Isu menghisap vape dan rokok
elektronik kembali hangat diperkatakan setelah dilihat ia menular dalam
kalangan pelajar termasuk murid sekolah rendah hingga menimbulkan keresahan
masyarakat termasuk ibu bapa dan guru-guru. Perkara yang lebih membimbangkan
ialah pelajar-pelajar dan murid-murid perempuan turut terpengaruh menghisap
vape dan bilangan mereka dilihat semakin meningkat, memandangkan peralatan vape
atau peranti rokok elektronik itu boleh didapati dengan mudah di pasaran. Kini,
pelbagai bentuk peranti rokok elektronik yang menarik ditawarkan oleh penjual,
sama ada dijual secara terbuka di kedai-kedai atau secara dalam talian,
menyebabkan para pelajar mudah terjebak dalam aktiviti menghisap vape ini,
sehingga ia menjadi trend, terutama selepas waktu persekolahan.
Naib Pengerusi Kanan Yayasan
Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, tindakan
tegas dan bersepadu melibatkan semua pihak berkepentingan perlu diambil bagi
mengatasi isu ini kerana ia tidak boleh ditangani secara bersendirian. Menurut
beliau, pihak berkuasa berkaitan perlu mengambil tindakan tegas untuk
menghentikan penjualan vape kepada kanak-kanak manakala pihak sekolah pula
perlu memantau dan mengadakan kempen kesedaran mengenai bahaya vape terhadap
kesihatan. Selain itu, ibu bapa pula tidak boleh melepaskan tanggungjawab
kepada pihak sekolah atau pihak berkuasa. Mereka perlu memantau aktiviti
anak-anak mereka bagi memastikan tidak ada yang terlibat dengan aktiviti
menghisap vape.
Tan Sri Lee Lam Thye turut
menyatakan ketiadaan undang-undang khusus menyebabkan aspek penguatkuasaan
sukar dilakukan hingga penjualan vape dilihat berleluasa meskipun ia tidak
dihalang dalam kalangan golongan dewasa. Oleh itu, beliau amat berharap agar rang
undang-undang baharu berkaitan kawalan pengunaan rokok elektronik atau vape dan
shisha dapat dibentang di Parlimen secepat mungkin bagi menangani masalah ini. Sementara
menunggu undang-undang baharu diperkenalkan, beliau turut menggesa semua pihak
bersama-sama menjalankan tanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran mengenai
bahaya menghisap vape serta melarang ia diambil di kawasan sekolah.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
turut mengeluarkan kenyataan berkaitan dengan isu ini, berdasarkan pemantauan
yang dibuat, KPM mendapati jualan bahan-bahan tersebut adalah di luar kawasan
sekolah. Oleh itu, pihak-pihak lain juga perlu membantu usaha membanteras
penggunaan vape ini. Sementara itu, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau
Pinang N.V Subbarow mencadangkan supaya mengharamkan penggunaan pelbagai jenis
rokok elektronik supaya dapat membantu menangani masalah itu selain tidak
meluluskan lesen kedai atau perniagaan yang menjual rokok elektronik. Sekiranya
kita tidak bertindak sekarang, kita tidak akan mempunyai belia yang sihat dalam
tempoh 10 tahun akan datang. Sekiranya kerajaan terus menangguhkan sebarang
tindakan, jumlah pengguna muda rokok elektronik akan meningkat pada masa depan sekali
gus akan mendedahkan mereka kepada masalah kesihatan.
Dapatan daripada Penyelidik Utama National E-Cigarette Survey
(NECS) Prof Madya Dr Mohamad Haniki Nik Mohamed dari Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM), nikotin di dalam rokok elektronik cenderung untuk
memberi ketenangan dan keseronokan dalam kalangan belia berbanding orang dewasa
dan ini boleh menjadi antara sebab ramai pelajar menghisap rokok elektronik. Kajian
menunjukkan remaja lebih sensitif terhadap kesan 'baik' rangsangan nikotin
seperti keseronokan, mood lebih baik dan ketenangan. Perkara yang amat
membimbangkan ialah pendedahan kepada nikotin lebih awal boleh mendorong kepada
penyalahgunaan bahan seperti alkohol, kokain dan meth (methamphetamine). Pelajar
tidak begitu sedar dengan bahaya rokok elektronik kerana mereka memikirkannya
selamat disebabkan tiada kesan tembakau di dalam kandungannya. Rokok elektronik
hanya untuk keseronokan. Mereka terdorong untuk menghisap rokok elektronik
dan vape apabila melihat rakan-rakan mereka merokok dan memberitahu mereka
bahawa ia lebih selamat daripada rokok biasa. Mereka juga mempunyai idea salah
bahawa rokok elektronik dan vape tidak mempunyai tembakau di dalamnya.
Dalam pada itu, Setiausaha
Kehormat Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE), Tunku Munawirah
Putra pula menyuarakan isu ini boleh ditangani dari rumah dengan penglibatan
ibu bapa supaya mereka bertegas dengan anak-anak terutama daripada segi
pergaulan. Ibu bapa perlu memastikan dengan siapa anak mereka berkawan dan tahu
cara untuk mendidik anak mereka bahawa vape juga sama bahaya seperti merokok. Ibu
bapa juga harus menunjukkan teladan yang sebaiknya dan bersifat terbuka serta
berpengetahuan untuk mendidik anak-anak.