Rencana ini ditulis
oleh
Zin Mahmud
Sebeanrnya penyakit
ini dapat dikesan sejak dari awal lagi. Para ulat buku seringkali adalah
golongan yang suka menyendiri. Tidak suka bersosial, lebih gemar menghabiskan
masa, tenaga dan wang ringgitnya demi buku. Maka para ibu bapa yang mempunyai
ulat buku di kalangan anak-anak mereka pasti dapat mengesan penyakit ini dari
awal, sejak di sekolah rendah. Ulat-ulat buku ini dengan sendirinya, tanpa
disuruh akan gemar pergi ke perpustakaan sekolah. Mereka akan pinjam buku
sebanyak mana dibenarkan, membacanya cepat-cepat dan mengembalikannya sepantas
mungkin, supaya dapat meminjam buku lain pula. Sering kali ulat buku ini akan
segera menjadi pustakawan sekolah supaya mereka dapat hidup dikelilingi buku.
Di luar waktu sekolah, kedai buku sentiasa menjadi tumpuan mereka.
Bagi ibu bapa yang
mempunyai anak-anak berpenyakit gila buku ini, mereka akan mula menyedari
kesan-kesan negatifnya. Ini kerana buku-buku yang dibaca oleh ulat-ulat itu
seringkali bukannya buku pelajaran untuk peperiksaan dalam silibus nya. Maka
ulat-ulat buku ini akan membaca apa saja yang diminatinya, seringkali berbeza
daripada mata pelajaran di sekolahnya. Jika tidak dikawal, pencapaian pelajarannya
akan terjejas kerana ulat-ulat buku ini banyak menghabiskan masa membaca
buku-buku lain. Kesan negatif lain ialah banyaknya wang yang dihabiskan oleh
kanak-kanak ulat buku ini untuk membeli buku. Mereka sanggup berlapar supaya
wang belanja makan digunakan untuk membeli buku.
Maka dalam waktu
singkat bilik dan rumahnya akan penuh dengan buku dan majalah yang pasti
dirasakan menyempitkan dan semak bagi para ibu bapa mereka terutama yang hanya
mampu memiliki rumah kecil. Selain itu, kesan negatif daripada ulat buku ialah
sifatnya yang tidak suka bersosial dan bersukan hingga menjejaskan pembangunan
dirinya dan kemahiran hubungan sesama insan. Tidak kiralah apa kerjaya yang
diceburinya, penyakit gila buku ini akan berterusan hingga ke akhir hayat. Apabila
mereka mula bekerja, dengan memiliki wang sendiri, maka banyak lagilah buku
yang dibeli dan diperoleh dan seterusnya memenuhi ruang-ruang di rumahnya. Masalah
ini akan menjadi rumit jika seorang lelaki ulat buku berkahwin dengan wanita
yang tidak toleran dengan penyakit ini.
Sejak mula berkahwin
hinggalah beranak cucu, leteran terhadap buku-buku yang terus bertambah
menimbun dalam rumah akan menjadi suatu kebiasaan. Tetapi bagi ulat-ulat buku,
mereka tidak akan menjawab balik terhadap leteran-leteran itu. Mereka hanya
memekakkan telinga dan terus tenggelam dalam dunia pembacaannya. Bagi
isteri-isteri ulat buku, penyakit suami mereka ini dirasakan menyempitkan
hidupnya. Perebutan ruang dalam rumah pasti berlaku. Ini kerana buku-buku
memakan banyak ruang yang berharga terutama dalam rumah teres dua tingkat
dengan bilik terhad. Soal buku sememangnya sensitif bagi ulat buku. Jika dia
mendapati bukunya diusik, apatah lagi dipindahkan ke tempat lain, maka
berangnya tidak mengenal ahli keluarga. Buku adalah sebahagian daripada
dirinya.
Tanda-tanda bahawa
seseorang lelaki itu berpenyakit gila buku sepatutnya boleh disedari oleh
seseorang perempuan sejak awal dia mula mengenal bakal suaminya. Pastinya
lelaki ini akan membawa teman wanitanya ke tempat-tempat yang ada kedai buku.
Kalau pergi ke kompleks membeli belah, pastinya dia akan memilih tempat yang
ada kedai buku. Gaya hidup ini akan berterusan sepanjang hayatnya. Anak-anak
ulat buku juga dari awal lagi sedar bahawa ke mana saja mereka berjalan,
bapanya pasti membawa mereka ke kedai buku. Seringkali bapa mereka akan membeli
lebih banyak buku daripada anak-anaknya.
Ada masanya apabila
tidak tahan dengan protes isterinya, maka ulat buku ini akan menjalani hidup
secara gerila. Mereka membeli buku secara gelap, sembunyi-sembunyi. Apabila
membeli buku, ia akan disorokkannya dalam kereta. Setelah keluarganya tidur,
barulah dia keluarkan buku daripada keretanya. Setelah berbulan-bulan berlalu,
tiba-tiba tanpa disedari isterinya, rumah menjadi sempit kerana penuh buku. Tetapi
sejak tahun-tahun kebelakangan ini, teknologi maklumat telah membawa harapan
baru kepada keluarga ulat buku. Ulat-ulat buku tidak perlu lagi bimbang dileter
atau dimarah isterinya kerana menyempitkan ruang rumah akibat terlalu banyak
buku. Kemunculan e-buku akan meringankan beban ulat-ulat buku daripada
kemarahan keluarganya. Ini kerana e-buku tidak lagi memakan banyak ruang. Zaman
ulat e-buku sudah tiba.
Sumber
Utusan Malaysia
30 Oktober 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan