JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



11 Mac 2011

ISU UMUM : MELAYU LUPA KEBERKATAN ?

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my


Nampaknya  orang Melayu Islam telah lupa mengenai pentingnya keberkatan dalam hidup. Bagi Muslim yang mukmin, mereka percaya keberkatan memainkan peranan penting dalam hidup. Oleh itu, mereka akan memastikan segala makanan dan minuman yang masuk ke dalam mulut adalah halal berikutan ia akan menjadi darah daging mereka. Muslim sedemikian, akan memastikan mereka tidak melakukan penipuan dan menerima rasuah bagi mengkhianati kaum sendiri kerana mereka tahu wang yang diperoleh secara tidak halal akan menyebabkan wujudnya titik-titik hitam di dalam hati. Apabila hati telah mati dan menjadi keras, orang Melayu akan menjadi semakin liberal dan bersikap tidak apa apabila hak kaum mereka untuk bekerja atau berniaga diketepikan. Itulah rintihan yang diluahkan oleh seorang aktivis masyarakat kepada wartawan Utusan Malaysia dalam satu pertemuan lebih dua jam pada cuti hujung minggu baru-baru ini.

Apa yang disebut oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan itu adalah masalah besar yang kini menghimpit orang Melayu khususnya para peniaga kerana mereka tidak lagi dibantu oleh kaum sendiri. Menurut beliau, ahli-ahli politik Melayu kini hanya sibuk bergaduh sesama sendiri bagi merebut kuasa dan agama Islam yang masing-masing anuti gagal untuk menyatukan mereka. Dalam masa sama, agensi dan jabatan kerajaan yang sepatutnya menolong orang Melayu lebih mementingkan keuntungan dan melupakan agenda sebenar untuk mengembalikan hak dan maruah kaum itu. Beliau memberi contoh restoran di sebuah kompleks beli-belah ternama di Kuala Lumpur yang menjadi tempat temu bual kami yang sehingga kini gagal untuk mendapat sokongan kewangan daripada kerajaan. Jelas beliau, pengusaha terbabit wajar dibantu kerana dia telah menjalankan tanggungjawab murni untuk mempamerkan pelbagai produk yang dihasilkan oleh usahawan kecil Melayu di premisnya.

''Restoran ini adalah segelintir premis yang diusaha peniaga Melayu di sini dan saudara dapat lihat ia dihimpit oleh banyak gerai lain yang dipunyai bukan kaum kita. ''Ada agensi kerajaan yang pernah menjanjikan bantuan RM5,000 tetapi setelah tiga tahun, pengusaha restoran ini masih menunggu janji ini ditunaikan," ujarnya. Menurut Nadzim, beliau turut menerima aduan daripada seorang usahawan penternakan yang mendakwa beliau ditekan sebuah agensi kerajaan supaya berpindah dari ladangnya. ''Ternakan beliau telah diracun pihak tertentu sehingga rugi berjuta-juta ringgit. Taktik ini digunakan supaya beliau keluar dari situ kerana kawasan berkenaan akan dimajukan sebagai padang golf oleh usahawan dari negara jiran. ''Masalah ini berlaku kerana ada sesetengah agensi kerajaan kita diketuai oleh Napoleon Kecil yang hanya mementingkan keuntungan termasuk komisen yang diterima, bukannya agenda utama untuk membantu orang Melayu," katanya.

Beliau menyifatkan Napoleon Kecil itu sebagai sangat berkuasa dan cukup angkuh kerana mereka tidak menghiraukan surat sokongan daripada Perdana Menteri yang dibawa oleh usahawan itu yang mengarahkan isu berkenaan diselesaikan segera secara baik. Dalam pada itu, beliau juga melahirkan kebimbangan bahawa sikap mengabaikan keberkatan dalam hidup turut menular di kalangan syarikat yang dimiliki parti politik Melayu. ''Jangan terkejut jika saya beritahu saudara bahawa syarikat terbabit telah memesan berpuluh ribu kuih yang dihasilkan usahawan Cina. Mungkin alasan yang diberikan adalah kerana harga yang murah dan servis lebih baik. ''Saya tidak menyalahkan usahawan Cina terbabit kerana dia pandai, tetapi saya menyalahkan orang Melayu seperti ini yang tidak sedar diri," katanya. Bagaimanapun, tegas beliau, komen itu bukan bererti beliau mempertikaikan ajaran Islam sebagai agama yang cintakan keamanan dan kedamaian di antara kaum.

''Islam tidak pernah menegah umatnya berniaga atau berurusan dengan kaum atau bangsa lain. Namun, sebagai Muslim, sepatutnya kita sentiasa membantu saudara seagama dalam segenap bidang. ''Inilah pentingnya soal hati tadi. Jika hati kita tidak mati, sudah tentu kita akan memberi keutamaan membeli barangan atau perkhidmatan di kedai Muslim. ''Jika sudah tidak ada orang Islam yang mampu mengeluarkan sesuatu produk, barulah kita berniaga dengan bukan Islam. Ini tidak, ramai orang kita yang lebih suka berniaga dengan bukan Islam sedangkan produk yang sama boleh didapati di kedai Muslim," ujarnya kesal. Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kehairanan dengan sikap menteri-menteri Melayu yang amat payah untuk membantu kaum sendiri. ''Ada menteri kita kata, saya tidak boleh nak tolong, kerana saya ikut buku. Kalau ikut buku, kita tidak perlu menteri lagilah kerana kita boleh berurusan terus dengan pegawai-pegawai.

''Kita berjumpa menteri kerana mengharapkan mereka dapat menggunakan kuasa budi-bicara termasuk yang menyentuh hak keistimewaan orang Melayu. Menteri kita nampaknya macam tidak jelas agenda masing-masing, hendak tolong pun susah. ''Menteri ini tidak sedar bahawa kaum lain sangat mementingkan aspek bantu membantu dan mereka kena belajar dengan menteri Cina, bagaimana mereka menolong orang Cina," katanya. Tambah beliau, di seluruh dunia budaya bending backwards (melentikkan badan ke belakang) untuk menolong adalah perkara biasa bagi bangsa maju seperti China, Jepun dan Yahudi. ''Kita patut belajar daripada Datuk Seri S. Samy Vellu (bekas Presiden MIC) kerana beliau pernah menelefon Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memaklumkan permohonan sebuah syarikat kaum India untuk mendapatkan sijil halal. Kita mana ada menteri nak buat kerja macam ini,'' ujar beliau.

Tegas beliau, lebih banyak bantuan harus diberikan kepada orang Melayu berikutan kedudukan kaum itu yang masih tidak sama rata dengan kaum lain. ''Kalau kita yang tidak tahu ikat tali sarung tangan tinju pun disuruh berlawan dengan bekas juara dunia, Mike Tyson, ini tentu tidak boleh. Jika ini dibiarkan, kita akan terikat dengan undang-undang dunia iaitu yang kuat akan menjadi raja dan yang lemah menjadi hamba. ''Saya harap saudara tulis perkara ini, bagi menyedarkan semua pihak bahawa kedudukan orang Melayu kini cukup hina kerana kita lemah dalam segenap segi termasuk sosial, ekonomi dan pendidikan,'' katanya. Walaupun situasi sekarang tidak memihak kepada orang Melayu, ujarnya, beliau yakin mereka boleh menjadi kaum yang kuat, jika sedar diri dan sanggup berubah dari sekarang untuk menolong kaum sendiri.

UTUSAN MALAYSIA, 11 MAC 2011



ISU SOSIAL : 1MALAYSIA TIDAK MENGHAPUSKAN IDENTITI KAUM


Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, kerajaan berusaha memantapkan kestabilan politik, ekonomi dan sosial. Pelbagai kegiatan berkaitan dengan pembentukan bangsa atau negara dilaksanakan sejak Malaysia mencapai kemerdekaan. Para pemimpin pelbagai kaum dan agama berganding bahu membentuk satu negara berwawasan dan aman. Hasil persefahaman, gabungan idea dan aktiviti, akhirnya gagasan 1Malaysia menjadi slogan perjuangan kerajaan. Gagasan 1Malaysia berdasarkan keadilan dan kesaksamaan dalam perkongsian kekayaan dan kemajuan negara tanpa mengira kaum dan agama. Ia bukan satu perancangan untuk menghapuskan identiti kaum dan agama. Rakyat Malaysia sepatutnya memahami usaha kerajaan membentuk satu bangsa Malaysia berdasarkan pembentukan warga negara yang menganut pelbagai budaya dan agama, bukan bercirikan integrasi bangsa dan agama.

Kerajaan ingin memperkukuhkan polisi dan dasar di mana setiap keperluan asas dan infrastruktur untuk masyarakat dapat dinikmati oleh keseluruhan masyarakat bandar atau luar bandar. Pelbagai kementerian ditubuhkan oleh kerajaan untuk memastikan setiap perancangan dan program dapat dilaksanakan secara progresif dan proaktif. Kerajaan Malaysia lebih menumpukan perhatian kepada pembentukan bangsa bercirikan identiti budaya dan agama yang pelbagai. Ini merupakan salah satu ciri tamadun yang dibina oleh umat Islam ketika berada dalam era tamadun yang gemilang. Dalam sebuah empayar Islam, masyarakat Islam yang mempunyai pelbagai budaya dan tradisi hidup dengan aman bersama masyarakat bukan Islam yang amat berbeza agama dan budaya. Kerajaan Malaysia tidak berhasrat untuk mengintegrasikan budaya dan agama setiap kaum dalam negara ini menjadi satu agama atau budaya warga negara Malaysia.

Tindakan begini bertentangan dengan fitrah ajaran Islam dan ciri tamadun dalam Islam. Urusan berkaitan dengan rumah ibadah dan hal-hal keagamaan adalah urusan peribadi setiap kaum. Kerajaan hanya menumpukan perhatian kepada perpaduan kaum. Setiap kementerian yang ditubuhkan mempunyai peranan dan fungsi tertentu. Oleh itu, setiap individu yang diberi kuasa untuk mengeluarkan peruntukan dan merancang aktiviti bagi kepentingan masyarakat perlu memahami bidang kuasa masing-masing supaya sikap dan tindak tanduk mereka tidak bertentangan dengan dasar dan objektif kementerian. Setiap individu yang memegang teraju kepimpinan negara sepatutnya memahami gagasan 1Malaysia secara menyeluruh supaya kegiatan dan tindakan mereka tidak menjejaskan prinsip dan definasi konsep tersebut. Mereka merupakan orang yang mencerminkan dasar dan polisi negara.

Kejahilan dalam memahami konsep 1Malaysia menjadi faktor utama menyebabkan individu tertentu sering bertindak bertentangan dengan pengertian konsep tersebut. Perkara ini berlaku akibat terlalu ghairah untuk mendapat sokongan masyarakat tertentu dan pujian daripada pucuk pimpinan negara sehingga terlupa asas dan hukum-hakam Islam berhubung dengan akidah Islam. Gagasan 1Malaysia yang dilaungkan oleh pucuk pimpinan negara mempunyai batas dan kriteria tertentu yang mana ia tidak akan menjejaskan akidah dan keyakinan umat Islam terhadap kesucian agama Islam. Perkara ini sepatutnya difahami para pemimpin supaya tindak tanduk mereka tidak menghakis keyakinan rakyat dan umat Islam bahawa gagasan 1Malaysia hanya menumpukan perhatian kepada aspek pembentukan negara. Perkara berkaitan dengan keadilan dan kesaksamaan dalam menikmati kekayaan negara dan pembinaan tamadun yang unik dan pelbagai merupakan ciri tamadun Islam yang dikenali sebagai unity in diversity.

Jika gagasan 1Malaysia dianggap sebagai satu usaha untuk mengintegrasikan kaum dan agama dalam perspektif yang liberal, maka usaha tersebut tidak mungkin dapat dilaksanakan kerana setiap agama mempunyai batas dan aspek toleransi tertentu. Agama Islam amat prihatin dalam aspek keteguhan akidah Tauhid dan toleransi terhadap agama lain. Hak-hak yang diperuntukkan kepada umat Islam oleh kerajaan perlu disalurkan kepada umat Islam untuk menyemarakkan agama Islam, bukan menggunakan peruntukan tersebut bagi kepentingan politik individu tertentu sehingga terkeluar daripada batas akidah Islam. Bidang kuasa yang diberikan oleh kerajaan kepada institusi yang menerajui hal ehwal umat Islam sepatutnya tidak disalahgunakan bagi kepentingan politik kerana ia merupakan satu amanah yang berat bagi menyemarakkan syiar Islam.

Malaysia merupakan negara Islam yang menuju ke arah tamadun Islam di rantau Asia. Kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan peruntukan bagi menaikkan syiar dan dakwah Islam tanpa mengenepikan kebebasan beragama kepada masyarakat bukan Islam. Kekuatan dan keteguhan agama Islam bergantung kepada usaha dan kegigihan institusi agama Islam dan masyarakat Islam. Kerajaan juga telah menyediakan pelbagai peruntukan dan kemudahan kepada institusi agama Islam dan umat Islam. Justeru berusaha dan proaktif menyemarakkan agama Islam bukan hanya menggunakan kuasa dan kedudukan untuk kepentingan politik sehingga tidak menghiraukan batas akidah dan syariah Islam.

Dr. Saodah Abd Rahman,
Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

UTUSAN MALAYSIA
11 MAC 2011

ISU SOSIAL : KETATKAN KEMUDAHAN PINJAMAN ELAK BERHUTANG BANYAK

Pandangan IKIM


Agak mengejutkan apabila Jabatan Insolvensi Malaysia melaporkan seramai 1,086 penjawat awam diisytiharkan bankrap pada 2009. Mengapa berlaku? Apakah disebabkan pendapatan bulanan tidak mampu memenuhi keperluan hidup mereka? Atau apakah disebabkan sikap individu yang tidak cukup dengan apa yang dimiliki sehingga sanggup membuat pinjaman di sana dan sini sekadar memenuhi kepuasan hidup? Pendedahan yang mengejutkan ini pastinya memberi imej yang buruk kepada kira-kira 1.2 juta penjawat awam negara ini. Kita tidak boleh menuding jari kepada penjawat awam semata-mata dalam soal berhutang, kerana isu ini sudah menjadi gaya hidup masyarakat Islam hari ini yang kian meruncing. Sikap suka berhutang dalam kalangan masyarakat Islam semakin menjadi-jadi. Bukan sahaja institusi kewangan yang menjadi sasaran untuk berhutang, malah ada segelintir tanpa segan silu sanggup berhutang dengan adik beradik, jiran tetangga, rakan sekerja dan ada yang sanggup berhutang dengan majikan kerana hendak memenuhi kepuasan hidup atau sekadar suka-suka.

Persoalannya mengapa mesti berhutang? Antara faktor seseorang itu terjebak dalam hutang adalah disebabkan sikap dan keinginan untuk memenuhi kehendak dan hawa nafsu. Mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk memiliki sesuatu yang tidak mampu ditunaikan kecuali dengan berhutang. Sikap tidak merasa puas dan cukup dengan apa yang dimiliki dan demi memenuhi kehendak, mereka sanggup berhutang untuk mendapatkan sesuatu benda material atau kebendaan dengan cepat dan pantas, walaupun hakikatnya tidak mampu berbuat demikian. Di sini, sebenarnya perlu dilihat jika perkara yang ingin dimiliki itu bukan merupakan perkara asasi atau keperluan dalam kehidupan maka tidak perlulah berhutang, kerana hanya akan menambah bebanan lebih-lebih lagi jika melibatkan institusi kewangan dan perbankan yang mengamalkan sistem riba'. Selain sikap, keistimewaan kemudahan pinjaman yang mudah disediakan oleh institusi kewangan dan perbankan turut menggalakkan individu ini terus berhutang.

Cuba kita lihat syarat-syarat pinjaman peribadi di institusi-institusi kewangan. Sesetengah institusi kewangan hanya mensyaratkan satu hingga tiga bulan slip gaji tanpa perlu penjamin untuk permohonan mereka diproses. Malah tidak sampai seminggu proses kelulusan sudah boleh dapat. Begitu cepat sekali. Kelonggaran pinjaman yang ditawarkan ini mendorong mereka membuat pinjaman walaupun perkara yang diingini itu bukan sesuatu yang mendesak tetapi cuma ingin mencuba atau sekadar suka-suka. Gara-gara berhutang boleh menyebabkan bebanan kewangan semakin bertambah, ini termasuk faedah yang dikenakan hampir dua atau tiga kali ganda jumlah hutang. Akibat tidak tertanggung dek hutang yang semakin tinggi dan sukar membayar semula hutang terbabit, ia membawa pelbagai musibah seperti muflis atau bankrap. Penyakit suka berhutang ini jika diamalkan akan mendatangkan kesan buruk kepada mereka seperti muflis disebabkan bebanan hutang yang tinggi dan gagal melunaskannya.

Begitu juga dengan jiwa orang yang berhutang tidak akan tenteram dan aman. Perasaan gelisah mula menghantui dek kerana bebanan dan tuntutan hutang yang tinggi. Berkemungkinan juga mereka sanggup melakukan pelbagai perkara yang dilarang syarak seperti mencuri, merompak, merasuah dan sebagainya. Turut sama dirasai akibat hutang ini adalah berlakunya tekanan emosi, kehilangan semangat untuk bekerja, menjejaskan prestasi kerja, kecelaruan fikiran, kehidupan keluarga yang tidak bahagia, dan tidak diampuni dosanya oleh Allah SWT. Ini selari dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang menegaskan: “Sesungguhnya Allah SWT mengampunkan segala dosa orang yang mati syahid (di jalan Allah) kecuali (dosa yang melibatkan) hutang piutangnya”. Hadis ini menegaskan kepada umat Islam kepentingan membayar semula hutang dan perkara tersebut tidak boleh dipandang ringan.

Begitu juga hubungan mesra sesama adik beradik, jiran, rakan sekerja dan majikan turut menjadi renggang, malah ada yang tidak bercakap antara satu sama lain akibat hutang yang belum dijelaskan mengikut tempoh perjanjiannya. Bagi menjamin hubungan mesra dan berbaik semula sesama mereka, adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawab si penghutang untuk membayar semula apabila sampai tempoh perjanjiannya. Jangan sekali-kali menangguhkan pembayaran hutang tersebut apabila mempunyai peluang untuk membayarnya kerana perbuatan tersebut digolongkan dalam perbuatan zalim dan dia berhak mendapat hukuman di atas perbuatannya itu. Justeru, dalam mengelak amalan berhutang ini, saya syorkan masyarakat agar berbelanja secara berhemah bukan mengikut kehendak dan hawa nafsu semata-mata. Sikap berbelanja melebihi pendapatan perlu dielakkan agar gaji bulanan yang diterima dapat diagihkan dalam simpanan dan dibelanjakan dengan betul dan sempurna.

Begitu juga pihak yang memberi hutang terutama institusi kewangan, perlulah mengetatkan lagi kemudahan pinjaman terutama kemudahan pinjaman peribadi. Syarat yang longgar akan menggalakkan masyarakat untuk terus berhutang. Selain itu, sebagai umat Islam kita juga berperanan untuk tahu akan pendirian Islam terhadap hutang, keadaan-keadaan yang dibenarkan berhutang, dan kewajipan dalam membayar hutang. Agama Islam mengharuskan seseorang itu berhutang khususnya dalam keadaan darurat atau ketika benar-benar terdesak, tetapi bukan untuk perkara tambahan dalam kehidupan seharian. Sebagai kesimpulan, ditegaskan sekali lagi, apabila seseorang berhasrat untuk berhutang maka hendaklah ia berniat dalam hatinya untuk melangsaikan hutang tersebut mengikut tempoh yang ditetapkan. Kegagalan melunaskan hutang mengikut tempoh yang diberikan boleh dikategorikan mereka tidak amanah dan boleh tergolong dalam golongan munafik.


Islam bukan saja mewajibkan umatnya membayar hutang, malah menjanjikan bahawa kalau berhutang dengan niat untuk membayar, Allah SWT akan memudahkan rezeki orang itu agar dia dapat membayar hutangnya. Perkara ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud: “Sesiapa yang berhutang dengan niat untuk membayar balik, Allah akan mempermudahkannya. Tetapi, jika sesiapa berhutang dengan niat menyeleweng, Allah akan musnahkan harta bendanya.”

UTUSAN MALAYSIA, 11 MAC 2011