Rencana ini ditulis
oleh
Muhammad Shafee
Abdullah
PENULIS ialah peguam
kanan di Kuala Lumpur serta bekas Pesuruhjaya Suhakam dan kini dilantik sebagai
Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR). Penulisan
ini adalah pandangan peribadi beliau.
Hukuman mati
ditetapkan untuk beberapa kesalahan, iaitu bunuh dan melancarkan perang
terhadap Raja (kesalahan di bawah Kanun Keseksaan), culik untuk mendapat wang
tebusan (Akta Culik 1960 berbanding dengan culik di bawah Kanun Keseksaan),
mengedar dadah (kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan undang-undang
statut lain berkaitan), kesalahan lain berkaitan pemilikan senjata api dan
peluru atau bahan letupan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971
serta Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang telah dimansuhkan baru-baru
ini.
Kebanyakan hukuman
mati adalah mandatori selepas dibuktikan bersalah tanpa sebarang keraguan
munasabah. Ini bermakna hakim yang terlibat dalam perbicaraan tidak boleh
menggunakan budi bicara ketika menimbangkan hukuman yang ada selain hukuman
mati seperti penjara seumur hidup atau menetapkan tempoh tertentu sehingga
semaksimum yang boleh, setimpal dengan hukuman mati, yang lebih layak
dijatuhkan ke atas pesalah selepas mengambil kira bermacam-macam keadaan yang
membawa kaitan dengan kesalahan dan/atau pesalah.
Badan perundangan
Malaysia pernah mengamanahkan hakim-hakim dengan fungsi budi bicara yang
penting ini. Contohnya, hakim di mahkamah tinggi pernah diberikan kuasa
menggunakan kebijaksanaan dan budi bicara dalam mengadili kes-kes pengedaran
dadah. Bagaimanapun Peguam Negara sebelum ini kecewa dengan hakikat yang
hakim-hakim memilih untuk mengenakan hukuman penjara seumur hidup ke atas
pengedar dadah berbanding menjatuhkan hukuman mati. Hakim-hakim berkenaan
mempunyai alasan yang baik dalam kebanyakan kes untuk tidak memilih hukuman
mati. Dalam apa jua kes, jika hakim terkhilaf akan sentiasa ada proses rayuan
yang boleh dilakukan oleh pihak pendakwa untuk menyemak semula keputusan tersebut
supaya dijatuhkan hukuman mati. Tetapi pertimbangan tidak matang dan tidak
berpandangan jauh nampaknya mengatasi yang lain pada masa itu. Kita telah
terperangkap dengan budaya knee-jerk iaitu pantang tersentak yang menjadi
amalan badan perundangan kita, yang tidak mendapat nasihat sepenuhnya daripada
pihak yang mendraf rang undang-undang dan pihak berkuasa berkaitan. Akibatnya,
pindaan yang dibuat itu tidak komprehensif dan kurang keselarasan dengan skim
sistem undang-undang umum yang sedia ada.
Sekitar 2008, Ketua
Setiausaha Kementerian Luar, dalam ucapan penting pada sidang Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata bahawa Kerajaan Malaysia sedang
mempertimbangkan langkah-langkah untuk memansuhkan hukuman mati. Ia akan
dilakukan secara beransur-ansur. Saya ingatkan langkah pertama adalah dengan
mengembalikan semula bidang kuasa budi-bicara kepada hakim-hakim ke atas
hukuman semua kesalahan, terutamanya kes-kes pengedaran dadah. Singapura baharu
saja meminda undang-undangnya untuk membolehkan ia digunakan bagi kes-kes
pengedaran dadah dan kategori bunuh semata-mata dan mereka nampaknya
terang-terang mahu mengwujudkan koordinasi dengan Malaysia dalam melaksanakan
perubahan yang penting itu. Seperti biasa, kita membiarkan Singapura mendahului
kita apabila tidak melakukan apa-apa untuk melaksanakan idea perubahan itu
sungguhpun Pejabat Peguam Negara mendakwa sudah menimbangkan idea dan
penyelidikan mengenainya sejak setahun lalu. Singapura kini ternampak lebih
sedikit liberal dan adil dari segi hukuman melibatkan kes-kes pengedaran dadah
berbanding kita! Sungguh ironik! Rakan saya, peguam kanan Roger Tan sudah pun
memperkatakan tentang ini di dalam artikel terbarunya.
Malaysia patut
memikirkan semula tentang keseluruhan debat mengenai pemansuhan hukuman mati
secara menyeluruh dan praktikal, bukan hanya tentang memansuhkan hukuman mati
mandatori sebaliknya memimpin serta menjadi penyokong utama untuk
melaksanakannya secara aktif dalam kalangan negara ASEAN. Sebagai wakil
Malaysia dalam Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia
(AICHR), saya telah membangkitkan idea ini beberapa kali dalam kalangan anggota
suruhanjaya agar dipertimbangkan oleh 10 negara ASEAN.
Tidak berapa lama
dulu, Menteri Undang-undang berkata, bahawa Malaysia mungkin belum bersedia
untuk memansuhkan hukuman mati. Nampaknya, menurut beliau, majoriti rakyat
Malaysia menentang idea pemansuhan itu. Sejak kebelakangan ini, menteri
mencadangkan pemansuhan hukuman mati mandatori dalam kes-kes pengedaran dadah.
Ia serupa dengan undang-undang di Singapura sekarang. Sayangnya di negara ini,
kita mengambil masa yang panjang untuk menimbangkannya sedangkan kita
sepatutnya sudah boleh mendahului.
Debat
Tan Sri Lee Lam Thye
baru-baru ini memberi pandangan yang bertentangan berhubung cadangan pemansuhan
hukuman mati. Saya mempunyai beberapa hujah untuk menjawab pandangannya itu.
Pertamanya, saya
berpendapat beliau mungkin tersalah faham akan kenyataan menteri. Menteri
tersebut tidak berkata yang semua hukuman mati akan dimansuhkan. Beliau hanya
merujuk kepada hukuman mati mandatori yang terhad kepada kesalahan berkaitan
dadah sahaja. Sementara saya menyokong hukuman mati mandatori dalam kes-kes
berkaitan dadah dihapuskan serta-merta, saya mencadangkan agar penghakiman
dikurangkan secara beransur-ansur sehingga pemansuhan hukuman mati secara
total. Saya cadangkan agar beberapa langkah berikut diberi pertimbangan:
Sebagai permulaan,
moratorium serta-merta patut diisytiharkan iaitu penangguhan hukuman ke atas
semua kes berkaitan sehingga satu keputusan dicapai oleh pihak berkuasa
terlibat.
1) Kemudiannya
sebagai langkah pertama, keluarkan (remove) hukuman mati mandatori daripada
semua kes pengedaran dadah;
2) Keduanya, dalam
tempoh setahun, keluarkan hukuman mati mandatori daripada semua kes jenayah
tanpa pengecualian;
3) Ketiga, dalam
tempoh tiga tahun daripada langkah pertama, mansuhkan semua hukuman mati dalam
semua kes kecuali melancarkan perang terhadap Raja dan penculikan bagi
mendapatkan wang tebusan.
4) Keempat, pada masa
yang sesuai selepas tiga tahun daripada langkah pertama (tetapi tidak melebihi
lima tahun) hukuman mati perlu dikeluarkan biarpun dalam dua kesalahan itu
iaitu melancarkan perang terhadap Raja dan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan.
Dalam kata lain, pada
akhir tahun ketiga dari langkah pertama, hanya dua jenis kes tersebut masih
memakai hukuman mati tetapi bukan secara mandatori sehingga pelaksanaan
sepenuhnya seperti dicadangkan di atas. Bagi saya, dua kategori kes itu adalah
serius semata-mata kerana ia sepenuhnya menjurus kepada kemarahan masyarakat
dan penghinaan kepada polisi umum di mana kesalahan ini adalah yang paling
jelik sifatnya dan sentiasa terdapat elemen kejam yang ekstrem bagi kedua-dua
kesalahan tersebut.
Kedua-dua jenayah ini
biasanya paling kejam, diperhitungkan dan dirancang selain dikaitkan dengan
keganasan. Hampir semuanya dilakukan oleh geng dan sindiket yang ada kaitan
dengan elemen subversif dan jenayah terancang. Jenayah yang berkaitan dengan
pengedaran dadah bermula daripada organisasi bersindiket sehinggalah kepada
individu yang menjadi pembawa atau keldai dadah, semuanya didorong untuk meraih
keuntungan. Kelemahan dalam membezakan di antara dadah konvensional dan
rekreasi selain pengedar sebenar dan individu yang diperalatkan sebagai keldai
dadah dalam undang-undang Malaysia, telah menambahkan komplikasi dalam hukuman.
Sebab-sebab
pemansuhan hukuman mati.
