04 November 2012

ISU SOSIAL : MANSUH HUKUMAN MATI


Rencana ini ditulis oleh
Muhammad Shafee Abdullah
PENULIS ialah peguam kanan di Kuala Lumpur serta bekas Pesuruhjaya Suhakam dan kini dilantik sebagai Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR). Penulisan ini adalah pandangan peribadi beliau.


Hukuman mati ditetapkan untuk beberapa kesalahan, iaitu bunuh dan melancarkan perang terhadap Raja (kesalahan di bawah Kanun Keseksaan), culik untuk mendapat wang tebusan (Akta Culik 1960 berbanding dengan culik di bawah Kanun Keseksaan), mengedar dadah (kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan undang-undang statut lain berkaitan), kesalahan lain berkaitan pemilikan senjata api dan peluru atau bahan letupan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang telah dimansuhkan baru-baru ini.

Kebanyakan hukuman mati adalah mandatori selepas dibuktikan bersalah tanpa sebarang keraguan munasabah. Ini bermakna hakim yang terlibat dalam perbicaraan tidak boleh menggunakan budi bicara ketika menimbangkan hukuman yang ada selain hukuman mati seperti penjara seumur hidup atau menetapkan tempoh tertentu sehingga semaksimum yang boleh, setimpal dengan hukuman mati, yang lebih layak dijatuhkan ke atas pesalah selepas mengambil kira bermacam-macam keadaan yang membawa kaitan dengan kesalahan dan/atau pesalah.

Badan perundangan Malaysia pernah mengamanahkan hakim-hakim dengan fungsi budi bicara yang penting ini. Contohnya, hakim di mahkamah tinggi pernah diberikan kuasa menggunakan kebijaksanaan dan budi bicara dalam mengadili kes-kes pengedaran dadah. Bagaimanapun Peguam Negara sebelum ini kecewa dengan hakikat yang hakim-hakim memilih untuk mengenakan hukuman penjara seumur hidup ke atas pengedar dadah berbanding menjatuhkan hukuman mati. Hakim-hakim berkenaan mempunyai alasan yang baik dalam kebanyakan kes untuk tidak memilih hukuman mati. Dalam apa jua kes, jika hakim terkhilaf akan sentiasa ada proses rayuan yang boleh dilakukan oleh pihak pendakwa untuk menyemak semula keputusan tersebut supaya dijatuhkan hukuman mati. Tetapi pertimbangan tidak matang dan tidak berpandangan jauh nampaknya mengatasi yang lain pada masa itu. Kita telah terperangkap dengan budaya ‘knee-jerk’ iaitu pantang tersentak yang menjadi amalan badan perundangan kita, yang tidak mendapat nasihat sepenuhnya daripada pihak yang mendraf rang undang-undang dan pihak berkuasa berkaitan. Akibatnya, pindaan yang dibuat itu tidak komprehensif dan kurang keselarasan dengan skim sistem undang-undang umum yang sedia ada.

Sekitar 2008, Ketua Setiausaha Kementerian Luar, dalam ucapan penting pada sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata bahawa Kerajaan Malaysia sedang mempertimbangkan langkah-langkah untuk memansuhkan hukuman mati. Ia akan dilakukan secara beransur-ansur. Saya ingatkan langkah pertama adalah dengan mengembalikan semula bidang kuasa budi-bicara kepada hakim-hakim ke atas hukuman semua kesalahan, terutamanya kes-kes pengedaran dadah. Singapura baharu saja meminda undang-undangnya untuk membolehkan ia digunakan bagi kes-kes pengedaran dadah dan kategori bunuh semata-mata dan mereka nampaknya terang-terang mahu mengwujudkan koordinasi dengan Malaysia dalam melaksanakan perubahan yang penting itu. Seperti biasa, kita membiarkan Singapura mendahului kita apabila tidak melakukan apa-apa untuk melaksanakan idea perubahan itu sungguhpun Pejabat Peguam Negara mendakwa sudah menimbangkan idea dan penyelidikan mengenainya sejak setahun lalu. Singapura kini ternampak lebih sedikit liberal dan adil dari segi hukuman melibatkan kes-kes pengedaran dadah berbanding kita! Sungguh ironik! Rakan saya, peguam kanan Roger Tan sudah pun memperkatakan tentang ini di dalam artikel terbarunya.

Malaysia patut memikirkan semula tentang keseluruhan debat mengenai pemansuhan hukuman mati secara menyeluruh dan praktikal, bukan hanya tentang memansuhkan hukuman mati mandatori sebaliknya memimpin serta menjadi penyokong utama untuk melaksanakannya secara aktif dalam kalangan negara ASEAN. Sebagai wakil Malaysia dalam Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), saya telah membangkitkan idea ini beberapa kali dalam kalangan anggota suruhanjaya agar dipertimbangkan oleh 10 negara ASEAN.

Tidak berapa lama dulu, Menteri Undang-undang berkata, bahawa Malaysia mungkin belum bersedia untuk memansuhkan hukuman mati. Nampaknya, menurut beliau, majoriti rakyat Malaysia menentang idea pemansuhan itu. Sejak kebelakangan ini, menteri mencadangkan pemansuhan hukuman mati mandatori dalam kes-kes pengedaran dadah. Ia serupa dengan undang-undang di Singapura sekarang. Sayangnya di negara ini, kita mengambil masa yang panjang untuk menimbangkannya sedangkan kita sepatutnya sudah boleh mendahului.

Debat

Tan Sri Lee Lam Thye baru-baru ini memberi pandangan yang bertentangan berhubung cadangan pemansuhan hukuman mati. Saya mempunyai beberapa hujah untuk menjawab pandangannya itu.

Pertamanya, saya berpendapat beliau mungkin tersalah faham akan kenyataan menteri. Menteri tersebut tidak berkata yang semua hukuman mati akan dimansuhkan. Beliau hanya merujuk kepada hukuman mati mandatori yang terhad kepada kesalahan berkaitan dadah sahaja. Sementara saya menyokong hukuman mati mandatori dalam kes-kes berkaitan dadah dihapuskan serta-merta, saya mencadangkan agar penghakiman dikurangkan secara beransur-ansur sehingga pemansuhan hukuman mati secara total. Saya cadangkan agar beberapa langkah berikut diberi pertimbangan:

Sebagai permulaan, moratorium serta-merta patut diisytiharkan iaitu penangguhan hukuman ke atas semua kes berkaitan sehingga satu keputusan dicapai oleh pihak berkuasa terlibat.

1) Kemudiannya sebagai langkah pertama, keluarkan (remove) hukuman mati mandatori daripada semua kes pengedaran dadah;

2) Keduanya, dalam tempoh setahun, keluarkan hukuman mati mandatori daripada semua kes jenayah tanpa pengecualian;

3) Ketiga, dalam tempoh tiga tahun daripada langkah pertama, mansuhkan semua hukuman mati dalam semua kes kecuali melancarkan perang terhadap Raja dan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan.

4) Keempat, pada masa yang sesuai selepas tiga tahun daripada langkah pertama (tetapi tidak melebihi lima tahun) hukuman mati perlu dikeluarkan biarpun dalam dua kesalahan itu iaitu melancarkan perang terhadap Raja dan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan.

Dalam kata lain, pada akhir tahun ketiga dari langkah pertama, hanya dua jenis kes tersebut masih memakai hukuman mati tetapi bukan secara mandatori sehingga pelaksanaan sepenuhnya seperti dicadangkan di atas. Bagi saya, dua kategori kes itu adalah serius semata-mata kerana ia sepenuhnya menjurus kepada kemarahan masyarakat dan penghinaan kepada polisi umum di mana kesalahan ini adalah yang paling jelik sifatnya dan sentiasa terdapat elemen kejam yang ekstrem bagi kedua-dua kesalahan tersebut.

Kedua-dua jenayah ini biasanya paling kejam, diperhitungkan dan dirancang selain dikaitkan dengan keganasan. Hampir semuanya dilakukan oleh geng dan sindiket yang ada kaitan dengan elemen subversif dan jenayah terancang. Jenayah yang berkaitan dengan pengedaran dadah bermula daripada organisasi bersindiket sehinggalah kepada individu yang menjadi pembawa atau keldai dadah, semuanya didorong untuk meraih keuntungan. Kelemahan dalam membezakan di antara dadah konvensional dan rekreasi selain pengedar sebenar dan individu yang diperalatkan sebagai keldai dadah dalam undang-undang Malaysia, telah menambahkan komplikasi dalam hukuman.

Sebab-sebab pemansuhan hukuman mati.

Antara alasan yang biasa dikemukakan adalah:

a) hukuman ini zalim dan tidak berperikemanusiaan;

b) ia tidak boleh ditarik balik jika berlaku kesilapan sabitan;

c) ia bertentangan dengan piawaian hak asasi manusia dunia;

d) teori pembalasan ‘hutang darah dibayar darah’ (an eye for an eye) tidak lagi diterima dalam prinsip-prinsip hukuman;

e) hukuman mati tidak mengurangkan jenayah spesifik seperti kesalahan dadah dan bunuh.

Semua alasan di atas adalah munasabah.

Menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang bagaimanapun telah mengutarakan alasan bijak untuk memansuhkan hukuman mati mandatori. Beliau berkata, agak sukar untuk Malaysia meminta bantuan daripada negara asing agar menjatuhkan hukuman ringan ke atas pesalah dadah rakyat tempatan jika kita terus menguatkuasakan hukuman mati. Namun tentu lebih menarik jika menteri menyarankan pemansuhan penuh hukuman mati daripada hanya memansuhkan hukuman mati mandatori. Apa agaknya yang akan dilakukan oleh menteri jika mahkamah Malaysia menjatuhkan hukuman mati ke atas warga asing dalam kes berkaitan dadah yang tidak memperuntukkan hukuman mati mandatori?

Kita tidak boleh menggunakan Lembaga Pengampunan semata-mata untuk menyenangkan hati kerajaan asing kerana langkah itu tidak selaras dengan konsep kesamarataan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan, jika pesalah rakyat Malaysia mendapat hukuman lebih keras daripada warga asing. Sehubungan itu, adalah lebih baik menggunakan hujah menteri untuk menjustifikasi pemansuhan secara total hukuman mati dalam kes-kes pengedaran dadah. Namun pertimbangkan secara serius alasan-alasan bukan tradisional berikutnya yang menyokong cadangan memansuhkan hukuman mati:-

Pertama, dalam hal ekstradisi (di bawah Akta Ekstradisi 1992) dan/atau bantuan bersama di bawah Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 (MACMA), jika Kerajaan Malaysia membuat tuntutan sama ada mengekstradisi seseorang atau bukti, negara yang diminta bantuan dalam banyak keadaan akan meminta Malaysia memberikan jaminan yang undang-undang kita tidak melaksanakan sama ada hukuman mati atau fizikal (corporal punishment) seperti merotan, jika tidak negara berkenaan tidak akan melayan permintaan kita. Ini adalah tekanan antarabangsa yang dikenakan oleh kebanyakan negara (terutama Eropah) ke atas negara yang mengamalkan sistem hukuman mati dan fizikal.

Kedua dan mungkin paling mustahak, setiap negara yang mengamalkan hukuman mati pasti akan berhadapan dengan masalah ‘double jeopardy’ iaitu perdapatan salah dan keseksaan dua kali atas satu kesalahan sama, secara tidak adil dan mendatangkan kesan buruk kepada banduan terbabit. Mengikut Sistem Undang-undang Jenayah negara, sesuatu perbicaraan dengan mengambil kira sekurang-kurangnya dua peringkat rayuan akan memakan masa paling minimum enam tahun. Ini ditambah pula dengan kelewatan sistem badan pengampunan. Adalah menjadi kebiasaan, walaupun segalanya berjalan lancar, ia tetap akan mengambil masa di antara tujuh ke lapan tahun juga. Biasanya kira-kira sembilan tahun atau lebih. Jika dikira semua tempoh masa dari tarikh reman sehingga pelaksanaan hukuman mati, pesalah terbabit sudah pun meringkuk di dalam penjara selama 13 tahun setengah (mengambil kira pengurangan sepertiga hukuman penjara secara automatik). Maknanya pesalah hanya ke tali gantung setelah menjalani hukuman penjara selama sekurang-kurangnya 13 tahun setengah. Inilah yang saya maksudkan dengan ‘double jeopardy’, menderita dua hukuman untuk satu kesalahan jenayah.

Tetapi itu adalah keadaan yang paling baik menjadi kebiasaan, juga , banduan bilik akhir sudah mengalami hukuman penjara selama 16 tahun sebelum hukuman mati dijalankan. Ada juga yang menunggu selama 20 tahun, 25 tahun malah 38 tahun! Fikirkanlah! Ini bukan lagi ‘double jeopardy’. Ia adalah ‘triple jeopardy’ apabila kita mengambil kira yang hukuman penjara seumur hidup hanya 20 tahun (dan banduan hanya dipenjarakan selama 14 tahun selepas mengambil kira pengurangan hukuman secara automatik).

Adakah kita benar-benar serius mahu mempertahankan ketidakadilan yang nyata ini, yang kurang asas hak asasi manusia dan menjatuhkan darjat pesalah? Apa jenis masyarakat yang kita hidup sekarang ini? Ramai pemimpin politik (baik kerajaan atau pembangkang) tidak mahu mengambil inisiatif memimpin perubahan kerana takut menjadi tidak popular dan kerap kali menyalahkan masyarakat umum yang mahu mengekalkan sistem hukuman yang tidak adil ini. Saya ingin tegaskan bahawa dalam perkara-perkara yang menyaksikan sistem keadilan jenayah itu sendiri dibicarakan, pemimpin masyarakat perlu berada di hadapan dan bukannya menjadi pengikut. Masyarakat perlu dididik tentang perkara-perkara yang dibincangkan di sini supaya mereka dapat menghargai ketidakadilan yang sekian lama berlaku dalam sistem perundangan dan penghakiman. Proses pengadilan jenayah tidak boleh dibuat terburu-buru dan dibenamkan. Ini bukan desakan untuk badan kehakiman mempercepatkan kes-kes jenayah ke tahap yang tidak realistik hanya kerana mengejar KPI (Petunjuk Utama Prestasi).

Sekarang ini pun wujud kebimbangan terhadap ‘tahap kelajuan’ badan kehakiman menyelesaikan kes-kes sivil. Rakyat Malaysia cukup terkenal dengan sikap melebih-lebih dalam semua perkara. Apabila jiran kita menetapkan jangkamasa perbicaraan sesuatu kes perlu selesai dalam tempoh dua tahun dari tarikh difailkan, kita mahu lebih baik dengan mengehadkan hanya enam bulan hingga sembilan bulan sahaja! Rakyat Malaysia memang suka sesuatu yang ekstrem. Baru-baru ini, Sultan Johor meringankan hukuman mati beberapa banduan di negeri itu dan ramai yang dibebaskan pada hari sama; mereka telahpun menderita double dan triple jeopardy. Dengan keputusan itu, baginda secara tidak langsung telah mengajar semua pihak tentang hak-hak asasi manusia, keadilan, belas kasihan dan ihsan. Kita semua patut merasa malu kerana melakukan dan bertoleransi dengan sistem yang tidak adil, tidak berperikemanusiaan dan kejam ini. Cukup mengejutkan, ia masih berterusan!

Ketiganya, saya sering menyuarakan dan memerhatikan bahawa hukuman ekstrem seperti mati ini menyebabkan peningkatan rasuah dalam sistem penguatkuasaan. Seorang lelaki yang ditangkap mengedar sejumlah dadah sanggup menawarkan seberapa banyak wang pun sebagai rasuah untuk menyelamatkan tengkuknya. Dalam kalangan pengamal undang-undang jenayah, kami biasa mendengar kisah-kisah menakutkan daripada pelanggan dan saksi. Malangnya, walaupun dinasihatkan supaya membuat aduan, rata-rata mereka terlalu takut untuk membangkitkan perkara ini, mungkin kerana mereka juga terlibat memberi rasuah.

Pegawai tinggi polis khususnya Pengarah Narkotik, Datuk Noor Rashid mencuba sehabis baik untuk memupuk sikap jujur, dedikasi dan profesionalisme dalam kalangan anggota penguat kuasa. Sementara langkah ini perlu dipuji, hakikat bahawa ‘nyawa’ masih menjadi taruhan membuka peluang dan menarik pengedar dadah yang sedang terdesak untuk memberi rasuah bagi mengelak hukuman mati. Menjadi harapan kita dengan menarik keluar hukuman mati daripada kes-kes berkaitan dadah akan mengurangkan kecenderungan untuk memberi rasuah.

Tidak salah rasanya untuk saya mencadangkan kepada pihak berkuasa untuk menimbang melihat semula hukuman penjara sepanjang hayat kerana adalah cukup kejam untuk mengurung seseorang di dalam penjara sehingga dia mati. Ia menguburkan semua harapan untuk banduan itu berubah. Tambahan pula, banduan tersebut pada hujung usia akan menimbulkan masalah pengurusan yang serius kepada pihak berkuasa penjara. Dalam keadaan ini, seolah-olah pihak berkuasa penjara pula yang menerima hukuman.

Sumber
Utusan Malaysia
4 November 2012

ISU SOSIAL : JANGAN JADIKAN AES MANGSA TERBAHARU KEDEGILAN PEMANDU DI MALAYSIA


Rencana ini ditulis oleh
Oleh Azman Anuar


Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang baharu dilaksanakan di negara ini setelah perancangannya dibuat 10 tahun lalu, tetap menerima bantahan daripada segelintir wakil rakyat, pertubuhan bukan kerajaan dan individu tertentu. Pada 10 Oktober lalu, Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang di Dewan Rakyat bersetuju untuk meminta kerajaan menangguh dan mengkaji semula penggunaan AES. Mereka mahu pelaksanaan sistem mencegah kemalangan di jalan raya khususnya kemalangan maut itu ditangguhkan. Mereka mahu kajian lanjut dibuat untuk memastikan penggunaan sistem itu berbaloi dengan belanja operasinya.

Nampaknya empat negeri yang diterajui pembangkang bercadang untuk menangguhkan pelaksanaan AES. Pergerakan Pemuda UMNO pula mendesak kerajaan menangguhkan pelaksanaan AES setelah mendapat maklum balas di peringkat akar umbi bahawa terlalu banyak kelemahan dalam pelan pelaksanaannya meskipun sistem itu dianggap amat baik. Bantahan juga dilakukan sebab lokasi menempatkan AES dikatakan tidak bersesuaian dan mengundang banyak kemarahan pengguna. Sebulan lalu, dalam tempoh tujuh hari lebih 100,000 saman dikeluarkan daripada 14 lokasi AES yang menunjukkan rakyat tidak didedahkan sepenuhnya penguatkuasaan AES itu.

Pelaksanaan AES merupakan antara kaedah yang boleh digunakan untuk mendidik pengguna jalan raya di negara ini supaya lebih berdisiplin dan mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan seperti pematuhan had laju. Malangnya usaha baik ini akhirnya telah dianggap oleh masyarakat sebagai bertujuan untuk menyaman semata-mata. AES merakam pesalah trafik yang melanggar dua kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju atau melanggar lampu isyarat merah. Sesungguhnya, tidak ada sebab AES perlu ditangguhkan kerana setiap hari negara menghadapi kisah-kisah kemalangan maut kerana kegagalan pemandu mendisiplinkan diri masing-masing. Oleh itu AES perlu diteruskan untuk mendidik pengguna jalan raya agar lebih menghormati undang-undang jika mereka tidak mahu dikenakan tindakan saman.

Bagaimanapun kita harus mendengar pandangan rakyat. Bagi segelintir pemandu, AES ini boleh mendorong rakyat menipu, ketika memandu laju mereka akan memecut tetapi di kawasan kamera AES, kenderaan dipandu secara perlahan. Tidak kurang juga yang berhujah, kerajaan perlu menangguhkan sementara pelaksanaan AES demi kepentingan strategi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Sama ada AES ditangguhkan atau dibatalkan, isu ini tetap akan dipolitikkan. Tetapi jangan dilupakan tujuan AES hendak dikuatkuasakan adalah untuk mendidik disiplin pengguna jalan raya. Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Keselamatan Jalan Raya serta agensi yang berkaitan telah berusaha untuk mengurangkan angka kematian dan kemalangan. Pelbagai pendekatan pencegahan kemalangan, penguatkuasaan undang-undang dan penggunaan teknologi moden diperkenalkan dari tahun ke tahun - tetapi kadar kematian dan kemalangan tidak berubah.

Jadi kenapa pelaksanaan AES juga mahu kita gagalkan. Sebelum ini banyak usaha dan pembaharuan dilakukan namun kurang berjaya kerana sikap pemandu Malaysia sendiri. Pemandu negara kita gemar memandu laju, suka langgar peraturan lalu lintas dan tidak berdisiplin di jalan raya. Mungkin sikap pemanduan rakyat Malaysia tidak akan berubah selagi ada bantahan dan kritikan terhadap sesuatu usaha yang baru dikuatkuasakan. Kemudian kehendak mereka dilayan kerana takut kesan politik. Jika begini sikap kita, sampai bila pun pemandu kita tidak akan berubah. Sudah banyak hujah dan pandangan dilontarkan dalam menangani masalah kemalangan jalan raya.

Jika sistem lampu berkamera yang diperkenalkan beberapa tahun lalu dianggap gagal kerana kurang penyeliaan, maka pihak berkenaan terutama JPJ perlu mengambil iktibar dan jangan perkara yang sama diulangi. Kita percaya jika sistem AES digunakan di tempat strategik, mana-mana pesalah pasti diberikan saman tanpa rasa takut dan memilih, malah ia mencegah daripada berlaku rasuah. Pengguna jalan raya perlu menerima hukuman atas kesalahan yang mereka lakukan. Ingatlah penguatkuasaan peraturan, pelaksanaan dan pengenalan sistem lalu lintas dibuat untuk menjamin keselamatan nyawa pengguna jalan raya di negara ini.

Semua ini dibuat kerana kos kemalangan di jalan raya menyebabkan Malaysia kerugian dari sudut ekonomi sebanyak dua peratus daripada Keluaran Negara Kasar setiap tahun. Sebenarnya kita perlu keberanian dan ketegasan dalam melaksanakan undang-undang jalan raya. Oleh kerana kurang tegas maka kita berdepan dengan sikap segelintir penumpang kereta yang masih berdegil tidak mahu menggunakan tali pinggang keledar bahagian belakang. Jika AES mahu ditangguhkan, pastikan penguatkuasaan peraturan di jalan raya dijalankan tanpa sambil lewa. Kita bimbang, kemalangan terus berlaku.

Hasrat kita ingin menjadi negara maju pada tahun 2020 mungkin terbantut jika mempunyai rakyat yang bersikap ‘raja jalan raya’ dan degil terhadap peraturan jalan raya. Apa makna menjadi negara maju jika perangai pemandu kita sukar dididik. Jika di negara lain, penggunaan AES dapat membantu mengurangkan kemalangan, di negara kita belum pun bermula sudah berbakul-bakul kritikan disumbatkan. Selagi kita gemar tolak tarik keputusan yang telah dibuat, maka sampai bila pun tahap pemikiran kita di jalan raya tidak akan berubah.

