunami tidak akan melanda Malaysia. Walaupun negara kita tidak terletak di dalam Lingkaran Api Pasifik tetapi kejadian tsunami pada Disember 2004 dan beberapa siri gegaran di kawasan tanah tinggi berhampiran Janda Baik akibat kesan gempa bumi di Sumatera adalah petanda bumi kita juga belum selamat. Mengambil pengajaran persediaan rakyat Jepun menghadapi tsunami Jumaat lalu, maka kita perlu melakukan perkara yang sama. Rakyat Malaysia kena bersiap sedia menghadapi sebarang malapetaka. Kita tidak boleh lambat bertindak selepas berlaku sesuatu bencana alam. Alangkah baiknya jika kita mempunyai kecekapan dalam sistem pengurusan bencana dan memiliki teknologi canggih yang dapat mengurangkan impak bencana alam.

Seperti di Jepun, jika boleh kita mahu kebanyakan pekan dan bandar disediakan sistem pembesar suara yang boleh menyalurkan maklumat kecemasan kepada penduduk.  Kanak-kanak perlu dilatih sejak kecil menyorok di bawah meja atau menyelamatkan diri semasa berlaku kecemasan. Semua masyarakat diberitahu di mana pusat penempatan sementara yang terdekat dengan kediaman mereka apabila berlaku bencana. Pendekatan masyarakat kita dalam menghadapi bencana banjir seperti pesta perlu diubah. Begitu juga murid sekolah yang hanya dilatih keluar segera dari bilik darjah apabila loceng kebakaran berdering.  Sedang kita masih tercari-cari kaedah mereka bentuk bangunan tinggi yang tahan gempa, mereka di negara maju sudah pergi jauh dengan memberi penekanan kepada pendidikan sebagai persediaan menghadapi bencana alam. Apa pun kita tidak dapat melawan kuasa dan takdir Tuhan, tapi kita harus berusaha mengurangkan kecelakaan.

UTUSAN MALAYSIA, 14 MAC 2011

ISU SOSIAL : STATISTIK KES ROGOL DARI 2005 HINGGA 2010


Sebanyak 9,575 kes rogol di bawah umur direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh lima tahun iaitu sejak 2005 hingga 2010. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata statistik yang direkodkan PDRM itu menunjukkan jumlah kes yang melibatkan mangsa bawah umur adalah lebih tinggi bagi tempoh 2000 hingga 2010 berbanding kes yang melibatkan mangsa bukan bawah umur. Bagaimanapun, polis tidak mempunyai rekod mengenai jumlah kes rogol di bawah umur bagi tempoh 2000 hingga 2004. Dr Chan Onn ingin tahu jumlah kes rogol di bawah umur yang berlaku sejak tahun 2000 dan tindakan yang diambil kementerian bagi menangani gejala itu. Abu Seman Yusop berkata, kementerian sentiasa memandang serius dan komited dalam membendung jenayah rogol lebih-lebih lagi bagi kes yang melibatkan golongan di bawah umur. Katanya, antara langkah yang diambil PDRM ialah memberi perkhidmatan kaunseling kepada mangsa dan akan merujuk mangsa kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat jika memerlukan perlindungan. Selain itu, polis akan meneruskan siasatan untuk mendapatkan bukti terhadap suspek dan bagi kes yang dituduh di mahkamah dan jika suspek disabitkan kesalahan, pihak peguam negara akan memohon kepada mahkamah supaya hukuman lebih berat dikenakan.

BERITA HARIAN, 14 MAC 2011