JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



06 Disember 2011

ISU UMUM : JANGAN BIAR GELAGAT ORANG AFRIKA DI MALAYSIA PIJAK KEPALA KITA


Insiden terbaru membabitkan warga Afrika mengganas di Mantin, Negeri Sembilan pada 5 Disember 2011, sekali lagi mencetuskan perbahasan sama ada kehadiran rakyat asing di negara ini, khususnya dari benua terbabit sudah terlalu ramai sehingga tidak terkawal. Insiden berkenaan yang membabitkan pergelutan warga Afrika dengan pegawai Imigresen yang sedang melakukan operasi membanteras pendatang tanpa izin, menyusuli kejadian di Hospital Kuala Lumpur yang menyaksikan anggota polis terpaksa menembak mati seorang penyeludup dadah warga Nigeria yang mengamuk ketika menerima rawatan. Bagi berlaku adil kepada warga Afrika yang berada di negara ini sama ada sebagai pelajar, pekerja atau pelancong asing, insiden seumpama dua kes dipetik di atas bukanlah sesuatu yang kerap berlaku.

Namun kerana insiden berkenaan berlaku dua hari berturut-turut, ia menjadi besar dan mencetuskan perbualan dalam kalangan masyarakat mengenai isu warga Afrika ini. Rakyat negara ini secara amnya, menyambut dengan tangan terbuka kedatangan pelawat asing, termasuk dari benua Afrika ke negara ini. Kehadiran mereka ini bukan saja bermakna pendapatan mata wang asing negara akan bertambah, tetapi ia juga bererti ia akan mendedahkan warga tempatan kepada budaya dan cara hidup warga asing asing ini, seterusnya memperkayakan budaya kita sendiri. Dalam pada kita menghormati dan menerima perbezaan ini, kita juga mengharapkan orang luar turut melakukan yang sama. Lebih-lebih lagi sebagai pelawat, mereka harus tidak menyinggung kita dengan melanggar sensitiviti penduduk tempatan. Janganlah pula warga asing ini apabila sudah diterima untuk duduk dalam kalangan masyarakat tempatan, cuba pula menegakkan di sini cara hidup mereka yang tidak bersesuaian dengan nilai tempatan.

Sudah banyak rungutan kita dengar berhubung sikap sesetengah warga Afrika ini yang tidak menghormati pantang larang masyarakat negara ini berhubung meminum arak di tengah khalayak. Banyak rungutan juga kita dengar berhubung pergaulan bebas sesetengah warga Afrika ini dengan wanita tempatan, khususnya gadis Melayu tanpa menghormati pantang larang agama kita. Sikap tidak peka dan tidak menghormati cara dan nilai hidup masyarakat tempatan ini sudah tentu mengundang sesuatu yang tidak baik. Kesudahannya tangan yang terbuka, menjadi pula tertutup terhadap warga Afrika ini. Sebelum nasi menjadi bubur, kita berharap pihak berkuasa bersikap tegas terhadap kumpulan pelawat ini dan melancarkan lebih banyak operasi bagi memberkas kalangan mereka yang melanggar syarat kemasukan ke negara ini dan seterusnya mengusir mereka.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
6 DISEMBER 2011

ISU KENEGARAAN : PERLEMBAGAAN IKAT SETIAP WARGA NEGARA

Shamrahayu A Aziz
Profesor Madya di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)


Kebebasan patut seiring tanggungjawab 
jaga keharmonian majoriti rakyat

Adakah Perlembagaan Persekutuan terpakai dan mengikat semua rakyat Malaysia? Apa akan terjadi sekiranya saya tidak mahu diikat kerana tiada peruntukan yang menghendaki kita mengikuti semua peruntukannya? Terkejut juga saya ketika diaju soalan ini pada sesi soal jawab diskusi berkaitan Perlembagaan Persekutuan. Selepas ditanya lebih panjang kenapa persoalan sebegini diajukan, orang yang bertanya menyatakan ketidakpuasan hati terhadap beberapa peruntukan perlembagaan. Secara khusus, beliau menyebut mengenai peruntukan berkaitan sekatan yang boleh dibuat ke atas Perkara 10 dan 11 Perlembagaan Persekutuan iaitu peruntukan yang menjamin kebebasan berhimpun secara aman dan kebebasan beragama. Secara jujurnya persoalan sebegini tidak pernah terlintas di fikiran saya. Mungkin kerana saya mengambil mudah mengenai penerimaan dan pemakaian peruntukan perlembagaan. Saya terlepas pandang mengenai isu penting ini.

Pada anggapan saya, semua ahli masyarakat sedia maklum mengenai peranan perlembagaan dan tanggungjawab setiap individu terhadap perlembagaan. Pada anggapan saya juga, semua ahli masyarakat sedar mereka hendaklah mengikat diri dengan perlembagaan tanpa sangsi walaupun jelas perlembagaan tidak menyediakan peruntukan khusus mewajibkan setiap orang mengikatkan diri dengannya. Saya menganggap perbuatan menghormati perlembagaan bukan saja menampilkan semangat patriotisme, tetapi ia juga tanggungjawab wajib yang perlu dilaksanakan setiap warga negara. Malah, mereka yang bukan warga negara juga terikat dengan prinsip ini. Saya sediakan sedikit ulasan untuk dikongsi dengan pembaca kerana persoalan terbabit begitu penting. Secara umumnya tujuan undang-undang ialah mengawal selia kehidupan manusia. Ia juga diwujudkan untuk membetulkan atau menebus kesalahan serta menyelesaikan pertelingkahan.

Undang-undang mengikat manusia kepada satu sistem yang boleh menjamin kehidupan selesa dan juga penuh kehormatan. Undang-undang tidak boleh dikatakan sebagai penghalang aktiviti masyarakat. Ialah adalah pemangkin kepada aktiviti masyarakat. Disebabkan peranannya begitu besar, maka undang-undang mempunyai semangat dan nilai tersendiri. Sebagai contoh, undang-undang boleh menjadikan sesuatu perbuatan yang memberi kesan negatif ke atas orang lain atau masyarakat sebagai satu jenayah yang boleh dihukum. Ini bagi membolehkan setiap ahli masyarakat secara individu atau berkelompok, dihargai kewujudan dan kehormatannya. Tiada orang yang lain boleh meragutnya tanpa sebarang tindakan undang-undang. Oleh itu, setiap orang terikat dengan undang-undang. Mengenai tanggungjawab mengikat diri dengan perlembagaan, perkara pertama yang perlu kita ingat dan semat di dalam hati; perlembagaan ialah undang-undang tertinggi negara. Mengapa?

Jawapan di atas kertas seorang pelajar undang-undang perlembagaan mungkin menyatakan setiap undang-undang lain hendaklah menepati peruntukan perlembagaan. Mungkin ini agak rumit untuk pembaca umum. Bagi umum, jawapan perlembagaan sebagai simbol kemerdekaan dan kedaulatan negara lebih bermakna. Tanpa perlembagaan, kita tidak dapat menjadi negara merdeka berdaulat dalam sistem negara bangsa yang diamalkan dunia. Perlembagaan juga manifesto negara. Ia menampilkan ciri pentadbiran dan negara bangsa yang mahu dibina. Perlembagaan juga dokumen yang mencipta institusi negara, iaitu badan kehakiman, badan perundangan dan badan pelaksana. Ia mengiktiraf dan meletakkan kesinambungan kepada institusi tradisi, iaitu institusi raja.

Bukan saja mencipta dan mengiktiraf kelangsungan institusi ini, perlembagaan menggariskan kuasa dan peranan semua institusi berkenaan. Setelah itu, perlembagaan juga menyekat kuasa institusi itu supaya setiap sesuatu yang bergerak dalam orbit menghormati kedaulatan undang-undang, termasuk kebebasan rakyat. Walaupun tidak berpuas hati dengan peruntukan sedia ada, kita tidak harus mementingkan diri sendiri dan mahu meragut kewujudan dan kehormatan orang lain. Kebebasan sentiasa berkembar dengan tanggungjawab kita. Maka sekatan yang dibenarkan perlembagaan mempunyai alasan, semangat dan nilai tersendiri. Cuma, apa yang kita harapkan ialah pelaksana peruntukan perlembagaan menjalankan kuasa dan peranan dalam konteks yang diinginkan prinsip perlembagaan. Kita tidak harus mengasingkan diri daripada perlembagaan.

Perlembagaan Persekutuan menentukan kelangsungan sistem negara. Ia menjadi panduan dan piawaian kepada tindakan setiap institusi dan menjamin kehormatan individu sama ada warga negara atau bukan warga negara. Perlembagaan menjadikan kita bangsa bersatu, bukan berpecah. Perlembagaan adalah rantai kukuh yang mengikat kita. Perlembagaan juga menyinarkan konsep demokrasi yang mengekalkan kebebasan beragama, kebebasan bersuara dan berkumpul dalam keadaan aman. Dalam membenarkan sekatannya, perlembagaan bukan semata-mata dokumen, ia adalah dokumen yang mempunyai nilai, kepercayaan dan agama. Ini harus diteroka sedalam mungkin oleh ahli masyarakat. Semoga masyarakat yang menjadi pengguna sebenar Perlembagaan tetap berusaha untuk memastikan kandungan dan amalannya yang terbaik berdasarkan semangat dan nilainya demi agama, bangsa dan tanah air.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
6 DISEMBER 2011

ISU MEDIA BAHARU : KUASA MEDIA BAHARU HUKUM MANGSA TANPA BUKTI KUKUH

Oleh Imlan Adabi
imlanadabi@bharian.com.my


Jika kita mahu bersimpati, barangkali apa yang menimpa Khairul Fahmi Che Mat boleh dianggap satu penderaan luar biasa. Beliau bukan saja dijulang sebagai penjaga gol terbaik dalam Skuad Harimau Malaya dan Harimau Muda yang raih pingat emas di Sukan SEA di Jakarta baru-baru ini, juga bintang pasukan Kelantan yang memenangi Piala Liga Super dan Piala Sumbangsih tahun ini. Selebihnya, Khairul Fahmi dipalit dengan pelbagai masalah peribadi. Media baru atau media sosial menjadi pendera paling zalim. Dia dikaitkan dengan putus tunang, menghadiri majlis sosial dan gambar bersama Nor Hashidah Harmi tersebar di internet. Bagi kebanyakan orang, isu peribadi perkara biasa dan tidak perlu dihebohkan. Tetapi apabila membabitkan seorang idola sukan, beritanya menggemparkan, juga mengghairahkan! Sama ada Khairul Fahmi bersalah atau tidak, bukan perkara pokok. Media baru sudah menjalankan tugas melaporkan kisah peribadi dengan drama dan intrig cukup mengaibkan.

Ketika orang bercakap kehebatan beliau di padang bola sepak, media baru pula lebih bercakap soal peribadi tanpa memberi peluang pemuda yang dilahirkan pada 7 Januari 1989 di Kota Bharu ini membela diri. Apalah yang mampu dilakukan oleh seorang penjaga gol apabila dirinya dikaitkan dengan skandal dan media baru bagai tanpa ampun terus menghukumnya. Khairul Fahmi senasib dengan mangsa lain apabila menjadi tumpuan media baru setiap kali dia melangkah. Jika sebelum ini ahli politik dan artis menjadi lensa pihak tertentu, dia harus mengenal langkahnya sendiri tanpa perlu mengaibkan nama orang tua sendiri. Malangnya dia sendiri tidak tahu apa yang bakal dilakukan, akan dipalitkan dengan pelbagai kontroversi lain. Pada hari ini sesiapa saja boleh menjadi pelapor di media baru. Ada 600,000 blogger di Malaysia yang sebahagian besar menulis cerita peribadi, isu politik, sosial, sastera dan kesenian. Ada juga blogger yang ghairah memaparkan cerita seks, gambar intim dan dakyah siasah.

Sesiapa saja boleh diserang oleh blogger dan pada bila-bila masa saja cerita serta gambar seseorang boleh terdedah tanpa izin. Dunia maya pada hari ini cukup menakutkan. Seseorang blogger bukan saja sebagai pelapor paling berani dan kebal undang-undang, juga boleh menjadi hakim sekali gus pendakwa yang boleh menuduh orang lain sebagai korup, pembunuh, hidup mewah dan penindas. Masyarakat lebih cenderung mempercayai kerana tabii media baru sering mengajak orang ramai meyakini penulisnya. Mereka juga aktif di laman sembang Facebook yang kini mencecah 12 juta orang di Malaysia, dengan kadar penembusan 69.91 pengguna internet. Laman SocialBakers.com melaporkan, Malaysia kini berada di tangga ke-17 pengguna Facebook paling ramai di dunia. Bayangkan kita juga bakal menjadi Khairul Fahmi apabila tidak disenangi pihak lain dan orang ramai akan lebih cenderung mempercayai sesuatu yang belum teruji kesahihan berbanding media arus perdana.

Realiti dunia tanpa sempadan cukup menakjubkan di Malaysia. Ketika jumlah penduduk pada 2000 berjumlah 24.6 juta orang, pengguna internet pula seramai 3.7 juta orang. Bagaimanapun jumlah penduduk pada 2010 ialah 26.12 juta orang, membabitkan 16.9 juta pengguna internet. Kadar penembusan jalur lebar meningkat 64.6 peratus. Pertumbuhan pengguna internet meningkat 356.8 peratus dalam tempoh 10 tahun. Justeru, tidak menghairankan apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak menggesa blogger dan generasi muda menjadi pejuang baru parti bagi menyaingi suasana siasah yang tidak seimbang. Menguasai media baru tentunya perang bentuk moden amat mencabar. Ia juga tanpa simpati kerana laman web, portal berita dan blog jarang memikirkan kesan penyampaian. Yang mereka fikirkan bagaimana maklumat disebar dan reaksi masyarakat untuk menghukum seseorang yang sudah dijadikan mangsa!

SUMBER
BERITA HARIAN
6 DISEMBER 2011