Sumber
Utusan Malaysia
3 November 2012

ISU EKONOMI : SKILL-TEACH MENGATASI LATIHAN KEMAHIRAN


Rencana ini ditulis oleh
Nordin Abdul Malek
Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech


Dalam buku Sun Tzu, The Art Of War, tercatat kata-kata bahawa  kecil tidak semestinya lemah, besar pula tidak semestinya kuat". Ungkapan falsafah perang ini membayangkan bahawa kekuatan sesebuah organisasi itu bukan terletak kepada saiz zahirnya tetapi sebenarnya terletak kepada ‘keupayaan’ sesebuah organisasi menggerakkan organisasi bagi mencapai kejayaan. Atas kepercayaan kepada keupayaan diri, walaupun Skill-Tech mungkin tidak sebesar pusat-pusat latihan lain tetapi institusi ini telah sampai ke satu tahap yang mampu melepasi peranan hakiki sebagai sebuah institusi latihan kemahiran pertanian swasta. Tumpuan bukan sahaja sebagai penyedia latihan tetapi juga pembangunan graduan. Malah kini sudah diamanahkan untuk bersama-sama kerajaan membangunkan masyarakat luar bandar kepada pembangunan kampung-kampung.

Daripada aspek pembangunan latihan, Skill-Tech telah memecahkan tradisi latihan kemahiran terutama di sektor pertanian yang dahulunya bersifat orthodok. Dengan berbekalkan kombinasi kepimpinan generasi baru yang berpengalaman, dinamik dan agresif, latihan kemahiran versi baru ini berjaya menarik minat kumpulan belia yang kebanyakannya tercicir dalam arus pendidikan terutama di pedalaman Sabah dan Sarawak. Selain faktor promosi yang bersifat penjenamaan baru, proaktif dan penuh motivasi, minat mula timbul dalam kalangan generasi muda kerana mereka diberi keyakinan bahawa masa depan kerjaya serta peluang perniagaan pertanian adalah lumayan. Di samping itu, jika sebelum ini, tumpuan kursus-kursus pertanian di Malaysia adalah bersifat stereo taip, strategi baru Skill-Tech yang menumpukan pula kepada industri hiliran menjadikan kursus berkenaan semakin diminati.

Kesannya dapat dilihat apabila kemasukan pada 2005 hanya sekitar 200 hingga 300 orang setahun mampu mencecah kepada 2,000 orang pada 2008. Pada 2011, jumlah permohonan masuk sahaja meningkat kepada 5,000 orang secara online tanpa bersusah payah untuk mempromosikannya. Faktor kepercayaan ini mungkin didorong oleh perkhidmatan berterusan yang dijalankan di peringkat post latihan seperti penempatan pekerjaan di sektor peladangan serta bimbingan usahawan. Graduan Skill-Tech adalah antara mereka yang paling banyak memanfaatkan pinjaman MyAgrosis yang disediakan kerajaan untuk usahawan siswazah tani menerusi Agro Bank. Graduan Sabah sahaja berjaya memanfaatkan RM1 juta peruntukan skim berkenaan pada April lalu.

Segala peluang keusahawanan dan sokongan pelbagai pihak membolehkan matlamat 30 peratus melahirkan usahawan boleh dicapai. Ini mengatasi graduan IPTA yang dilaporkan hanya mampu dilahirkan sekitar 0.3 peratus sebagai usahawan. Atas kejayaan dan pengalaman membangunkan pertanian di peringkat kampung-kampung, pelbagai pihak turut menjadikan Institut Skill-Tech sebagai rakan kongsi pembangunan belia kampung untuk mewujudkan peluang ekonomi dan seterusnya mengekalkan mereka untuk memajukan kampung masing-masing.

Penglibatan aktif MyKampung MyFuture dalam perkongsian Blue Ocean Strategy yang diketuai oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi mandat supaya Skill-Tech turut mengambil peranan dalam pembangunan belia kampung. Tugas bersama ini sedang dijalankan di tiga kampung perintis iaitu Kg. Gedong, Simunjan, Sarawak, Kg. Merotai, Tawau, Sabah dan Pulau Tiga, Kg. Gajah, Perak. Tidak ketinggalan juga usaha menyemarakkan integrasi nasional antara Semenanjung dan Sabah, Sarawak turut mengeratkan hubungan menerusi program latihan kerana hampir separuh pelatih adalah datangnya dari Sabah dan Sarawak. Usaha mengetengahkan budaya dan tradisi Borneo di Semenanjung yang dilakukan oleh Institut Skill-Tech menjadikan kemesraan masyarakat Sabah dan Semenanjung semakin akrab umpama sebuah keluarga.

Kepercayaan yang diberikan kepada Skill-Tech daripada peringkat latihan, pembangunan graduan hinggalah ke peringkat pembangunan komuniti kampung adalah bukti prestasi kerja yang melangkaui tugas yang biasanya dilakukan oleh institusi pendidikan biasa terutama sektor swasta. Situasi ini sepatutnya memberikan gambaran kepada pelbagai pihak bahawa bukan semua institusi swasta seperti Skill-Tech hanya mengaut keuntungan dan mahu menjadi kaya-raya. Malah sesetengah pihak termasuk masyarakat di luar negara seringkali menyangkakan institusi ini milik penuh kerajaan kerana peranannya lebih cenderung dilihat melaksanakan tugas agensi kerajaan.

Dalam erti kata lain, peranan yang dijalankan oleh Skill-Tech amat berbaloi untuk kerajaan bekerjasama kerana pakej luar biasa yang ditawarkan, selain komitmen untuk mencapai pembangunan seimbang antara matlamat perniagaan dan pembangunan masyarakat bersama kerajaan. Namun begitu, di sebalik kejayaan semua pencapaian di atas, ada juga pihak yang gagal melihat kepentingan program seumpama ini wajar diteruskan dan Skill-Tech sewajarnya disokong dengan apa jua cara sekalipun. Apatah lagi apabila institusi ini berjaya diiktiraf sebagai Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras) di bawah Teraju.

Disangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Amat malang apabila kegemilangan yang pernah dicapai tidak dapat menuju puncak jaya atas sebab-sebab yang sukar untuk dihuraikan. Cukuplah sekadar membayangkan masalah yang dihadapi adalah sebahagian isu menyeluruh usahawan bumiputera yang ditegaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa Kongres Usahawan Bumiputera, anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), baru-baru ini. Kisahnya adalah sama! Cuma di kesempatan ini, kami mengucapkan tahniah kepada graduan yang telah mengisi keperluan sektor pertanian di Malaysia. Sebagai peneraju Institut Skill-Tech, mungkin wajar saya mengulangi pesanan keramat ketika mereka menjadi pelatih dahulu bahawa “apa yang dikecapi selama ini sebagai bumiputera belum tentu kekal selama-lamanya. Maka, rebutlah peluang ketika hak itu masih ada".

Sumber
Utusan Malaysia
3 November 2012

ISU GLOBAL : PENGKHIANAT DILAKNAT AGAMA DAN MASYARAKAT


Rencana ini ditulis oleh
DATUK DR AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).


Beberapa hari lalu, Mahkamah Vietnam menjatuhkan hukuman sehingga enam tahun penjara ke atas dua orang pemuzik terkenal atas kesalahan menyebarkan propaganda antikerajaan. Dua orang pemuzik itu ialah Viet Khang atau nama sebenar ialah Vo Minh Tri, 34 dan Tran Vu Anh Binh, 37. Viet Khang dijatuhkan hukuman selama empat tahun manakala Anh Binh enam tahun. Selesai menjalani hukuman penjara, mereka turut dikenakan dua tahun 'tahanan rumah' atas pengakuan mempunyai hubungan dengan sebuah pertubuhan politik yang diharamkan.

Walaupun kedua-duanya dikatakan tidak mempunyai hubungan politik, mereka sebenarnya didapati bersalah menyebarkan propaganda menghina tindakan polis kerana menghalang kumpulan aktivis anti-China dan menyelar program kerajaan yang tidak mempedulikan keadilan sosial rakyat bawahan. Kerajaan mendakwa kedua-dua pemuzik terkenal itu atas alasan Viet Khang menulis lirik lagunya mengecam polis manakala Anh Binh pula menyanyikan beberapa buah lagu yang bertemakan tindakan memenjarakan pejuang rakyat berhubung konflik perebutan sebuah pulau di Laut China Selatan antara Vietnam dan China.

Tentunya, pemenjaraan itu dilihat sebagai sesuatu yang patut kerana kedua-dua artis itu adalah 'pengkhianat negara.' Dalam mana-mana sistem politik, sesiapa yang dianggap 'pengkhianat negara' akan dikenakan tindakan keras, termasuk dihukum mati. Sesebuah negara boleh melucutkan kerakyatan kepada seseorang yang dianggap sebagai 'pengkhianat' jika orang berkenaan tidak bersedia untuk dihadapkan tindakan mahkamah. Kebiasaannya, mereka melarikan diri ke negara tertentu untuk mendapatkan perlindungan sementara ataupun kekal sebagai 'suaka'.

Ada juga atas alasan tertentu, mereka sendiri sedia melucutkan taraf kewarganegaraan asalnya kerana ingin mendapat kerakyatan negara lain, terutamanya negara yang dilihatnya mampu memberikan keuntungan material ataupun psikologi. Mereka tetap boleh dianggap sebagai 'pengkhianat negara' tetapi tahap pengkhianatannya tidaklah sedarjat dengan mereka yang benar-benar mengkhianati negaranya sendiri tetapi tidak sanggup mengambil keputusan sukarela melucutkan kerakyatan asal.

Kita pernah mendengar ada desakan agar kerajaan melucutkan kerakyatan kepada seseorang yang dilihat sentiasa memburuk-burukkan pemimpin yang berkuasa kerana percaya selagi kuasa tidak dikawal oleh individu berkaitan, kerajaan yang memerintah bersikap zalim. Pendirian tersebut menjadi semakin kasar dan kesat apabila turut mengkreatifkan dakwaan 'zalim' atau 'tidak adil' sebagai tindakan diskriminasi bagi mengekalkan kuasa.

Wilayah pengaruhnya bukan setakat menggunakan pentas-pentas politik dalam negara, bahkan menggunakan pelbagai platform antarabangsa mengutuk dan mencipta propaganda bagi mendapat sokongan asing. Bahkan, ada ketikanya sanggup mengemis sumber kewangan daripada pertubuhan-pertubuhan tertentu demi kelangsungan matlamatnya bagi membiayai program-program dakyah dalam negeri. Dalam sejarah Islam tercatat pengkhianatan berlaku pada peringkat awal penyebaran Islam. Ubay bin Ka'ab menjadi 'pelakonnya' dengan mengkhianati pasukan Islam dalam Perang Uhud sehingga kemenangan yang sudah di depan mata akhirnya sirna. Akibat perbuatan khianat yang dilakukan satu orang, jutaan orang akan menanggung derita dan kegagalan yang diakibatkan oleh perbuatan khianat.

Perbuatan khianat juga memercikkan implikasi kepada dua dimensi kehidupan iaitu dimensi spiritual dan dimensi sosial. Perbuatan khianat dalam dimensi spiritual menyerlahkan sikap melanggar dan menentang ketentuan Allah dan Rasul-Nya. Orang yang berbuat khianat, sama ertinya dengan mengkhianati Allah dan Rasul. Hal ini ditegaskan Allah dalam firmannya yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati amanat yang dipercayakan kepadamu sedangkan kamu mengetahui" (Al Anfal 27).

Selain menanggung dosa, perbuatan khianat juga menimbulkan bahaya kepada struktur masyarakat. Kesan yang timbul antara lain, memudaratkan dan menghancurkan tata nilai dan pegangan yang dianut masyarakat, mencetuskan permusuhan dan perbalahan yang tiada berkesudahan antara pengkhianat dan orang yang dikhianati dan menimbulkan sikap curiga mencurigai di kalangan masyarakat. Seperti ditulis oleh seorang tokoh strategi klasik China, Sun Tzu, kemenangan sebenar dalam sesuatu peperangan adalah kerana berjaya mengenali musuh dengan tepat. Mengenali musuh dengan tepat itu mampu menakluk minda mereka dan ada ketikanya, dengan kekuatan propaganda, musuh itu dapat ditakluk secara perlahan-lahan tanpa melalui peperangan terbuka atau fizikal.

Menurut Pengasas Pergerakan Islam Palestin 1948, Sheikh Raed Solah, sesebuah pertubuhan yang menerima dana daripada pertubuhan atau individu yang bergerak atas semangat Yahudi, adalah pengkhianat kepada bangsa, agama dan negara. Beliau membuktikan bahawa kejatuhan Empayar Turki Uthmaniah adalah perancangan jahat Yahudi untuk menghancurkan Islam kerana keengganan Sultan Abdul Hamid II memberikan mereka sebahagian wilayah Islam bagi menubuhkan sebuah negara Isreal.

Bagaimanapun, kehadiran Mustapha Kamal Attartuk daripada kelompok muda Turki dengan tipu muslihatnya, akhirnya berjaya meruntuhkan empayar Islam tersebut, yang berjaya ditakluki oleh Muhammad al-Fateh pada tahun 1453M daripada taklukan penganut Kristian. Mustapha Kamal Attartuk mempunyai darah keturunan Yahudi dari bapanya. Kerana itulah Attartuk boleh mencapai kemenangan secara rampasan kuasa apabila dibantu oleh keturunan Yahudi dari segi ketenteraan, peralatan dan kewangan.

Dalam proses mempengaruhi keputusan sesebuah negara, kuasa besar atau pihak asing sentiasa berusaha mempengaruhi para penguasa menerusi pelbagai cara. Mula-mula mereka mendekati pertubuhan-pertubuhan sukarela tempatan dengan menjalin hubungan baik dan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan. Jalinan hubungan pelbagai pertubuhan itu akhirnya menyebabkan pertubuhan tempatan ikut menerima ideologi politik dan matlamat pertubuhan asing itu secara tidak sengaja. Ini akan menyebabkan pertubuhan tempatan berada dalam putaran ganas pertubuhan asing sehingga memaksakan pendirian semakin terikat dengan kehendak dan agenda pemberi dana asing itu.

Pertubuhan antarabangsa ini pula dibiayai oleh pihak tertentu termasuk mereka yang mahukan seluruh dunia memberikan pengiktirafan ke atas wilayah Israel sebagai sebuah negara yang berdaulat. Semakin banyak negara Islam sebenarnya terperangkap dengan agenda tersebut, kerana Israel terus menggunakan lobinya dan kepintaran intelektual serta sumber kuasa ekonomi Yahudi dalam mempengaruhi keputusan dasar luar Washington. Menurut wartawan terkenal The Guardian, Nick Davies, kegiatan perhubungan awam dan pemberitaan kabel (newswire) adalah sesuatu yang semakin berpengaruh sehingga menyebabkan wartawan tidak lagi menghormati prinsip kebenaran menulis berita.

Prinsip ini dilanggari oleh wartawan kerana mereka tidak lagi perlu menulis berita dengan mengutip maklumat di lapangan, semuanya sudah dihidangkan oleh firma perhubungan awam dan ini menyebabkan berita-berita semakin 'rata'. (baca, The Flat Earth News, 2009).

Bagi Gordon Corera, koresponden hal ehwal keselamatan Perbadanan Penyiaran British (BBC), selepas berakhirnya Perang Dingin, kaedah perisikan sudah banyak berubah dari pendekatan 'budaya macho'", menggunakan wanita cantik dan seksi telah berubah kepada jalinan persahabatan dan memberikan perhatian serius kepada manusia menerusi bantuan serta misi kemanusiaan. Usaha ini sedang berjalan secara senyap-senyap oleh agensi perisikan British - M16 kerana Britain tidak lagi berminat melakukan penjajahan secara fizikal. (Baca, The Art of Betrayal:Life and Death in the British Secret Service, 2012).

Kesemua bentuk 'persahabatan dan jalinan' yang memaksakan ketundukan kepada kuasa asing tidak akan mudah dilaksanakan jika rakyat sesebuah negara tidak mengizinkan diri sendiri dipengaruhi atau terikat dengan sumber luaran. Menerima dana asing akan menyebabkan penerimanya sanggup 'mengkhianati' negara sendiri kerana pembiayanya bersedia melakukan apa sahaja bentuk kekerasan sekiranya berlaku pelanggaran persetujuan tersebut.

Situasi inilah yang membimbangkan rakyat Malaysia apabila mendapat tahu ada pertubuhan dalam negara menerima bantuan asing bagi melaksanakan pelbagai aktiviti bermula dengan propaganda menuntut 'kebebasan bersuara' dan 'demokrasi liberal' hinggalah kepada menjatuhkan kerajaan yang tidak dapat memenuhi keinginan pihak terbabit. Ini semuanya dilakukan atas nama monopoli kuasa dan ekonomi.

Golongan 'pengkhianat' ini sanggup menggadaikan maruah dan kehormatan diri serta agama kerana mahukan kedudukan politik yang lebih baik. Sejarah mengajar manusia bagaimana golongan atau individu yang berusaha mencapai matlamatnya secara tidak jujur ini telah mengkhianati bangsa, agama dan negaranya sendiri. Golongan ini menjadi 'duri dalam daging' dan berusaha sehabis tenaga walaupun sedar tindakan yang diambil itu adalah paling tidak beretika.

Sumber
Utusan Malaysia
2 November 2012

31 Oktober 2012

ISU ICT : E-BUKU MEMBEBASKAN RUANG RUMAH DARIPADA TIMBUNAN KERTAS-KERTAS


Rencana ini ditulis oleh
Zin Mahmud


Bukannya senang hidup sebagai seorang ulat buku. Sebenarnya mereka tidak memilih untuk menjadi seorang ulat buku. Ini semua takdir. Mereka telah dilahirkan sebagai ulat buku. Mereka tidak boleh berbuat apa-apa. Tidak perlu kempen membaca. Mereka tidak perlukan itu semua. Kegilaan mereka terhadap buku datang dengan sendirinya, tanpa sebarang galakan, apatah lagi paksaan. Sedar-sedar mereka sudah menjadi ulat buku. Mungkin ada orang kagum terhadap mereka yang berminat membaca. Ulat buku sememangnya golongan minoriti. Tetapi sebenarnya banyak orang tidak suka pada ulat buku. Ini kerana gila buku adalah suatu penyakit.

Sebeanrnya penyakit ini dapat dikesan sejak dari awal lagi. Para ulat buku seringkali adalah golongan yang suka menyendiri. Tidak suka bersosial, lebih gemar menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgitnya demi buku. Maka para ibu bapa yang mempunyai ulat buku di kalangan anak-anak mereka pasti dapat mengesan penyakit ini dari awal, sejak di sekolah rendah. Ulat-ulat buku ini dengan sendirinya, tanpa disuruh akan gemar pergi ke perpustakaan sekolah. Mereka akan pinjam buku sebanyak mana dibenarkan, membacanya cepat-cepat dan mengembalikannya sepantas mungkin, supaya dapat meminjam buku lain pula. Sering kali ulat buku ini akan segera menjadi pustakawan sekolah supaya mereka dapat hidup dikelilingi buku. Di luar waktu sekolah, kedai buku sentiasa menjadi tumpuan mereka.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak berpenyakit gila buku ini, mereka akan mula menyedari kesan-kesan negatifnya. Ini kerana buku-buku yang dibaca oleh ulat-ulat itu seringkali bukannya buku pelajaran untuk peperiksaan dalam silibus nya. Maka ulat-ulat buku ini akan membaca apa saja yang diminatinya, seringkali berbeza daripada mata pelajaran di sekolahnya. Jika tidak dikawal, pencapaian pelajarannya akan terjejas kerana ulat-ulat buku ini banyak menghabiskan masa membaca buku-buku lain. Kesan negatif lain ialah banyaknya wang yang dihabiskan oleh kanak-kanak ulat buku ini untuk membeli buku. Mereka sanggup berlapar supaya wang belanja makan digunakan untuk membeli buku.

Maka dalam waktu singkat bilik dan rumahnya akan penuh dengan buku dan majalah yang pasti dirasakan menyempitkan dan semak bagi para ibu bapa mereka terutama yang hanya mampu memiliki rumah kecil. Selain itu, kesan negatif daripada ulat buku ialah sifatnya yang tidak suka bersosial dan bersukan hingga menjejaskan pembangunan dirinya dan kemahiran hubungan sesama insan. Tidak kiralah apa kerjaya yang diceburinya, penyakit gila buku ini akan berterusan hingga ke akhir hayat. Apabila mereka mula bekerja, dengan memiliki wang sendiri, maka banyak lagilah buku yang dibeli dan diperoleh dan seterusnya memenuhi ruang-ruang di rumahnya. Masalah ini akan menjadi rumit jika seorang lelaki ulat buku berkahwin dengan wanita yang tidak toleran dengan penyakit ini.

Sejak mula berkahwin hinggalah beranak cucu, leteran terhadap buku-buku yang terus bertambah menimbun dalam rumah akan menjadi suatu kebiasaan. Tetapi bagi ulat-ulat buku, mereka tidak akan menjawab balik terhadap leteran-leteran itu. Mereka hanya memekakkan telinga dan terus tenggelam dalam dunia pembacaannya. Bagi isteri-isteri ulat buku, penyakit suami mereka ini dirasakan menyempitkan hidupnya. Perebutan ruang dalam rumah pasti berlaku. Ini kerana buku-buku memakan banyak ruang yang berharga terutama dalam rumah teres dua tingkat dengan bilik terhad. Soal buku sememangnya sensitif bagi ulat buku. Jika dia mendapati bukunya diusik, apatah lagi dipindahkan ke tempat lain, maka berangnya tidak mengenal ahli keluarga. Buku adalah sebahagian daripada dirinya.

Tanda-tanda bahawa seseorang lelaki itu berpenyakit gila buku sepatutnya boleh disedari oleh seseorang perempuan sejak awal dia mula mengenal bakal suaminya. Pastinya lelaki ini akan membawa teman wanitanya ke tempat-tempat yang ada kedai buku. Kalau pergi ke kompleks membeli belah, pastinya dia akan memilih tempat yang ada kedai buku. Gaya hidup ini akan berterusan sepanjang hayatnya. Anak-anak ulat buku juga dari awal lagi sedar bahawa ke mana saja mereka berjalan, bapanya pasti membawa mereka ke kedai buku. Seringkali bapa mereka akan membeli lebih banyak buku daripada anak-anaknya.

Ada masanya apabila tidak tahan dengan protes isterinya, maka ulat buku ini akan menjalani hidup secara gerila. Mereka membeli buku secara gelap, sembunyi-sembunyi. Apabila membeli buku, ia akan disorokkannya dalam kereta. Setelah keluarganya tidur, barulah dia keluarkan buku daripada keretanya. Setelah berbulan-bulan berlalu, tiba-tiba tanpa disedari isterinya, rumah menjadi sempit kerana penuh buku. Tetapi sejak tahun-tahun kebelakangan ini, teknologi maklumat telah membawa harapan baru kepada keluarga ulat buku. Ulat-ulat buku tidak perlu lagi bimbang dileter atau dimarah isterinya kerana menyempitkan ruang rumah akibat terlalu banyak buku. Kemunculan e-buku akan meringankan beban ulat-ulat buku daripada kemarahan keluarganya. Ini kerana e-buku tidak lagi memakan banyak ruang. Zaman ulat e-buku sudah tiba.

Sumber
Utusan Malaysia
30 Oktober 2012

30 Oktober 2012

ISU SOSIAL : RAKYAT MALAYSIA MUDAH DITIPU


Rencana ini ditulis oleh
ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) dan Felo Penyelidik, Institut Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia


Saban hari ada sahaja kisah rakyat kita ditipu. Penipuan ini terpampang di dada akhbar-akhbar tempatan. Seolah-olah rakyat kita begitu mudah untuk ditipu. Tidak kiralah sama ada ditipu oleh warganegara Malaysia sendiri mahupun warga asing. Kisah seperti ditipu oleh pemaju hartanah sering kali kedengaran. Rumah-rumah yang dijanjikan tidak siap sepenuhnya. Jadilah projek perumahan tersebut sebagai projek gajah putih. Terbengkalai begitu sahaja. Yang rugi, pembeli yang terpaksa membayar hutang bank manakala, pemaju-pemaju hartanah projek terbengkalai tidak langsung dikenakan tindakan. Mereka ini masih hidup bersenang lenang.

Bahkan ada di antara mereka boleh menjalankan perniagaan seperti biasa. Tidak ada langsung rasa bersalah terhadap pembeli-pembeli projek perumahan mereka. Itu bab ditipu oleh pemaju hartanah. Ditipu oleh skim cepat kaya usah cakaplah. Sejak skim cepat kaya Pak Man Telo diketahui ramai, tidak ada tanda-tanda rakyat Malaysia mengambil iktibar ke atasnya. Masih ramai yang ditipu menggunakan modus operandi skim cepat kaya. Amat menghairankan kerana rakyat Malaysia sekarang ini ramai yang berpendidikan tinggi sehingga memperoleh ijazah kedoktoran. Tetapi semakin tinggi pelajaran, semakin mudah pula ditipu. Terbaru, skim cepat kaya yang menggunakan modus operandi emas sebagai umpan.

Ramai yang terjebak dengan skim cepat kaya ini. Kasihan juga kepada mereka yang terlibat kerana tindakan segera telah dibuat oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Namun, bak kata pepatah, nasi sudah menjadi bubur. Menyesal sudah tiada gunanya. Sememangnya, emas semakin digilai oleh rakyat Malaysia. Malangnya, ramai yang tidak mengetahui selok belok dalam pelaburan emas, yang akhirnya kesempatan ini diambil oleh segelintir golongan untuk menipu pelabur. Emas akhirnya melemaskan rakyat Malaysia. Hak pengguna tidak dilindungi. Pembeli rumah mahupun pelabur emas mengalami kerugian besar. Di manakah penguat kuasa undang-undang? Kita masih tidak belajar sebagaimana negara jiran kita yang amat serius menguatkuasakan undang-undang. Inilah kelemahan utama negara kita. Dasar dan polisi sungguh hebat di atas kertas, tetapi apabila dilaksanakan atau dikuatkuasakan, ia hanya indah khabar daripada rupa.

Dek kerana mudah ditipu dan kurang penguatkuasaan, ada juga rakyat Malaysia terutamanya yang terlalu tamak mengejar gaji lumayan tertipu dengan umpan gaji lumayan oleh orang yang tidak diketahui latar belakangnya. Sampaikan ramai yang sanggup menghadiri temuduga di bilik hotel. Bukannya gaji lumayan yang diperoleh, sebaliknya dirogol dan dirompak pula. Ada pula yang ditipu menjadi keldai dadah. Bagaimana mudahnya wanita Malaysia terpedaya dengan cara penipuan sebegini. Itu belum lagi melibatkan penipuan di jalan raya. Di jalan raya terdapat pelbagai cara penjenayah menipu. Tujuan tidak lebih daripada untuk merompak. Dilanggar kereta mangsa dan mangsa pula dalam keadaan marah memberhentikan kereta untuk menuntut ganti rugi.

Kesempatan ini digunakan penjenayah untuk merompak mangsa. Ada juga penjenayah berlagak seolah-olah berlaku kemalangan di jalan raya. Memberhentikan kereta dan motosikal dan sanggup "tidur" di tengah jalan raya supaya mangsa memberhentikan kenderaan. Taktik menipu ini memperdayakan sesiapa sahaja yang jujur untuk membantu "mangsa" kemalangan yang tertiarap di jalan raya. Malangnya, mereka tidak menyedari kejujuran mereka inilah menyebabkan mereka bakal dirompak. Tidak kurang juga ramai rakyat Malaysia yang ditipu oleh warga asing. Dianggarkan berbilion ringgit kerugian yang telah dialami oleh rakyat Malaysia yang kebanyakannya ditipu melalui jenayah siber. Sungguh menghairankanlah, rakyat Malaysia senang percaya dengan warga asing. Penjenayah siber ini menggunakan segala kepakaran teknologi maklumat untuk menggodam maklumat rakyat Malaysia sama ada melalui e-mail palsu mahupun melalui laman sosial seperti Facebook.

Rakyat Malaysia terutamanya wanita mudah pula "cair" dengan ayat-ayat indah mempersonakan hati dan perasaan yang sememangnya itulah kehebatan warga asing seperti Awang Hitam. Sanggup memberi wang mereka sampaikan ada mangsa mengeluarkan wang untuk dana persaraan mereka yang berjumlah berjuta-juta ringgit semata-mata untuk "membantu" si penipu ini yang tidak pernah langsung mereka bersemuka antara satu sama lain. Apabila menyedari ditipu, barulah segala kisah cinta dan kasih sayang hilang begitu sahaja. Menangis sudah tiada gunanya. Agaknya, si penipu warga asing ini sudah memahami kelemahan rakyat Malaysia. Sebelum mereka datang ke Malaysia, mereka sudah membuat kajian di antara negara-negara di Asia Tenggara ini, negara kita yang paling mudah untuk "berurusan". Rakyatnya mudah ditipu, manakala undang-undang pula amat lemah dek kerana penguatkuasa yang tidak menjalankan tugas mereka dengan sebaik mungkin.

Cuba kita lihat si penipu pendatang asing ini tidak berani menipu di negara-negara jiran kita. Kalau tidak sudah lama kita dengar pelbagai kisah penipuan melibatkan pendatang asing yang tinggal di negara jiran. Mereka ini tidak gemar duduk di negara-negara jiran kita, tetapi amat gembira tinggal di Malaysia. Faktornya adalah Malaysia syurga "pelaburan" mereka. Yang kaya sudah semestinya mereka, manakala yang "kayap" rakyat Malaysia itu sendiri. Sampai bilakah ia akan berakhir?

Sumber
Utusan Malaysia
30 Oktober 2012

29 Oktober 2012

ISU UMUM : GENIUS TIDAK SEMESTINYA SEMPURNA


Rencana ini ditulis oleh
HAFIZAHRIL HAMID


Apabila menyebut mengenai genius, ramai yang melihatnya sebagai seseorang yang dianugerahkan Tuhan dengan kecerdikan dan keupayaan luar biasa terutama dalam pendidikan. Kebanyakan mereka ini dikaitkan dengan kebijaksanaan dalam bidang pendidikan tertentu terutamanya matematik, fizik dan sains. Bagaimanapun bukan semua dilahirkan genius dalam bidang-bidang yang dinyatakan tadi. Ada di antaranya sejak kecil lagi telah menjadi bijak dan mahir dalam bidang tertentu seperti muzik, seni lukis, sukan dan pelbagai lagi.

Mungkin ada yang menyokong bahawa seseorang itu dilahirkan sebagai genius dan kenyataan ini memang ada kebenarannya. Namun bukan semua manusia yang dilahirkan genius mengakhiri kehidupannya dengan kejayaan. Hakikat ini dikongsi oleh saintis dan pencipta terkenal, Thomas Edison yang menyatakan, genius adalah satu peratus bersandarkan inspirasi manakala manakala 99 peratus lagi adalah bersandarkan usaha. (Genius is one percent inspiration, ninety nine percent perspiration). Ungkapan ini telah tertulis dalam majalah Harper's Monthly Magazine edisi September 1932.

Sesungguhnya senarai manusia genius kini semakin meningkat mungkin kerana penekanan mengenai pentingnya pendidikan sejak kecil oleh ibu bapa. Di Malaysia juga fenomena manusia genius sering sahaja menarik perhatian. Antaranya Mohd. Shukri Hadafi yang pernah menggemparkan negara sekitar 80-an berikutan kemampuannya membaca suratkhabar pada usia tiga tahun. Beliau pernah diambil berlakon oleh Tan Sri Jins Shamsuddin di dalam filemnya Menanti Hari Esok. Malah Prof. Diraja Ungku Aziz telah mengambilnya sebagai anak angkat bagi membolehkannya mendapat pendidikan yang lebih baik.

Bagaimanapun, kisahnya senyap begitu sahaja namun kemudian kita dikejutkan dengan berita pada akhir 90-an apabil beliau bekerja sebagai penebar roti canai serta beberapa kisah yang tidak enak didengar. Selain itu kebanyakan kita begitu gembira mendengar seorang budak genius, Ady Putra Abdul Ghani mendapat perhatian luar biasa kerana kebolehannya menyelesaikan soalan matematik peringkat universiti. Malah kita berbangga kerana impiannya adalah mahu bergelar profesor matematik Islam. Bagaimanapun, berikutan dilemanya mengenai sistem pendidikan yang dikatakan kurang menyokong kemahirannya adalah ditakuti akhirnya bakat genius dan luar biasanya akan berakhir begitu sahaja tanpa sebarang makna.

Sumber
Utusan Malaysia
28 Oktober 2012

ISU UMUM : JANGAN LUPA ASAS HUKUMAN MATI MANDATORI KESALAHAN MENGEDAR DADAH


Rencana ini ditulis oleh
Azman Anuar


Saya terkejut membaca laporan berita mengatakan kerajaan sedang menimbang cadangan menangguhkan pelaksanaan hukuman mati terhadap pesalah dadah di negara ini. Keputusan itu akan bergantung pada hasil kajian semula yang dijalankan Pejabat Peguam Negara. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, jika dipersetujui, satu inisiatif akan dilakukan bagi mewujudkan moratorium (penangguhan) terhadap hukuman mati terhadap mereka yang didapati bersalah memiliki dadah. Permohonan penangguhan itu dikatakan wajar atas alasan sebahagian daripada 900 orang yang sedang menunggu hukuman mati ketika ini adalah pesalah dadah.

Satu lagi sebab kajian semula hukuman itu dilakukan, sebagaimana kata Mohamed Nazri bertujuan menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia di luar negara seperti China, Columbia, Peru dan Venezuela yang berdepan hukuman mati akibat menjadi keldai dadah. Cuba kita renung dan fikirkan nasib keldai dadah kita di penjara negara asing itu. Adakah disebabkan untuk menyelamatkan nyawa mereka, perundangan negara perlu diubah? Dalam hal melibatkan dasar negara, maka kita mengharapkan sangat agar pihak Jabatan Peguam Negara dan Kabinet membuat keputusan yang bijak supaya keputusan yang bakal diambil itu tidak mengecewakan masyarakat.

Dalam ingatan saya, asas pelaksanaan hukuman mati mandatori atas kesalahan edar dadah adalah untuk memerangi serta sebagai peringatan keras kepada pengedar dadah. Hukuman mati terhadap pesalah dadah diperkenalkan di negara ini pada tahun 1975. Hampir semua agensi, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat digerakkan untuk membanteras masalah penyalahgunaan dadah ke arah menjadikan Malaysia negara bebas dadah pada 2015. Adakah kita sudah lupa asas-asas ini? Kita pernah dicemuh kerana dasar hukuman yang dianggap kejam tetapi pemimpin kita mempertahankannya dengan memberi hujah yang bernas. Rakyat negara kita dan masyarakat antarabangsa pun akhirnya menerima ketegasan undang-undang dadah negara kita ini.

Pada saya jika terlalu sayangkan nyawa beberapa orang keldai dadah yang fikir seronok sahaja dapat melancong ke luar negara dan mudah diperdaya sindiket dadah antarabangsa, maka elok kerajaan lantik dan upah peguam yang hebat. Dan bukan ubah dasar undang-undang negara. Jika asas mahu mengubah perundangan negara ini ada kaitan dengan kesalahan keldai dadah, ada pihak mencadangkan kita memasukkan klausa khusus mengenai keldai dadah agar membuka ruang kepada pihak kehakiman untuk menentukan hukuman. Jangan disebabkan kita mempunyai undang-undang yang ketat, kita beranggapan pihak lain tidak akan memberi kelonggaran hukuman kepada rakyat kita di penjara luar negara.

Bayangkan jika keldai dadah dan pengedar antarabangsa tidak ditahan oleh mana-mana pihak berkuasa negara ini atau negara asing, apa jadi kepada rakyat dan generasi dunia. Ketagihan dadah bukan seperti rokok. Malah dadah sekarang dalam pelbagai bentuk dan pil. Banyak kesan negatif dibawa bersamanya. Selain padah kepada diri penagih, dadah juga 'mencipta' jenayah-jenayah sosial yang sehingga hari ini belum berjaya kita tangani sebenar-benarnya. Kita sudah lama memberi mesej jelas kepada rakyat dan masyarakat antarabangsa, hukuman terhadap pesalah dadah di Malaysia amat berat sehingga hukuman mati mandatori. Jika negara lain pun mempunyai undang-undang yang ketat terhadap jenayah dadah, kita patut hormati dan bersama-sama mereka memerangi jenayah antarabangsa ini.

Masalah penyalahgunaan dadah ini merupakan gejala sejagat dan usaha pembanterasannya memerlukan kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa. Jangan beri kemenangan kepada ketua sindiket dadah. Memang dalam perang memerangi dadah, akan ada yang menjadi korban. Keldai dadah sudah direkrut menjadi tentera sindiket dadah, maka kita terpaksa menawan dan menghukum mereka walaupun jeneral mereka masih bebas. Khabarnya seramai 900 pesalah dadah kini menunggu hukuman mati di negara ini. Daripada jumlah itu, 75 warga Indonesia menjadi banduan 'bilik akhir' kerana kesalahan dadah tersebut.

Hidup mati mereka kini bergantung pada cadangan penangguhan hukuman gantung mandatori yang mana Pejabat Peguam Negara sedang melakukan kajian semula untuk menghapuskan hukuman mati di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Khabarnya inisiatif untuk 'memansuhkan' hukuman mati juga akan membantu rayuan terhadap keldai dadah warga Malaysia yang berdepan hukuman mati di negara asing termasuk seorang yang kini berdepan hukuman itu di Indonesia. Pada saya, jika pada 17 Oktober 2011, hasil surat rayuan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono terhadap 17 banduan bilik akhir warga Indonesia di negara ini, empat daripadanya diringankan kepada hukuman penjara seumur hidup manakala seorang diringankan kepada hukuman penjara sepanjang hayat, mengapa pendekatan timbal balik ini tidak diusahakan?

Apa pun terserah kepada bijak pandai di Jabatan Peguam Negara serta anggota Kabinet yang dipilih oleh rakyat memutuskan hukuman terbaik bagi menggantikan hukuman mati mandatori bagi pesalah dadah. Pada masa ini kita berpegang pada kata-kata Mohamed Nazri yang "percaya hukuman (baharu) kelak tidak akan bertambah atau berkurang tetapi bersifat adil."

Sumber
Utusan Malaysia
27 Oktober 2012

KESALAHAN SINTAKSIS SEMASA MENULIS KARANGAN



Yang Salah

Tetapi
Malahan
Maka
Oleh kerana itu
Selain daripada itu
Justeru
Justeru itu
Hal ini kerana

Kita sering mendapati calon-calon yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu selalu menggunakan kata atau frasa di atas memulakan ayat semasa menulis karangan. Anda harus tahu bahawa penyemakan karangan di peringkat STPM amat menekankan aspek sintaksis. Oleh sebab itu, penggunaan kata atau frasa yang disenaraikan di atas semasa menulis karangan merupakan kesalahan sintaksis.

Yang betul

Tetapi sepatutnya Akan tetapi
Oleh kerana itu sepatutnya Oleh sebab itu
Selain daripada itu sepatutnya Selain itu
Hal ini kerana sepatutnya Hal ini dikatakan demikian kerana

Kata-kata di bawah pula hanya berfungsi sebagai kata hubung dalam ayat bukannya sebagai penanda wacana

… justeru …
Bukan sahaja … malahan
…, maka …

Calon harus ingat bahawa kesilapan penulisan dari aspek sintaksis yang terlalu banyak akan menjejaskan markah bahasa. Oleh sebab itu, berhati-hatilah semasa menulis karangan. Kita sering mendapati pelajar sangat gemar menggunakan "Hal ini kerana" dan "Justeru itu" semasa menulis. Kedua-duanya merupakan kesalahan sintaksis. Tabiat ini haruslah dihentikan.