Antara alasan yang
biasa dikemukakan adalah:
a) hukuman ini zalim
dan tidak berperikemanusiaan;
b) ia tidak boleh
ditarik balik jika berlaku kesilapan sabitan;
c) ia bertentangan
dengan piawaian hak asasi manusia dunia;
d) teori pembalasan hutang
darah dibayar darah (an eye for an eye) tidak lagi diterima dalam
prinsip-prinsip hukuman;
e) hukuman mati tidak
mengurangkan jenayah spesifik seperti kesalahan dadah dan bunuh.
Semua alasan di atas
adalah munasabah.
Menteri yang menjaga
hal ehwal undang-undang bagaimanapun telah mengutarakan alasan bijak untuk
memansuhkan hukuman mati mandatori. Beliau berkata, agak sukar untuk Malaysia
meminta bantuan daripada negara asing agar menjatuhkan hukuman ringan ke atas
pesalah dadah rakyat tempatan jika kita terus menguatkuasakan hukuman mati.
Namun tentu lebih menarik jika menteri menyarankan pemansuhan penuh hukuman
mati daripada hanya memansuhkan hukuman mati mandatori. Apa agaknya yang akan
dilakukan oleh menteri jika mahkamah Malaysia menjatuhkan hukuman mati ke atas
warga asing dalam kes berkaitan dadah yang tidak memperuntukkan hukuman mati
mandatori?
Kita tidak boleh
menggunakan Lembaga Pengampunan semata-mata untuk menyenangkan hati kerajaan
asing kerana langkah itu tidak selaras dengan konsep kesamarataan yang
diperuntukkan di bawah Perlembagaan, jika pesalah rakyat Malaysia mendapat
hukuman lebih keras daripada warga asing. Sehubungan itu, adalah lebih baik
menggunakan hujah menteri untuk menjustifikasi pemansuhan secara total hukuman
mati dalam kes-kes pengedaran dadah. Namun pertimbangkan secara serius
alasan-alasan bukan tradisional berikutnya yang menyokong cadangan memansuhkan
hukuman mati:-
Pertama, dalam hal
ekstradisi (di bawah Akta Ekstradisi 1992) dan/atau bantuan bersama di bawah
Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 (MACMA), jika Kerajaan Malaysia
membuat tuntutan sama ada mengekstradisi seseorang atau bukti, negara yang
diminta bantuan dalam banyak keadaan akan meminta Malaysia memberikan jaminan
yang undang-undang kita tidak melaksanakan sama ada hukuman mati atau fizikal
(corporal punishment) seperti merotan, jika tidak negara berkenaan tidak akan
melayan permintaan kita. Ini adalah tekanan antarabangsa yang dikenakan oleh
kebanyakan negara (terutama Eropah) ke atas negara yang mengamalkan sistem hukuman
mati dan fizikal.
Kedua dan mungkin
paling mustahak, setiap negara yang mengamalkan hukuman mati pasti akan
berhadapan dengan masalah double jeopardy iaitu perdapatan salah dan
keseksaan dua kali atas satu kesalahan sama, secara tidak adil dan mendatangkan
kesan buruk kepada banduan terbabit. Mengikut Sistem Undang-undang Jenayah
negara, sesuatu perbicaraan dengan mengambil kira sekurang-kurangnya dua
peringkat rayuan akan memakan masa paling minimum enam tahun. Ini ditambah pula
dengan kelewatan sistem badan pengampunan. Adalah menjadi kebiasaan, walaupun
segalanya berjalan lancar, ia tetap akan mengambil masa di antara tujuh ke
lapan tahun juga. Biasanya kira-kira sembilan tahun atau lebih. Jika dikira
semua tempoh masa dari tarikh reman sehingga pelaksanaan hukuman mati, pesalah
terbabit sudah pun meringkuk di dalam penjara selama 13 tahun setengah
(mengambil kira pengurangan sepertiga hukuman penjara secara automatik).
Maknanya pesalah hanya ke tali gantung setelah menjalani hukuman penjara selama
sekurang-kurangnya 13 tahun setengah. Inilah yang saya maksudkan dengan double
jeopardy, menderita dua hukuman untuk satu kesalahan jenayah.
Tetapi itu adalah
keadaan yang paling baik menjadi kebiasaan, juga , banduan bilik akhir sudah
mengalami hukuman penjara selama 16 tahun sebelum hukuman mati dijalankan. Ada
juga yang menunggu selama 20 tahun, 25 tahun malah 38 tahun! Fikirkanlah! Ini
bukan lagi double jeopardy. Ia adalah triple jeopardy apabila kita
mengambil kira yang hukuman penjara seumur hidup hanya 20 tahun (dan banduan
hanya dipenjarakan selama 14 tahun selepas mengambil kira pengurangan hukuman
secara automatik).
Adakah kita
benar-benar serius mahu mempertahankan ketidakadilan yang nyata ini, yang
kurang asas hak asasi manusia dan menjatuhkan darjat pesalah? Apa jenis
masyarakat yang kita hidup sekarang ini? Ramai pemimpin politik (baik kerajaan
atau pembangkang) tidak mahu mengambil inisiatif memimpin perubahan kerana
takut menjadi tidak popular dan kerap kali menyalahkan masyarakat umum yang
mahu mengekalkan sistem hukuman yang tidak adil ini. Saya ingin tegaskan bahawa
dalam perkara-perkara yang menyaksikan sistem keadilan jenayah itu sendiri
dibicarakan, pemimpin masyarakat perlu berada di hadapan dan bukannya menjadi
pengikut. Masyarakat perlu dididik tentang perkara-perkara yang dibincangkan di
sini supaya mereka dapat menghargai ketidakadilan yang sekian lama berlaku
dalam sistem perundangan dan penghakiman. Proses pengadilan jenayah tidak boleh
dibuat terburu-buru dan dibenamkan. Ini bukan desakan untuk badan kehakiman
mempercepatkan kes-kes jenayah ke tahap yang tidak realistik hanya kerana
mengejar KPI (Petunjuk Utama Prestasi).
Sekarang ini pun
wujud kebimbangan terhadap tahap kelajuan badan kehakiman menyelesaikan
kes-kes sivil. Rakyat Malaysia cukup terkenal dengan sikap melebih-lebih dalam
semua perkara. Apabila jiran kita menetapkan jangkamasa perbicaraan sesuatu kes
perlu selesai dalam tempoh dua tahun dari tarikh difailkan, kita mahu lebih
baik dengan mengehadkan hanya enam bulan hingga sembilan bulan sahaja! Rakyat
Malaysia memang suka sesuatu yang ekstrem. Baru-baru ini, Sultan Johor
meringankan hukuman mati beberapa banduan di negeri itu dan ramai yang
dibebaskan pada hari sama; mereka telahpun menderita double dan triple
jeopardy. Dengan keputusan itu, baginda secara tidak langsung telah mengajar
semua pihak tentang hak-hak asasi manusia, keadilan, belas kasihan dan ihsan.
Kita semua patut merasa malu kerana melakukan dan bertoleransi dengan sistem
yang tidak adil, tidak berperikemanusiaan dan kejam ini. Cukup mengejutkan, ia
masih berterusan!
Ketiganya, saya
sering menyuarakan dan memerhatikan bahawa hukuman ekstrem seperti mati ini
menyebabkan peningkatan rasuah dalam sistem penguatkuasaan. Seorang lelaki yang
ditangkap mengedar sejumlah dadah sanggup menawarkan seberapa banyak wang pun
sebagai rasuah untuk menyelamatkan tengkuknya. Dalam kalangan pengamal
undang-undang jenayah, kami biasa mendengar kisah-kisah menakutkan daripada
pelanggan dan saksi. Malangnya, walaupun dinasihatkan supaya membuat aduan,
rata-rata mereka terlalu takut untuk membangkitkan perkara ini, mungkin kerana
mereka juga terlibat memberi rasuah.
Pegawai tinggi polis
khususnya Pengarah Narkotik, Datuk Noor Rashid mencuba sehabis baik untuk memupuk
sikap jujur, dedikasi dan profesionalisme dalam kalangan anggota penguat kuasa.
Sementara langkah ini perlu dipuji, hakikat bahawa nyawa masih menjadi
taruhan membuka peluang dan menarik pengedar dadah yang sedang terdesak untuk
memberi rasuah bagi mengelak hukuman mati. Menjadi harapan kita dengan menarik
keluar hukuman mati daripada kes-kes berkaitan dadah akan mengurangkan
kecenderungan untuk memberi rasuah.
Tidak salah rasanya
untuk saya mencadangkan kepada pihak berkuasa untuk menimbang melihat semula
hukuman penjara sepanjang hayat kerana adalah cukup kejam untuk mengurung
seseorang di dalam penjara sehingga dia mati. Ia menguburkan semua harapan
untuk banduan itu berubah. Tambahan pula, banduan tersebut pada hujung usia
akan menimbulkan masalah pengurusan yang serius kepada pihak berkuasa penjara.
Dalam keadaan ini, seolah-olah pihak berkuasa penjara pula yang menerima
hukuman.
Sumber
Utusan Malaysia
4 November 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan