JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



05 April 2011

ISU EKONOMI : FENOMENA GLOBAL KENAIKAN HARGA BARANG

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my


Setelah beberapa kali menafikan dunia akan kembali terjerumus ke kancah kenaikan harga makanan dan barangan keperluan, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akhirnya mengakui fenomena itu tidak dapat dielakkan. Timbalan Ketua Pengarah FAO, He Chang Chui dalam satu kenyataan pada 8 Mac lalu berkata, Indeks Harga Makanan pertubuhan itu pada Februari lalu menunjukkan harga makanan dan barangan keperluan utama di seluruh dunia mengalami kenaikan untuk tempoh lapan bulan berturut-turut. ''Indeks pada bulan berkenaan mencatatkan angka 236 unit dan ia mengatasi paras tertinggi yang dicatatkan ketika krisis makanan dunia pada 2008 iaitu purata sebanyak 200 unit. ''Faktor luar kawalan termasuk cuaca buruk yang melanda negara pengeluar makanan telah menyebabkan peningkatan harga barangan termasuk daging, hasil tenusu, biji-bijian, minyak masak dan lemak serta gula," ujarnya.

Negara pengeluar makanan yang dilanda bencana alam terburuk baru-baru ini adalah Rusia dan Kazakhstan dengan musim kemarau manakala India dan Australia pula mengalami banjir. Dalam pada itu, krisis makanan global juga berpunca daripada peningkatan penduduk dunia yang lebih tinggi iaitu sebanyak empat peratus setahun berbanding kapasiti pengeluaran makanan yang hanya meningkat sebanyak dua peratus setahun. Menurut Chang Chui, Indeks Harga Makanan FAO pada Februari lalu jelas menunjukkan senario peningkatan harga makanan dan lain-lain barangan keperluan belum reda dan langkah-langkah segera perlu diambil kerajaan bagi memastikan tidak tercetus protes seperti yang berlaku di sebahagian besar negara di Asia Barat. ''Antara langkah yang boleh dilakukan adalah untuk mengelak daripada mengeluarkan perintah larangan eksport barangan makanan ke negara lain," katanya.

Sebelum ini, Rusia telah melarang eksport gandum dan India menegah eksport bawang merah sehingga menyebabkan harga barangan berkenaan naik secara mendadak di seluruh dunia. Tambah Chang Chui, kerajaan sesebuah negara juga perlu memastikan rakyat tidak membeli barangan dalam kuantiti banyak kerana panik disebabkan perbuatan itu akan menyebabkan bekalan makanan berkurangan dengan mendadak. ''Kerajaan juga perlu memberikan tumpuan untuk melabur secara besar-besaran dalam sektor pertanian dan memperkenalkan dasar-dasar baru bagi membantu rakyat miskin yang merupakan golongan paling terjejas dengan kenaikan harga barangan tersebut,'' katanya lagi. Mengulas mengenai fenomena kenaikan harga makanan dan barangan keperluan itu, penganalisis ekonomi dan pensyarah Pengurusan Strategik Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, perkara itu tidak dapat dielakkan kerana ia bersifat global.

''Perkara ini berlaku apabila permintaan pengguna yang melebihi penawaran. Ia akan menyebabkan mereka terpaksa membayar melebihi daripada harga asal. ''Inflasi ini bukan sahaja berlaku disebabkan kenaikan harga makanan dan komoditi, malah ia juga berpunca daripada kenaikan harga minyak," katanya. Seperti yang disebut oleh Haim Hilman, kenaikan harga minyak dunia yang sekali gus akan menyebabkan peningkatan kos pengangkutan bagi mengangkut makanan dan barang keperluan adalah fenomena yang tidak dapat dielakkan berikutan krisis politik yang sedang berlaku di Asia Barat. Bagi memastikan kenaikan itu tidak terlalu membebankan rakyat, kerajaan telah memberikan subsidi petrol dan diesel sebanyak RM7.61 bilion setahun. Bagaimanapun, rakyat harus sedar bahawa kerajaan tidak boleh selama-lamanya memberikan subsidi tersebut kerana wang berkenaan juga amat diperlukan untuk bidang-bidang lain termasuk dalam membangunkan kawasan pertanian baru.

Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Amir Baharuddin berkata, inflasi kini berlaku di seluruh dunia akibat permintaan barangan yang melebihi penawaran. ''Kenaikan harga barangan akan memberi tekanan kepada rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah tetapi kita tetap tidak boleh lari daripada inflasi. ''Cara terbaik untuk menghadapi fenomena ini adalah dengan menyesuaikan diri dan belajar untuk meningkatkan lagi produktiviti agar permintaan barangan dapat dipenuhi," jelasnya. Bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga itu, katanya, pemantauan dan penguatkuasaan perlu dilakukan dari semasa ke semasa selain menggerakkan kempen bagi meningkatkan kesedaran pengguna untuk berjimat cermat. Seperti yang disyorkan oleh Amir, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, sejak dahulu lagi telah melaksanakan proses pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan fenomena peningkatan harga barangan global tidak dijadikan alasan oleh peniaga untuk menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.

Pemantauan dan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga 1946 adalah bagi memastikan 12 jenis bahan makanan yang dikategorikan sebagai barangan kawalan mencukupi dan dijual pada harga munasabah. Langkah lain melibatkan kawalan harga pada musim perayaan yang membabitkan 28 jenis barangan termasuk ayam, daging, telur ayam, kubis, tomato dan cili merah. Segala langkah yang diambil itu telah menyebabkan harga barangan keperluan di negara ini masih lagi yang terendah berbanding negara ASEAN lain. Misalnya beras kini dijual pada harga antara RM1.65 hingga RM1.80 sekilogram berbanding Indonesia (RM2.59) dan Singapura (RM5.06). Petrol RON 95 pula dijual pada harga RM1.90 seliter berbanding Thailand (RM4.77), Indonesia (RM3.21) dan Singapura (RM5.06). Pihak kementerian turut melaksanakan kempen bagi menjelaskan senario kenaikan harga barangan menerusi slot di radio dan televisyen termasuk Selamat Pagi 1Malaysia di TV1.

UTUSAN MALAYSIA
5 APRIL 2011

ISU PENDIDIKAN : PENDIDIKAN MALAYSIA DIIKTIRAF DUNIA

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Banyak kejayaan telah dicatatkan dalam sistem pendidikan negara sejak 50 tahun lalu dengan kadar celik huruf di kalangan dewasa kini mencecah 92 peratus. Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) juga melaporkan antara 2006 hingga 2008, Malaysia berada di tangga keenam dan telah mengatasi Amerika Syarikat dari segi peratusan kemasukan murid prasekolah. Bagaimanapun, perbandingan dengan Hong Kong, Korea Selatan dan Singapura menunjukkan penurunan hasil pendidikan pelajar Malaysia. Sekitar 20 peratus daripada mereka gagal mencapai garis minimum Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) pada 2007 berbanding hanya lima peratus pada 2003. Ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk penambahbaikan terutama sekali bagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) hasil pendidikan yang melibatkan masa depan generasi muda dan pewaris negara.

Antara inisiatif yang diambil di bawah NKRA ini adalah menyediakan bantuan yuran berjumlah RM10.3 juta untuk 24,179 murid prasekolah dari keluarga berpendapatan rendah yang berdaftar dengan pangkalan data eKasih. Bantuan itu untuk yuran di bawah RM150 sebulan di 611 prasekolah swasta sementara kelas prasekolah Kementerian Pelajaran, Kemas (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional (JPNIN) disediakan secara percuma. Saringan Celik Huruf dan Nombor (LINUS) tiga peringkat turut dijalankan ke atas 450,000 murid darjah satu seluruh negara sementara 15,500 guru LINUS turut dilatih untuk kelas pemulihan kanak-kanak yang ketingglan. Aplikasi LINUS yang bermula pada 2010 ini disasarkan untuk melonjakkan kadar celik huruf dan nombor murid darjah satu kepada 100 peratus menjelang 2012. Pemilihan Sekolah Berprestasi Tinggi (HPS) turut dilaksanakan dengan 20 sekolah dipilih untuk 2010 dengan sasaran 100 HPS menjelang 2012 (30 sekolah 2011 dan 50 sekolah 2012).

Inisiatif anugerah Tawaran Baru juga digerakkan untuk dua peratus Pengetua dan Guru Besar sekolah terbaik dengan insentif tunai RM7,500 sementara lima peratus guru terbaik sekolah sama menerima RM1,800 dan bakinya RM900 setiap seorang. Selain itu, Program Kemajuan Sekolah (SIP) dilaksanakan untuk menjadikan setiap sekolah dalam sistem pendidikan negara sebagai institusi pendidikan cemerlang dengan mencabar, mendorong dan menyokong antara satu sama lain terutamanya untuk sekolah di luar bandar. Akhir sekali, inisiatif Sekolah Amanah di bawah Yayasan Amir iaitu sebuah badan bukan berasaskan keuntungan di bawah Khazanah Nasional Berhad dilancarkan melalui gabungan usahasama sektor swasta dan awam. Sekolah Amanah mengekalkan status awamnya dan menerima peruntukan dari kerajaan tetapi pengurusan sekolah akan diletakkan di bawah rakan swasta yang memenuhi kriteria yang telah ditetapkan kementerian.

Maklum balas Jawatankuasa Antarabangsa Penilaian Prestasi (IPR) di dalam Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2010 untuk NKRA ini mengingatkan pihak kementerian agar tidak terikat kepada 'pendidikan mengikut peperiksaan'. Peringatan itu demi mengelakkan pendidikan di sekolah bertumpu kepada menghafal semata-mata dan mungkin akan menggagalkan sasaran memupuk bakat pelajar berkualiti tinggi yang kreatif dan analitis. Tokoh pendidikan negara, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim turut menyokong peringatan itu kerana bimbang tumpuan masih kepada peperiksaan dan perangkaan untuk mengukur prestasi dan potensi pelajar. "Kita tidak mahu pelajar hanya mempunyai keputusan peperiksaan cemerlang tetapi akhirnya gagal menyesuaikan diri dan menyumbang kepada kerjaya, masyarakat dan negara. "Masalah pekerja kerap melompat tempat kerja kerana mahu kerja senang juga bermula di sekolah.

Oleh itu, sistem pendidikan sedia ada belum cukup memuaskan selagi tidak membantu murid menjadi manusia sempurna selepas dewasa kelak," katanya. Beliau turut mencadangkan beberapa ciri positif sistem pendidikan lama sekitar 1960-an wajar dinilai semula untuk diserap kembali ke dalam sistem pendidikan terkini. Selain itu, NKRA ini turut menerima pujian ahli jawatankuasa tersebut yang juga pengasas Transparency International, Michael Hershman yang percaya usaha dan inisiatif yang diambil wajar menerima pengiktirafan antarabangsa. Beliau turut mencadangkan pertubuhan pendidikan antarabangsa dijemput ke negara ini untuk menilai dan membuat ulasan perkembangan semasa NKRA ini. "Walaupun banyak amalan terbaik yang boleh saya kongsikan, saya lebih suka melihat Malaysia meneruskan pendekatan di luar kelaziman ini. Jika berjaya, maka pihak lain pasti akan mengikut jejak anda," jelasya.

UTUSAN MALAYSIA
5 APRIL 2011

ISU UMUM : POLIMEK TANAH NCR

Oleh ZULKIFLI JALIL dan SAIFUL HAIZAN HASAM
pengarang@utusan.com.my


Dipercayai salah satu isu yang akan dimuatkan dalam Manifesto Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 ialah penjelasan dan komitmen parti pemerintah itu dalam menyelesaikan isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR). Manifesto ringkas dan padat yang bakal dilancarkan sehari dua ini akan memberi input serba sedikit tentang inisiatif kerajaan negeri membabitkan tanah yang wujud berdasarkan adat pelbagai etnik itu. Selebihnya bergantung kepada bagaimana calon-calon BN mampu menjelaskannya kepada rakyat. Tanah NCR diteroka masyarakat Bumiputera sejak kedatangan Rajah Brooke lagi. Ia diusahakan masyarakat Bumiputera untuk tujuan penempatan dan pertanian sejak penguasaan British di negeri itu. Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Sajeli Kipli, masalah timbul apabila ada penduduk mendakwa tanah di kawasan lain yang hakikatnya tidak diterokai untuk tujuan penempatan dan pertanian serta tidak diselenggara adalah Tanah NCR milik mereka. Tanah yang dikategorikan milik kerajaan negeri didakwa sebagai tanah NCR milik mereka dan menuduh kerajaan negeri merampasnya apabila dimajukan.

Ini meliputi sama ada untuk pembinaan perumahan atau diserahkan kepada syarikat swasta bagi pelbagai tujuan termasuk pembangunan. Justeru, untuk mengelakkan pertelingkahan di antara suku kaum, setiap permohonan penduduk untuk mendapatkan status tanah NCR, maka Jabatan Tanah dan Survei negeri akan membuat kerja ukur atau menyukat. "Kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf tanah NCR tetapi ada orang kata kita tidak berbuat demikian. Namun, orang yang mahukan status itu harus membuktikan dia membuka kawasan pertanian atau penempatan dan menjaga penyelenggaraan kawasan itu," kata Sajeli. Setakat ini kerajaan BN Sarawak mengeluarkan 195,986 geran tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Sarawak dan 2,557 lot telah diwartakan sebagai tanah untuk kegunaan bersama bagi pelbagai tujuan di bawah Seksyen 6. Hakikatnya, BN komited untuk melaksanakan pendaftaran 1.5 juta hektar tanah tersebut ke dalam sisten pendaftaran tanah. Dikatakan pengukuran keliling Tanah NCR akan terus dijalankan dalam membendung seterusnya mengatasi kekhuatiran pemilik tanah adat terhadap tanah masing-masing.

Di bawah konsep baru pembangunan Tanah NCR, hampir 500,000 hektar tanah di seluruh kawasan diluluskan setakat ini dengan pesertanya melangkaui 16,000 orang (pemilik tanah). Sejumlah lebih 20,000 hektar tanah juga berjaya disukat meliputi seluas 28 kawasan manakala sejumlah 234,142 hektar lagi melibatkan 107 kawasan akan disukat tahun ini. Malah penyukatan lebih banyak tanah NCR akan dilakukan di bawah inisiatif baru nanti. Kerana itu, Sajeli meminta rakyat Sarawak sentiasa berwaspada dengan dakyah yang cuba dilemparkan pihak tertentu bahawa kerajaan negeri kononnya telah merampas tanah. Ini lebih-lebih lagi apabila diuar-uarkan bahawa terdapat lebih 200 kes tanah adat yang sudah dikemukakan di mahkamah, namun masih tertangguh sehingga hari ini. Apatah lagi isu Tanah NCR ini paling mudah 'digula-gulakan' di kawasan pedalaman Sarawak dengan banyak kerusi di kawasan tersebut mewakili masyarakat Dayak. Terdapat 29 daripada 71 kesemuanya. Dalam hubungan ini, Sajeli menegaskan, kerajaan negeri tidak boleh mengambil Tanah NCR begitu sahaja.

Tanah NCR terpaksa diambil hanya untuk melaksanakan projek kerajaan seperti hospital, sekolah, jambatan dan seumpamanya untuk kegunaaan masyarakat awam. Jika disahkan itu tanah NCR, maka kerajaan wajib membayar ganti rugi yang berpatutan berdasarkan nilai semasa pasaran tanah. Perkara ini terkandung dalam Seksyen 13 Perlembagaan. Dalam Kanun Tanah Negeri Sarawak, Tanah NCR yang diambil untuk tujuan itu dilakukan mengikut Seksyen 47. Bagaimanapun, daripada 569,004 hektar Tanah NCR yang ada geran, cuma 0.84 peratus yang diambil kerajaan negeri di bawah Seksyen 47. Ia tidak sampai satu peratus pun. Bukan sahaja kerajaan negeri Sarawak komited untuk menyelesaikan isu Tanah NCR ini, malah Kerajaan Pusat diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyediakan peruntukan khusus untuk perkara ini mengikut Inisiatif Baru Tanah NCR. Pada tahun lepas, sebanyak RM20 juta diberikan Kerajaan Pusat dan untuk tahun ini pula sebanyak RM30 juta lagi.

Ironinya dalam soal tanah, bukan sahaja Tanah NCR dijamin haknya oleh kerajaan negeri malah jika diamati tanah Sarawak yang berkeluasan 12.4 juta hektar masih dilitupi hutan dan 14 peratus lagi dilitupi hutan sekunder. Selebihnya pula digunakan untuk pertanian, penempatan dan sungai. Itu tidak termasuk komitmen kerajaan negeri menawarkan kadar pembaharuan surat hak milik tanah kediaman dan premis perniagaan lebih rendah untuk tempoh 60 tahun. Sedangkan di Selangor dan Pulau Pinang, pengiraan premium adalah berdasarkan kepada tanah yang mempunyai tempoh berbaki setahun.

UTUSAN MALAYSIA
5 APRIL 2011