Rencana ini ditulis
oleh
ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan
dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) dan Felo Penyelidik, Institut
Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia
Bahkan ada di antara
mereka boleh menjalankan perniagaan seperti biasa. Tidak ada langsung rasa
bersalah terhadap pembeli-pembeli projek perumahan mereka. Itu bab ditipu oleh
pemaju hartanah. Ditipu oleh skim cepat kaya usah cakaplah. Sejak skim cepat
kaya Pak Man Telo diketahui ramai, tidak ada tanda-tanda rakyat Malaysia
mengambil iktibar ke atasnya. Masih ramai yang ditipu menggunakan modus
operandi skim cepat kaya. Amat menghairankan kerana rakyat Malaysia sekarang
ini ramai yang berpendidikan tinggi sehingga memperoleh ijazah kedoktoran.
Tetapi semakin tinggi pelajaran, semakin mudah pula ditipu. Terbaru, skim cepat
kaya yang menggunakan modus operandi emas sebagai umpan.
Ramai yang terjebak
dengan skim cepat kaya ini. Kasihan juga kepada mereka yang terlibat kerana
tindakan segera telah dibuat oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Namun, bak kata
pepatah, nasi sudah menjadi bubur. Menyesal sudah tiada gunanya. Sememangnya,
emas semakin digilai oleh rakyat Malaysia. Malangnya, ramai yang tidak
mengetahui selok belok dalam pelaburan emas, yang akhirnya kesempatan ini
diambil oleh segelintir golongan untuk menipu pelabur. Emas akhirnya melemaskan
rakyat Malaysia. Hak pengguna tidak dilindungi. Pembeli rumah mahupun pelabur
emas mengalami kerugian besar. Di manakah penguat kuasa undang-undang? Kita
masih tidak belajar sebagaimana negara jiran kita yang amat serius
menguatkuasakan undang-undang. Inilah kelemahan utama negara kita. Dasar dan
polisi sungguh hebat di atas kertas, tetapi apabila dilaksanakan atau
dikuatkuasakan, ia hanya indah khabar daripada rupa.
Dek kerana mudah
ditipu dan kurang penguatkuasaan, ada juga rakyat Malaysia terutamanya yang
terlalu tamak mengejar gaji lumayan tertipu dengan umpan gaji lumayan oleh
orang yang tidak diketahui latar belakangnya. Sampaikan ramai yang sanggup
menghadiri temuduga di bilik hotel. Bukannya gaji lumayan yang diperoleh,
sebaliknya dirogol dan dirompak pula. Ada pula yang ditipu menjadi keldai
dadah. Bagaimana mudahnya wanita Malaysia terpedaya dengan cara penipuan sebegini.
Itu belum lagi melibatkan penipuan di jalan raya. Di jalan raya terdapat
pelbagai cara penjenayah menipu. Tujuan tidak lebih daripada untuk merompak.
Dilanggar kereta mangsa dan mangsa pula dalam keadaan marah memberhentikan
kereta untuk menuntut ganti rugi.
Kesempatan ini
digunakan penjenayah untuk merompak mangsa. Ada juga penjenayah berlagak
seolah-olah berlaku kemalangan di jalan raya. Memberhentikan kereta dan
motosikal dan sanggup "tidur" di tengah jalan raya supaya mangsa
memberhentikan kenderaan. Taktik menipu ini memperdayakan sesiapa sahaja yang
jujur untuk membantu "mangsa" kemalangan yang tertiarap di jalan
raya. Malangnya, mereka tidak menyedari kejujuran mereka inilah menyebabkan
mereka bakal dirompak. Tidak kurang juga ramai rakyat Malaysia yang ditipu oleh
warga asing. Dianggarkan berbilion ringgit kerugian yang telah dialami oleh
rakyat Malaysia yang kebanyakannya ditipu melalui jenayah siber. Sungguh
menghairankanlah, rakyat Malaysia senang percaya dengan warga asing. Penjenayah
siber ini menggunakan segala kepakaran teknologi maklumat untuk menggodam
maklumat rakyat Malaysia sama ada melalui e-mail palsu mahupun melalui laman
sosial seperti Facebook.
Rakyat Malaysia
terutamanya wanita mudah pula "cair" dengan ayat-ayat indah
mempersonakan hati dan perasaan yang sememangnya itulah kehebatan warga asing
seperti Awang Hitam. Sanggup memberi wang mereka sampaikan ada mangsa
mengeluarkan wang untuk dana persaraan mereka yang berjumlah berjuta-juta
ringgit semata-mata untuk "membantu" si penipu ini yang tidak pernah
langsung mereka bersemuka antara satu sama lain. Apabila menyedari ditipu,
barulah segala kisah cinta dan kasih sayang hilang begitu sahaja. Menangis
sudah tiada gunanya. Agaknya, si penipu warga asing ini sudah memahami
kelemahan rakyat Malaysia. Sebelum mereka datang ke Malaysia, mereka sudah
membuat kajian di antara negara-negara di Asia Tenggara ini, negara kita yang
paling mudah untuk "berurusan". Rakyatnya mudah ditipu, manakala
undang-undang pula amat lemah dek kerana penguatkuasa yang tidak menjalankan
tugas mereka dengan sebaik mungkin.
Cuba kita lihat si
penipu pendatang asing ini tidak berani menipu di negara-negara jiran kita.
Kalau tidak sudah lama kita dengar pelbagai kisah penipuan melibatkan pendatang
asing yang tinggal di negara jiran. Mereka ini tidak gemar duduk di
negara-negara jiran kita, tetapi amat gembira tinggal di Malaysia. Faktornya
adalah Malaysia syurga "pelaburan" mereka. Yang kaya sudah semestinya
mereka, manakala yang "kayap" rakyat Malaysia itu sendiri. Sampai
bilakah ia akan berakhir?
Sumber
Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan