JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



20 Ogos 2011

ISU PENDIDIKAN TINGGI : APAKAH YANG MAHU DIKEJAR OLEH NAIB CANSELOR UNIVERSITI MALAYA?

Oleh Azman Anuar


Apabila  Datuk Rafiah Salim mengesahkan kontrak perkhidmatannya sebagai Naib Canselor Universiti Malaya (UM) tamat pada 7 November 2008, ramai sudah menjangkakan sebabnya. Rafiah yang dilantik sebagai Naib Canselor UM pada 1 Mei 2006 tidak begitu disenangi oleh sesetengah warga akademik universiti itu. Lalu jawatan Rafiah diberikan kepada bekas Presiden Universiti Multimedia (MMU), Tan Sri Datuk Dr. Ghauth Jasmon. Rupa-rupanya, rasa tak puas hati kepada Rafiah turut melanda Ghauth. Sesetengah pelajar dan sekumpulan ahli Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) menyatakan rungutan mereka yang tidak senang hati dengan beberapa polisi baru yang diperkenalkan oleh Naib Canselor itu. Gaya, kaedah, dan tindakan kepimpinan Ghauth tidak disenangi. Kalau kita baca kenyataan akhbar ahli dan Presiden PKAUM mengenai pengurusan Ghauth - jika benar-benar berlaku, ia amat menyedihkan kepada masa depan agama, bangsa dan negara. Peletakan jawatan 122 orang yang bergelar profesor, profesor madya dan pensyarah serta ahli akademik dalam tempoh dua tahun sahaja (2009-2010) mengundang persoalan.

Kenapa golongan pakar-pakar bidang dan profesor kanan melepaskan jawatan dari universiti yang berprestij ini? Kenapa bilangan seramai itu sanggup meninggalkan jawatan dan gaji yang tinggi? Kita tidak boleh tolak hakikat bahawa mereka pergi meninggalkan UM bersama maruah. Mereka tidak mahu bersekongkol dengan pihak yang lupa kepada dasar-dasar kerajaan. Perkara yang menghairankan, apabila bilangan yang mahu meletakkan jawatan bertambah ramai, kenapa Ghauth tidak memujuk mereka? Kenapa beliau membiarkan mereka pergi hingga menyebabkan kini UM menghadapi krisis kemerosotan ilmuwan dan pakar. Dapatkah tenaga akademik yang diimport dari Negara Dunia Ketiga mengisi kekosongan mereka dalam erti yang sebenar-benarnya? Saya bertambah hairan apabila yang pergi seramai 122 orang itu diganti oleh 480 orang pensyarah baru. Lebih mengejutkan mengapa diambil 80 peratus daripada jumlah itu pensyarah daripada negara asing seperti Bangladesh, Nigeria, Filipina, Sri Lanka, India, Jordan, dan lain-lain. Adakah tujuannya untuk menarik pelajar asing dari negara-negara berkenaan?

Mengapa tidak menjemput sahaja pensyarah daripada negara maju supaya mudah taraf UM boleh melonjak ke tangga teratas dalam kedudukan universiti di dunia. Sekarang apa yang berlaku dalam UM ialah kualiti pengajaran ilmu dalam bahasa Melayu pada peringkat ijazah hingga sarjana dan Ph.D mulai terjejas. Semangat tenaga pengajar UM bagaikan disentap apabila prosedur kenaikan pangkat ke jawatan pensyarah kanan, profesor madya, dan profesor diperketatkan. Syarat calon menerbitkan dalam jurnal ISI (berbahasa Inggeris antarabangsa) diutamakan dan penerbitan dalam bahasa Melayu kurang diberi perhatian. Ini bermakna UM lebih mengutamakan bahasa Inggeris daripada bahasa kebangsaan sendiri. Barangkali pengurusan Ghauth mahu mengejar penarafan gabungan antara Times Higher Education Supplement (THES) dan syarikat Quacquarelli Symonds (QS), atau lebih dikenali sebagai THES-QS. Mungkin laporan 8 Oktober 2009 mengenai tembelang yang mempamerkan muslihat penarafan THES-QS terbongkar setelah pihak THES dan QS tidak lagi bergabung --tidak dibaca pihak UM.

 Jadi apa yang hendak dicari dengan penarafan universiti di dunia jika ia lebih tentang ‘angka’ daripada ‘isi.’ Apa yang nyata ialah kedudukan UM lebih parah jatuh ke tangga 207 (2010) daripada tangga 180 (2009) sedangkan ia telah melibatkan kos yang tinggi daripada segi kewangan dan moral. Seorang rakan yang juga bekas Naib Presiden PKAUM 2005-2006, Prof. Rahim Abdul Rashid memberitahu, beliau sedih melihat UM di bawah teraju dua Naib Canselor bagaikan tiada wawasan kebangsaan dan tidak ada kualiti kepimpinan. Trend yang berlaku sekarang wujud naib canselor bersikap mahu semua mengikut arahan mereka sahaja. Hal ini berbeza dengan universiti di United Kingdom dan negara maju lain yang bersikap lebih demokratik. Kepimpinan universiti di negara ini perlu diubah berasaskan kriteria yang sesuai dengan aspirasi nasional dan antarabangsa supaya Malaysia boleh maju. Naib canselor yang didapati gagal memenuhi aspirasi nasional harus diketepikan dan diganti. Janganlah pihak universiti di negara ini terlalu terikut-ikut dengan rentak yang tidak mendatangkan keuntungan, sebaliknya merosakkan sistem yang telah kita bina selama ini.

Ingatlah 
UM bukan milik individu. 
Ia adalah milik rakyat Malaysia.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
20 OGOS 2011

ISU UMUM : "KERUSI PANAS" JAWATAN PEGUAM NEGARA

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Beberapa  jawatan pegawai perkhidmatan awam memang merupakan ‘jawatan panas’ sejak negara mencapai kemerdekaan hampir 54 tahun lalu. Selain ketua-ketua di jabatan keselamatan, kesihatan dan kebajikan yang sentiasa ‘panas punggung’, individu yang berani memegang jawatan Peguam Negara juga sentiasa tidak senang duduk terutama dalam menghadapi kes-kes kontroversi yang menjadi tumpuan ramai. Sejak sebelum merdeka lagi Malaysia telah mempunyai Peguam Negara sendiri tetapi jawatan itu diisi oleh wakil British di Tanah Melayu. Antara 1955 hingga 1959, jawatan itu disandang oleh Thomas Vernor Alexander Brodi yang kemudian digantikan Tan Sri Cecil M. Sheridan sehingga 1963. Tahun gabungan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak yang membentuk Malaysia pada 1963 akhirnya menyaksikan pelantikan Peguam Negara Melayu yang pertama, Tan Sri Abdul Kadir Yusuf yang memegang jawatan itu selama 14 tahun sehingga 1977. Jawatan itu kemudian diserahkan kepada Tan Sri Hamzah Abu Samah (1977-1980), Tan Sri Abu Talib Othman (1980-1993) dan Tan Sri Mohtar Abdullah dari 1994 hingga 2000.

Kedatangan abad ke-21 turut menyaksikan rekod baharu apabila jawatan panas Peguam Negara buat kali pertamanya disandang seorang wanita, Datuk Seri Ainum Mohd. Saaid pada 1 Januari 2001. Malangnya, beliau terpaksa meletak jawatan selepas hanya satu tahun berkhidmat atas faktor kesihatan sebelum digantikan Tan Sri Abdul Gani Patail yang memulakan tugas pada 1 Januari 2002 sehingga kini. Merupakan antara sebilangan kecil penjawat awam yang dilantik terus oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, Peguam Negara bertindak selaku penasihat undang-undang utama kepada kerajaan yang memerintah. Ini termasuk menggunakan kuasa dan budi bicaranya untuk menerus, menjalankan atau menghentikan sebarang pendakwaan di mahkamah kecuali di Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tentera. Sudah pasti keputusan sama ada untuk mendakwa atau tidak, dan juga bila untuk mendakwa akan mengundang tentangan dan sokongan daripada pelbagai pihak. Ini jelas apabila Abdul Gani yang kini duduk di kerusi panas itu menerima tekanan umum dan juga orang kenamaan untuk mengambil tindakan undang-undang dengan segera ke atas peserta dan penganjur perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu terutama sekali Pengerusinya, Datuk S. Ambiga.

Kerusi itu juga terus membakar berikutan tekanan orang ramai yang kecewa pendakwaan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan kerap tertangguh atau sengaja ditangguhkan. Kes berprofil tinggi seperti kes Anwar itu juga didakwa bermotifkan politik selepas pendakwaan serupa dibuat terhadapnya pada 1998 dan kini merupakan antara kes paling banyak penangguhan direkodkan atas pelbagai faktor dan alasan. Itupun belum lagi bara kepanasan kes kematian mengejut Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah serta Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbaini Mohamed di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang cuba dipolitikkan pihak tertentu dapat diredakan. Abdul Gani juga mungkin pernah ‘terbakar’ akibat bahang kontroversi kes rakaman mangsa ketuk ketampi dalam keadaan bogel di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada 2005. Kes itu bukan sahaja dimainkan ahli politik pembangkang sebagai wanita Cina tetapi kemudian terbukti sebagai wanita Melayu, malahan mangsa rakaman itu bertindak menyaman kembali polis dan kerajaan.

Mengetuai pasukan pendakwaan dalam beberapa kes berprofil tinggi sebelum menyandang jawatan Peguam Negara, Abdul Gani tentu memahami bebanan yang perlu dihadapi mana-mana individu yang berani duduk di kerusi panas itu. Mohtar yang memegang jawatan itu dari 1994 hingga 2000 juga terpaksa berhadapan cabaran besar dengan kes Anwar di pertengahan tempoh pelantikannya yang heboh diperkatakan seluruh dunia sepanjang 1998. Sebelum itu, beliau terpaksa berhadapan dengan kes rasuah bola sepak Liga Perdana sekitar Januari 1995, di samping usaha mewartakan fatwa pengharaman Al-Arqam sebagai satu undang-undang sekitar Ogos 1994. Mohtar mengakhiri tempoh pelantikannya dalam menguruskan kes pendakwaan 29 anggota kumpulan Al-Ma‘unah pada penghujung tahun 2000 selepas anggota kumpulan itu ditahan di Bukit Jenalek, Sauk, Kuala Kangsar, Perak sekitar bulan Julai tahun yang sama. Tuduhan menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong dan cuba menggulingkan kerajaan terhadap anggota kumpulan itu berlarutan sehingga selepas persaraan beliau. Sebelum zaman Mohtar, jawatan Peguam Negara disandang Abu Talib selama 13 tahun antara 1980 hingga 1993.

Beliau turut merasa bahangnya melalui beberapa kes besar termasuk skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) berjumlah RM2.5 bilion sekitar Mac 1986 yang turut melibatkan pihak berkuasa di Hong Kong. Beliau kemudian berhadapan kes permohonan habeas corpus 16 penduduk Kampung Memali pada Mei 1986 yang menyaksikan beliau memohon Hakim Mustapha Hussein dilucutkan kelayakan mendengar permohonan tersebut, seterusnya menyebabkan Abu Talib didakwa menghina mahkamah oleh Majlis Peguam. Abu Talib turut menyelar Perdana Menteri Australia ketika itu, Bob Hawke pada Julai 1986 berikutan pemimpin itu mengatakan hukuman gantung sampai mati terhadap dua warganegaranya di Malaysia selepas didapati bersalah memiliki dadah sebagai suatu perbuatan ganas (barbaric). Pada Mac 1987, beliau mengendalikan antara kes paling besar yang pernah diletakkan di bawah tanggungjawabnya melibatkan pendakwaan beberapa individu dalam kes peras ugut Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik. Individu yang didakwa dalam kes tersebut turut direkod mendakwa aktiviti mereka didalangi sebuah pergerakan beribu pejabat di Kuala Lumpur yang mempunyai bilik merakam perbualan telefon para pemimpin negara.

Bagi Hamzah yang dilantik sebagai Menteri Undang-Undang dan Peguam Negara antara 1977 hingga 1980 pula, bahang kerusinya dirasai ketika pembentangan Akta Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1979 pada Januari 1979. Tindakan itu diambil berikutan keputusan Majlis Privy mengenepikan hukuman mati ke atas penjenayah, Botak Chin yang dituduh di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana memiliki senjata api dan bom tangan dalam kawasan keselamatan. Pada Jun 1980, beliau turut menolak saranan hukuman mati atas kesalahan-kesalahan khusus di bawah ISA diubah kepada penjara seumur hidup sebelum mengambil keputusan bersara pada September tahun sama atas faktor kesihatan. Secara umumnya, penyandang jawatan Peguam Negara pasti tidak akan terlepas merasa tekanan menguruskan satu atau lebih kes kontroversi yang boleh mengundang kemarahan rakyat dan individu kenamaan. Maka, hanya mereka yang benar-benar mampu dan berani sahaja boleh duduk di kerusi ‘berapi’ yang mampu membakar tuannya sendiri itu.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
20 OGOS 2011

ISU UMUM : KAJIAN PENAPISAN MEDIA BIAR MENYELURUH

DATUK CHAMIL WARIYA
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI)



Tulis apa sahaja tentang Malaysia dan kerajaan tidak akan menapis maklumat yang dipaparkan sekalipun ia kritikal. Dalam bahasa yang mudah, inilah mesej Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada penerbitan asing Isnin lalu sewaktu mengumumkan keputusan kerajaan untuk mengkaji semula dasar penapisan yang dikenakan terhadap penerbitan bercetak luar negara yang dibenarkan masuk ke negara ini. Tetapi mereka juga diingatkan sekiranya mereka menulis atau melaporkan sesuatu yang tidak betul tentang Malaysia, ruang untuk memberi penjelasan mestilah diberi. Jika tulisan atau laporan itu melanggar undang-undang, maka mereka akan berhadapan dengan tindakan mahkamah. Rasional di sebalik keputusan Najib itu adalah mudah. Tindakan menghitamkan mana-mana bahagian laporan atau tulisan yang dinilai ofensif oleh Kementerian Dalam Negeri, seperti yang dilakukan terhadap majalah mingguan the Economist tidak lama dahulu, tidak lagi sesuai dalam ekosistem media yang sudah berubah berikutan kemunculan Internet, dan bersamanya pelbagai bentuk media sosial dan bukan sosial.

Perbuatan menapis edisi cetak mana-mana penerbitan bukan sahaja sia-sia, tetapi memberi kesan sebaliknya. Ia akan meningkatkan naluri ingin tahu rakyat terhadap apa yang telah ditapis oleh pihak berkuasa itu. Ini kerana sekiranya mereka dinafikan membaca edisi cetak penerbitan berkenaan, mereka akan beralih kepada edisi webnya. Edisi web ini boleh diakses oleh rakyat negara ini asalkan mereka mempunyai akaun Internet. Di Malaysia sehingga pertengahan 2011, terdapat 17.5 juta pengguna Internet. Ini bermakna, sekiranya edisi cetak penerbitan yang dianggap bermasalah itu dihitamkan sebagai satu kaedah penapisan atau malah diharamkan sekalipun, maka kesannya hampir tidak ada. Sebaliknya ia akan memprojek imej yang buruk terhadap negara kita pada kacamata antarabangsa dari segi kebebasan media . Ia juga akan meletakkan Malaysia pada posisi agak rendah dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders For Press Freedom. Sebenarnya kita, atau malah siapa sahaja sebenarnya tidak ada kuasa kawalan untuk menapis atau menyekat apa yang keluar dalam Internet tentang kita.

Kita serahkan kepada kebijaksanaan rakyat kita yang semakin matang untuk menilainya. Apa yang boleh kita buat seperti yang disarankan oleh Najib adalah untuk menjalin hubungan dengan media berkenaan dengan memberi penjelasan dan pembetulan. Ini kerana sekiranya kita telah menjadi mangsa media, daripada segi etika kewartawanan di mana juga, kita mempunyai hak untuk mendapat ruang bagi memberi penjelasan. Sekiranya hak itu tidak mendapat layanan sewajarnya dan kita merasakan bahawa tulisan yang disiarkan telah melanggar undang-undang, maka tindakan seterusnya adalah untuk mengheret media berkenaan ke mahkamah. Itu adalah sebaik-baik cara untuk mengajar mereka. Tetapi tindakan mahkamah ini juga belum tentu menguntungkan kita kerana pihak ketiga yang bertindak sebagai pengadil berkemungkinan membuat penghakiman yang tidak berpihak kepada kita. Malah ada kalangan yang berpendapat mengambil tindakan mahkamah itu sendiri adalah satu bentuk tapisan dan tidak patut menjadi amalan yang meluas kecuali dalam kes-kes yang memerlukan tindakan serupa itu.

Sudah tentu yang menjadi persoalan sekarang, apakah kajian semula dasar penapisan terhadap penerbitan asing itu akan turut dinikmati oleh penerbitan dalam negeri yang pada waktu ini dikawal selia oleh Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan juga satu garis panduan khas yang disediakan oleh KDN untuk memberi penerangan dan penjelasan kepada apa yang dimaksudkan sebagai Hasil Penerbitan Yang Tidak Diingini di bawah seksyen 7(1) akta itu? Setakat ini kedudukan perkara itu masih belum jelas lagi. Belum ada lagi kenyataan rasmi dibuat oleh pihak KDN yang bertanggungjawab terhadap mengawal selia media cetak (dan edisi webnya?) di negara ini. Tetapi para pengamal media tempatan sudah pun menggunakan kesempatan terhadap pengumuman Najib itu untuk menzahirkan harapan semoga kajian semula dasar itu turut diperluaskan kepada media arus perdana nasional yang menurut penilaian mereka dikawal ketat oleh akta itu. Sebab itu dengan penuh keghairahan, mereka tampil mengalu-alukan pengumuman Najib itu walaupun mereka tahu ia pada asasnya ditujukan kepada penerbitan asing yang dipasarkan di negara ini.

Tetapi tentulah tidak salah untuk mereka menggunakan peluang yang ada untuk memperluaskan agenda kajian semula dasar penapisan untuk meliputi media nasional kerana jika kerajaan tidak dilihat berbuat demikian, maka kerajaan boleh dituduh mengamalkan double standard. Lagi pun alang-alang kajian semula dasar hendak dibuat, biarlah ia menyeluruh, bukan terpilih-pilih ikut suka orang politik sahaja. Elok kalau Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dinilai secara komprehensif. Elok juga ditanya: dengan ekosistem baru media setelah adanya Internet apakah keperluan mendapatkan permit yang perlu diperbaharuai setahun sekali masih sesuai bagi menerbitkan akhbar, majalah dan produk berkala yang lain? Tidakkah kehadiran surat izin penerbitan itu merupakan satu bentuk tapisan utama terhadap media yang perlu ditiadakan lagi? Atau bersediakah kerajaan untuk berhijrah kepada sistem membenarkan penerbitan akhbar oleh siapa sahaja asalkan usaha itu dilakukan secara sah menggunakan syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)? Tidak syak lagi inilah antara isu-isu yang patut diberi perhatian oleh siapa juga yang diberi tanggungjawab untuk melakukan kajian semula dasar penapisan media itu.

Kalau tidak kajian itu tidak lengkap, tidak menyeluruh dan tidak memberi sumbangan terhadap mengembalikan kewibawaan dan kebolehpercayaan media lama, suratkhabar khususnya apabila berhadap dengan media baru yang tidak dikongkong oleh mana-mana akta atau garis panduan. Dengan itu barulah kajian semula dasar penapisan yang diumumkan oleh Najib itu boleh diterima sebagai satu langkah besar untuk mengukuhkan komitmen Malaysia terhadap kebebasan media sebenar. Seperti yang dinyatakan oleh Tokoh Wartawan Negara, Datuk C.C Liew dalam komentarnya berjudul Media Review a big step dalam akhbar the Star pada 17 Ogos: "Pengumuman Perdana Menteri tentang satu kajian semula terhadap penapisan media memang sudah lama diharapkan. Langkah seterusnya adalah satu kajian semula undang-undang yang menyekat amalan kewartawanan bertanggungjawab." Seorang lagi Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Zainuddin Maidin pula berharap "langkah kerajaan mengkaji semula dasar penapisan media yang menjurus kepada pertambahan kebebasan akan membolehkan media cetak bersaing dengan media sosial. Dalam soal penapisan berita mesti difikirkan supaya akhbar tidak tertekan dengan penapisan itu sehingga tidak boleh bersaing dengan media sosial."

