JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



13 Ogos 2011

ISU SOSIAL : FIGURA BAPA DIPERLUKAN UNTUK BENDUNG GEJALA SOSIAL

Oleh Dr Mashitah Ibrahim


Kajian terbaru membabitkan 2,800 remaja berusia antara 15 hingga 25 tahun yang dijalankan Universiti Tunku Abdul Rahman tahun lalu menganggarkan 21 peratus remaja negara ini mengadakan hubungan seks sebelum berkahwin. Kadar ini masih rendah berbanding 33 peratus di Brazil, 50 peratus di Amerika Syarikat dan 60 peratus di United Kingdom. Namun, ini bukan sesuatu untuk dibanggakan. Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara pada 2004 menganggarkan 2.2 peratus daripada 8.7 juta remaja di Malaysia, atau lebih kurang 190,000, mengadakan hubungan seks sebelum berkahwin. Angka sebenar mungkin lebih tinggi daripada itu.  Kajian ini juga mendapati 40 peratus remaja mengadakan hubungan seks sebelum mencapai umur 18 tahun, tujuh peratus sebelum 15 tahun dan 1.4 peratus sebelum 12 tahun.  Lebih mengejutkan ialah penemuan bahawa daripada 40 peratus itu, satu perempat (24 peratus) mengadakan hubungan seks sehingga lima orang, 14 peratus dengan lebih lima orang, dua peratus dengan lebih 10 orang dan tiga peratus dengan lebih 20 orang! 


Sebanyak 52 peratus daripada responden mengakui akan cuba mendapat bantuan atau perlindungan daripada pihak yang dipercayai jika mengandung manakala 37 peratus daripada yang diwawancara mengatakan mereka mahu memelihara sendiri bayi yang dilahirkan. Bagaimanapun, tujuh peratus mengatakan mereka mungkin menggugur atau membuang bayi sementara empat peratus lagi akan memberi bayi mereka untuk dijadikan anak angkat.  Kajian ini membabitkan remaja semua kaum dan agama, bukan hanya Melayu-Islam. Hasilnya tetap menyayat hati. Penemuan kajian konsisten dengan statistik rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Daripada 2.48 juta kelahiran yang didaftar antara 2006-2010, kira-kira sembilan peratus atau 235,000 adalah bayi luar nikah. Daripada jumlah bayi luar nikah ini, 34.5 peratus atau 81,000 adalah Islam. Rekod rasmi menunjukkan kelahiran bayi luar nikah semakin meningkat. Pada 2006, ada 38,300 kes dan pada 2010, ada 53,000 kes – peningkatan 38 peratus. Daripada 53,000 kes pada 2010, 17,000 adalah anak orang Islam. Kes pembuangan bayi yang dilaporkan di media massa sentiasa meruntun jiwa, khususnya bagi wanita dan ibu. 


Antara kes terbaru ialah bayi yang putus kepala. Berdasarkan rekod polis, antara 2005 dan 2010, sebanyak 407 bayi dibuang, daripada jumlah itu 50 peratus bayi yang dibuang meninggal dunia. Tetapi tidaklah semua kes membabitkan remaja tempatan. Kira-kira 50 peratus kes pembuangan bayi membabitkan warga asing. Mengikut Kanun Keseksaan Seksyen 309A, sesiapa yang disabit kesalahan membuang bayi yang didapati mati boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda. Namun, saban tahun, kes sebegini tetap berulang, malah bertambah banyak. Malah, ada juga kes penjualan bayi. Media membongkar beberapa kegiatan yang didalangi hospital swasta Kuala Lumpur dan di Sarawak baru-baru ini. Bayi dijual antara RM8,000 hingga RM21,000. Ini juga kes pemerdagangan orang yang perlu dibanteras sama sekali. Undang-undang adalah penting, tetapi kaedah lebih berkesan untuk mengurangkan gejala sosial ialah mewujudkan masyarakat prihatin, bukan sahaja bersimpati, tetapi juga bersikap empathy. Ibu bapa, jiran tetangga, persatuan penduduk, pengurusan hal ehwal pelajar di sekolah, kolej dan IPT, pihak polis, hospital, rakan sebaya, sekolah, golongan agama, media, sektor swasta dan agensi awam, NGO dan pergerakan di peringkat akar umbi semua mesti mengambil tahu keadaan persekitaran, melapor dan mengambil tindakan membanteras. 


Dalam keluarga, peranan ibu bapa paling utama. Anak perlu didikan, tanam sifat malu dan takut serta solat berjemaah di rumah. Bayangkan, ada ibu bapa tidak sedar anak mereka mengandung. Ini menggambarkan tahap keprihatinan rendah dalam keluarga tersebut. Biasanya ibu lebih rapat dengan anak perempuan, mereka saling berkongsi ‘rahsia’ tetapi kajian menunjukkan anak perempuan juga sangat perlukan kasih sayang dan perhatian bapa.  Kajian Kolej Perguruan Islam di Bangi membabitkan 413 pelajar tingkatan empat di 20 sekolah menunjukkan remaja berasakan bapa mereka kurang berinteraksi dan berkomunikasi dengan mereka. Kurangnya pengaruh ‘father figure’ di kalangan remaja dikenal pasti sebagai antara punca masalah sosial. Inilah juga pengalaman di Pertubuhan Kebajikan Baitul Fiqh yang saya naungi.  Daripada lebih 700 kes remaja mengandung yang diurus sejak ditubuhkan pada 2005, majoriti mengakui ketandusan kasih sayang dan keprihatinan bapa.  Kerana itulah kualiti keibubapaan dan institusi keluarga perlu ditingkatkan. Justeru, bapa mesti memperbaiki kualiti kepemimpinan sebagai ketua keluarga.

Penulis Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri

SUMBER
HARIAN METRO
13 OGOS 2011


ISU SOSIAL : IKHTIBAR DARIPADA RUSUHAN DI LONDON

Oleh Aznan Bakar



Semuanya bermula dengan protes jalanan yang kononnya dianjurkan secara aman. Matlamat asal seperti yang didakwa ialah untuk membantah tindakan polis menembak mati seorang lelaki kulit hitam. Tetapi kesan daripada protes aman tersebut kota raya London berubah menjadi medan perang. Satu dunia dapat melihat bagaimana huru-hara dan kucar-kacirnya bandar raya itu. Ia yang berlarutan hampir seminggu telah mengorbankan lima nyawa. Mungkin itu bukan sesuatu yang diinginkan oleh para penunjuk perasaan terbabit apabila mereka mula menggerakkan protes jalanan tersebut. Tetapi apa yang berlaku pada masa lalu telah membuktikan apa juga bentuk protes, tunjuk perasaan, demonstrasi atau apa sahaja yang seangkatan dengannya jarang berakhir dengan aman. Jarang juga ia berakhir tanpa tragedi. Dan tentunya amat jarang berakhir tanpa ada yang tercedera atau kehilangan nyawa. Kita boleh tengok sendiri apa yang berlaku di London. Lihatlah apa yang dialami seorang pelajar Malaysia di sana, Muhammad Asyraf Haziq Rossli yang cedera akibat dibelasah oleh mereka yang berpura-pura menolongnya.

Juga jangan lupa gambar seorang rakyat Poland yang terpaksa nekad terjun dari sebuah bangunan yang marak terbakar akibat tindakan para penunjuk perasaan tersebut. Itu semua gambaran ngeri yang sepatutnya menyedarkan kita bahawa apa juga yang bersifat jalanan tidak membawa apa-apa kebaikan. Sebaliknya ia lebih membawa kepada kemusnahan dan kerugian untuk jangka pendek dan jangka panjang. Tentu ada pihak akan menganggap perkara itu bakal dijadikan momokan oleh pihak berkuasa bagi menjustifikasikan tindakan terhadap bantahan jalanan di negara ini. Tetapi realitinya, mencegah lebih baik daripada mengubati. Itu yang berlaku di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu apabila pihak berkuasa berusaha keras menggagalkan perhimpunan haram yang dirancang. Namun, kesannya tetap ada apabila peniaga terpaksa menanggung kerugian, harta benda awam rosak dan orang ramai terperangkap dalam kesesakan jalan raya berjam-jam lamanya. Malah ia turut membawa kepada majlis kenduri yang terpaksa dibatalkan ekoran tetamu tidak datang kerana mereka takut untuk berhadapan dengan kemungkinan daripada perhimpunan haram tersebut.

Walaupun tidak seteruk apa yang berlaku di London, namun perhimpunan haram di ibu negara itu tetap memberikan kesan negatif. Kerana kononnya protes aman oleh sekelompok kecil itu, penduduk di London kini trauma. Mereka kini dibelenggu ketakutan. Hendak keluar rumah pun tidak berani. Ini kerana rusuhan yang bermula di utara London dan Tottenham itu turut merebak ke bandar-bandar lain. Ia turut menyumbang kepada kes-kes curi, samun dan rompak seolah-olah penduduk England tidak bertamadun. Penduduk Britain sendiri terkejut dengan apa yang berlaku di depan mata mereka. Orang awam di pukul, kedai di geledah sesuka hati, kenderaan di rosakkan dan bangunan dibakar. Jika sebelum ini mereka mengkritik tindakan pihak berkuasa negara lain termasuk Malaysia dalam menghalang perhimpunan haram, kini mereka melihat dan merasai sendiri akibat yang terpaksa ditanggung jika perkara seperti itu tidak dikawal dan dihalang dari awal. Skala rusuhan dan keganasan itu bukan sahaja di kawasan-kawasan tengah bandar tetapi turut merebak ke kawasan kelas pertengahan di pinggir-pinggir bandar.

Ia melenyapkan sama sekali imej Britain sebagai sebuah negara dengan masyarakat yang bertamadun. Ahli politiknya pula saling tuduh-menuduh dan salah-menyalah ekoran tragedi yang tercetus daripada kebebasan bersuara dan kebebasan berkumpul yang diperjuangkan oleh mereka. Kerajaan disalahkan kerana mengurangkan bajet untuk pasukan polis menyebabkan pihak berkuasa kekurangan anggota untuk menangani kejadian itu. Dikatakan juga, sebelum rusuhan itu, moral pasukan polis Britain juga rendah kerana kehilangan seorang demi seorang ketua mereka ekoran pendedahan skandal dan tuduhan rasuah oleh akhbar-akhbar British milik Rupert Murdoch. Tentu ada sesuatu yang kita boleh pelajari daripada apa yang berlaku di London ini. Bayangkan daripada sebuah kota raya yang gah dengan kemodenan dan ketamadunan, sebahagiannya kini menjadi seperti medan perang. Seperti kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, protes jalanan perlu dielakkan kerana tidak ada sesiapa pun tahu akan kesannya. Biar atas nama protes aman sekalipun, ia selalunya berakhir dengan perkara yang tidak elok. Apa yang berlaku di London itu boleh diibaratkan menang jadi abu, kalah jadi arang. Ia langsung tidak membawa kebaikan. Hanya memudaratkan.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
13 OGOS 2011