JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



22 Disember 2010

ISU WANITA : PENCAPAIAN WANITA MALAYSIA TERUS MENYERLAH PADA TAHUN 2010

 
Kemuncak kecemerlangan pencapaian wanita di negara ini cukup manis dan menyerlah sebelum 2010 melabuhkan tirainya apabila Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dinobatkan sebagai wanita pertama Tokoh Maal Hijrah, baru-baru ini. Malah kejayaan itu juga memecah rekod lelaki yang mendominasi anugerah itu sejak diperkenalkan 24 tahun lalu. Anugerah berkenaan sememangnya wajar memihak kepada Dr Zeti Akhtar kerana beliau dianggap sebagai ikon dalam industri perbankan dengan memberikan banyak sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negara termasuk mengilhamkan penubuhan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) pada 2006, selain diiktiraf sebagai wanita paling berkuasa dalam kewangan pada 2000 oleh Majalah Global Finance. 
 
Kejayaan itu tidak saja dianggap pencapaian hebat wanita yang begitu membanggakan, malah mampu memartabat serta meletakkan golongan Hawa ke tahap tertinggi menyaingi lelaki. Mengungkap kenangan pahit manis sejarah sepanjang hampir 365 hari, pembabitan wanita dalam pembangunan negara tidak seharusnya dipinggirkan. Rentetan dari setahun ke setahun, pencapaian wanita dalam pelbagai bidang terus menyerlah. Sejajar dengan separuh populasi penduduk wanita, sepatutnya tenaga, masa, kemahiran dan pengetahuan mereka dijana sepenuhnya untuk kepentingan negara dan masyarakat, selain dapat meningkatkan kemampuan diri. Tembok diskriminasi monopoli lelaki dalam bidang kehakiman syariah dapat ditembusi apabila kerajaan buat julung kalinya melantik dua hakim syarie wanita pertama negara, iaitu Suraya Ramli, 31 dan Rafidah Abdul Razak, 39, pada Mei lalu. Kedua-duanya yang masing-masing bertugas di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan Putrajaya diharapkan sebagai pembuka jalan ke arah penambahan lebih ramai lagi hakim syarie wanita pada masa depan terutama membabitkan kes bersifat gender. 
 
 
Dalam mencari permata hebat dalam kalangan wanita, pada tahun ini, Datuk Robiah Abdul Ghani, 57, juga memecah tradisi sebagai polis wanita pertama dilantik Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, selain itu, sebelumnya, beliau turut melakar sejarah wanita pertama menjadi Ketua Polis Negeri Pahang. Apa yang diharapkan tembok penguasaan lelaki dalam jawatan atasan dalam bidang kepolisan perlu terus dirempuh bagi mempamerkan wanita juga gagah menyumbang tenaga untuk memastikan keamanan dan keselamatan negara terus terjamin. Potensi dan kewibawaan wanita perlu dipertingkatkan lagi. Kita sewajarnya melahirkan lebih ramai lagi tokoh seperti bekas wanita pertama dilantik menganggotai jemaah menteri Malaysia (Menteri Kebajikan), Tun Fatimah Hashim yang kembali ke rahmatullah, tanggal 7 Januari lalu ketika usianya mencecah 85 tahun akibat sakit tua, benar-benar satu kehilangan besar.

Ketokohan, kegigihan dan semangat yang mengalir dalam darahnya dengan pembabitan cukup aktif dalam arena politik sepatut wujud kepada wanita pada zaman ini bagi meneruskan legasi kewibawaan wanita di negara ini.
Namun ketika negara mencatat kejayaan demi kejayaan membabitkan wanita, negara dikejutkan dengan tragedi paling menyayat hati serta menggemparkan seluruh masyarakat apabila Pengasas Syarikat Kosmetik Nouvelle Beauty Care Sdn Bhd, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, bersama tiga lagi pemandu, pegawai bank dan peguam peribadinya disahkan dibunuh dan mayatnya dibakar, manakala abunya dibuang ke dalam sebuah sungai dekat Ladang Gadong, di Tanjung Sepat, Banting. Pembunuhan kejam jutawan kosmetik itu yang dilaporkan pada 30 Ogos lalu ketika berada di Banting untuk urusan pembelian tanah disifatkan kehilangan besar ikon dan contoh kepada dunia keusahawanan wanita Melayu. Kegigihan dan kecekalan yang bermula menjual barangan kecantikan dari rumah ke rumah, akhirnya mampu empayar perniagaan kosmetik seharusnya dijadikan teladan wanita lain. 
 
 
Dalam bidang sukan, Datuk Nicol Ann David, 27, terus unggul sebagai pemain skuasy nombor satu dunia masih belum dapat ditandingi. Kejayaan terbaru menyumbang pingat emas dalam Sukan Asia, di Guangzhou memperlihatkan prestasi cemerlang dengan terus mendominasi skuasy wanita dunia sejak lima tahun lalu serta dianggap antara legenda skuasy dalam senarai kedudukan dunia sejak Januari 2006 dengan memenangi banyak permainan pada peringkat dunia. Laporan pula menunjukkan Malaysia menduduki tempat kelima di seluruh dunia dengan 31 peratus wanita memegang jawatan kanan dalam Perusahaan Sederhana hingga Besar (PSB) negara. Agenda memperkasa dan meningkatkan martabat wanita tidak pernah padam.

Justeru wanita yang menjadi Ahli Parlimen, pembuat keputusan, khususnya sebagai Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif dan dalam bidang lain masih belum mencukupi bilangannya, sedang wanita mewakili setengah populasi penduduk perlu dibuktikan dengan melakukan pembaharuan dan dasar yang dapat memastikan kemajuan dan kesejahteraan wanita dan isu berkaitan wanita.
Selain itu, beberapa pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada tahun ini untuk mengiktiraf sumbangan wanita dalam kemajuan negara, umpamanya memperuntukkan RM30 juta bagi meningkatkan penyertaan golongan itu dalam bidang keusahawanan sewajarnya dijadikan batu loncatan kepada golongan itu untuk memacu peranan mereka ke tahap paling tinggi.

 
Pada masa sama, pengumuman tempoh cuti bersalin 90 hari berbanding 60 hari kepada penjawat awam wanita yang turut dijangka dinikmati sama oleh kakitangan sektor (akan dikemukakan kepada Kabinet Januari depan) adalah sebagai bonus kepada wanita untuk menumpukan perhatian demi kesejahteraan rumah tangga.  Begitu juga keupayaan wanita terus dipacu sepenuhnya. Bagi wanita suri rumah, pesara, ibu tunggal, orang kurang upaya dan pelajar universiti pengajian tinggi pula, boleh bekerja separuh masa mengikut Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010 mulai 1 Oktober lalu bakal memberi jaminan faedah kepada lebih 6.5 juta rakyat.

Pada masa sama, forum dan sidang pada peringkat nasional dan antarabangsa dijadikan platform bagi mewarnai program seumpamanya sepanjang tahun ini. Antaranya atas usaha Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ialah mengumpulkan lebih 15 wanita pertama di seluruh dunia menyertai Sidang Kemuncak Wanita-Wanita Pertama yang berlangsung selama tiga hari, pada 11 hingga 13 Oktober lalu.
Selain membincangkan pelbagai isu dibincangkan khususnya memperkasakan kanak-kanak untuk menjadi pemimpin masa depan, apa yang nyata peranan Wanita Pertama ini tidak saja dilihat tipikal, mengiringi suami masing-masing dalam setiap majlis sebaliknya begitu signifikan sebagai penyokong perubahan strategik yang memberi penekanan kepada inisiatif komuniti seperti bidang kepemimpinan, pendidikan, memperkasakan dan pembangunan sosial secara keseluruhan. Majlis itu dianggap sebagai titik tolak membincangkan isu kewanitaan yang lebih mencabar pada masa depan.

Apa juga sejarah manis yang tercatat sepanjang 2010, hakikatnya, banyak lagi isu yang belum selesai menunggu bagi memperkasakan konflik, keadilan dan kesedaran terhadap isu tertentu membabitkan wanita yang perlu diselesaikan perjuangannya, sebaik saja memasuki tahun baru nanti.
 
