JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



29 Disember 2011

ISU KENEGARAAN : PERSPEKTIF AKADEMIK PERKARA 153

DATUK RUHANIE AHMAD ialah bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor dan bekas pelajar pasca siswazah bidang strategi dan keselamatan di UKM.


Artikel ini disedut daripada penyelidikan akademik dengan hipotesis bahawa pelbagai peruntukan strategik dalam Perlembagaan Persekutuan boleh mencetuskan ancaman keselamatan masyarakat, keselamatan nasional dan kelangsungan negara jika ditafsirkan menerusi perspektif yang serong dan sempit. Ini kerana Malaysia, sebuah negara bangsa di era pramerdeka telah ditransformasikan menjadi negara majmuk di era merdeka; sementara bangsa Melayu dan bumiputera sebagai penduduk asal, serta keturunan Cina, India dan lain-lainnya selaku golongan migran di era pramerdeka telah digemblengkan menjadi warganegara dengan nasionaliti yang sama, menerusi kuasa Perlembagaan Persekutuan pada 15 Ogos 1957. Hakikat ini menyebabkan Malaysia sentiasa terdedah kepada pelbagai elemen konflik (Buzan 1991:72), dicirikan oleh konflik etnik (Marger 2003:6), dan berkemungkinan dicengkam keadaan tidak selamat (Kaufman 2008:201).

Perkara 153 mengenai keistimewaan Melayu dan bumiputera dimaktubkan ke dalam Perlembagaan negara berdasarkan mandat utama Ratu Inggeris dan Raja-Raja Melayu kepada Suruhanjaya Reid - mewujudkan a common nationality for the whole of the Federation and the safeguarding of the special positions of the Malays and the legitimate interests of other communities. Suruhanjaya Reid juga mendapati kedudukan istimewa Melayu memang sentiasa diiktiraf di dalam pelbagai perjanjian antara pihak British dengan Negeri-Negeri Melayu. Hakikat ini juga termaktub di dalam The Federation Agreement 1948 di mana Pesuruhjaya Tinggi British dipertanggungjawabkan dengan pemeliharaan keistimewaan Melayu dan kepentingan sah lain-lain bangsa. Huraian ini bermaksud pemaktuban Perkara 153 bukan diperjuangkan oleh Perikatan. Sebaliknya, kerana peruntukan yang sama termaktub di dalam Perlembagaan Negeri-Negeri Melayu dan The Federation Agreement 1948. Ini disahkan oleh Lennox-Boyd selaku Setiausaha bagi Tanah Jajahan British seperti berikut:

The special position of the Malays was recognised in the original treaties made by His Majesty in previous years, and Her Majesty Queen Victoria and others with the Malay States. It was reaffirmed when these treaties were revised. It was confirmed in The 1948 Agreement, and reference was expressly made to it in the terms of reference of the Reid Commission. So the Malay privilege clauses in the articles of the Constitution do not, in the main, introduce any precedent, but give recognition in the Constitution to the existing situation. The Reid Commission found very little opposition in any quarter in Malaya to the continuance of the present system for a time (ibid:12 Julai 1957). R. H. Hickling (1979) pula menegaskan, pemaktuban Perkara 153 adalah berkait rapat dengan tahap kemiskinan bangsa Melayu di era penjajah. Huraian ini boleh difahami dengan lebih jelas menerusi pelbagai perangkaan mengenai tahap ekonomi di Tanah Melayu pada di era penjajahan. The Deptartment of Statistics (1958-1960) menegaskan, etnik Cina pada ketika itu [pada tahun 1957] menguasai ekonomi negara secara kukuh sementara orang Melayu masih dalam kemiskinan.

Ling Liong Sik (1995:3) menyatakan, seawal tahun 1937, pelaburan etnik Cina di Malaysia adalah sebanyak AS$200 juta berbanding pelaburan asing lainnya sejumlah AS$454.5 juta. Gomez & Jomo (1997:14-15) menegaskan, pada tahun 1950-an, syarikat-syarikat Eropah menguasai 65 peratus (%) hingga 75% perdagangan eksport dan 60% hingga 70% perdagangan import [di Tanah Melayu]; syarikat-syarikat etnik Cina menguasai 10% daripada agensi eskport; syarikat etnik India menguasai 2% daripada perdagangan berkenaan; orang Melayu langsung tidak memiliki sebarang ekuiti dalam mana-mana perdagangan. Dalam konteks di atas Faaland, Parkinson & Rais Saniman (2000:16-17) menegaskan seperti berikut: Orang Melayu menganggap peruntukan [Perkara 153] sebagai sesuatu yang suci, manakala setengah-tengah orang bukan Melayu mempersoalkan sama ada peruntukan tersebut adalah berkaitan dan mengikat hinggakan pada hari ini.