Usah kecewakan harapan 
dua orang besar media dan ramai pengamal media yang lain ini!

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
19 OGOS 2011

ISU BAHASA : PENGAJARAN MATEMATIK DAN SAINS SECARA DWIBAHASA AKAN MENGORBANKAN BAHASA MELAYU

Laporan Khas oleh Mohd Feroz Abu Bakar dan Basir Zahrom


Kementerian Pelajaran tidak harus terperangkap dengan permintaan pihak tertentu yang masih menuntut pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Tindakan menjadikan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu sebagai pengantar yang setara di sekolah adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Jika kita membenarkan sistem dwibahasa di negara ini, akhirnya bahasa Melayu akan kalah pada peringkat global. - Shaharir Mohamad Zain, Bekas Profesor Matematik , Universiti Kebangsaan Malaysia Pejuang bahasa beranggapan pelaksanaan dwibahasa dalam sistem persekolahan kebangsaan dengan memberi pilihan kepada sekolah tertentu menggunakan bahasa Inggeris akan melenyapkan kelangsungan bahasa Melayu pada peringkat global. Namun, demi kepentingan murid yang bahasa ibundanya adalah bahasa Inggeris dan penguasaan bahasa Melayu mereka sangat lemah sehingga menjejaskan pemahaman terhadap konsep Sains dan Matematik, sekolah di negara ini boleh menggunakan model di Amerika Syarikat (AS) atau Eropah.

Bekas Profesor Matematik Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Shaharir Mohamad Zain, berkata Amerika Syarikat membenarkan guru sekolah rendah menggunakan bahasa ibunda seperti bahasa Sepanyol untuk menyampaikan kandungan mata pelajaran bagi beberapa tahun awal persekolahan sementara murid itu menguasai bahasa Inggeris. Tetapi, katanya, bahasa Inggeris tetap bahasa rasmi sistem pendidikan di sekolah dan semua pelajar perlu menguasai bahasa itu selepas menamatkan persekolahan.  “Perancis, Jerman atau negara maju lain di Eropah pula membenarkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris sehingga mereka menguasai bahasa itu hampir sama dengan penutur asal tetapi tidak sehingga menjadikan bahasa Inggeris setara dengan bahasa kebangsaan masing-masing. “Jika kita membenarkan sistem dwibahasa di negara ini, akhirnya bahasa Melayu akan kalah pada peringkat global kerana hegemoni politik dunia Inggeris pada peringkat antarabangsa jauh lebih berkuasa,” katanya ketika dihubungi, semalam. Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa sekolah mungkin diberi pilihan menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Melayu untuk Sains dan Matematik.

Muhyiddin berkata, dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sudah dimansuhkan pada 2009 dan diganti dengan program Memartabat Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) tetapi Kementerian Pelajaran masih mengkaji untuk memberi opsyen menggunakan bahasa Inggeris untuk Sains dan Matematik. Sebelum ini, Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) meminta Kementerian Pelajaran membenarkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menentukan sendiri sama ada sekolah masing-masing mahu kembali kepada PPSMI. Shaharir yang kini bertugas di Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya, berkata kajian oleh Kementerian Pelajaran itu menunjukkan pihak berkuasa masih bersikap berdolak-dalik dalam isu PPSMI dan mahu memenuhi permintaan PAGE. Beliau menyifatkan pihak yang meminta PPSMI dihidupkan semula sebagai cendekiawan dan pemimpin terpasung atau ‘komprador’. Katanya, PIBG ditubuhkan untuk memajukan pendidikan sekolah mengikut dasar yang ditetapkan oleh kerajaan, bukan menentukan dasar pendidikan khususnya bahasa pengantar atau kurikulum.

Beliau berkata, jika PIBG dibenar menentukan dasar bahasa, mudahlah akhirnya semua sekolah ‘diinggeriskan’ seperti di negara bekas jajahan yang sudah merdeka seperti Singapura, Timor Leste, Papua New Guinea, Filipina, India dan beberapa negara di Afrika. “Pemimpin dan cendekiawan negara ini tentunya terlepas hati budinya makna kemerdekaan sesebuah negara daripada penjajahnya. “Bahagian yang tidak boleh diremehkan ialah pemerdekaan sistem pendidikan negara daripada penjajah itu. “Ini bertujuan memerdekakan hati budi rakyat terbanyak negaranya itu, khususnya meminimumkan golongan pemimpin dan cendekiawan yang tidak berjiwa kewatanan dan keperibumian itu yang diistilahkan sebagai jiwa terpasung atau jiwa komprador,” katanya. Dari sudut kepentingan minoriti, Shaharir berkata, walaupun bahasa Melayu bukan bahasa ibunda kepada suku kaum seperti Iban, Kadazan, Bajau atau Orang Asli, bahasa itu dari keluarga yang sama, iaitu rumpun Austronesia/Malayonesia. Katanya, bahasa Melayu adalah yang paling dekat dengan jiwa mereka selepas bahasa suku kaumnya sendiri.

“Bahasa Inggeris tiada kena mengena dengan jiwa suku kaum ini dan oleh itu pelaksanaan semula PPSMI kepada suku kaum ini adalah suatu bentuk kezaliman,” katanya.  Antara alasan yang diberikan untuk meminta kebenaran supaya PIBG diberi hak menentukan pelaksanaan semula PPSMI di sekolah masing-masing ialah bahasa Inggeris menjadi bahasa ibunda kepada beribu-ribu murid. Persatuan Penulis Nasional (PENA) antara pertubuhan bukan kerajaan yang lantang menentang PPSMI sebelum ini berkata, keadaan itu boleh bertukar kepada tragedi jika mereka hanya menguasai bahasa Inggeris dan tidak tahu berbahasa Melayu sedangkan negara mempunyai hak untuk mewajibkan warga negara berbahasa Melayu. Presidennya, Saleeh Rahamad, berkata Perlembagaan Persekutuan sudah memaktubkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. “Jika Perlembagaan hanya dianggap perhiasan dan bukannya satu monumen jati diri yang bersifat perundangan, warga negara yang sedemikian sepatutnya dilucutkan taraf kerakyatan,” katanya. PAGE sebelum ini juga memberi alasan bahasa Melayu tidak mampu mengejar kepesatan Sains dan Matematik kini walaupun ada usaha terjemahan.

Jalan penyelesaiannya ialah belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Shaharir berkata, sebenarnya negara maju juga masih menterjemah bahan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dengan hebatnya. Beliau berkata, Amerika Syarikat umpamanya melakukan banyak terjemahan daripada bahasa lain di Eropah, bahkan dari China, Korea Selatan dan Jepun. Begitu jugalah sebaliknya. Dari segi perkembangan ilmu, katanya, tidak benar perubahan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris begitu pantas sehingga tidak akan terkejar sesuatu bangsa yang tidak berbahasa Inggeris untuk menterjemah. “Teori baru Sains atau Matematik memakan masa sekurang-kurangnya 30 tahun untuk dijadikan bahan sukatan pelajaran sekolah atau universiti. “Kedua, perkembangan Sains dan Matematik tidak hanya berlaku menerusi bahasa Inggeris saja, bahkan ahli Sains dan Matematik berbahasa Inggeris masih melakukan terjemahan daripada bahasa lain,” katanya. Shaharir berkata, negara ini juga mempunyai ahli Sains dan Matematik yang mencukupi untuk memindahkan ilmu sains dan matematik dalam bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Katanya, Kementerian Pelajaran patut bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk memanfaatkan kepakaran profesor dan pensyarah Sains dan Matematik di institusi pengajian tinggi di negara ini bagi membangunkan ilmu berkenaan pada semua peringkat.

Negara maju 
masih terjemah ilmu 
ke bahasa ibunda

SUMBER
BERITA HARIAN
20 OGOS 2011