 
Oleh Jami'ah Shukri
Berita Harian
22 Disember 2010 

ISU BAHASA : 1 BAHASA, 1 SEMANGAT JATI DIRI KEBANGSAAN

 
Pemilihan hanya satu bahasa, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa negara perlu difahami lagi dihayati dalam konteks Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (disemak pada 1971). Begitu juga dengan pemupukan serta pelestarian jati diri, taraf dan citranya dalam semua bidang. Sehubungan ini, ia perlu juga dilihat dari dimensi muhibah ekoran daripada kontrak sosial yang dipersetujui bersama. Namun, penggunaannya yang sejati dalam kuantiti banyak serta kualiti yang baik pada setiap masa oleh semua pihak, lebih-lebih lagi dalam semua kegiatan budaya tinggi adalah jauh lebih penting daripada perlindungan perundangan itu. Ini adalah untuk menjamin kelangsungannya, bukan saja dalam bentuk yang perkasa, tetapi juga sebagai bahasa bermaruah tinggi.  Sebetulnya semua ini memerlukan iltizam setiap rakyat. 
 
Setiap satu daripada kita perlu memupuk kecekapan berbahasa Melayu, di samping kesetiaan dan kebanggaan terhadap bahasa Melayu dalam jiwa pada setiap masa. Ini bertujuan antaranya untuk memastikan kedudukan bahasa Melayu sentiasa teguh, sejajar statusnya sebagai bahasa negara. Pemilihan dan lebih penting lagi penggunaan hanya 1bahasa, iaitu bahasa Melayu untuk negara ini tidak dapat dinafikan, khususnya dalam menyatupadukan rakyatnya yang pelbagai kaum, boleh membentuk satu jati diri nasional yang sama. Ia juga mampu memupuk 1semangat kebangsaan yang sama, untuk dipamerkan setiap rakyat sebagai 1Bangsa Malaysia yang bersatu padu, selain sebagai 1Negara Malaysia yang bersekutu. Ini bertepatan sekali dengan idea perpaduan dalam Gagasan 1Malaysia, selain moto negara, iaitu Bersekutu Bertambah Mutu. Dalam hal ini, satu isomorfi, iaitu hubungan kerakyatan dengan penggunaan bahasa negara perlu wujud. Selain kumpulan etnik Melayu/Bumiputera, rakyat Malaysia lain yang berasal daripada pelbagai latar budaya dan menggunakan bahasa etnik masing-masing perlu memperlihatkan hubungan lebih erat antara kerakyatan dengan bahasa Melayu. 
 
Dengan kata lain, kesetiaan sebagai rakyat Malaysia perlu juga diperlihatkan melalui penggunaan bahasa Melayu yang menjadi bahasa negara. Sehubungan itu, rakyat Malaysia, khususnya yang bukan asal selain perlu mementingkan, harus menggunakan bahasa Melayu selaku bahasa utama di negara ini pada setiap masa, dalam kadar yang banyak selain bentuk yang bermutu. Penggunaan begini bukan saja untuk komunikasi rasmi, iaitu dalam majlis rasmi/formal yang dituntut oleh perundangan, tetapi juga untuk tidak rasmi, iaitu interaksi tidak formal sesama kenalan atas inisiatif sendiri. Isomorfi begini adalah satu fenomena yang bukan saja lumrah di seluruh dunia, tetapi mantap di beberapa negara. Antaranya Indonesia di rantau ini. Hal sama berlaku di Thailand. Malangnya, ia tidak di Malaysia.

 
Isomorfi antara kerakyatan Malaysia dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, lebih-lebih lagi dalam kuantiti yang banyak, selain dalam bentuk yang baik dan betul, khususnya dalam aspek kehidupan nasional, adalah sesuatu yang belum wujud secara utuh di negara ini. Sebaliknya ia dalam keadaan masih tidak memuaskan. Sehubungan ini, rakyat Malaysia daripada semua kelompok etnik, khususnya yang bukan asal perlu menganggap bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Dalam konteks ini, mereka perlu menganggap bahasa Melayu lebih daripada sebuah lingua franca. Oleh itu, bahasa Melayu perlu dilihat lebih daripada hanya digunakan secara rutin dan selalunya dalam bentuk jelik pula. Ia tidak boleh hanya digunakan semata-mata dalam kegiatan budaya rendah, seperti urusan jual beli di pasar saja. Ia perlu disanjungi lebih daripada itu.

Bahasa Melayu selaku bahasa negara bukan saja ‘jiwa kepada Bangsa Malaysia’, dalam konteks pengertian ungkapan ‘bahasa jiwa bangsa’, tetapi sebetulnya adalah maruah negara dan rakyat Malaysia. Dalam konteks ini, khususnya dalam pengertian isomorfi yang diperkata itu, martabat serta kehormatan dan reputasi bahasa Melayu meliputi, antara penggunaannya yang baik dan betul pada setiap masa, lebih-lebih lagi dalam mandala rasmi/formal. Taraf bahasa Melayu juga hendaklah selalu berada pada kedudukan teratas, yakni mengatasi mana-mana bahasa lain, termasuk bahasa Inggeris, apatah lagi bahasa etnik. Meletakkan bahasa Melayu yang menjadi bahasa negara di bawah, misalnya bahasa etnik tertentu, adalah satu tindakan yang bukan saja menghina bahasa Melayu, tetapi ikut mengeji negara dan rakyat. Bahasa Melayu selaku bahasa negara adalah simbol nasional, iaitu lambang keagungan negara yang berdaulat dan kemuliaan rakyatnya yang berwibawa, khususnya penduduk etnik Melayu yang menjadi penutur natif kepada bahasa Melayu.

Isomorfi ini juga perlu dikaitkan dengan satu jati diri nasional sama, yakni untuk kedua-dua negara dan rakyat, yang disalurkan melalui satu bahasa saja, iaitu bahasa Melayu selaku bahasa negara. Jati diri negara dan rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini, melalui bahasa Melayu dalam kapasitinya sebagai bahasa negara, sebetulnya tidak menjadi masalah lagi, kepada sesiapa pun selaku rakyat Malaysia yang setia, lebih-lebih lagi selepas negara ini mencapai kemerdekaannya 53 tahun yang lalu.  Dalam konteks ini, isomorfi ini jati diri negara dan rakyat menerusi bahasa Melayu sebagai bahasa negara perlu bertitik tolak daripada penggunaan yang banyak selain baik dan betul, khususnya dalam mandala rasmi/formal oleh semua rakyat pada setiap masa. Bagi bukan Melayu, jati diri nasional sama serta semangat kebangsaan yang juga sama ini, melalui bahasa Melayu selaku bahasa Melayu perlu bermula dengan penyebutan dan intonasi yang terlepas daripada pengaruh dan gangguan bahasa ibunda masing-masing, khususnya ketika bertutur dalam bahasa Melayu pada setiap masa.

 
Citra negara dan rakyat Malaysia, yakni gambaran yang ingin ditonjolkan mengenai Malaysia sebagai satu entiti politik, sosial dan budaya, khususnya kepada masyarakat luar, adalah juga melalui bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Melayu yang kurang dan tidak baik pula dengan segala macam kesalahan dalamnya, adalah contoh yang boleh merosakkan imej negara dan rakyat. Begitu juga dengan bahasa rojak, yakni percampuran bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris misalnya dan segala macam lain yang negatif. Imej positif bahasa Melayu antaranya perlu dibina dan dipupuk melalui penggunaannya sebagai satu-satunya bahasa pengantar dan/atau bahasa ilmu dalam sistem pendidikan nasional. Ini perlu dilakukan melalui sekolah satu aliran saja, daripada peringkat prasekolah sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi dalam semua bidang ilmu/pengetahuan lebih-lebih sains dan teknologi.

Bahasa negara adalah sebahagian yang penting dalam mana-mana kerakyatan. Sehubungan itu, bahasa Melayu adalah komponen penting dalam kerakyatan Malaysia. Justeru, adalah amat malangnya sekali untuk negara ini jika masih ada dalam kalangan kita, walaupun seorang yang tidak boleh berbahasa Melayu. Di manakah kesetiaan mereka ini kepada negara dalam konteks isomorfi yang diperkata itu?

Oleh : Teo Kok Seong
Felo Penyelidik Utama,
Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM

ISU SOSIAL : MAKMAL KHAS PATUT DIWUJUDKAN UNTUK PANTAU KHIDMAT BAS EKSPRESS


Tragedi ngeri bas persiaran dua tingkat yang mengorbankan 27 orang – 25 pelancong Thailand dan dua rakyat tempatan di Perak, kelmarin, perlu dijadikan titik tolak oleh pihak berkuasa untuk mencari penyelesaian muktamad membabitkan nahas pengangkutan awam di negara ini. Kejadian di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai dekat Kampung Juang itu adalah nahas terburuk negara setakat ini.
Kita tidak menolak kemungkinan kemalangan sebegini membabitkan bas akan berulang jika tidak ditangani secara serius dan komprehensif. Malah, mungkin lebih buruk jika kita mengambil mudah mengenainya. Ketika ini, kita lihat pihak berkuasa hanya mengamalkan pendekatan mengambil tindakan bermusim atau secara adhoc apabila nahas berlaku. Pada pemerhatian pelbagai pihak, belum nampak usaha lebih meyakinkan dilakukan pada pihak kerajaan untuk membendung kemalangan ngeri ini. 


Yang jelas kita hanya berdebat, memberi cadangan atau mengkritik selepas sesuatu kejadian berlaku. Menteri, persatuan, ahli akademik, individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ghairah memberi kenyataan, tetapi malangnya ia sekadar polemik dan lenyap begitu saja beberapa hari kemudian. Kita berharap tragedi di Cameron Highlands, Isnin lalu akan membuka mata, hati dan minda kalangan pihak berwajib untuk merungkai masalah serta mencari punca kemalangan, khususnya membabitkan bas yang tidak putus-putus sejak kebelakangan ini.

Bagi tempoh Januari lalu hingga kelmarin, sekurang-kurangnya 12 kes kemalangan serius membabitkan bas sekolah, bas pelancong, bas kilang serta bas ekspres direkodkan di seluruh negara.  Kemalangan itu meragut 40 nyawa penumpang dan pemandu, selain mencederakan ratusan penumpang. Kekerapan kemalangan ini seolah-olah memperlihatkan ada sesuatu yang tidak kena dengan perkhidmatan pengangkutan bas. Tidak dinafikan, selain sikap pemandu, punca nahas juga ada kaitan dengan sistem operasi syarikat. Pihak pengurusan berdepan dilema untuk menjimatkan masa, kos dan tenaga kerja disebabkan peningkatan kos operasi yang tidak setimpal dengan keuntungan diperoleh.

 
Justeru, soal penjimatan terlalu ditekankan supaya operasi syarikat tidak merugikan. Keadaan ini turut mendorong banyak syarikat menggunakan bas dua tingkat untuk memaksimumkan penumpang dan keuntungan bagi setiap bas sambil meminimumkan kos operasi. Persoalannya, adakah bas dua tingkat sesuai dan selamat digunakan di negara ini? Sudahkah kerajaan atau syarikat bas melakukan kajian risiko ke atas bas dua tingkat yang melalui jalan di pergunungan atau tanah tinggi yang bengkang-bengkok, curam dan tidak stabil? Oleh itu, adalah wajar kerajaan mengaudit semua perkara berkaitan melalui makmal khas atau mengeluarkan garis panduan berhubung penggunaan bas dua tingkat di negara ini. Ini termasuk isu mutu perkhidmatan, imbuhan dan kebajikan pemandu, struktur bas dan penumpang, jadual perjalanan dan berhenti rehat, profil geografi laluan serta potensi bahaya.

Menerusi perbincangan makmal ini, kita percaya kerajaan dapat mengemukakan cadangan komprehensif dan praktikal yang menguntungkan semua pihak, pada masa sama, mampu mewujudkan perkhidmatan mesra, santai dan selamat untuk semua jarak perjalanan. Jika kerajaan boleh memasukkan komitmen mempertingkatkan pengangkutan awam di bandar dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP), pastinya rakyat akan berasa lega jika makmal khas diwujudkan untuk menaik taraf mutu perkhidmatan serta keselamatan bas ekspres.

 
Perlu diingat, nahas begini bukan setakat meragut nyawa dan mencederakan penumpang atau pengguna jalan raya lain. Ia kerugian besar kepada negara dari segi kehilangan nilai tenaga kerja, kerosakan harta awam serta bayaran pampasan. Kesan paling buruk ialah kepercayaan umum yang semakin terhakis terhadap kemampuan pengangkutan awam, khususnya bas ekspres ketika kerajaan komited memajukan sistem pengangkutan awam nasional menjelang 2020. Persepsi negatif ini bukan saja menakutkan pelancong untuk ke Malaysia, malah mencemar nama baik negara.
 
MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
22 DISEMBER 2010