Mengikut mana-mana tafsiran yang munasabah, makna peruntukan tersebut di dalam Perlembagaan adalah bahawa kesejahteraan ekonomi dan sosial orang Melayu yang lemah dari segi ekonomi hendaklah dilindungi dan digalakkan berbanding dengan orang bukan Melayu yang lebih maju. Sebagai balasan kerana diberikan kelebihan begini, orang Melayu mengadakan konsesi yang berpadu mengikut kuasa politik dengan memberikan kewarganegaraan Persekutuan kepada orang bukan Melayu. Sebagai tambahan, orang bukan Melayu dijaminkan bahawa mereka bebas menjalankan perniagaan tanpa diganggu, boleh mengekalkan dan mengembangkan budaya serta warisan mereka sendiri, dan boleh hidup secara berasingan. Dengan kata lain, Perlembagaan mengadakan peruntukan khas untuk orang Melayu, manakala warganegara bukan Melayu mempunyai haknya yang dijamin di bawah Perlembagaan (ibid). Tan (1987:251) pula menegaskan, Perkara 153 sebenarnya mempunyai "careful balancing which has important bearing not only on social justice but even ethnic relations is also reflected in the provision for Malay reservations." Beliau mengetengahkan dua contoh khusus - pertamanya mengenai Perkara 153(9) yang memaktubkan "tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh memberi Parlimen kuasa untuk menyekat perniagaan atau pertukangan semata-mata bagi maksud perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak."

Keduanya mengenai tanah simpanan Melayu. Tan memetik Perkara 89(2)(a) yang memaktubkan "jika mana-mana tanah di sesuatu negeri diisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu di bawah Fasal ini, suatu keluasan tanah yang sama dengan luas tanah itu di dalam negeri itu yang belum dibangunkan atau dicucuk tanam hendaklah diadakan bagi pemberian hak milik umum." Huraian Faaland et al. (2000) dan Tan (1987) membuktikan Perlembagaan Persekutuan adalah adil kepada seluruh warganegara Malaysia. Lantas adalah meleset untuk mana-mana pihak mentafsirkan Perkara 153 sebagai peruntukan yang menindas rakyat bukan Melayu. Demikianlah latar belakang pembentukan Perkara 153 yang telah dikaji oleh Suruhanjaya Reid, Perikatan dan Jawatankuasa Kerja Tripartite dianggotai oleh wakil-wakil Kerajaan Perikatan, Raja-Raja Melayu dan Kerajaan British. Kesimpulannya, Perkara 153 adalah peruntukan yang dimaktubkan secara teliti dan profesional bagi mengiktiraf sejarah dan jati diri bangsa Melayu dan bumiputera di tanah air asal mereka yang dikenali sebagai Tanah Melayu. Tafsiran sempit dan serong terhadap peruntukan ini boleh menyemarakkan sentimen perkauman dan berpotensi mencetuskan konflik etnik yang mengancam keselamatan masyarakat, keselamatan nasional dan kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang kini aman, damai, makmur dan sejahtera.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
29 DISEMBER 2011

ISU FILEM : LPF TUTUP KEDAI, HILANGNYA OZON HIBURAN

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS


Lembaga Penapis Filem (LP F) dikatakan tidak akan menapis lagi filem yang bakal ditayangkan di panggung wayang mulai tahun hadapan. Kemajuan dunia siber hari ini memberi cabaran yang hebat kepada lembaga ini untuk menjadi penapis yang berkualiti. Apa guna menapis di depan tetapi di belakang adegan tapisan boleh ditonton. Di panggung wayang, gambar boleh dikawal tetapi melalui pengedaran cakera video digital (DVD) semuanya boleh ditonton tanpa ditapis walau sebesar hama. Idea untuk penerbit menapis sendiri, dari satu segi boleh dijustifikasikan kerana ledakan media baru hari ini. Namun impak kepada masyarakat jangan dilupai. Penggiat filem tempatan yang selama ini memberi komen, LPF menyekat kreativiti mereka diharap menggunakan peluang tersebut. Sesungguhnya lapisan 'ozon' hiburan yang bukan sahaja menipis malah sudah lupus akan menjadikan bahang sensitiviti semakin mendekat audiens yang merupakan rakyat Malaysia - majoritinya beragama Islam dan mengamalkan adat budaya ketimuran.
Kebebasan apabila terlalu banyak ia menjadikan kreativiti tidak mempunyai sempadan, seakan-akan pintu empangan hidro dibuka menyebabkan air berlebihan melimpah. Begitulah keadaan, jika tiada garis panduan dikeluarkan maka wujudlah situasi pembuat filem bakal disaman dan diheret ke mahkamah kerana mengganggu sensitiviti sesuatu kelompok. Filem kita wajah kita, sebagaimana tema penganjuran sebuah festival filem tempatan mungkin akan menjadi 'filem kita wajah buruk kita'. Di Hollywood, kebebasan membuat filem diterjemahkan dengan pembikinan filem yang berteknologi tinggi dengan kesan-kesan khas tidak lagi bergantung kepada pelakon-pelakon stunt yang berhati kering. Kita tidak mahu penerbit filem membuat tapisan sendiri dengan mentafsir adegan seks sebagai suatu syarat filem boleh jual. Hari ini ada penerbit filem berpandangan hanya filem seram mampu mengembungkan kantung penerbit filem. Maka filem seperti aksi hebat Agent IMF Ethan Hunt dalam Mission Impossible 4-Ghost Protocol mungkin tidak akan dihasilkan oleh penerbit di negara kita.

Dengan kos jutaan dolar sudah pasti penerbit kita lebih berminat untuk menghasilkan lebih ramai hantu sebagai bintangnya. Sekurang-kurangnya mereka tidak akan perlu membeli alat solek tebal untuk 'mencantikkan', cukup dengan tiga warna asas hitam, putih dan merah untuk warna darah. Dalam tahun 1970-an di zaman penerbitan filem di Studio Merdeka Hulu Kelang sebuah filem bertajuk Terbabas telah mempamerkan adegan erotik yang menonjolkan payudara sebagai sebahagian jalan cerita. Walaupun ia ada kena mengena dengan jalan cerita bersangkut paut pelanggaran ajaran agama Islam ia memberi impak bahawa jika Hollywood boleh mengapa kita tidak boleh. Soalnya, adakah adegan ghairah mampu menjual filem atau ia menggadai moral pelakon itu sendiri. Sebaik-baiknya satu garis panduan diumumkan oleh kerajaan kerana filem bukan sahaja melibatkan Kementerian Dalam Negeri malahan melibatkan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama Islam) malahan isu perfileman akan menyebabkan ia didebatkan hingga ke peringkat Dewan Rakyat.

Cukup-cukuplah isu buang bayi dan isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT), sepatutnya LPF diperkasakan bukannya dibinasakan. Filem mampu menajamkan minda dan juga merosakkan minda jika salah dihayati tanpa tapisan berkualiti. Adakah kita mahu tahun 2012 dipenuhi dengan isu perfileman semata-mata, sedangkan urusan rakyat yang lain perlu diberi perhatian juga. Dalam situasi ozon hiburan genre filem semakin menipis dan terhakis, pengarah dan penerbit filem memerlukan garis panduan yang terperinci dari segala segi merangkumi aspek agama, moral, budaya, undang-undang dan sensitiviti pihak tertentu agar kebebasan berkarya tidak disalah tafsir hingga mewujudkan banyak lompong dalam ketelusan kerajaan memberi kebebasan untuk karyawan filem meluahkan idea mereka. Justeru, pihak berwajib perlu segera memastikan garis panduan tersebut dapat diwujudkan agar tiada penerbit akan berkata, no sex no taxes (tak ada seks tak dapat mereka membayar cukai kepada kerajaan).

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
29 DISEMBER 2011