JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



15 September 2012

ISU NEGARA : NARATIF IDEAL HARI MALAYSIA


Rencana ini ditulis oleh
Khairuddin Mohd. Zain
Penganalisis sosial


Hari Malaysia - sememangnya wajar disambut dengan semangat yang positif dan baik. Memang mungkin ada, di kalangan kita, mereka yang gemar memberikan irama politik kepada semua perkara, untuk mendendangkan rentak Hari Malaysia mengikut suasana dan iklim politik yang ada. Ironinya, mereka gemar menarik dan menggunakan nama 'rakyat' dalam mengemukakan naratif pesimis lagi merosakkan mengenai Hari Malaysia. Kepada mereka, Hari Malaysia adalah hari untuk menjurang perbezaan sejarah, mendahulukan parameter kuasa, menggunakan sentimen dan faham jumud untuk menggambarkan mereka sebagai 'hero baru' yang bercakap mengenai kuasa mutlak dan peluang meletakkan diri sendiri di puncak kuasa. Sentimen ini sememangnya menghangat apabila suasana pilihan raya semakin hampir.

Bersesuaian dengan niat politik yang ada, mereka perlu membugar semangat anti-Persekutuan. Meletakkan hijab politik di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Semangat anti-Persekutuan dan meletakkan hijab politik kepada hubungan baik Sabah, Sarawak dan Malaysia secara keseluruhannya dirasakan mereka mampu memberikan pulangan politik yang setimpal. Kepedulian mereka terhadap semangat Rukunegara berada di tahap yang sangat rendah. Malahan ini boleh kita sama-sama rasai dengan kesungguhan mereka menampilkan banyak insiden anti-negara dan kepimpinan yang dilaksanakan kebelakangan ini. Apa yang penulis khuatir, semangat mendapat pulangan dan dividen politik sudah menyebabkan mereka kalangan yang sangat Machiavellian di dalam pendekatan politik. Segalanya dibolehkan, asalkan niat mereka mendapat kuasa dapat direalisasikan secepat mungkin.

Mereka tidak sangsi untuk menggunakan apa sahaja bahan untuk mengemukakan pelbagai hujah kononnya apa yang kita nikmati ketika ini bukanlah satu bentuk ikatan politik yang 'ideal' pada hemat dan pandangan mereka. Bukanlah lagi satu rahsia, keinginan mereka membuka dokumen sejarah mempunyai niat yang sangat mencurigan. Kumpulan yang kecil ini gemar menggunakan dokumen sejarah sebagai alat membina sentimen kebencian kepada orang lain. Niat, semangat, iltizam, kesungguhan - generasi terdahulu dalam mencari 'titik persamaan' dan meletakkan 'semangat Malaysia' mendahului perkara-perkara yang lain, tidak mereka hayati dan hargai. Yang lebih mereka cari, adalah sebarang kelemahan yang boleh memberikan ruang mereka berpolitik dan menabur janji. Inilah naratif politik yang mahu mereka budayakan. Naratif politik berdasarkan kebencian dan semangat kenegerian sempit. Naratif politik yang menjurus kepada usaha merosak dan meruntuh.

Generasi muda Malaysia secara keseluruhannya memerlukan naratif yang lebih ideal tentang Hari Malaysia. Naratif yang lebih ideal ini akan memberikan gambaran yang lebih tepat mengenai hubungan kita di bawah naungan Perlembagaan. Dalam mencari naratif ideal ini, seharusnya kita tidak lagi terlalu memberatkan elemen dendam dan kecam. Sebaliknya membina pandangan bahawa semua daripada kita adalah anak Malaysia. Pandang kenegerian yang kadang kala terlalu ekstrem akan mengehadkan interaksi yang lebih positif dan bermakna.

Mendahulukan Semangat Malaysia

Secara keseluruhannya, tidak ada usaha mana-mana pihak sekalipun untuk menidakkan sebarang kuasa dan keistimewaan yang selama ini dinikmati oleh Sarawak dan Sabah. Yang nyata, kerjasama, rasa saling percaya, gerak rasa sejarah - kesemuanya menjurus kepada pengisian 'makna' kepada apa yang telah dipersetujui oleh generasi peneroka kepada ikatan kekeluargaan Malaysia yang terbina dahulu. Penulis yakin, apa sahaja yang terjelma di dalam mana sahaja dokumen perjanjian - pada hakikatnya telah didahului dengan semangat Malaysia yang sebenar. Sebarang perbezaan, kalaupun ada, mestilah dijernihkan dalam semangat kekeluargaan 1Malaysia yang sebenar. Bukannya semangat kebencian, dendam lama dan sebarang interpretasi politik yang kurang matang.

Rakyat Malaysia secara keseluruhannya perlu melihat 'sikap politik' ekstrem sesetengah pihak untuk mengintai dan meninjau peluang untuk mendapatkan dividen politik daripada sebarang permainan janji yang ada. Kepada mereka, sebarang perjanjian sebelum ini hanyalah satu penzahiran kerjasama yang hanya wujud di atas kertas dan bukan dalam bentuk semangat kekeluargaan yang sebenar. 16 September 1963 wajarlah diraikan bukan sahaja sebagai legasi sejarah yang pasif - namun sebagai hubungan dinamik Sabah dan Sarawak, di dalam 'keluarga' Perlembagaan Malaysia.

Kesediaan generasi pimpinan dan rakyat Sabah dan Sarawak terdahulu untuk berkongsi 14 jalur sama lebar yang ada di atas Jalur Gemilang adalah satu langkah politik yang luar biasa hebat dan berpandangan jauh. Sememangnyalah, generasi terdahulu mempunyai 'hikmah politik' yang luar biasa hebat. Hikmah politik inilah yang kita sama-sama nikmati sehingga ke hari ini. Sentimen yang terlalu dibaluti dengan irama politik kadangkala kedengaran sangat ekstrem dan membawa elemen yang menjauhkan hubungan dalam keluarga Malaysia yang ada. Apakah mereka ini mahu membawa janji baru sebagai taruhan mendapat keuntungan politik semata-mata? Di mana letaknya keikhlasan sekiranya apa yang sering kali diungkapkan adalah soal parameter kuasa? Kadang kala ia membuatkan kita tertanya-tanya, apakah ini sebagai kaedah mereka untuk membulatkan kuasa di tangan mereka?

Generasi muda Malaysia, baik di Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak - perlu membuka naratif politik yang lebih berpandangan jauh. Sewajarnyalah, kita perlu mengetepikan sedikit sebarang isu dan sentimen kenegerian yang ekstrem dan mula membuka wadah politik Malaysia yang lebih murni. Lebih baik lagi, sekiranya kita tidak terlalu terbawa- bawa dan terikut-ikut dengan sentimen yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu. Kita perlu melihat, cubaan demi cubaan untuk meluas jurang sesama kita sebagai model politik yang tidak bertanggungjawab. Wajar agaknya, generasi muda Sabah dan Sarawak memberikan mesej yang jelas, bahawa zaman politik adu domba dan meruntuh negara, sudah tidak lagi berada dalam zamannya. Kumpulan yang gemar memporak-perandakan kestabilan politik ini perlu diajar dengan tamparan politik yang lebih besar.

Mengisi Makna 1Malaysia

Tidak mustahil, daripada sudut 'semangat dan gerak rasa', mungkin sahaja idea 1Malaysia sudah difikirkan lama antara tempoh 1957-1963. Mungkin sahaja, jurang masa enam tahun itulah juga memberikan ilham dan menjelmakan keyakinan, bahawa Sabah dan Sarawak - lebih molek ditampilkan dalam keluarga Malaysia yang lebih besar. Hubungan akrab inilah yang akhirnya memberikan kita kesempatan meraikan Hari Malaysia dalam erti kata yang sebenar. Kita perlu merancang untuk membawa Malaysia ke tahapnya yang lebih baik dan berjaya. Segala perancangan ini mungkin sahaja gagal, sekiranya rakyat terus ditaburi dengan janji politik yang kasar dan meruntuh hubungan. Percayalah, kerjasama politik yang ibarat 'enau dalam belukar - gemar melepaskan pucuk masing-masing', tidak akan membawa kita jauh ke hadapan.

Rakyat perlu memperbandingkan secara ikhlas dan jujur, naratif politik Hari Malaysia mana yang lebih merealisasikan harapan dan berpandangan jauh. Sikap politik yang mengibaratkan Sabah dan Sarawak sebagai 'taruhan dan komoditi politik' semata-mata adalah hubungan yang tidak jujur. Yang nyata, semangat 1Malaysia sudah hampir sahaja menipiskan perbezaan antara kita. Sabah dan Sarawak tidak pernah tertinggal dalam parameter kepentingan nasional. Malahan, ada ketikanya, Sabah dan Sarawak menjadi bata-bata penting untuk kita sama-sama melonjak dengan lebih jauh.

Secara idealnya, Hari Malaysia patut menjadi tarikh keramat untuk kita membuang rasa sangsi, kurang percaya, benih kebencian sesama kita. Slogan-slogan yang gemar mengungkap semangat kenegerian dan sebagainya perlu dimurnikan dengan pandangan yang lebih besar mengenai masa hadapan Malaysia. Hikmah politik 1963 ini perlu diperjelaskan lagi kepada anak muda Malaysia seluruhnya. Apa sebenarnya semangat dan rasionalnya? Apa cita-cita jangka panjangnya? Hikmah politik yang turut dikongsi oleh 80 % penduduk Sabah dan Sarawak di dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold ini pastinya bukanlah keputusan semberono dan sesuka hati. Hikmah politik inilah yang hendak dipijak-pijak oleh kumpulan politik yang tidak bertanggungjawab.

Moga-moga Hari Malaysia Ke-49 ini memberikan kita naratif yang lebih ideal tentang hubungan kita sebagai sebuah negara. Mungkin masanya sudah tiba untuk kita memberikan komitmen jelas bahawa kita sudah semakin matang dan tidak mudah terbuai dengan sentimen kenegerian yang terlalu ekstrem.

Sumber :
Utusan Malaysia
15 September 2012

ISU NEGARA : ANTARA HARI KEMERDEKAAN DENGAN HARI MALAYSIA


Rencana ini ditulis oleh
SOFI RAHMAN


Ramai di kalangan anak muda yang sedikit terkeliru di antara Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Ramai yang tidak sedarkan kewujudan Hari Malaysia kerana apabila dilontarkan tarikh keramat itu ramai yang akan memberikan jawapan 31 Ogos. Tidak adil untuk kita sekadar membebankan kekeliruan itu di atas bahu mereka semata-mata tanpa kita memikirkan apakah kita telah mengambil pendekatan yang cukup untuk menyedarkan mereka tentang kewujudan tarikh Hari Malaysia. Benar, kita menyediakan segala bentuk kemudahan dan kemodenan untuk dinikmati oleh mereka dan generasi akan datang tetapi khuatir yang disediakan itu akan menyebabkan mereka menjadi lalai kepada sejarah. Sama ada suka atau tidak, hakikat yang harus kita terima bahawa sejarah menjadikan Malaysia sesempurna ini hasil pengemblengan bersama rakyat Malaysia sama ada di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak.

Jika diimbas kembali kepada sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 pada 31 Ogos lalu, renung-renungkanlah sama ada kita mampu menarik anak-anak muda ini untuk merenung kembali setiap titisan peluh yang dititiskan oleh generasi terdahulu dalam usaha mencapai kemerdekaan atau kita sekadar mampu membuatkan mereka menjeritkan perkataan merdeka dan membulatkan mata mereka merenung setiap percikan bunga api di angkasa pada detik 12 tengah malam. Kerisauan ini dirasakan apabila saban hari berbanding tahun sebelumnya, kemeriahan rakyat terutamanya anak muda dalam meraikan hari kemerdekaan semakin dingin. Lihatlah di sekeliling anda apakah masih ada lagi bendera-bendera yang digantungkan atau dikibarkan di kereta-kereta mahu pun premis-premis? Jika ada pun sekadar menghiasi yang kebanyakannya adalah kenderaan rasmi dan premis kerajaan.

Teringat pula kepada kata-kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan(KPKK), Datuk Seri Dr. Rais Yatim bahawa menyambut apa jua acara sambutan yang berkisar kepada sejarah Malaysia tidak boleh hanya dinilai kepada bilangan yang hadir dan bilangan yang mengibarkan bendera semata-mata tetapi jauh daripada itu adalah melahirkan jiwa yang penuh kecintaan kepada negara. Tentunya kata-kata yang lahir daripada seorang Menteri apatah lagi daripada orang berpengalaman luas haruslah difikirkan secara bersama pendekatan bagaimanakah yang harus diambil untuk memberikan rasa cinta itu kepada anak-anak muda. Walaupun sehebat itu dan sebenderang angkasa yang kita warnakan pada detik 12 malam 31 Ogos pun kita masih tertanya-tanya apakah anak muda benar-benar menjiwai rasa cinta kepada negara inikan pula berhubung Hari Malaysia yang mungkin masih samar-samar pengertiannya di jiwa mereka.

Kita tidak mahu kekeliruan berhubung Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang semakin bersawang di minda anak muda diburukkan lagi oleh mereka yang berkepentingan dalam politik. Pelbagai dakyah palsu dilontarkan mereka kepada anak-anak muda di Sabah khususnya semata-mata mahu menyemai rasa benci mereka kepada kerajaan. Minda anak muda di Sabah dan Sarawak terus disogokkan dengan dakwaan bahawa kerajaan sekarang meminggirkan dan tidak membela nasib rakyat Sabah dan Sarawak. Hujah yang agak dangkal yang mereka gunakan itu dikhuatiri akan ditelan mentah-mentah oleh anak muda biarpun hakikatnya Sabah dan Sarawak tidak pernah dipinggirkan mahupun dianaktirikan.

Lihat sahaja barisan Jemaah Menteri dalam pentadbiran kerajaan. Sejak dari dahulu sehinggalah ke detik hari ini, anak-anak Sabah dan Sarawak tidak pernah dikecualikan daripada memegang jawatan Jemaah Menteri. Kemudahan di Malaysia diselaraskan di seluruh negara termasuklah Sabah dan Sarawak. Hospital kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan pelbagai lagi kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak. Justeru, bagaimana boleh kita menerima bahawa Sabah dan Sarawak dianak tiri dan dipinggirkan? Ramai anak-anak muda Sabah dan Sarawak yang berjaya mendapatkan pekerjaan yang baik di negeri kelahiran mereka sendiri dan tidak kurang juga ada di kalangan anak muda daripada tanah Semenanjung yang berhijrah ke Sabah dan Sarawak untuk mencari rezeki.

Begitu juga jawatan penting di peringkat Persekutuan, Sabah dan Sarawak yang diisikan oleh rakyat dari kedua-dua negeri itu. Semangat integrasi nasional segala-galanya berjalan dengan baik dan tidak ada sebarang rasa buruk sangka di antara anak Semenanjung dengan anak Sabah dan Sarawak. Kebersamaan inilah yang sememangnya diidam-idamkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak apabila memperkenalkan Gagasan 1Malaysia ketika mengambil alih tampuk pemerintahan. Biarpun sebenarnya perjuangan menyatukan seluruh rakyat Malaysia bukanlah perkara baru tetapi Perdana Menteri tampaknya sentiasa berwaspada kepada sebarang tindakan yang sengaja mahu memecah-belahkan rakyat Malaysia.

Mengenai kecelaruan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, adalah diharapkan kerajaan mengambil pendekatan lebih proaktif untuk menerangkan fakta sebenar perihal peristiwa itu secara menyeluruh kepada rakyat Malaysia. Tanggungjawab ini dilaksanakan oleh Jabatan Penyiaran dan Jabatan Penerangan KPKK. Hanya dengan fakta yang benar akan dapat melahirkan rasa kecintaan yang mendalam kepada negara dan dapat menjadi benteng kepada sebarang asakan daripada mereka yang ingin melihat kehancuran negara demi kuasa. Semoga detik 16 September akan menjadi sepenting detik 31 Ogos di dalam kalendar tahunan Malaysia. Kita mahu kepentingan bersama rakyat Malaysia sama ada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak akan menjadi seperti aur dengan tebing dan cubit peha kanan, peha kiri turut terasa sakitnya.

Di bawah kibaran Jalur Gemilang, ayuh kita mengorak langkah bersama untuk menuju ke arah yang cemerlang. Sesungguhnya tidak ada yang mustahil untuk kita gapai sekiranya kita bersatu dan dengan semangat Malaysia Boleh, Pendelela Rinong telah menzahirkan bahawa kita sebenarnya hidup dalam rumpun 1 Malaysia.

Sumber :
Utusan Malaysia
15 September 2012