JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



06 Ogos 2017

PENULISAN KARANGAN STPM : HURAIAN MATANG DAN HURAIAN TIDAK MATANG


PENDAHULUAN

Penulisan esei diuji dalam Bahasa Melayu Kertas 1(910/1) bagi calon-calon yang menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia. Berdasarkan salibus Sukatan Pelajaran STPM Baharu yang diperkenalkan mulai tahun 2012, Bahasa Melayu 910/1 dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu, Bahagian A : Aneka Pilihan (20%), Bahagian B : Pemikiran Kritis dan Analitis (30%), dan Bahagian C : Penulisan Esei (50%). Markah yang diperuntukkan sebanyak 50% untuk penulisan esei itu amat banyak. Walau bagaimanapun, berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya sebagai guru, majoriti calon mendapat markah dalam lingkungan 10% hingga 20%  sahaja. Jumlah yang mendapat markah melebihi 20% amat kurang. Yang mendapat 40% hingga 50% mungkin hanya mimpi di siang hari. Persoalannya, mengapakah calon-calon yang menduduki Bahasa Melayu 910/1 ini gagal mendapat markah yang tinggi dalam penulisan esei? Umum mengetahui bahawa pengajaran dan pembelajaran penulisan esei atau penulisan karangan ini sudah berlangsung di bilik darjah sejak mereka berasa dalam Tahun 1 lagi. Mereka didedahkan dengan pelbagai teknik oleh guru-guru bahasa Melayu baik yang terlatih mahupun yang tidak terlatih. Akan tetapi, sehingga berada di peringkat prauniversiti pun mereka masih gagal menulis esei yang cemerlang.

BUDAYA HAFAL ESEI

Punca utama kegagalan calon dalam menghasilkan esei yang cemerlang adalah disebabkan mereka gagal menghuraikan isi dengan matang. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka telah dirobotkan oleh guru-guru bahasa Melayu mereka sejak sekolah rendah lagi. Murid-murid diajar menghafal esei termasuklah isi dan huraian. Mereka tidak diberikan kebebasan berfikir untuk menghuraikan sendiri isi karangan semasa menulis. Kebanyakan guru menyediakan isi dan rangka karangan dan pelajar diarahkan membina ayat berdasarkan bahan yang disediakan itu. Keghairahan guru ini adalah disebabkan tuntutan sistem pendidikan yang terlalu berorentasikan peperiksaan. Mereka terlalu takut jika pelajar mereka gagal dalam subjek Bahasa Melayu terutamanya di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Oleh itu, strategi terbaik untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan adalah dengan menghafal esei. Teknik ini memang menjadi bagi calon-calon yang menduduki UPSR, PT3, dan SPM. Akan tetapi, apabila sampai ke peringkat yang lebih tinggi, pelajar-pelajar yang menghafal ini gagal menghuraikan karangan mereka dengan matang dan tepat. Mereka mampu membuat huraian yang bersifat umum atau tidak berpijak di bumi nyata. Situsai ini akan lebih parah sekiranya mereka kurang membaca. Akibatnya mereka menghuraikan isi karangan dengan merapu-rapu sehingga memeningkan kepala pemeriksa. Pengetahuan sedia ada calon amat sedikit tentang tajuk-tajuk esei yang disoal. Walaupun isu yang dikemukakan amat senang mereka masih juga gagal menghuraikan isi karangan dengan baik dan matang.  

KEMAHIRAN MENGANALISIS SOALAN

Kemahiran menganalisis soalan wajar ditekankan dalam proses pengajaran dan pembelajaran karangan di Tingkatan Enam. Aspek ini mempunyai kolerasi dengan huraian yang matang dan betul. Kebanyakan calon tidak diberikan pendedahan dalam aspek ini disebabkan guru berandaian mereka sudah tahu. Bagi menerangkan aspek ini dengan lebih terperinci, sila rujuk soalan STPM 2016 di bawah.



Soalan

Analisis Soalan


1.   Banyak faktor yang menyebabkan berlakunya kes penderaan kanak-kanak di negara kita. Jelaskan faktor-faktor tersebut.


Isu utama : Kes penderaan kanak-kanak di negara kita (Malaysia)

Tugasan : Menjelaskan faktor-faktor yang menyebabkan kes penderaan kanak-kanak berlaku di negara kita

2.   Pencapaian negara kita dalam bidang sukan tidak begitu memuaskan dan masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk meningkatkan mutu sukan negara. Jelaskan langkah-langkah yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan pencapaian negara kita dalam bidang tersebut.

Isu utama : Pencapaian negara kita dalam bidang sukan tidak begitu memuaskan.

Tugasan : Menjelaskan langkah-langkah yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan pencapaian negara kita dalam bidang sukan.



3.   Perkembangan bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) banyak memberikan kesan positif terhadap pembelajaran para pelajar. Huraikan kesan-kesan positif yang dimaksudkan.


Isu utama : Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) banyak memberikan kesan positif terhadap pembelajaran para pelajar

Tugasan: Menghuraikan kesan-kesan positif TMK terhadap pembelajaran para pelajar.


Mengapakah calon perlu mengenal pasti isu utama dan tugasan seperti yang ditunjukkan di atas? Isu utama ini harus dikenal pasti kerana dapat membantu pelajar menulis huraian yang matang. Setiap huraian tidak boleh lari daripada isu utama. Huraian karangan yang matang akan mengaitkan ayat demi ayat dalam huraian mereka dengan isi utama sehingga mewujudkan suatu koheren dan kohesi dalam penulisan.

Di samping itu, calon juga harus mengenal pasti tugasan dalam soalan. Tugasan ini akan membantu calon memberikan isi yang betul dan tepat. Contohnya soalan 3, calon diminta menghuraikan kebaikan TMK terhadap pembelajaran pelajar. Jadi, soalan ini hanya berfokus kepada pelajar sahaja dan bukannya kebaikan TMK secara umum. Oleh sebab itu, jika pelajar menghuraikan kebaikan TMK dengan memilih isi memudahkan urus niaga secara dalam talian. Isi ini nampak betul tetapi tidak menjawab soalan. Hal ini dikatakan demikian kerana soalan meminta pelajar memberikan isi berkaitan dengan kesan-kesan positif TMK terhadap pembelajaran para pelajar. Jawapan tersebut mungkin dianggap Tidak Relevan (TR).

HURAIAN ISI MATANG

CONTOH 1
Soalan 1 STPM 2016
Isi utama : Pegangan agama yang rapuh

Contoh huraian yang matang

Pada pendapat saya, punca utama yang  menyebabkan kes penderaan kanak-kanak berlaku di negara kita ialah pendera mempunyai pegangan agama yang rapuh. Pegangan agama yang rapuh menyebabkan pendera tidak dapat berfikir secara rasional sehingga tergamak melakukan kekejaman terhadap darah daging sendiri. Oleh sebab kurang penghayatan terhadap agama mereka tidak dapat membezakan baik dan buruk setiap tindakan yang mereka lakukan. Oleh itu, mereka tidak mempunyai rasa kasihan terhadap kanak-kanak yang didera kerana mereka tidak kenal dosa dan pahala. Mereka berasa puas kerana berjaya melepaskan kemarahan atau ketidakpuasan hati terhadap kanak-kanak yang tidak dapat melawan apabila dikasari. Tegasnya, pegangan agama yang rapuh akan menyebabkan seseorang tergamak melakukan penderaan terhadap kanak-kanak.

(107 patah perkataan)

Kenapa huraian ini dianggap matang?

Huraian ini dianggap matang kerana calon mengaitkan isi utama iaitu pegangan agama yang rapuh dengan isu utama soalan iaitu kes penderaan kanak-kanak di negara kita. Kesinambungan idea ayat demi ayat dalam huraian calon nampak jelas dan tepat.

CONTOH 2
Soalan 2 : STPM 2016

Contoh huraian yang matang

Pencapaian negara kita dalam bidang sukan dapat ditingkatkan dengan melantik jurulatih yang berwibawa dan berpengalaman. Peranan jurulatih dalam meningkatkan pencapaian atlet memang tidak dapat dinafikan. Jurulatih yang profesional merupakan mereka yang pernah menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam bidang sukan yang mereka ceburi. Oleh itu, mereka dapat berkongsi pelbagai teknik dan kemahiran yang bertaraf dunia dengan atlet negara kita. Perkongsian sebegini amat penting untuk meningkatkan baik prestasi mahupun pencapaian para atlet. Teknik dan kemahiran yang didedahkan itu jika disusuli dengan latihan intensif sudah pasti akan dapat menyemarakkan semangat atlet untuk bersaing pada peringkat antarabangsa. Jurulatih yang profesional seperti Morten Frost, Karl Weigang, dan Park Joo Hong telah memberikan sumbangan yang besar dalam menaikkan pencapaian atlet negara kita di peringkat antarabangsa. Tegasnya, kita harus mengakui bahawa peranan jurulatih profesional memang membantu negara kita dalam meningkatkan pencapaian sukan negara.

(136 patah perkataan)
Kenapa huraian ini dianggap matang?

Huraian ini amat jelas dan tepat kerana calon turut mengaitkan isi utama dengan isu utama soalan. Calon turut menyatakan kehadiran jurulatih profesional itu memang dapat meningkatkan pencapaian sukan negara dengan mengemukakan contoh yang relevan. Huraian calon nampak matang. 



CONTOH 3
Soalan 3 STPM 2016
Isi utama : TMK sebagai medium perkongsian ilmu antara pelajar

Contoh huraian matang

Kesan positif TMK terhadap pembelajaran pelajar ialah mereka dapat menggunakannya sebagai medium perkongsian ilmu. Mereka dapat bertukar-tukar bahan pembelajaran menggunakan pelbagai aplikasi TMK yang moden dan terkini seperti Telegram, Whatsapp, e-mel, dan sebagainya. Dengan ini, maklumat dapat disebarkan dengan pantas dan mudah tanpa mengira lokasi mereka berada. Hasilnya, proses pembelajaran menggunakan TMK menjadi lebih menarik dan menyeronokkan kerana maklumat mudah diperoleh dengan adanya bantuan daripada rakan-rakan yang lain. Pelajar tidak terlalu mengharapkan guru-guru mereka untuk membantu dalam menyiapkan pelbagai tugasan terutamanya kerja kursus. Pelajar boleh berinteraksi dan bersoal jawab dengan menggunakan media sosial seperti Facebook bagi mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan dengan tugasan yang perlu diselesaikan. Jelaslah bahawa TMK merupakan medium perkongsian terpenting pembelajaran pelajar.

(114 patah perkataan)
Kenapa huraian ini dianggap matang?

Isi utama memang dihuraikan dengan jelas yakni calon membuktikan dengan terperinci bahawa TMK memang membantu pelajar dalam melaksanakan perkongsian ilmu.

HURAIAN ISI TIDAK MATANG

CONTOH 1
Soalan 1 STPM 2016
Isi utama : Pegangan agama yang rapuh

Contoh huraian yang tidak matang

Pada pendapat saya, punca utama yang  menyebabkan kes penderaan kanak-kanak berlaku di negara kita ialah pendera mempunyai pegangan agama yang rapuh. Di dunia ini kita mempunyai pelbagai agama untuk dianuti. Contohnya, agama Islam, Kristian, Hindu, dan Buddha. Semua agama mengajar kita melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan atau keburukan. Jika kita mempunyai pegangan agama yang kukuh kita tidak akan melakukan penderaan terhadap kanak-kanak. Orang yang mempunyai didikan agama yang kukuh dapat membezakan baik atau buruk perbuatan yang mereka lakukan. Mereka akan sentiasa menyayangi orang lain terutamanya kanak-kanak. Oleh itu, kita mesti mempunyai pegangan agama yang kukuh agar kita tidak melakukan kes penderaan kanak-kanak.

(102 patah perkataan)
Kenapakah huraian ini dianggap tidak matang?

Huraian ini bersifat umum sahaja. Isi utama hanya dikaitkan secara sipi-sipi dengan isu utama soalan. Perkara yang tidak dijelaskan ialah calon tidak menghuraikan bagaimanakah faktor pegangan agama yang rapuh itu menyebabkan pendera tergamak melakukan penderaan terhadap kanak-kanak. Satu lagi kelemahan calon yang nampak ketara ialah calon ini memasukkan langkah mengatasi dalam huraian. Harus diingat, apabila kita menghuraikan faktor, kita tidak boleh memasukkan cadangan dalam huraian kita itu.

CONTOH 2
Soalan 2 : STPM 2016

Contoh huraian yang tidak matang

Pencapaian negara kita dalam bidang sukan dapat ditingkatkan dengan melantik jurulatih yang berwibawa dan berpengalaman. Jurulatih merupakan orang yang berpengalaman dan pakar dalam bidang sukan yang mereka ceburi. Negara kita mesti mengambil jurulatih dalam kalangan mereka yang telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam bidang sukan masing-masing. Mereka mampu membawa perubahan kepada pencapaian negara dalam bidang sukan. Sehubungan dengan itu, gaji para jurulatih haruslah lumayan supaya mereka mahu bekerja di negara kita. Jika gaji yang ditawarkan rendah sudah tentu mereka akan kecewa dan berhijrah ke negara lain yang menawarkan gaji yang lebih tinggi. Jurulatih ini mesti dilayan dengan baik. Kita tidak boleh memarahi mereka apabila pencapaian atlet kita merosot. Kita hendaklah menghormati mereka. Tegasnya, peranan jurulatih amat penting dalam meningkatkan pencapaian sukan negara.
(122 patah perkataan)
Kenapakah huraian ini dianggap tidak matang?

Calon tidak mengiatkan kehadiran jurulatih berwibawa dan profesional itu dapat meningkatkan pencapaian sukan negara, sebaliknya menyentuh isu lain yang tidak berkaitan seperti gaji dan layanan terhadan jurulatih. Semua huraian berfokus kepada jurulatih sahaja.

CONTOH 3
Soalan 3 STPM 2016
Isi utama : TMK sebagai medium perkongsian ilmu antara pelajar

Contoh huraian tidak matang

Kesan positif TMK terhadap pembelajaran pelajar ialah mereka dapat menggunakannya sebagai medium perkongsian ilmu. Semua maklumat ada dalam TMK. Pelajar boleh merujuk pelbagai maklumat tanpa mengira tempat dan waktu asalkan mereka mempunyai talian internet. Kita hanya perlu menaip tajuk maklumat tersebut di tempat carian. Itulah kelebihan TMK kepada pelajar. Walau bagaimanapun, budaya ini boleh menggalakkan pelajar meniru. Mereka hanya perlu melakukan “copy and paste” sesuatu maklumat tanpa mengolahnya semula.  Mereka tidak perlu bersusah payah mencari maklumat. Itulah keburukan TMK jika pelajar tidak pandai menggunakan maklumat yang diperoleh. Tegasnya, TMK mampu menjadi medium perkonsian pembelajaran pelajar jika digunakan dengan sebaik-baiknya.

(99 patah perkataan)
Kenapakah huraian ini dianggap tidak matang?

Huraian ini bersifat umum sahaja. Huraian tidak menjelaskan isu utama dengan jelas dan tepat. Calon menyentuh isu yang tidak berkaitan dengan isu utama seperti isu meniru.  

PENUTUP

Saya harap penjelasan ini membantu semua pertanyaan yang dikemukakan. Aspek menghuraikan isi amat penting untuk ditekankan dalam proses penulisan esei yang mantap dan cemerlang terutama di peringkat prauniversiti. Pelajar mesti dilatih menghuraikan isi karangan dengan berfikir secara kritis dan analitis bukannya menghafal setiap ayat daripada mana-mana sumber yang ada disekeliling mereka. Kemahiran menulis esei ini hanya akan membuahkan hasil apabila pelajar diajar menggunakan teknik yang betul. Jika tidak kita akan terus berhadapan dengan isu esei yang tidak berkualiti. Sampai bilakah kita akan terus berkata tanpa bertindak? Kita tahu pelajar-pelajar kita lemah dalam menghuraikan isi karangan dengan pelbagai sebab yang sudah dijangka seperti kurang membaca dan tiada pengetahuan sedia ada. Saya harap ilmu yang sedikit ini mampu membuka mata kita untuk melihat perkara yang dibincangkan ini dengan lebih terperinci. Saya menulis berdasarkan pandangan saya. Mungkin cadangan saya ini bukan yang terbaik tetapi saya yakin dapat membantu guru-guru dan pelajar-pelajar yang saya sayangi.

Terima kasih.

Selamat maju jaya.