Rencana ini ditulis
oleh
DATUK DR AZIZ
JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan
Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Beberapa hari lalu,
Mahkamah Vietnam menjatuhkan hukuman sehingga enam tahun penjara ke atas dua
orang pemuzik terkenal atas kesalahan menyebarkan propaganda antikerajaan. Dua
orang pemuzik itu ialah Viet Khang atau nama sebenar ialah Vo Minh Tri, 34 dan
Tran Vu Anh Binh, 37. Viet Khang dijatuhkan hukuman selama empat tahun manakala
Anh Binh enam tahun. Selesai menjalani hukuman penjara, mereka turut dikenakan
dua tahun 'tahanan rumah' atas pengakuan mempunyai hubungan dengan sebuah
pertubuhan politik yang diharamkan.
Walaupun kedua-duanya
dikatakan tidak mempunyai hubungan politik, mereka sebenarnya didapati bersalah
menyebarkan propaganda menghina tindakan polis kerana menghalang kumpulan
aktivis anti-China dan menyelar program kerajaan yang tidak mempedulikan
keadilan sosial rakyat bawahan. Kerajaan mendakwa kedua-dua pemuzik terkenal
itu atas alasan Viet Khang menulis lirik lagunya mengecam polis manakala Anh
Binh pula menyanyikan beberapa buah lagu yang bertemakan tindakan memenjarakan
pejuang rakyat berhubung konflik perebutan sebuah pulau di Laut China Selatan
antara Vietnam dan China.
Tentunya, pemenjaraan
itu dilihat sebagai sesuatu yang patut kerana kedua-dua artis itu adalah
'pengkhianat negara.' Dalam mana-mana sistem politik, sesiapa yang dianggap
'pengkhianat negara' akan dikenakan tindakan keras, termasuk dihukum mati. Sesebuah
negara boleh melucutkan kerakyatan kepada seseorang yang dianggap sebagai
'pengkhianat' jika orang berkenaan tidak bersedia untuk dihadapkan tindakan
mahkamah. Kebiasaannya, mereka melarikan diri ke negara tertentu untuk
mendapatkan perlindungan sementara ataupun kekal sebagai 'suaka'.
Ada juga atas alasan
tertentu, mereka sendiri sedia melucutkan taraf kewarganegaraan asalnya kerana
ingin mendapat kerakyatan negara lain, terutamanya negara yang dilihatnya mampu
memberikan keuntungan material ataupun psikologi. Mereka tetap boleh dianggap
sebagai 'pengkhianat negara' tetapi tahap pengkhianatannya tidaklah sedarjat
dengan mereka yang benar-benar mengkhianati negaranya sendiri tetapi tidak
sanggup mengambil keputusan sukarela melucutkan kerakyatan asal.
Kita pernah mendengar
ada desakan agar kerajaan melucutkan kerakyatan kepada seseorang yang dilihat
sentiasa memburuk-burukkan pemimpin yang berkuasa kerana percaya selagi kuasa
tidak dikawal oleh individu berkaitan, kerajaan yang memerintah bersikap zalim.
Pendirian tersebut menjadi semakin kasar dan kesat apabila turut mengkreatifkan
dakwaan 'zalim' atau 'tidak adil' sebagai tindakan diskriminasi bagi
mengekalkan kuasa.
Wilayah pengaruhnya
bukan setakat menggunakan pentas-pentas politik dalam negara, bahkan menggunakan
pelbagai platform antarabangsa mengutuk dan mencipta propaganda bagi mendapat
sokongan asing. Bahkan, ada ketikanya sanggup mengemis sumber kewangan daripada
pertubuhan-pertubuhan tertentu demi kelangsungan matlamatnya bagi membiayai
program-program dakyah dalam negeri. Dalam sejarah Islam tercatat pengkhianatan
berlaku pada peringkat awal penyebaran Islam. Ubay bin Ka'ab menjadi
'pelakonnya' dengan mengkhianati pasukan Islam dalam Perang Uhud sehingga
kemenangan yang sudah di depan mata akhirnya sirna. Akibat perbuatan khianat
yang dilakukan satu orang, jutaan orang akan menanggung derita dan kegagalan
yang diakibatkan oleh perbuatan khianat.
Perbuatan khianat
juga memercikkan implikasi kepada dua dimensi kehidupan iaitu dimensi spiritual
dan dimensi sosial. Perbuatan khianat dalam dimensi spiritual menyerlahkan
sikap melanggar dan menentang ketentuan Allah dan Rasul-Nya. Orang yang berbuat
khianat, sama ertinya dengan mengkhianati Allah dan Rasul. Hal ini ditegaskan
Allah dalam firmannya yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman,
janganlah kamu mengkhianati amanat yang dipercayakan kepadamu sedangkan kamu
mengetahui" (Al Anfal 27).
Selain menanggung
dosa, perbuatan khianat juga menimbulkan bahaya kepada struktur masyarakat.
Kesan yang timbul antara lain, memudaratkan dan menghancurkan tata nilai dan
pegangan yang dianut masyarakat, mencetuskan permusuhan dan perbalahan yang
tiada berkesudahan antara pengkhianat dan orang yang dikhianati dan menimbulkan
sikap curiga mencurigai di kalangan masyarakat. Seperti ditulis oleh seorang
tokoh strategi klasik China, Sun Tzu, kemenangan sebenar dalam sesuatu
peperangan adalah kerana berjaya mengenali musuh dengan tepat. Mengenali musuh
dengan tepat itu mampu menakluk minda mereka dan ada ketikanya, dengan kekuatan
propaganda, musuh itu dapat ditakluk secara perlahan-lahan tanpa melalui
peperangan terbuka atau fizikal.
Menurut Pengasas
Pergerakan Islam Palestin 1948, Sheikh Raed Solah, sesebuah pertubuhan yang
menerima dana daripada pertubuhan atau individu yang bergerak atas semangat
Yahudi, adalah pengkhianat kepada bangsa, agama dan negara. Beliau membuktikan
bahawa kejatuhan Empayar Turki Uthmaniah adalah perancangan jahat Yahudi untuk
menghancurkan Islam kerana keengganan Sultan Abdul Hamid II memberikan mereka
sebahagian wilayah Islam bagi menubuhkan sebuah negara Isreal.
Bagaimanapun,
kehadiran Mustapha Kamal Attartuk daripada kelompok muda Turki dengan tipu
muslihatnya, akhirnya berjaya meruntuhkan empayar Islam tersebut, yang berjaya
ditakluki oleh Muhammad al-Fateh pada tahun 1453M daripada taklukan penganut
Kristian. Mustapha Kamal Attartuk mempunyai darah keturunan Yahudi dari
bapanya. Kerana itulah Attartuk boleh mencapai kemenangan secara rampasan kuasa
apabila dibantu oleh keturunan Yahudi dari segi ketenteraan, peralatan dan
kewangan.
Dalam proses
mempengaruhi keputusan sesebuah negara, kuasa besar atau pihak asing sentiasa
berusaha mempengaruhi para penguasa menerusi pelbagai cara. Mula-mula mereka
mendekati pertubuhan-pertubuhan sukarela tempatan dengan menjalin hubungan baik
dan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan. Jalinan hubungan pelbagai pertubuhan
itu akhirnya menyebabkan pertubuhan tempatan ikut menerima ideologi politik dan
matlamat pertubuhan asing itu secara tidak sengaja. Ini akan menyebabkan
pertubuhan tempatan berada dalam putaran ganas pertubuhan asing sehingga
memaksakan pendirian semakin terikat dengan kehendak dan agenda pemberi dana
asing itu.
Pertubuhan
antarabangsa ini pula dibiayai oleh pihak tertentu termasuk mereka yang mahukan
seluruh dunia memberikan pengiktirafan ke atas wilayah Israel sebagai sebuah
negara yang berdaulat. Semakin banyak negara Islam sebenarnya terperangkap
dengan agenda tersebut, kerana Israel terus menggunakan lobinya dan kepintaran
intelektual serta sumber kuasa ekonomi Yahudi dalam mempengaruhi keputusan
dasar luar Washington. Menurut wartawan terkenal The Guardian, Nick Davies,
kegiatan perhubungan awam dan pemberitaan kabel (newswire) adalah sesuatu yang
semakin berpengaruh sehingga menyebabkan wartawan tidak lagi menghormati
prinsip kebenaran menulis berita.
Prinsip ini dilanggari
oleh wartawan kerana mereka tidak lagi perlu menulis berita dengan mengutip
maklumat di lapangan, semuanya sudah dihidangkan oleh firma perhubungan awam
dan ini menyebabkan berita-berita semakin 'rata'. (baca, The Flat Earth News,
2009).
Bagi Gordon Corera,
koresponden hal ehwal keselamatan Perbadanan Penyiaran British (BBC), selepas
berakhirnya Perang Dingin, kaedah perisikan sudah banyak berubah dari
pendekatan 'budaya macho'", menggunakan wanita cantik dan seksi telah
berubah kepada jalinan persahabatan dan memberikan perhatian serius kepada
manusia menerusi bantuan serta misi kemanusiaan. Usaha ini sedang berjalan
secara senyap-senyap oleh agensi perisikan British - M16 kerana Britain tidak
lagi berminat melakukan penjajahan secara fizikal. (Baca, The Art of
Betrayal:Life and Death in the British Secret Service, 2012).
Kesemua bentuk
'persahabatan dan jalinan' yang memaksakan ketundukan kepada kuasa asing tidak
akan mudah dilaksanakan jika rakyat sesebuah negara tidak mengizinkan diri
sendiri dipengaruhi atau terikat dengan sumber luaran. Menerima dana asing akan
menyebabkan penerimanya sanggup 'mengkhianati' negara sendiri kerana
pembiayanya bersedia melakukan apa sahaja bentuk kekerasan sekiranya berlaku
pelanggaran persetujuan tersebut.
Situasi inilah yang
membimbangkan rakyat Malaysia apabila mendapat tahu ada pertubuhan dalam negara
menerima bantuan asing bagi melaksanakan pelbagai aktiviti bermula dengan
propaganda menuntut 'kebebasan bersuara' dan 'demokrasi liberal' hinggalah
kepada menjatuhkan kerajaan yang tidak dapat memenuhi keinginan pihak terbabit.
Ini semuanya dilakukan atas nama monopoli kuasa dan ekonomi.
Golongan
'pengkhianat' ini sanggup menggadaikan maruah dan kehormatan diri serta agama
kerana mahukan kedudukan politik yang lebih baik. Sejarah mengajar manusia
bagaimana golongan atau individu yang berusaha mencapai matlamatnya secara
tidak jujur ini telah mengkhianati bangsa, agama dan negaranya sendiri.
Golongan ini menjadi 'duri dalam daging' dan berusaha sehabis tenaga walaupun
sedar tindakan yang diambil itu adalah paling tidak beretika.
Sumber
Utusan Malaysia
2 November 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan