Budaya suka membanding-bandingkan ini telah merasuk jiwa masyarakat hingga menjadi topik utama di kedai kopi atau di meja mesyuarat. Yang akan terus ditekan dan tertekan ialah warga guru yang mengajar di sekolah tersebut. Masyarakat pula sentiasa memandang rendah hingga sanggup memindahkan anak ke sekolah lain yang konon-kononnya memiliki tenaga pengajar yang lebih bagus. Hakikatnya, tenaga guru yang diamanahkan mengajar di semua sekolah adalah sama. Mereka mendapatkan ilmu di universiti yang sama dan memperoleh ijazah yang sama. Walau bagaimanapun, terdapat banyak kekangan yang menyebabkan pencapaian antara sekolah A dan sekolah B berbeza. Biar kita ambil contoh, sekolah A merupakan sekolah yang mempunyai prasarana yang lengkap dan kebanyakan ibu bapa yang menghantar anak bersekolah di sekolah A ialah ibu bapa yang berkemampuan membeli kelengkapan belajar dan memberikan sumbangan kepada sekolah untuk meningkatkan kualiti pembelajaran. Persatuan PIBG di sekolah A amat kuat. Segala keperluan guru disediakan kerana ibu bapa di sekolah A semuanya atau 90% berkemampuan.
Sekolah B pula terletak di luar bandar yang rata-ratanya ibu bapa daripada golongan B40. Yuran PIBG pun hanya RM15.00 setahun. Itupun ramai yang tidak mampu membayar. Jangankan Yuran PIBG, baju Pendidikan Jasmani, Buku Kerja, Buku latihan pun tidak terbeli. Pakaian sekolah pun ada yang tetap guna walaupun sudah sendat. Ibu bapa mereka kebanyakannya bekerja jauh. Anak-anak mereka tidak menghadiri kelas tuisyen dan mereka tidak pernah dipaksa belajar apabila di rumah. Ibu bapa mereka sedar tentang kepentingan pelajaran tetapi bersikap acuh tidak acuh memberikan dorongan kerana persekitaran hidup yang tidak ada persaingan. Saya sendiri berhadapan dengan situasi ini sejak tahun 2016 selepas berpindah daripada sebuah sekolah yang berprestasi cemerlang di bandar. Apabila sampai di sekolah baharu saya terkejut. Perbezaannya amatlah ketara terutamanya dari segi mentaliti pelajar terhadap kepentingan pendidikan. Jika ditanya cita-cita, mereka hanya menyebut bidang pekerjaan yang terlalu sensitif untuk saya tulis di sini. Jika saya tanya 100 orang pelajar hanya 10 orang sahaja yang menyebut menjadi Peguam, Doktor, Saintis, Jurutera, Arketik, dan Juruterbang. Yang lain tidak. Apabila disenaraikan pekerjaan tersebut, mereka kata mereka tidak akan mampu. Mereka terlalu merendah diri.
Kita harus faham situasi dan keadaan di sesebuah sekolah. Saya pernah mengajar selama lebih kurang 19 tahun 5 bulan di sekolah yang mempunyai kemudahan yang lengkap. Kelas tempat belajar baharu, luas, dan bersih. Bilik guru amat selesa dan serba serbi ada. Dalam bilik guru kami, tersedia mesin fotostat yang boleh digunakan bila-bila masa. Sekolah saya itu dahulu mempunyai Dewan yang boleh memuatkan 3000 orang pada suatu-suatu masa. Terdapat dewan kuliah untuk mengajar dan sebagainya. Kemudian, tahun 2016 saya dipindahkan ke sebuah sekolah kategori luar bandar yang mempunyai 3000 orang pelajar. Sekolah itu tiada dewan. Kemudahan yang ada amat terhad. Bilangan pelajar dalam sebuah kelas antara 35 hingga 45 orang. Tahun kedua saya di sekolah itu, hampir semua bilik ditukar menjadi bilik darjah kerana bilangan pelajar yang bertambah. Tahun 2020 pula, saya dipindahkan lagi ke sebuah sekolah yang memang betul-betul di luar bandar. Bangunan lama dan usang. Kemudahan asas amat menyedihkan. LCD untuk mengajar pun guru-guru berebut. Kelas sangat kecil (saiz bangunan tahun 1980-an). Jendela semua sudah tiada. Memang serba kekurangan. Jika diberikan peruntukan untuk membaik pulih kerosakan, RM1 juta, belum tentu cukup kerana sistem pendawaian di sekolah sudah lama. Perkara seperti ini harus diambil kira apabila kita membuat perbandingan.
Kesedaran tentang kepentingan pendidikan dalam kalangan ibu bapa dan komitmen guru-guru di sekolah rendah yakni asas awal kanak-kanak menerima pendidikan juga harus dilihat dengan terperinci sebelum kita membuat perbandingan. Kelemahan pelajar dalam subjek teras amat ketara selepas berlakunya COVID-19 dan pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Majoriti pelajar yang masuk ke Tingkatan 1 masih tidak tahu membaca atau dengan istilah buta huruf. Guru-guru yang mengajar selalu mengeluh. Salibus KSSM pula menekankan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) tetapi pelajar masih tergagap-gagap membaca. Mereka bergantung penuh kepada guru untuk memulihkan atau mengasah kemahiran asas itu dahulu. Bayangkan betapa susahnya guru Matematik menyampaikan isi pelajaran kerana subjek Matematik KSSM amat sukar. Subjek lain pun begitu! Situasi ini hanya guru-guru di sekolah pedalaman dan luar bandar yang merasai dan mengalami. Orang hanya melihat dan membuat konklusi selepas menganalisis keputusan peperiksaan dengan mencadangkan itu dan ini atau menyalahkan usaha pihak sekolah. Pahitnya hanya mereka yang mengalaminya tahu. Mereka bukan tidak berusaha. Usaha mereka terpaksa berhadapan dengan kekangan masa untuk memperbetul kelemahan-kelemahan asas yang tidak sepatutnya.
Adalah tidak salah jika kita membuat perbandingan sekali sekala tetapi perbandingan itu harus membawa manfaat kepada sekolah yang dibandingkan. Jangan sesekali membandingkan pencapaian antara sekolah-sekolah dengan niat menyalahkan atau menghukum hingga memalukan atau menjatuhkan maruah tenaga pendidik di sesebuah sekolah. Yang membandingkan juga perlu menjaga tutur kata, jangan sampai ada hati yang terguris dan jiwa yang terhiris. Percayalah, tiada sesiapapun guru di mana-mana sekolah yang mahu melihat anak didik mereka gagal menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam peperiksaan terutamanya SPM dan STPM. Mereka sentiasa mahu anak didik mereka lebih berjaya daripada mereka selepas menamatkan alam persekolahan. Namun begitu, ramai pelajar dalam usia muda diuji dengan pelbagai kisah hidup yang boleh menitiskan air mata. Ramai yang menjadi mangsa perceraian, hidup terhimpit dalam kemiskinan, dan banyak lagi permasalahan yang menyebabkan mereka mengabaikan pelajaran. Hanya guru yang memahami mereka. Guru bukan tidak mendorong. Guru pun bukan tidak memotivasi. Kelas intervensi diadakan untuk meningkatkan pencapaian. Jika begitulah keputusan yang diperoleh kita redha tetapi yang tidak redha ialah orang yang diluar sekolah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan