JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



20 Julai 2012

ISU PENDIDIKAN : KEWAJARAN BAWA TELEFON BIMBIT KE SEKOLAH


Rencana ini ditulis oleh :
Fauziah Arof
Wartawan Utusan


Macam-macam reaksi daripada pelbagai pihak apabila Kementerian Pelajaran mengambil langkah merangka Draf Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2012 yang membolehkan pelajar membawa telefon bimbit dan iPad ke sekolah mulai tahun depan. Bagi pelajar-pelajar , tentunya menganggap langkah ini sebagai suatu kemudahan yang ‘menyeronokkan’ dan ditunggu-tunggu manakala golongan ibu bapa ada yang merasa lega kerana boleh mengikuti perkembangan anak mereka di sekolah dan pada masa sama tidak kurang ramai juga bimbang dengan kesannya kepada anak-anak apabila membawa alat komunikasi itu ke sekolah. Pertama, bimbang disalah guna kemudahan tersebut. Yang keduanya, apabila berlakunya kecurian atau kehilangan gajet berharga itu. Draf peraturan membenarkan penggunaan telefon bimbit ini dirangka selari dengan perkembangan semasa serta mengambil kira faktor keselamatan pelajar, tambahan sebelum ini, pihak ibu bapa sudah beberapa kali meminta kementerian agar membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah bagi membolehkan mereka mengawasi pergerakan anak mereka.

Sememangnya ada baik dan tidak baiknya membawa telefon bimbit ke sekolah. Dari segi baiknya, tentu ia memudahkan ibu bapa untuk mengesan anak mereka terutamanya selepas waktu sekolah. Ada ketikanya anak-anak terlepas bas sekolah mungkin kerana lambat keluar kelas dan tidak memaklumkan kepada pemandu bas terlebih dahulu. Tidak kurang juga yang nakal dan suka berpeleseran selepas waktu sekolah. Saya pernah diminta oleh anak saya yang bersekolah rendah menghantar kawannya pulang ke rumah kerana kawannya itu terlepas bas. Ini disebabkan semua murid di dalam kelasnya dihukum balik lewat sedikit setelah gagal menyiapkan kerja rumah yang diberi. Mujur saya tidak bekerja ketika itu. Kediaman saya yang amat dekat dengan sekolah tidak memerlukan anak saya untuk menaiki bas. Sampai di rumah saya, kawannya itu yang menangis kerana panik meminjam telefon bimbit saya memberitahu ibunya di tempat kerja yang dia terlepas bas dan saya akan menghantarnya.

Saya merasa gusar, rasa marah pun ada. Kenapalah cikgu boleh membuat hukuman sebegitu tanpa memikirkan pelajar-pelajar yang menaiki bas sekolah. Siapa yang akan menghantar mereka sekiranya terlepas bas? Jika dibiar pelajar ini ‘bersidai’ menunggu penjaganya mengambilnya pulang di depan sekolah dalam suasana yang agak sunyi, semua pelajar telah pulang, kita bimbang ada pihak lain yang tidak bertanggungjawab pula menawarkan khidmat untuk menghantar pelajar ini pulang ke rumah. Dalam situasi seperti ini telefon bimbit amat diperlukan. Memang ada telefon awam disediakan di sekolah tetapi tidak semua diselenggara dengan baik, lama dibiarkan rosak dan tidak banyak pula kemudahan itu. Dalam pada itu, jangan terkejut ramai juga pelajar sekolah terutamanya di peringkat rendah yang tidak tahu menggunakan telefon awam. Tetapi dari sudut tidak baiknya, kita juga bimbang telefon tersebut akan disalahguna pelajar. Kemudahan ini digunakan untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) sesama kawan di dalam kelas atau luar kelas, melayari Internet pada waktu sekolah, mengemas kini status di Facebook, twitter, merakamkan perbuatan kawan-kawan dan guru-guru dan sebagainya.

Pada masa sama, para guru bukan sahaja berhadapan dengan cabaran mengawal pelajar sekolah ini daripada menyalahguna telefon bimbit di sekolah tetapi terpaksa melayani masalah kehilangan telefon bimbit itu. Kehilangan gajet ini juga mungkin membuatkan pelajar-pelajar terbabit menuduh antara satu dengan lain sehingga berlakunya pergaduhan dan bermacam-macam lagi kesan daripada kehilangannya. Pada masa sama, pelajar-pelajar yang tidak ada telefon bimbit dan iPad, mula merengek meminta ibu bapa membelikan telefon bimbit kerana melihat kawan-kawan memilikinya dan membawa ke sekolah. Yang lagi haru, mereka mahu yang lebih canggih daripada kawan-kawan dengan niat berlawan-lawan, telefon siapa yang lebih up to date. Saya tidak pasti apakah peraturan-peraturan ketat yang akan digunakan kementerian dalam mengawal penggunaan telefon bimbit ini. Tetapi sudah pastinya draf yang sedang dirangka itu perlu mengambil kira kesan-kesan yang tidak baik ini.

Kita mahu tahu hadnya, bila waktu telefon bimbit ini boleh digunakan dan bagaimana pihak sekolah dapat mengawal penggunaannya. Pelaksanaan peraturan-peraturan berkaitannya pun perlu tegas dan perlu dipatuhi. Sedangkan peraturan sedia ada yang melarang pelajar sekolah membawa telefon bimbit, ramai juga yang melanggarnya dengan membawanya secara sorok-sorok. Kita bimbang peraturan yang ada jika tidak dilaksanakan secara tegas, tidak memberi apa-apa makna, sedangkan orang dewasa pun sukar untuk mematuhi peraturan.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
18 Julai 2012

ISU PENDIDIKAN : MENGGUBAL SEMULA DASAR PENDIDIKAN NEGARA


Tan Sri Alimuddin Mohd Dom
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad
Ahli Panel Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012


"Dasar pendidikan negara akan dirombak semula selepas lebih 50 tahun Dasar Razak dan Dasar Rahman Talib dihasilkan. Sekiranya draf kajian semula sistem pendidikan ini dapat disediakan di akhir tahun ini maka akan dibawa kepada Kabinet untuk diluluskan. Dasar baru itu dijangka akan dilaksanakan mulai tahun hadapan." Demikian di antara intipati ucapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam majlis penutupan Dailog Nasional Pendidikan Negara yang diadakan di Johor Bahru, baru-baru ini. Mahu tak mahu penggubalan semula dasar pendidikan negara perlu dilakukan bagi memastikan ia lebih berkesan. Perubahan tersebut mempunyai kaitan rapat dengan tuntutan perubahan masa dan keperluan negara menjelang tahun 2020. Kini matlamat pendidikan bukan sahaja menekankan isu perpaduan rakyat tetapi yang lebih penting memastikan pelajar yang dihasilkan melalui sistem tersebut mempunyai kebolehpasaran pekerjaan dan berupaya menjana pendapatan yang tinggi.

Jika ditinjau semula sejarah pendidikan selepas merdeka perkembangannya boleh dibahagikan kepada empat peringkat. Peringkat pertama ialah selepas penggubalan Dasar Razak (1956), Dasar Rahman Talib (1961) dan Penyata Kabinet (1970). Ketiga-tiga dasar ini menekankan tentang keperluan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum dan akses pendidikan iaitu memberi peluang kepada pelajar luar bandar mendapat pendidikan yang lebih baik. Peringkat kedua apabila diperkenalkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPN) pada 1988 yang menekankan perkembangan seimbang potensi pelajar dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI). FPN juga memasukkan nilai-nilai murni dalam pengajaran dan pembelajaran guru bertujuan bagi mewujudkan masyarakat madani. Sementara itu, peringkat ketiga apabila bermulanya era ICT dan globalisasi di alaf baru tahun 2000. Ketika itu penekanan diberikan kepada bidang sains dan teknologi kerana perkembangan pesat negara dalam bidang industri dan ekonomi.

Kini sampailah ke peringkat keempat di mana negara sedang menuju kepada negara maju melalui Wawasan 2020. Penekanan akan diberikan kepada elemen kreativiti dan inovasi serta melahirkan pelajar yang berfikir secara kritis. Di antara kriteria negara maju rakyatnya mesti mempunyai pendapatan tinggi, sedia bersaing, sanggup menghadapi cabaran dan mempunyai pelbagai kemahiran insaniah seperti komunikasi yang baik, berupaya membuat keputusan dan memiliki ciri kepimpinan yang unggul. Persaingan ketika itu bukan lagi di kalangan rakyat tempatan tetapi penanda arasnya sudah tentu dengan rakyat di negara maju. Keupayaan persaingan tersebut mestilah bermula daripada sistem pendidikan yang berkualiti. Sesungguhnya sistem pendidikan berkesan akan dapat melahirkan pelajar yang memiliki minda kelas pertama. Penggubalan semula pendidikan ini merupakan anjakan berganda dalam sistem pendidikan kita. Dialog Nasional Pendidikan Negara akan merangka Pelan Pembangunan Pendidikan (2013-2025).

Ia merangkumi pelan pembangunan dan pelan strategik program jangka pendek, sederhana dan panjang. Bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan ia akan dilakukan mengikut fasa-fasa tertentu. Menurut Muhyiddin sekiranya pelan tersebut dapat dilakukan lebih awal dari 15 tahun, maka sistem pendidikan negara mampu dilonjakkan setanding dengan negara maju yang lain. Apa yang menariknya dalam menyediakan dasar pendidikan ini pandangan dan pendapat daripada beberapa pihak telah diambil kira. Di antaranya adalah pandangan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Bank Dunia, pasukan Panel Bebas dan Panel Antarabangsa yang dilantik. Selain itu, hasil Dialog Nasional Pendidikan Negara turut diambil kira dan dianggap sangat signifikan dalam menyediakan dasar baru itu.

Anggota panel dialog ini telah bertemu lebih 10,000 orang di seluruh negara. Dua kaedah yang dilakukan iaitu melalui sesi 'town hall' yang melibatkan antara 500 - 800 orang pada setiap pertemuan. Kaedah kedua melalui mesyuarat meja bulat iaitu pertemuan antara 20-40 orang yang terdiri daripada persatuan dan pertubuhan tertentu, NGO dan pihak berkepentingan dalam bidang pendidikan. Kedua-dua kaedah ini telah menemukan anggota panel dengan hampir segenap lapisan masyarakat seperti golongan petani, pemandu teksi, pekerja kilang, peniaga, warga pendidik hinggalah kepada pelbagai latar belakang kumpulan profesional. Melalui dialog tersebut nampaknya peserta menyuarakan pendapat masing-masing tentang bagaimanakah seharusnya sistem pendidikan yang berkualiti dilaksanakan.

Dalam siri dialog tersebut sebanyak sembilan bidang keutamaan disediakan iaitu dari segi profesion perguruan, kepimpinan sekolah, kualiti sekolah, kurikulum dan pentaksiran, profisiensi pelbagai bahasa, peluang lepasan menengah, ibu bapa dan sektor swasta, kecekapan sumber kementerian dan keupayaan sistem penyampaian kementerian. Walau bagaimanapun peserta dialog bebas memberikan pendapat mereka di luar bidang keutamaan tersebut. Seperti yang dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri melalui analisis yang dilakukan terdapat tiga perkara yang agak popular dibangkitkan iaitu pertama berkaitan guru seperti profesionalisme keguruan, kebajikan guru dan proses pengajaran. Kedua mengenai aspirasi iaitu soal sistem dan masalah pelajar dan ketiga kualiti sekolah yang melibatkan struktur, infrastruktur dan jenis sekolah.

Menurutnya lagi, hasil dialog itu akan dikumpulkan sebelum dikemukakan kepada beliau untuk dibawa ke Kabinet dijangkakan hujung tahun ini bagi kelulusan dan seterusnya akan dilaksanakan pada tahun depan. Ternyata bahawa penyediaan dasar baru pendidikan tersebut pandangan dan pendapat rakyat telah diberi keutamaan. Kaedah ini bersesuaian dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa dalam menyediakan sesuatu dasar atau sistem sudah sampai masanya tidak semata-mata disediakan oleh pegawai kerajaan tetapi pandangan rakyat perlu didapatkan. Sudah tentu pandangan mereka itu datangnya dari perasaan tulus ikhlas untuk melihat anak-anak mereka mendapat pendidikan yang berkualiti dan dapat menyumbang kepada pembangunan negara. Moga-moga penggubalan dasar baru ini akan dapat menyediakan sistem pendidikan yang lebih berkualiti dan berkesan seterusnya akan mempercepatkan lagi matlamat ke arah negara maju.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
20 Julai 2012