Rencana ini ditulis
oleh
Nordin Abdul Malek
Pengerusi Eksekutif Institut
Skill-Tech
Dalam buku Sun Tzu,
The Art Of War, tercatat kata-kata bahawa kecil tidak semestinya lemah, besar pula tidak
semestinya kuat". Ungkapan falsafah perang ini membayangkan bahawa
kekuatan sesebuah organisasi itu bukan terletak kepada saiz zahirnya tetapi
sebenarnya terletak kepada keupayaan sesebuah organisasi menggerakkan
organisasi bagi mencapai kejayaan. Atas kepercayaan
kepada keupayaan diri, walaupun Skill-Tech mungkin tidak sebesar pusat-pusat
latihan lain tetapi institusi ini telah sampai ke satu tahap yang mampu
melepasi peranan hakiki sebagai sebuah institusi latihan kemahiran pertanian
swasta. Tumpuan bukan sahaja sebagai penyedia latihan tetapi juga pembangunan
graduan. Malah kini sudah diamanahkan untuk bersama-sama kerajaan membangunkan
masyarakat luar bandar kepada pembangunan kampung-kampung.
Daripada aspek
pembangunan latihan, Skill-Tech telah memecahkan tradisi latihan kemahiran
terutama di sektor pertanian yang dahulunya bersifat orthodok. Dengan
berbekalkan kombinasi kepimpinan generasi baru yang berpengalaman, dinamik dan
agresif, latihan kemahiran versi baru ini berjaya menarik minat kumpulan belia
yang kebanyakannya tercicir dalam arus pendidikan terutama di pedalaman Sabah
dan Sarawak. Selain faktor promosi
yang bersifat penjenamaan baru, proaktif dan penuh motivasi, minat mula timbul
dalam kalangan generasi muda kerana mereka diberi keyakinan bahawa masa depan
kerjaya serta peluang perniagaan pertanian adalah lumayan. Di samping itu, jika
sebelum ini, tumpuan kursus-kursus pertanian di Malaysia adalah bersifat stereo
taip, strategi baru Skill-Tech yang menumpukan pula kepada industri hiliran
menjadikan kursus berkenaan semakin diminati.
Kesannya dapat
dilihat apabila kemasukan pada 2005 hanya sekitar 200 hingga 300 orang setahun
mampu mencecah kepada 2,000 orang pada 2008. Pada 2011, jumlah permohonan masuk
sahaja meningkat kepada 5,000 orang secara online tanpa bersusah payah untuk
mempromosikannya. Faktor kepercayaan
ini mungkin didorong oleh perkhidmatan berterusan yang dijalankan di peringkat
post latihan seperti penempatan pekerjaan di sektor peladangan serta bimbingan
usahawan. Graduan Skill-Tech adalah antara mereka yang paling banyak
memanfaatkan pinjaman MyAgrosis yang disediakan kerajaan untuk usahawan
siswazah tani menerusi Agro Bank. Graduan Sabah sahaja berjaya memanfaatkan RM1
juta peruntukan skim berkenaan pada April lalu.
Segala peluang
keusahawanan dan sokongan pelbagai pihak membolehkan matlamat 30 peratus
melahirkan usahawan boleh dicapai. Ini mengatasi graduan IPTA yang dilaporkan
hanya mampu dilahirkan sekitar 0.3 peratus sebagai usahawan. Atas kejayaan dan
pengalaman membangunkan pertanian di peringkat kampung-kampung, pelbagai pihak
turut menjadikan Institut Skill-Tech sebagai rakan kongsi pembangunan belia
kampung untuk mewujudkan peluang ekonomi dan seterusnya mengekalkan mereka
untuk memajukan kampung masing-masing.
Penglibatan aktif
MyKampung MyFuture dalam perkongsian Blue Ocean Strategy yang diketuai oleh Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani memberi mandat supaya Skill-Tech turut
mengambil peranan dalam pembangunan belia kampung. Tugas bersama ini sedang
dijalankan di tiga kampung perintis iaitu Kg. Gedong, Simunjan, Sarawak, Kg.
Merotai, Tawau, Sabah dan Pulau Tiga, Kg. Gajah, Perak. Tidak ketinggalan
juga usaha menyemarakkan integrasi nasional antara Semenanjung dan Sabah,
Sarawak turut mengeratkan hubungan menerusi program latihan kerana hampir
separuh pelatih adalah datangnya dari Sabah dan Sarawak. Usaha mengetengahkan
budaya dan tradisi Borneo di Semenanjung yang dilakukan oleh Institut
Skill-Tech menjadikan kemesraan masyarakat Sabah dan Semenanjung semakin akrab
umpama sebuah keluarga.
Kepercayaan yang
diberikan kepada Skill-Tech daripada peringkat latihan, pembangunan graduan
hinggalah ke peringkat pembangunan komuniti kampung adalah bukti prestasi kerja
yang melangkaui tugas yang biasanya dilakukan oleh institusi pendidikan biasa
terutama sektor swasta. Situasi ini sepatutnya memberikan gambaran kepada
pelbagai pihak bahawa bukan semua institusi swasta seperti Skill-Tech hanya
mengaut keuntungan dan mahu menjadi kaya-raya. Malah sesetengah pihak termasuk
masyarakat di luar negara seringkali menyangkakan institusi ini milik penuh
kerajaan kerana peranannya lebih cenderung dilihat melaksanakan tugas agensi
kerajaan.
Dalam erti kata lain,
peranan yang dijalankan oleh Skill-Tech amat berbaloi untuk kerajaan
bekerjasama kerana pakej luar biasa yang ditawarkan, selain komitmen untuk
mencapai pembangunan seimbang antara matlamat perniagaan dan pembangunan
masyarakat bersama kerajaan. Namun begitu, di sebalik kejayaan semua pencapaian
di atas, ada juga pihak yang gagal melihat kepentingan program seumpama ini wajar
diteruskan dan Skill-Tech sewajarnya disokong dengan apa jua cara sekalipun.
Apatah lagi apabila institusi ini berjaya diiktiraf sebagai Syarikat Bumiputera
Berprestasi Tinggi (Teras) di bawah Teraju.
Disangkakan panas
sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Amat malang apabila
kegemilangan yang pernah dicapai tidak dapat menuju puncak jaya atas
sebab-sebab yang sukar untuk dihuraikan. Cukuplah sekadar membayangkan masalah
yang dihadapi adalah sebahagian isu menyeluruh usahawan bumiputera yang ditegaskan
oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa Kongres Usahawan
Bumiputera, anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), baru-baru ini.
Kisahnya adalah sama! Cuma di kesempatan
ini, kami mengucapkan tahniah kepada graduan yang telah mengisi keperluan
sektor pertanian di Malaysia. Sebagai peneraju Institut Skill-Tech, mungkin
wajar saya mengulangi pesanan keramat ketika mereka menjadi pelatih dahulu
bahawa apa yang dikecapi selama ini sebagai bumiputera belum tentu kekal
selama-lamanya. Maka, rebutlah peluang ketika hak itu masih ada".
Sumber
Utusan Malaysia
3 November 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan