Penulis: Azran
Jaffar
Sumber :
Berita Harian Online
Tarikh : 12
Mac 2015 (Khamis)
Memperkatakan
mengenai penerokaan hutan dan penebangan balak di negara ini, timbul dua sudut
pandangan bertentangan, dengan di satu pihak menganggap pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) alam sekitar terlalu sentimental berhubung perkara ini kerana
mengutarakan terlalu banyak masalah kesan kegiatan ini manakala NGO berkenaan
pula menganggap apa yang berlaku, terutama pada waktu ini adalah amat
membimbangkan yang mana jika tidak dibendung kita akan kehilangan khazanah alam
yang cukup berharga. Tidak kurang juga ada yang seolah-olah mempertikaikan
usaha pemuliharaan dan pendidikan dilakukan NGO alam sekitar kerana ada yang
berpendapat hasil hutan menyumbang kepada ekonomi sesebuah negeri dan pada masa
sama pembangunan perlu dilaksanakan. Justeru, di kawasan yang berhampiran
dengan kawasan berpenduduk, hutan harus dikorbankan bagi memberi ruang kepada
generasi seterusnya.
Penerokaan
hutan untuk pertanian
Begitu juga
penerokaan hutan dilihat perlu bagi meneruskan agenda pertanian terutama
komoditi pertanian dan dalam keadaan tertentu penerokaan hutan untuk
perladangan dilihat mengubah taraf kehidupan sesetengah kumpulan masyarakat.
Walaupun ladang komoditi dianggap sebahagian daripada kehijauan yang mewarnai
bumi negara ini oleh pihak berkepentingan, bagi NGO alam sekitar, kehijauan
berkenaan tidak sama kerana ia diisi dengan hanya satu spesies pokok sedangkan
hutan didefinisikan sebagai kawasan yang perlu ada 8,000 spesies pokok.
Melihat
kepada alam sekitar secara keseluruhan yang turut mencakupi samudera negara,
timbul pula dilema, iaitu antara pemuliharaan dan keperluan hidup. Dengan ada
yang melihat kemusnahan alam sekitar berlaku akibat desakan untuk mencari
makan, tindakan menghalang perkara ini dilakukan penduduk berkepentingan
menjadi seakan pemusnah kehidupan mereka yang seolah memiskinkan lagi mereka
yang sudah sedia miskin. Namun, walau apa pun pandangan dikemukakan, sebenarnya
kita memerlukan hutan dan samudera yang sejahtera bagi memperoleh kehidupan
penuh makna. Perubahan cuaca yang berlaku harus menjadi titik kepada semua
pihak menilai semula peranan mereka terhadap pemuliharaan alam sekitar yang
mana jika tidak kemusnahan lebih teruk menjadi ganjaran kepada semua.
Lestarikan
bumi
Justeru,
ramai yang melihat banjir besar melanda beberapa negeri di Semenanjung pada
Disember lalu yang kemudiannya menjangkit ke Sabah dan Sarawak, sebagai titik
tolak untuk semua pihak kembali melestarikan bumi Malaysia yang mana dikatakan
sudah kehilangan hampir 70 peratus hutan hujan yang di dalamnya terkandung
pelbagai rahsia dan misteri. Tidak menolak segala persoalan dibentangkan mereka
yang bertentangan pendapat dengan mereka, NGO alam sekitar sebenarnya mengharapkan
walau apa pun dilakukan ia perlu dilaksanakan dengan penuh lestari dan
bertanggungjawab dan bagi mereka inilah kata kunci sebenarnya dan apa yang
dilakukan itu ada hadnya dan tidak dilakukan sewenang-wenangnya.
Inilah antara
apa yang dilontarkan beberapa pihak berkaitan alam sekitar pada Forum Media
Khazanah Alam PEKA-MPI 2015, baru-baru ini. Program yang dianjurkan bersama
Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) dan Institut Akhbar Malaysia (MPI) dihadiri kira-kira 100 peserta
terdiri daripada wakil NGO berkaitan alam sekitar, wakil institusi pengajian
tinggi dan pengamal media. Menyangkal pandangan mereka yang menganggap ladang
kelapa sawit dan getah sebagai hutan, Naib Presiden PEKA, Dr Abdul Razak Abdul
Rahman, berkata hutan ini hanya ada satu jenis pokok dan bertanya, lantas
kepelbagaian apakah yang ditawarkan. Ini juga bertentangan dengan sifat semula
jadi hutan hujan yang bertindak sebagai sumber air dan dari aspek lain, adalah
pengawal banjir yang cukup hebat.
Kepentingan
hutan hujan
Inilah
sebenarnya pasangan sejoli, hujan yang banyak diterima rantau sebelah sini
ditemukan dengan hutan hujan yang menjadi pelengkap kepada kejadian alam dan
apabila ia dipisahkan, maka kesannya adalah banjir yang diterima. Tiada lagi
kesepaduan antara keduanya dan ungkapan lengkap melengkapi menjadi satu
tinggalan yang kesan akhirnya kepada manusia itu sendiri. Jika dilihat dari
satu aspek, hutan sebegini 'menghalau' penghuni asalnya yang satu masa dahulu
membiak kerana habitat yang ada membolehkan proses ini berlaku dan kini
kehijauan dinikmati tidak sama dan walaupun ada masanya mereka berkunjung juga
ke tanah asal itu, tetapi kehadiran mereka dilihat sebagai ancaman kepada tuan baharu.
Jelas Abdul
Razak, Malaysia kehilangan bilangan hektar yang besar hutan hujan setahun yang
menjadi sumber air dan bagi pemegang konsesi mereka diberi tempoh satu hingga
tiga tahun untuk menanam semula, namun sukar untuk dipastikan pihak yang bertanggungjawab
melaksanakan tugas penting ini, memantau proses penanaman semula. Dakwanya
lagi, sukar juga untuk dipastikan sama ada royalti diterima digunakan untuk
tanam semula. Ketidaklestarian dalam penerokaan hutan inilah yang sebenarnya
dibimbangkan NGO alam sekitar dan sebagaimana kata Presiden PEKA, Puan Sri
Shariffa Sabrina Syed Akil, kegiatan ini bukan sahaja menggugat kehidupan,
tetapi juga menjauhkan pelancong dari negara ini dengan United Kingdom
contohnya telah mengeluarkan Taman Negara dari destinasi pelancongan mereka.
Kelestarian
hutan menyumbang kepada pendapatan negara
Jadi, di mana
benarnya hanya pembalakan mampu memberikan sumber ekonomi kepada negara
sebaliknya kelestarian hutan juga sebenarnya mampu menyumbang pendapatan,
justeru menjaga dan memuliharanya bukan sahaja mengekalkan kehijauan yang ada,
tetapi juga memberi kebaikan kepada semua. Sebagaimana katanya lagi, kemusnahan
hutan menyebabkan sungai menjadi kecil, air menjadi keruh dan kita kehilangan
banyak spesies haiwan dan keajaiban inilah yang hendak dilihat dan diwariskan
kepada generasi seterusnya. Menyambung hujah ini, Penyelidik di Sahabat Alam
Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman, berkata kita dikenali kerana
mempunyai hutan paya bakau yang terpelihara di daerah Larut Matang, tetapi
tidak begitu keadaannya di daerah Manjung yang mana hutan berkenaan mengalami
kemusnahan kesan daripada pembangunan. Kedua-duanya
berada di negeri yang sama dan kedudukannya juga tidaklah begitu jauh, namun
dua situasi ini mampu memberikan kita persepsi yang pelbagai dan jelas apa yang
berlaku di Manjung perlukan pembelaan, kerana hutan paya bakau adalah antara
tembok terbaik untuk ancaman tsunami yang mana fungsi ini perlu dijaga dengan
sebaiknya.
Isu Cameron
Highlands
Sementara
itu, Timbalan Ketua Setiausaha 1 (Pengurusan Sumber Asli) Kementerian Sumber
Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor, berkata isu alam sekitar
terletak di bawah Kerajaan Negeri dan ada masanya Kerajaan Persekutuan perlu
masuk campur seperti apa yang berlaku di Cameron Highlands dan isu alam sekitar
sebenarnya membabitkan semua. Daripada apa yang diperkatakan, jelas kita
memerlukan satu pendekatan lebih tegas dalam menangani dan mengawasi proses
penerokaan hutan di negara ini supaya usaha mengekalkan dan memulihara apa yang
ada dapat dilakukan dengan sebaiknya dengan apa yang lebih penting adalah
kualiti kehidupan rakyat dapat dijamin kerana tiada gunanya kita menjadi negara
maju tetapi khazanah berharga menjadi gadaian.
Justeru,
antara sumber pendapatan kepada kerajaan negeri dan kepentingan manusia secara
keseluruhan, kelestarian hutan perlu menjadi agenda kerajaan negeri kerana
kesejahteraan hidup juga adalah sesuatu yang penting dan tona-tona kehijauan
hutan adalah satu warna yang cukup menenangkan.