Rencana ini ditulis
oleh
HAFIZAHRIL HAMID
Apabila menyebut
mengenai genius, ramai yang melihatnya sebagai seseorang yang dianugerahkan
Tuhan dengan kecerdikan dan keupayaan luar biasa terutama dalam pendidikan. Kebanyakan
mereka ini dikaitkan dengan kebijaksanaan dalam bidang pendidikan tertentu
terutamanya matematik, fizik dan sains. Bagaimanapun bukan semua dilahirkan
genius dalam bidang-bidang yang dinyatakan tadi. Ada di antaranya sejak kecil
lagi telah menjadi bijak dan mahir dalam bidang tertentu seperti muzik, seni
lukis, sukan dan pelbagai lagi.
Mungkin ada yang
menyokong bahawa seseorang itu dilahirkan sebagai genius dan kenyataan ini
memang ada kebenarannya. Namun bukan semua manusia yang dilahirkan genius
mengakhiri kehidupannya dengan kejayaan. Hakikat ini dikongsi oleh saintis dan
pencipta terkenal, Thomas Edison yang menyatakan, genius adalah satu peratus
bersandarkan inspirasi manakala manakala 99 peratus lagi adalah bersandarkan
usaha. (Genius is one percent inspiration, ninety nine percent perspiration). Ungkapan
ini telah tertulis dalam majalah Harper's Monthly Magazine edisi September
1932.
Sesungguhnya senarai
manusia genius kini semakin meningkat mungkin kerana penekanan mengenai
pentingnya pendidikan sejak kecil oleh ibu bapa. Di Malaysia juga fenomena
manusia genius sering sahaja menarik perhatian. Antaranya Mohd. Shukri Hadafi
yang pernah menggemparkan negara sekitar 80-an berikutan kemampuannya membaca
suratkhabar pada usia tiga tahun. Beliau pernah diambil berlakon oleh Tan Sri
Jins Shamsuddin di dalam filemnya Menanti Hari Esok. Malah Prof. Diraja Ungku
Aziz telah mengambilnya sebagai anak angkat bagi membolehkannya mendapat
pendidikan yang lebih baik.
Bagaimanapun,
kisahnya senyap begitu sahaja namun kemudian kita dikejutkan dengan berita pada
akhir 90-an apabil beliau bekerja sebagai penebar roti canai serta beberapa
kisah yang tidak enak didengar. Selain itu kebanyakan kita begitu gembira
mendengar seorang budak genius, Ady Putra Abdul Ghani mendapat perhatian luar
biasa kerana kebolehannya menyelesaikan soalan matematik peringkat universiti. Malah
kita berbangga kerana impiannya adalah mahu bergelar profesor matematik Islam. Bagaimanapun,
berikutan dilemanya mengenai sistem pendidikan yang dikatakan kurang menyokong
kemahirannya adalah ditakuti akhirnya bakat genius dan luar biasanya akan
berakhir begitu sahaja tanpa sebarang makna.
Sumber
Utusan Malaysia
28 Oktober 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan