Rencana ini ditulis
oleh
Azman Anuar
Saya terkejut membaca
laporan berita mengatakan kerajaan sedang menimbang cadangan menangguhkan
pelaksanaan hukuman mati terhadap pesalah dadah di negara ini. Keputusan itu
akan bergantung pada hasil kajian semula yang dijalankan Pejabat Peguam Negara.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul
Aziz, jika dipersetujui, satu inisiatif akan dilakukan bagi mewujudkan
moratorium (penangguhan) terhadap hukuman mati terhadap mereka yang didapati
bersalah memiliki dadah. Permohonan penangguhan itu dikatakan wajar atas alasan
sebahagian daripada 900 orang yang sedang menunggu hukuman mati ketika ini
adalah pesalah dadah.
Satu lagi sebab
kajian semula hukuman itu dilakukan, sebagaimana kata Mohamed Nazri bertujuan
menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia di luar negara seperti China, Columbia,
Peru dan Venezuela yang berdepan hukuman mati akibat menjadi keldai dadah. Cuba
kita renung dan fikirkan nasib keldai dadah kita di penjara negara asing itu.
Adakah disebabkan untuk menyelamatkan nyawa mereka, perundangan negara perlu
diubah? Dalam hal melibatkan dasar negara, maka kita mengharapkan sangat agar
pihak Jabatan Peguam Negara dan Kabinet membuat keputusan yang bijak supaya
keputusan yang bakal diambil itu tidak mengecewakan masyarakat.
Dalam ingatan saya,
asas pelaksanaan hukuman mati mandatori atas kesalahan edar dadah adalah untuk
memerangi serta sebagai peringatan keras kepada pengedar dadah. Hukuman mati
terhadap pesalah dadah diperkenalkan di negara ini pada tahun 1975. Hampir
semua agensi, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat digerakkan untuk
membanteras masalah penyalahgunaan dadah ke arah menjadikan Malaysia negara
bebas dadah pada 2015. Adakah kita sudah lupa asas-asas ini? Kita pernah
dicemuh kerana dasar hukuman yang dianggap kejam tetapi pemimpin kita
mempertahankannya dengan memberi hujah yang bernas. Rakyat negara kita dan
masyarakat antarabangsa pun akhirnya menerima ketegasan undang-undang dadah
negara kita ini.
Pada saya jika
terlalu sayangkan nyawa beberapa orang keldai dadah yang fikir seronok sahaja
dapat melancong ke luar negara dan mudah diperdaya sindiket dadah antarabangsa,
maka elok kerajaan lantik dan upah peguam yang hebat. Dan bukan ubah dasar
undang-undang negara. Jika asas mahu mengubah perundangan negara ini ada kaitan
dengan kesalahan keldai dadah, ada pihak mencadangkan kita memasukkan klausa
khusus mengenai keldai dadah agar membuka ruang kepada pihak kehakiman untuk
menentukan hukuman. Jangan disebabkan kita mempunyai undang-undang yang ketat,
kita beranggapan pihak lain tidak akan memberi kelonggaran hukuman kepada
rakyat kita di penjara luar negara.
Bayangkan jika keldai
dadah dan pengedar antarabangsa tidak ditahan oleh mana-mana pihak berkuasa
negara ini atau negara asing, apa jadi kepada rakyat dan generasi dunia. Ketagihan
dadah bukan seperti rokok. Malah dadah sekarang dalam pelbagai bentuk dan pil.
Banyak kesan negatif dibawa bersamanya. Selain padah kepada diri penagih, dadah
juga 'mencipta' jenayah-jenayah sosial yang sehingga hari ini belum berjaya
kita tangani sebenar-benarnya. Kita sudah lama memberi mesej jelas kepada
rakyat dan masyarakat antarabangsa, hukuman terhadap pesalah dadah di Malaysia
amat berat sehingga hukuman mati mandatori. Jika negara lain pun mempunyai undang-undang
yang ketat terhadap jenayah dadah, kita patut hormati dan bersama-sama mereka
memerangi jenayah antarabangsa ini.
Masalah
penyalahgunaan dadah ini merupakan gejala sejagat dan usaha pembanterasannya
memerlukan kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa. Jangan beri
kemenangan kepada ketua sindiket dadah. Memang dalam perang memerangi dadah,
akan ada yang menjadi korban. Keldai dadah sudah direkrut menjadi tentera
sindiket dadah, maka kita terpaksa menawan dan menghukum mereka walaupun jeneral
mereka masih bebas. Khabarnya seramai 900 pesalah dadah kini menunggu hukuman
mati di negara ini. Daripada jumlah itu, 75 warga Indonesia menjadi banduan
'bilik akhir' kerana kesalahan dadah tersebut.
Hidup mati mereka
kini bergantung pada cadangan penangguhan hukuman gantung mandatori yang mana
Pejabat Peguam Negara sedang melakukan kajian semula untuk menghapuskan hukuman
mati di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Khabarnya inisiatif untuk 'memansuhkan'
hukuman mati juga akan membantu rayuan terhadap keldai dadah warga Malaysia
yang berdepan hukuman mati di negara asing termasuk seorang yang kini berdepan
hukuman itu di Indonesia. Pada saya, jika pada 17 Oktober 2011, hasil surat
rayuan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono terhadap 17 banduan bilik
akhir warga Indonesia di negara ini, empat daripadanya diringankan kepada
hukuman penjara seumur hidup manakala seorang diringankan kepada hukuman
penjara sepanjang hayat, mengapa pendekatan timbal balik ini tidak diusahakan?
Apa pun terserah
kepada bijak pandai di Jabatan Peguam Negara serta anggota Kabinet yang dipilih
oleh rakyat memutuskan hukuman terbaik bagi menggantikan hukuman mati mandatori
bagi pesalah dadah. Pada masa ini kita berpegang pada kata-kata Mohamed Nazri
yang "percaya hukuman (baharu) kelak tidak akan bertambah atau berkurang
tetapi bersifat adil."
Sumber
Utusan Malaysia
27 Oktober 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan