JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



16 Mac 2012

ISU PERGURUAN : GURU DG41 DIPELAWA MOHON JAWATAN PENSYARAH DG44


PUTRAJAYA 16 Mac 2012 – Guru-guru Gred DG41 yang ingin menjadi pensyarah Gred DG44 di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) kini dipelawa mengemukakan permohonan. Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, permohonan untuk menjadi pensyarah bagi gred itu dibuka pada 13 Mac dan berakhir 30 Mac 2012. "Kita ingin mempelawa mana-mana guru Gred DG41 yang layak supaya memohon jawatan ini, terdapat sebanyak 620 kekosongan untuk jawatan ini,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas menangani Isu Kekurangan Guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di sini hari ini. Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman web IPGM. IPGM merupakan sebuah institusi pengajian tinggi yang melatih bakal guru sekolah rendah dan menengah. – BERNAMA

KOMEN CIKGU ZUL

Saya amat tertarik dengan kenyataan ini. Saya berharap sangat Ketua Jabatan tidak akan menghalang mana-mana guru untuk memohon dengan alasan kepakaran masih diperlukan atau tidak ada guru yang layak menggantikan seseorang guru bagi mengajar subjek yang berkenaan jika guru tersebut keluar dari sekolah. Saya juga berharap pihak PPD dan JPN tidak akan menghalang mana-mana guru untuk berhijrah menjadi pensyarah di maktab perguruan. Biarlah guru diberikan peluang untuk menimba pengalaman di tempat lain. Kita kena berpegang kepada prinsip hilang satu, ada 1000 lagi akan datang menggantikannya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
16 Mac 2012

ISU KESIHATAN : UBAT-UBATAN HALAL : DI MANAKAH UMAT ISLAM?

Penulis ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


Kejahilan dan kekurangan ilmu serta maklumat masyarakat Islam tentang keutamaan dalam Islam kadangkala menyebabkan segelintir meletakkan perkara yang utama itu tidak kena pada tempatnya. Akibatnya, timbul kelompongan dalam masyarakat menyebabkan ia menjadi keributan yang tiada sudahnya. Dilema yang melanda masyarakat Islam hari ini bukan setakat berkisar kepada makanan malah melibatkan perubatan. Ia meliputi penjagaan kesihatan dan ubatan yang turut mengalami kemelut berhubung soal halal dan haram. Masyarakat Islam amat prihatin dengan penggunaan bahan bersumberkan babi kerana ia melibatkan soal halal dan haram serta menjadi satu persoalan dasar dalam setiap penjuru kehidupan. Lantaran isu penggunaan unsur babi dan bahan haram lain menjadi suatu permasalahan yang tiada hujungnya. Meninjau isu-isu terkini dalam dunia farmaseutikal, banyak perubahan dan perkembangan berlaku. Halal memasuki bidang farmaseutikal membawa kepada perubahan dalam penghasilan ubat yang ketat. Malaysia terkehadapan dalam dunia penghasilan vaksin dan biofarmaseutikal kerana mewujudkan standard MS 2424:2010. Ia merupakan perkembangan positif kerana kita amat bergantung kepada dunia luar dalam penghasilan ubat-ubatan.

Banyak sekali penggunaan unsur yang berasaskan babi dan benda haram menjadi bahan dalam penghasilan ubat-ubatan. Disebabkan penggunaan gelatin begitu meluas, masyarakat Islam juga berkemungkinan banyak terdedah kepada penggunaan ubat-ubatan haram disebabkan sumber gelatin yang tidak halal. Sebagai umat Islam, adakah kita dapat memastikan gelatin di dalam ubat yang kita telan datangnya daripada sumber yang halal? Di Malaysia, terdapat beberapa fatwa dan hujah diwartakan. Diharapkan ia mampu melegakan pengguna Islam dalam menangani kemelut berkaitan farmaseutikal. Sudah jelas apa yang diharamkan dalam Islam itu akan membawa kemudaratan. Begitu juga berkenaan babi yang sudah termaktub haram dalam al-Quran disebabkan kemudaratannya. Namun begitu, kita tidak boleh lari daripada aliran yang menyatakan bahawa boleh menggunakan unsur babi jika tiada alternatif lain. Dalam hal ini, Islam menetapkan kelonggaran atas prinsip darurat jika tiada alternatif selain menggunakan unsur babi.

Dari sudut lain, seandainya ubat-ubatan tersebut sangat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa dan tiada ubatan lain yang menyamai fungsinya, terdapat kelonggaran yang membolehkan pengunaan ubat tersebut. Ia juga berdasarkan pendapat yang dikemukakan oleh pakar perubatan yang merawat dan lebih mengetahui tentang keadaan pesakit pada waktu kecemasan itu. Islam amat memudahkan dengan syarat ia digunakan mengikut kadar yang diperlukan sahaja. Walaubagaimanapun, umat Islam tidak seharusnya bergantung selamanya kepada prinsip darurat dalam mencari jalan penyelesaian bagi sesuatu perkara. Masanya sudah tiba untuk mengubah nasib ummah agar tidak dibelenggu dengan masalah sebegini. Syariat Islam sememangnya menyediakan jalan keluar bagi sesuatu yang rumit melalui prinsip darurat, tetapi umat Islam perlu insaf bahawa Allah sentiasa memberikan peluang kepada mereka mengubah situasi kehidupan.

Satu persoalan yang mungkin timbul ialah sampai bila prinsip darurat itu boleh digunakan? Di sini, pentingnya pihak penguasa mengambil peranan yang sewajarnya kerana masyarakat Islam amat sensitif apabila melibatkan perkara yang berhubung dengan babi. Jadi, sekiranya sudah ada alternatif yang boleh menggantikan ubat sedia ada daripada sumber babi dengan keberkesanan dan impak yang sama, mengapa hujah darurat masih perlu digunapakai? Tidak timbul darurat disebabkan kos yang tinggi untuk pengeluaran ubat yang halal. Pihak berkuasa perlu bersifat proaktif dalam menangani isu kehalalan produk farmaseutikal. Realiti pada hari ini, umat Islam masih keliru dengan penjualan ubat-ubatan yang mengandungi unsur babi. Ubat-ubatan yang mengandungi unsur babi adalah haram menurut Islam tetapi penjualannya masih dibenarkan di Malaysia jika ia menepati syarat-syarat pendaftaran yang ditetapkan terutama dari segi kualiti, keselamatan dan label produk yang menyatakan sumber haiwan yang digunakan.

Ia dilihat untuk membolehkan mereka yang bukan beragama Islam menggunakannya dan orang bukan Islam mengelakkan daripada menggunakannya ataupun boleh menggunakannya jika atas dasar darurat seperti yang dibenarkan dalam Islam. Oleh itu, apa yang penting di sini perlunya pengamal perubatan yang telus dan bertanggungjawab untuk memberitahu tentang jenis ubat yang dipreskripsikan kepada pesakitnya. Ketelusan pihak hospital dan pakar perubatan amat diharapkan masyarakat Islam dalam hal sebegini. Pengguna juga tidak dapat lari daripada perlu memantapkan diri dengan ilmu dan maklumat agar tidak terpedaya atau kelesuan dalam mengikuti arus perdana. Sebagai pesakit atau pengguna, hak yang dimiliki perlu ditegakkan melalui maklumat yang sahih dan tidak mempunyai persepsi bahawa ubat yang halal sahaja yang akan dijual atau dipreskripsikan oleh doktor. Disebabkan itulah, kadangkala umat Islam sendiri terlepas pandang dan akhirnya tidak menyedari menggunakan ubat yang diharamkan dalam Islam. Kita yang sewajarnya memulakan tindakan untuk mendapatkan perkhidmatan/ubatan yang terbaik demi kemaslahatan bersama.

Kesimpulannya, umat Islam seharusnya memantapkan diri dengan ilmu dan maklumat agar lebih mudah menghadapi apa jua permasalahan yang melibatkan persoalan kehidupan. Umat Islam wajar terkehadapan dalam membuat penyelidikan dan penghasilan ubat- ubatan halal selaras dengan permintaan yang tinggi dan kebergantungan mereka untuk mendapatkan penjagaan kesihatan yang baik selaras dengan tuntutan Islam.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
16 Mac 2012

ISU SOSIAL : PROMOSI BUDAYA GAY : RUNTUHNYA PROSES MENGADABKAN INSAN

DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)


Tahun lalu negara ini digemparkan dengan penganjuran seksualiti merdeka dan beberapa hari lepas pula kita dikejutkan dengan berita semakin ramai lelaki Melayu terlibat dalam aktiviti mempromosi budaya gay. Melimpahnya laman sembang mempromosikan aktiviti songsang terutama menerusi Facebook (FB) menggambarkan bahawa persoalan adab kehidupan manusia semakin terancam, yakni sedang dicabar agar pengamal budaya keliru itu diberikan pengiktirafan dan hak secara bebas memilih kerana ia adalah prinsip yang dijamin menerusi tafsiran kebebasan asasi. Perjuangan pengamal seks songsang yang bermula di Barat itu sebenarnya dikritik oleh ramai pihak sebagai suatu bentuk kehidupan yang melanggar prinsip semula jadi. Suatu ketika, pemimpin-pemimpin agama mengenakan hukuman bunuh kepada mereka yang mengamalkan budaya songsang itu.

Bagaimanapun, apabila berubahnya persekitaran hidup yang mendominasikan kebebasan membuat pilihan, budaya itu berkembang sehingga berjaya mendesak penggubal undang-undang agar memberikan mereka pengiktirafan. Kini, perkahwinan sejenis dan mengamalkan seks songsang bukan lagi menjadi sesuatu yang ‘salah’ dari segi undang-undang, bahkan sudah pula diiktiraf sebagai budaya yang sah dan halal. Perkembangan tersebut membawa kepada proses perubahan nilai adab dan adat sehingga agama dijelmakan pilihan terakhir sebagai penentu budaya. Ini kerana agama dilihat sebagai penghalang terbesar dan pagar yang kian runtuh dalam diri manusia moden yang berpaksikan kebebasan tanpa had dan sempadan lahiriah. Perubahan itu turut berlaku dalam masyarakat Melayu-Islam dan golongan lelaki lembut itu boleh dilihat di mana-mana. Bahkan, di kampung fenomena seperti itu tidak lagi dipandang aneh dan keterlaluan, malah ada ketikanya diberikan simpati meskipun secara sinis.

Beberapa bulan lalu, seorang lelaki lembut yang bekerja sebagai ‘mak andam’ meninggal dunia setelah beberapa hari koma akibat kemalangan jalan raya. Sekumpulan lelaki lembut ikut menziarahi rumah rakannya untuk memberikan penghormatan terakhir. Mereka datang secara berkumpulan dengan berpakaian baju Melayu, berseluar jeans, berkasut tumit tinggi dan jalannya melenggok melebihi wanita tanpa menunjukkan segan mempamerkan adab itu sehingga beberapa orang lain menjadi keliru dan tercengang. Mereka turut ke tanah perkuburan dan ketika talkin bermula, barisan hadapan ialah rakan-rakan ini yang terkumat-kamit mengaminkan doa meskipun tidak diketahui sama ada benar-benar memahami apa yang disebut oleh seorang guru agama yang mengetuai ritual itu. Sebaik selesai, kumpulan yang mengalami krisis identiti itu bersembang sesama sendiri, bahkan ada di antara mereka mengambil gambar dan kemudiannya diposkan dalam laman FB masing-masing.

Apa yang mendukacitakan ialah cara mereka menghormati rakan yang sudah meninggal dunia sehingga terdengar raungan dan tangisan setelah upacara pengkebumian selesai. Menerusi laman FB mereka juga merakamkan kesedihan melampau tanpa sedikit pun terpahat emosi kesal hidup dalam kecelaruan jantina. Rasullullah SAW dalam satu hadisnya bersabda, Rabbi Faahsana Ta‘dibi, Tuhanku, didiklah aku dengan didikan terbaik. Maksudnya, bagi Rasullullah SAW ia membawa konsep pembangunan diri, mengharapkan Allah SWT memberikan pedoman dan panduan bagi mendidik diri menjadi manusia yang terbaik. Konsep pendidikan dalam tradisi Islam tidak terhad kepada ilmu pengetahuan sebagaimana diklasifikasikan dalam skema pemikiran masyarakat masa kini. Skema pendidikan yang berteraskan membentuk akal budi, kebijaksanaan berfikir hendaklah berteraskan keyakinan bahawa Allah SWT mempunyai pengetahuan yang lebih besar dan tidak terbatas, dan kedudukan itu ikut mendisiplinkan manusia agar berupaya mengimbangi antara yang hak dan yang batil.

Manusia berhak hidup dan kehidupan itu pula mesti berteraskan prinsip membuat kebaikan, untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat dengan menjauhkan segala kemungkaran, termasuk mencampurkan nilai dan tabie wanita dalam tubuh yang dilahirkan sebagai lelaki atau sebaliknya. Allah SWT memberikan sempadan jelas, lelaki adalah pasangan bagi wanita, dan diharamkan lelaki memilih pasangan hidupnya sesama lelaki, wanita dengan wanita dan lelaki dan wanita tanpa diikatkan dengan akad nikah. Teknologi yang berlandaskan kehendak bertukar-tukar maklumat secara lebih pantas dan cepat, dalam konteks masa sebenar dan lebih personal akhirnya telah mengkhianati ikatan kemasyarakatan yang dipertahankan. Akal budi yang dijaga dan dipupuk bertukar menjadi akal budi yang sentiasa bercanggah dan semakin bersifat paradoks. Bagi akal budi yang baru dibentuk, pendidikan dilihat sebagai hanya proses pemindahan maklumat dan keterampilan, kerana mereka yang boleh menguasai maklumat dan keterampilan itulah diberikan kedudukan terbaik, dihormati dan dimuliakan dengan status bersifat ganjaran material. Inilah kesilapan yang akhirnya menggelisahkan masyarakat, kerana jalur berfikir tidak lagi menyentuh adab, disiplin akal, kalbu dan amal.

Konteks pengetahuan berpaksikan kepada menguasai maklumat, dan maklumat itulah dikatakan sebagai komoditi yang bukan sahaja memberikan keuntungan yang besar, bahkan sebagai prasyarat utama untuk berkuasa dan menguasai. Unsur adab, kalbu dan amal yang berada di luar lingkaran kognitif dilihat sebagai satu pengkhususan yang hanya perlu dikuasai oleh golongan tertentu, yakni golongan agama. Dalam situasi tertentu, nilai-nilai agama dan tokoh agama hanya penting apabila seseorang itu telah meninggal dunia. Tokoh agama menjadi keperluan mendesak untuk menguruskan proses pengkebumian seseorang buat kali terakhir, dan inilah yang dapat disimpulkan menerusi variasi kelompok ini memberikan penghormatan terakhir kepada rakannya. Tidak seorang pun daripada mereka yang datang pada malam selepas jenazah dikebumikan berada dalam kelompok yang bertahlil. Tentunya, apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberikan pandangan untuk memantau laman web songsang lebih ramai mereka yang melihatnya sebagai langkah tepat. Bagaimanapun, dalam keghairahan memberikan jaminan itu timbul pula soalan, sejauhmanakah Jakim mampu memantaunya?

Persoalan itu semakin menjadi resah yang besar kerana jumlah pengguna FB di Malaysia mencecah hampir 12 juta orang, iaitu 70 peratus daripada keseluruhan Internet (17 juta atau 60 peratus daripada jumlah penduduk). Semakin sehari semakin membesar kelompok pengguna FB, maka mampukah Jakim nak memantaunya? Malaysia menduduki tangga ke-17 pengguna FB paling ramai di dunia. Penggunaan FB di Malaysia adalah lebih ramai daripada Australia (10.7 juta) dan Taiwan (11.16 juta) tetapi berada di belakang Thailand (12.9 juta), Sepanyol (15.3 juta) dan Colombia (15.6 juta). 53 peratus adalah lelaki dan 93 peratus berumur di bawah 45 tahun. Kalau pun dapat memantau, apakah hasilnya nanti mampu membendung kemunculan lebih banyak laman sembang seks mahupun FB yang mempromosi budaya LBGT -lesbian, biseksual, gay dan transeksual sehingga kelompok tersebut berada dalam situasi terpedoman dan kembali ke perspektif yang betul? Inilah yang perlu diterjemahkan oleh kita semua, termasuk tokoh agama dan pemimpin politik kalau ingin bersungguh-sungguh mengembalikan pola kehidupan beradab, selaras dengan peranan kita dalam membangun kalbu dengan nilai-nilai kerohanian, rabbaniah sebagai proses transformasi sosial ummah.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
16 Mac 2012

ISU SOSIAL : USAHA TANGANI KESESAKAN LALU-LINTAS

Oleh M JASNI MAJED


Pengalaman memandu ke Utara Semenanjung pada hari pertama cuti penggal persekolahan baru-baru ini sangat memeritkan. Cuba bayangkan, perjalanan sejauh 480 kilometer mengambil masa sepuluh jam! Biasanya tujuh atau lapan jam boleh sampai termasuk masa yang diambil untuk berhenti rehat sebanyak dua atau tiga kali sama ada di hentian lebuh raya ataupun di jalan biasa. Sepanjang lebuh raya, kenderaan tidak putus-putus dan di setiap hentian rehat dan rawat, bukan senang untuk mendapatkan tempat meletak kenderaan. Apabila sampai ke Plaza Tol Juru, penulis terpaksa bersesak selama sepuluh minit dan selepas membayar tol tersebut, penulis terpaksa pula bersesak-sesak hampir sejam sebelum sampai ke Plaza Tol Sungai Dua. Seorang rakan yang kebetulan tinggal di Pulau Pinang memberitahu bahawa memang laluan Lebuh raya Utara Selatan antara Tol Juru ke Plaza Tol Sungai Dua sesak tidak kira musim apa pun. Jika waktu kemuncak, sejam belum tentu lepas.

Hal ini tidak semestinya berlaku kerana ada kemalangan atau jalan diperbaiki, tetapi disebabkan kenderaan yang semakin banyak sekarang. Tidak dinafikan bahawa setiap kali musim cuti persekolahan, ramai yang bergerak untuk meraikan majlis perkahwinan, membawa anak-anak bercuti dan pelbagai urusan lain yang diambil sempena cuti sekolah. Tulisan ini bukanlah untuk meminta pihak-pihak tertentu menambah tempat parkir di hentian rehat dan rawat atau meminta orang ramai tidak melakukan pergerakan pada awal cuti sekolah, atau menyuruh orang menunda tarikh majlis perkahwinan dan sebagainya, tetapi adalah untuk mencari kaedah melancarkan pergerakan perjalanan kenderaan. Di sesetengah tempat, di samping mengadakan kawalan trafik, usaha penambahbaikan laluan perlu dilakukan untuk melicinkan perjalanan kenderaan. Malah, demi memastikan kelancaran pergerakan kenderaan, usaha membina laluan kedua ataupun jalan bertingkat patut dilakukan di kawasan yang jelas mengalami kesesakan serius sepanjang masa.

Setiap pengguna kenderaan yang menggunakan lebuh raya tentunya menghendaki perjalanan yang cepat dan selamat selaras dengan bayaran tol yang dikenakan ke atas mereka. Pembinaan lebuh raya yang antaranya adalah untuk menjimatkan masa perjalanan dan memendekkan jarak tidak akan mencapai matlamatnya jika pergerakan kenderaan di lebuh raya tersangkut di sana-sini apatah lagi pada musim cuti sekolah, hujung minggu, dan pada musim perayaan. Satu peristiwa yang berlaku ke atas diri penulis dua tahun lepas, iaitu pada Hari Raya ketiga, penulis terpaksa bersesak-sesak di Lebuh Raya Utara Selatan dari Changkat Jering untuk ke Hentian Sungai Perak yang jaraknya lebih kurang 30 kilometer. Malangnya kesesakan itu berlaku pada pukul 2 pagi yang berpunca daripada kenderaan terlalu banyak mahu memasuki hentian rehat dan Rawat Sungai Perak. Maka terpaksalah penulis mengikut jalan lama iaitu keluar ke Bandar Kuala Kangsar dan mengikut jalan lama menuju ke Sitiawan. Meskipun jalan itu sunyi dan mempunyai pelbagai risiko termasuk kesukaran yang bakal dialami jika kenderaan bermasalah, penulis sampai juga ke Klang dengan mengambil masa empat jam.

Kesimpulannya, pelbagai pihak mesti memikirkan beberapa kaedah untuk menampung jumlah kenderaan yang terlalu banyak di jalan raya sekarang. Tahun lepas, Malaysia mencatatkan 21,159,145 buah kenderaan berdaftar dan angka ini akan meningkat dari setahun ke setahun. Di rumah kita sendiri pun, kadang-kadang terdapat dua atau tiga buah kereta sehingga sukar tiada ruang untuk meletak kenderaan itu. Di jalan raya pun kita terpaksa menghadapinya dalam keadaan yang sama.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
16 Mac 2012

ISU SOSIAL : HIDUP MELARAT PADA USIA EMAS


Memiliki empat cahaya mata yang sudah dewasa, wang simpanan yang mencukupi dan rumah sendiri, Lee Hua menyangka dia boleh menghabiskan sisa-sisa hidupnya dalam suasana yang selesa. Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Wanita berusia 77 tahun itu kini terpaksa menyara hidup dengan mengutip barangan terbuang yang boleh dikitar semula untuk dijual. Dengan nada suara yang perlahan dan tidak bermaya, Hua menceritakan bagaimana dia telah dipaksa keluar dari rumahnya dan kini tinggal di sebuah rumah usang yang disewa di Jinshan di luar ibu kota Taiwan. Malah, duit simpanan di dalam bank juga sudah tiada. Lebih memburukkan keadaan, dia turut terputus hubungan dengan tiga anak perempuan dan seorang anak lelakinya. "Sudah terlalu banyak saya menangis sehingga penglihatan saya menjadi kabur. Sekarang, saya cuba untuk tidak memikirkan apa yang telah berlaku," katanya yang duduk di tengah-tengah timbunan kotak, botol-botol plastik dan tin-tin minuman yang dikutip di jalanan.

Hua yang memperoleh pendapatan bulanan sebanyak Tw$500 (RM51.60) hasil menjual sampah yang dikutip kepada perniagaan kitar semula, mewakili kumpulan baharu warga tua di Taiwan yang dipinggirkan anak sendiri lantaran generasi muda sudah hilang ketaatan kepada ibu bapa. Hidup Hua mula tidak keruan selepas kematian suami sejak 13 tahun lalu apabila anak perempuan sulung dan menantunya ingin meminjam wang ketika itu untuk memulakan perniagaan mereka. "Bagaimanapun, wang yang telah dipinjam itu langsung tidak dikembalikan dan mereka juga terus menghilangkan diri," imbau Hua tentang kisah silamnya sambil menahan air mata daripada gugur membasahi pipinya. "Saya tidak sangka anak dan menantu sanggup menipu ibu sendiri sehingga semua wang yang saya miliki hilang begitu sahaja. Inilah takdir saya." Sementara itu, anak keduanya yang juga seorang perempuan turut terputus hubungan dengan Hua apabila dimasukkan ke penjara selepas terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Seorang lagi anak perempuan Hua masih berhubung dengannya, tetapi dia tidak dapat membantu dalam aspek kewangan kerana pendapatan yang diperoleh juga tidak mencukupi.

Nilai kekeluargaan berubah

Berdasarkan statistik, hampir 2,800 warga tua di Taiwan telah memohon bantuan terhadap kes penderaan, diabaikan dan dibuang keluarga pada tahun 2010. Menurut data terbaharu kerajaan, jumlah itu meningkat berbanding hanya 2,100 pada tahun 2009. "Bilangan sebenar mungkin lebih tinggi memandangkan ada juga warga tua yang malu untuk mengakui bahawa mereka mempunyai anak-anak yang tidak bertanggungjawab," jelas Ketua Yayasan Elders di Taiwan, Lee Hsiung. Terang Hsiung, pekerja sosial jauh daripada kes terpencil dan perubahan nilai kekeluargaan menyebabkan kurangnya rasa tanggungjawab golongan dewasa terhadap ibu bapa mereka yang sudah tua.

Budaya tradisional Cina amat mementingkan ketaatan kepada ibu bapa. Malah, lelaki dewasa yang sudah berkahwin juga biasanya akan tinggal serumah dengan ibu bapa mereka supaya kebajikan orang tua terjamin. "Membesarkan anak-anak bermakna keselamatan pada usia tua," ujar Hsiung memetik satu pepatah lama. Memiliki keluarga yang besar pula adalah satu perkara normal. Namun demikian, hari ini struktur keluarga telah berubah. Pasangan yang berkahwin lebih suka memiliki sedikit anak dan ini menyebabkan kadar kelahiran di Taiwan menjadi antara yang paling rendah di dunia. Ahli sosiologi pula mengatakan golongan dewasa tidak kira lelaki atau wanita sanggup memilih untuk hidup sendirian daripada berkahwin dan memiliki keluarga sekali gus meningkatkan rasa individulisme. Daripada 23 juta populasi penduduk Taiwan, sebanyak 10.7 peratus mencecah usia 65 tahun ke atas, jauh melebihi paras tujuh peratus untuk kebanyakan negara yang ditakrifkan sebagai penuaan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurut Biro Penyelidikan Penduduk, Washington Amerika Syarikat (AS), bilangan penduduk Taiwan yang berpopulasi 23 juta orang kini mengalami kadar kelahiran paling rendah di dunia. Taiwan melaporkan, hanya 1.05 bayi dilahirkan oleh setiap wanita di Taiwan. Kadar itu berkurangan daripada 7.04 pada tahun 1951 dan 2.10 pada tahun 1984. "Ia bukan hanya paras terendah pernah dicatatkan di Taiwan, tetapi juga paras terendah dalam sejarah. Tiada negara yang pernah memiliki paras serendah itu," kata Carl Haub, seorang ahli demografi daripada biro tersebut. Kakitangan di Yayasan Elders, Wu Chiang-sheng memberitahu, dia telah mengendalikan banyak kes yang lebih serius berbanding apa yang dialami Hua. Antaranya kes seorang wanita berusia 90 tahun dengan tujuh orang anak yang kesemuanya enggan menjaga ibu mereka kerana sibuk dengan tuntutan kerja.

Undang-undang baharu

Lantaran itu, kerajaan sedang mempertimbangkan satu rang undang-undang untuk memenjarakan anak-anak yang gagal menjaga ibu bapa yang sudah tua. Keputusan itu juga dibuat berikutan kes membuang atau meminggirkan ibu bapa semakin meningkat. "Tidak ketinggalan, terdapat juga kes-kes melibatkan anak-anak yang telah dewasa, tetapi tidak bekerja dan masih bergantung harap kepada kedua-dua orang tua untuk menyara hidup mereka. Walaupun usia telah mencecah 30 hingga 40 tahun, mereka tetap memilih untuk kekal menganggur dan tinggal bersama ibu bapa. Inilah yang disebut sebagai bentuk penderaan ekonomi kepada golongan tua," terang Chiang-sheng lebih lanjut. Kadar pengangguran di Taiwan berada pada tahap 4.18 peratus pada Januari lalu. Pertumbuhan ekonomi di pulau itu juga susut dengan ketara kepada 1.89 peratus pada suku keempat tahun 2011, kadar paling perlahan dalam tempoh lebih dua tahun.

Sementara itu, Persekutuan Kebajikan Warga Tua Taiwan mula mempromosikan konsep keselamatan ekonomi warga tua seperti menggalakkan mereka menyimpan wang dalam unit amanah. Presiden Taiwan, Ma Ying-jeou menganggap penjagaan warga tua merupakan cabaran besar bagi kerajaan yang merancang untuk menggubal undang-undang baharu penjagaan warga tua jangka panjang sekitar tahun 2017. Tahun ini, kerajaan bersedia untuk memulakan percubaan sistem gadai janji saraan hari tua untuk individu yang tidak mempunyai anak. Melalui sistem ini, mereka boleh menggadai rumah atau hartanah yang ada kepada pihak bank untuk mendapatkan elaun bulanan, tetapi pada masa yang sama mereka masih menetap di rumah tersebut. Pengumpul sampah warga emas, Hua bagaimanapun masih bersikap skeptikal terhadap sejauh mana bantuan yang akan disalurkan kerajaan.

"Kerajaan tidak boleh melakukan banyak dalam hal ini terutamanya sejak pertumbuhan ekonomi semakin teruk. Saya cuma berharap agar satu hari nanti, anak lelaki saya akan mendapat pekerjaan yang baik supaya dia boleh menjaga saya sehingga kematian menjemput," sayu suara Hua melahirkan harapan yang pada hakikatnya belum pasti sama ada tertunai atau tidak.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Harian Kosmo
16 Mac 2012

ISU IPT : KAD DISKAUN PELAJAR UNIVERSITI


Semua pelajar di semua institusi pengajian tinggi di negara ini akan diberikan kad diskaun yang bakal diperkenalkan pada Jun tahun ini. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengeluarkan kad berkenaan kepada pelajar universiti bagi membantu mengurangkan beban mereka berikutan kenaikan harga barangan. Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kementerian itu kini sedang berbincang dengan beberapa syarikat mengenai skim diskaun tersebut. Setakat ini kementerian sudah pun berurusan dengan tujuh syarikat yang mengusahakan perniagaan berkaitan dengan buku, kelengkapan sukan dan pengangkutan, di mana berminat untuk bekerjasama. Tetapi pihak kementerian masih meneliti tentang berapa banyak diskaun yang akan diberikan kepada mereka dari segi jenis barangan dan perkhidmatan. Kementerian tersebut akan bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan Bank Rakyat untuk melancarkan kad berkenaan sebaik sahaja memuktamadkan perkara ini dengan sekurang-kurangnya 10 syarikat. Beliau menambah, kad diskaun berkenaan akan diberikan secara percuma kepada para pelajar.

KOMEN CIKGU ZUL

Cadangan ini memang relevan dalam situasi kenaikan harga barang yang semakin membinggungkan pada masa ini. Dengan keadaan diri yang belum mempunyai pekerjaan dan hidup bersandarkan kepada biasiswa, pinjaman PTPTN, dan ibu bapa, pelajar universiti memang memerlukan kad ini untuk mengurangkan beban sewaktu mereka berbelanja. Walau bagaimanapun, cadangan ini haruslah dapat membantu pelajar-pelajar ini dengan sebijak-bijaknya. Jika diskaun yang diberikan hanyalah dalam lingkungan 5% hingga 10% sahaja, lebih baik cadangan ini dibatalkan sahaja kerana tidak membawa manfaat yang banyak kepada pelajar. Namun begitu, ini hanyalah pandangan peribadi saya sahaja sebagai seorang bekas pelajar universiti yang bukannya anak orang senang sehingga dalam beberapa ketika terpaksa mengikat perut sebab hendak berjimat belanja. Apa-apa pun, tindakan kerajaan ini memang ada rasionalnya dan jika dilaksanakan pasti akan membawa banyak kemaslahatan kepada pelajar universiti.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
mStar Online
16 Mac 2012