17 Ogos 2012

ISU UMUM : RUIH RAYA DIGITAL


Rencana ini ditulis oleh :
Afiq Hanif
afiq@hmetro.com.my


Umat Islam bakal menyambut kedatangan Syawal tidak lama lagi selepas menamatkan sebulan dugaan berpuasa dan menambah amal ibadat yang diharap berterusan walaupun Ramadan meninggalkan kita. Di sebalik musim perayaan yang bakal tiba beberapa hari saja lagi, secara tidak sedar pengguna akan merasakannya mungkin berlainan dengan kehadiran teknologi yang merubah senario ketika berhari raya. Boleh dikatakan, pengguna zaman moden mempunyai dua jenis kad raya berbentuk digital iaitu yang dihantar melalui laman sosial dan juga masih dihantar melalui telefon bimbit. SMS membolehkan pengguna telefon bimbit menghantar ucapan raya berupa teks dengan mesej bergambar, manakala aplikasi laman sosial membolehkan pengguna menghantar gambar atau kad raya digital kepada penerima.

Penggunaan e-kad ini sangat mudah kerana penghantar hanya perlu mengetahui alamat URL laman web yang menawarkan perkhidmatan terbabit sebelum dihubungkan terus ke facebook anda. Selepas mengunjungi laman web itu, anda hanya perlu klik pada kad pilihan hati, menulis sepatah dua perkataan, pilih lagu raya pilihan (berbentuk fail MP3) untuk iringan kad, memasukkan alamat e-mel penerima dan terus hantar. Butang klik yang ditekan akan membolehkan ucapan raya anda terpampang di ‘Status’ atau ‘Wall’ Facebook anda atau terdapat pembekal perkhidmatan e-kad ini menghantar terus sekeping kad kepada e-mel penerima dan terdapat juga mereka hanya menghantar alamat URL dan meminta penerima mengunjungi laman web mereka untuk melihat kad raya yang diterima. Menghantar kad raya melalui e-mel lebih bersifat peribadi cuma ada kemungkinan kita jarang membuka e-mel ketika hari raya pertama dan kedua, tetapi lebih menumpukan kepada penggunaan media sosial.

Laman sosial termasuk facebook.com memberikan kelebihan kepada pemegang akaun laman web sosial semakin melonjak naik ini tidak terkecuali daripada menawarkan aplikasi penghantaran e-kad, malah sudah bermula sebelum berpuasa lagi melalui e-kad Ramadan. Sebaik mengaktifkan akaun anda, sila rujuk ruangan sebelah kiri facebook dan pelayar akan dapat melihat beberapa aplikasi terpampang di depan mata. Hanya pilih ikon ‘Aidilfitri Card’ seterusnya pasti dapat memilih lebih daripada 10 kad dan mulakan langkah kedua memilih rakan yang mana untuk dihantar. Selain itu, terdapat laman web Kedaikad yang menawarkan puluhan kad untuk dihantar kepada saudara-mara atau sahabat-handai dengan hanya mendaftar sebagai ahli terlebih dulu. Pilihan lain yang ada termasuk www.123greetings.com dicapai dengan mudah ini menawarkan beberapa bahagian e-kad Aidilfitri mengikut kategori tertentu seperti Eid Mubarak atau ‘Minal Aidzin Wal Faidzin’.

Banyak lagi laman web e-kad yang anda boleh capai di alam maya cuma perlu rajin bertanya dan sentiasa mencari maklumat dalam Internet sempena musim Aidilfitri ini. Syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi seperti Maxis, Celcom dan DiGi pun memberikan peluang kepada pelanggan masing-masing dengan menawarkan pelbagai kemudahan berkaitan perayaan Aidilfitri. Anda hanya perlu melayari laman web mereka atau melihat iklan di akhbar untuk mengetahui maklumat dengan lebih lanjut. Misalnya, kebanyakan syarikat telekomunikasi menyediakan pelbagai kartun animasi mengenai sambutan Syawal disediakan untuk dipilih pengguna seperti ucapan selamat hari raya, juadah di pagi raya dan bersalaman selepas sembahyang raya. Langkah ini seharusnya dipuji kerana ia tidak saja memberi keutamaan kepada sambutan hari raya, tetapi mementingkan ibadat puasa yang datang terlebih dulu.

Sebenarnya, raya digital bukan pengganti tapi lebih kepada melengkapi antara satu sama lain dengan pelbagai kemudahan sedia ada tentunya mampu menyerikan lagi Aidilfitri. Melalui laman sosial juga kita dapat berkongsi segala maklumat. Lebih-lebih lagi dalam mempromosikan ucapan raya kita kepada keluarga yang berada jauh. Ia ibarat satu cara pengiklanan atau publisiti ‘do-it-yourself’ yang tidak membabitkan sebarang kos yang tinggi. Makin ramai pengikut, makin besarlah khalayak yang menerima mesej secara terus-menerus tanpa melalui pihak ketiga. Paling penting, setiap status yang menempatkan ucapan hari raya dilakukan melalui status laman sosial akan mendapat reaksi atau komen sepantas kilat daripada pengikut. Malah dengan segera juga, kita dapat memberikan semula jawapan kepada ucapan yang ditimbulkan oleh pengikut kita di laman sosial. Melalui twitter misalnya, mesej boleh dijawab secara terus kepada orang yang bertanya dan pada masa yang sama ia dapat juga dibaca oleh pengikut yang lain.

Anda sudah merakam ratusan malah ribuan foto raya, ada juga rakaman video. Persoalannya, apakah langkah seterusnya?

Banyak betul foto dirakam ketika musim perayaan, tetapi hanya yang benar-benar mantap saja akan dipindah naik ke facebook, jadi mana perginya foto berlebihan? Hendak dibuang pastinya sayang.  Jadi, storan menggunakan cakera keras mudah alih menjadi pilihan yang menjadi trend sejak akhir-akhir ini. Terdapat produk yang dilengkapkan dengan sistem simpanan peribadi yang menggabungkan perkongsian simpanan dan akses dari jauh dengan tahap keselamatan sekali ganda serta peningkatan kapasiti. Produk terbabit serasi dengan peranti Mac dan PC yang sentiasa mengekalkan salinan kedua semua fail anda untuk ‘backup’ data masa sebenar pada ruang RAID1. Kebanyakannya disambung kepada seluruh rangkaian rumah untuk mewujudkan simpanan yang dikongsi pengguna yang kandungannya boleh diakses dari mana saja melalui sistem selamat.

Penggunaan meluas kamera jenis DSLR

Tidak dinafikan, fotografi menyemarakkan suasana hari raya dengan rakaman indah bersama keluarga. Bayangkan selesai saja sembahyang raya, kita akan berkumpul di depan kamera untuk merakam foto beramai-ramai. Mengambil gambar pada hari raya pertama bukan sekadar hobi untuk diisi, malah aktiviti berkenaan dapat mengeratkan hubungan keluarga yang menyimpan pelbagai kenangan akibat lama tidak bertemu. Penggunaan kamera digital refleks lensa tunggal (DSLR) semakin popular di kalangan pengguna kerana dilengkapi teknologi canggih yang menghasilkan gambar berkualiti berbanding kamera digital biasa. Perkembangan teknologi mendorong pengeluar kamera menghasilkan produk masing-masing, pengeluaran yang tinggi menjadikan harga kamera DSLR semakin mampu dimiliki. Ramai di kalangan pengguna kini membawa kamera itu ke mana saja mereka berada. Kamera kini menjadi aksesori tambahan dan kelihatan bergaya apatah lagi di musim perayaan.

Seni fotografi ini boleh dikomersialkan terutama untuk merakam foto keluarga yang berjaya didekatkan ketika hari raya.  Tidak perlu menjadi pakar untuk mendapatkan hasil gambar bermutu tinggi kerana teknologi baru mampu merealisasikan impian mendapatkan kualiti gambar memukau.  Berpandu kepada kesesuaian lensa dan fungsi gambar, kualiti gambar yang dirakam setanding jurugambar profesional. Arus perkembangan kamera DSLR semakin pantas malah kini sudah ada rekaan semi DSLR yang memudahkan pengguna awal berjinak dengan dunia fotografi. Mungkin anda bolehkan hobi menarik ini dengan merakam potret keluarga ketika perayaan nanti. Pelbagai teknologi baru yang dihasilkan bagi memberikan lebih kepuasan kepada pengguna di samping seboleh mungkin menyediakan satu perkakasan serba guna dengan harga mampu milik. Jika satu ketika dulu, kebanyakan penggemar kamera terpaksa terkial-kial mencari kaedah terbaik untuk menghasilkan gambar berkualiti daripada kamera SLR yang menggunakan filem, lantaran gambar yang diambil tidak boleh dilihat serta-merta, kini dengan adanya DSLR, semua itu bukan masalah besar.

Ia kerana hasilnya boleh dilihat segera di skrin sekali gus membolehkan penggunanya terus bereksperimen. Tidak payah lagi menghabiskan duit untuk membeli bergulung filem dan terpaksa memprosesnya di kedai, pengguna DSLR boleh memilih untuk hanya menyimpan gambar terbaik dan terus memindahkannya ke komputer atau laman web, apatah lagi sudah menjadi trend ketika ini. Fungsi semi atau DSLR penuh menawarkan rakaman yang menggalakkan dan berupaya membangkitkan suasana ketika perayaan dengan teknologi terbina di dalamnya memungkinkan warna-warni Aidilfitri dibangkitkan. Kini, peminat kamera DSLR boleh memilikinya dengan harga serendah RM2,500, malah boleh pula membeli produk terpakai lantaran ramai penggunanya yang menjual selepas menukar kepada kamera lebih canggih.

Antara ciri menarik dalam DSLR termasuk puluhan lensa yang boleh ditukar sekali gus memberikan kesan berbeza. Contohnya, jika menggunakan lensa mata ikan (fisheye). Di samping itu, penggunaan lensa kamera DSLR juga membolehkan kita bermain dengan bukaan lensa itu (aparture) sekali gus menghasilkan kesan lebih kreatif. Katakan pengguna menggunakan lensa yang mempunyai bukaan 1.4, kesan kabur pada latar belakang pasti lebih menarik.  Menggunakan kamera DSLR juga membolehkan lebih banyak sudut rakaman lebih kreatif diperoleh kerana ia senang dikendalikan dengan pelbagai fungsi lain. Di Malaysia, kebanyakan kamera semi dan DSLR penuh mudah didapati dengan harga yang kompetitif sesuai digunakan ketika musim perayaan. Ia ibarat menghantar satu SMS secara terbuka, tetapi tidak memerlukan nombor telefon peribadi. Kehebatan komunikasi dua hala cara baru ini memang tidak dapat disangkal lagi kepentingannya.

Hati-hati di jalan raya, jangan lupa pengesan AES.

Dalam usaha mendidik masyarakat mematuhi undang-undang jalan raya, Ops Selamat yang diperkenalkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena musim perayaan tahun ini menggantikan Ops Sikap turut memainkan elemen teknologi. Oleh itu, elok kalau pengguna berhati-hati apabila PDRM mungkin menetapkan beberapa kamera pengesan yang memerangkap pemandu dengan kenderaan laju dipandu. Pengenalan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di negara ini dijangka berupaya membantu mengurangkan kadar kemalangan maut di jalan raya yang semakin membimbangkan. AES ialah satu sistem terbaru yang boleh merakam pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan seperti memandu melebihi had laju dan tidak mematuhi lampu isyarat di persimpangan. Ini kerana kamera akan diletakkan di kawasan berisiko kemalangan dan di persimpangan lampu isyarat. Menerusi sistem itu, tindakan pesalah trafik akan dirakam secara elektronik dan saman akan dihantar ke alamat berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan terbabit.

Pelaksanaan AES dikenal pasti di 831 lokasi berisiko kemalangan yang beroperasi 24 jam sehari tanpa pengawasan manusia dan gangguan cuaca. Ketika ini, pemasangan sistem AES hanya mengesan mereka yang melakukan dua kesalahan serius iaitu melanggar lampu isyarat dan memandu melebihi had laju. Pada masa depan, AES bakal digunakan untuk mengesan pelbagai kesalahan lain termasuk memotong di garisan berkembar, memotong dari lorong kiri, muatan berlebihan, memotong barisan, menyekat kenderaan berat dari memasuki kawasan bandar dan penguatkuasaan laluan bas. Dianggarkan, surat saman yang dihantar dari AES akan dikeluarkan dalam tempoh kurang seminggu kepada pesalah trafik. Di sebalik kekuatan teknologi AES untuk mendidik masyarakat, ia juga berupaya menutup ruang rasuah kerana semua rakaman video dan gambar serta saman dikeluarkan menerusi sistem komputer, sekali gus dapat memelihara integriti penguat kuasa.

GPS, guna telefon atau mesin GPS sebenar?

Masalah sesat untuk tiba ke sesuatu destinasi kerana tidak berapa mahir dengan jalan adalah pembaziran masa dan ini sering menjadi masalah ramai pengguna jalan raya terutama ketika mengunjungi rumah saudara jauh. Maklumlah, setahun sekali saja berjumpa, ada juga yang baru berjumpa selepas 10 tahun, pasti banyak perubahan dan cubaan ke rumah mereka. Kini masalah itu bukan saja dapat ditangani dengan berpandukan peta secara manual, malah secara elektronik sama ada menerusi telefon pintar atau alat penentu arah global (GPS). Betul! pemandu yang mencari pembantu mencari arah elektronik mempunyai lebih banyak pilihan berbanding sebelum ini. Namun, mungkinkah ada perbezaan antara GPS dengan telefon yang lengkap peta digital? Peralatan GPS asas boleh dijumpai di pasaran pada harga kurang daripada RM300 dan ia masih menjadi peranti pilihan yang pintar jika anda tidak keberatan membawa lebih gajet ketika berada dalam kenderaan selain telefon, tablet, laptop dan sebagainya.

Pembantu ketika anda berada di atas jalan itu bersedia untuk digunakan selepas ia dikeluarkan dari kotak lengkap dengan ‘mount’ atau pemegang untuk melekatkannya di cermin depan kereta dan pengecas.  Selain itu, ia mudah untuk digunakan dan boleh dikongsi bersama keluarga atau rakan lain. Telefon pintar pula menjadi pilihan navigasi yang semakin popular terutama di kalangan model yang akan datang dengan alat bantuan siap dibangunkan bersama seperti perisian mengenal pasti keadaan trafik atau aplikasi khusus.  Bagaimanapun, telefon pintar memerlukan pembelian aplikasi navigasi yang boleh dipindah turun atau langganan perkhidmatan. Beberapa aplikasi langganan navigasi juga siap terpampang di setor aplikasi telefon masing-masing tidak kisah apa jua platform digunakan termasuk Garmin, Navigon, TomTom, dan Magellan.  Aplikasi ini kelihatan dan berfungsi seperti unit GPS sendiri pada antaramuka telefon pintar.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Harian Metro
Jumaat, 17 Ogos 2012

ISU PENDIDIKAN : CUTI UNTUK TRANSFORMASI MINDA


Rencana ini ditulis oleh :
Ihsan Noorzali


Apabila mahasiswa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) diberi keistimewaan cuti panjang selama empat bulan bermula tahun lalu, ramai pihak mempertikaikan keputusan itu. Pelbagai alasan kontra diberikan biarpun pihak Kementerian Pengajian Tinggi mempunyai pelbagai hujah konkrit yang positif. Alasan masyarakat, dikhuatiri tempoh panjang itu membawa implikasi lebih buruk kepada mahasiswa sedangkan cuti semester pendek sebelum ini pun diwarnai dengan pelbagai masalah. Apakah benar cuti panjang ini mampu memberi implikasi kepada mahasiswa? Atau adakah ia bermanfaat melegakan seketika bebanan belajar atau ia hanya sekadar tempoh membuang masa?

Pensyarah kanan Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Dr Muhammad Aziz Shah Mohamed Arip, berkata tempoh bukan persoalannya tetapi pengisian sepanjang tempoh itu lebih utama. Beliau berkata, masa yang terluang biarpun sedikit jika diisi dengan perkara manfaat boleh mendatangkan kebaikan, begitu sebaliknya. “Persoalannya bukan tempoh tapi apa yang dilakukan pada waktu itu sama ada boleh mendatangkan manfaat atau sebaliknya. Masa hanyalah penyebab kerana tanggungjawab belajar tidak akan terhenti sehingga mahasiswa melunaskan pengajian. Justeru ia bukan isu besar sebaliknya perlu dilihat daripada skop berbeza dengan kepentingan berbeza mengikut situasi,” katanya.

Penyelarasan kalendar akademik institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara dilakukan secara berperingkat bermula sesi akademik 2011/2012 dan dijangka beralih sepenuhnya pada sesi akademik 2013/2014.  Penyelarasan itu akan menyaksikan tarikh pendaftaran pelajar baru dianjakkan dua minggu ke hadapan pada setiap sesi akademik yang akhirnya akan bermula pada bulan September berbanding Jun sebelum ini. Penyelarasan kalendar akademik ini terletak di bawa Fasa Kedua Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara atau ‘Fasa Pengukuhan’ dan akan berakhir pada 31 Disember 2015.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan ada segelintir masyarakat berpendapat tempoh cuti terlalu lama boleh melupakan mahasiswa pada pelajaran. “Itu betul namun hanya sekadar tanggapan malah ia turut juga bersifat terlalu subjektif. Tidak perlu tunggu hingga waktu cuti panjang, jika mahasiswa tidak mahu belajar, mereka tidak akan berbuat demikian. Itu hanya penyebab kerana semuanya terpulang pada kemahuan diri. Orang lain hanya boleh membuat spekulasi,” katanya berpendapat cuti berkenaan jika digunakan dengan betul boleh melahirkan individu lebih bertanggungjawab.  Contohnya, bersifat proaktif dan produktif untuk menjana pendapatan sampingan. Usaha ini boleh menjadi platform mahasiswa mengaplikasikan ilmu keusahawanan dipelajari. Ataupun sedikit sebanyak boleh menampung bebanan kewangan apabila kembali ke kampus. Sebenarnya banyak boleh dilakukan jika mahasiswa pandai memanfaatkannya, jadi tidaklah mereka ‘berkeliaran’ tanpa arah tujuan,” katanya.

Cuti juga, katanya bukan bermakna mahasiswa boleh bebas atau melupakan terus tanggungjawab malah boleh dijadikan landasan untuk mentransformasi minda dan diri. “Gunakan waktu itu untuk mengikuti pelbagai persidangan, seminar, kursus atau sebarang bengkel bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran.  Sekurang-kurangnya apabila kembali ke kampus, mahasiswa mendapat semangat atau kekuatan baru untuk menempuh cabaran menara gading,” katanya. Beliau juga bersetuju, mahasiswa yang memanfaatkan cutinya dengan baik boleh memberi kelebihan pada diri sendiri termasuk dari segi kematangan berfikir, keberanian dan meningkatkan penguasaan komunikasi.

Menurutnya, perolehan pengalaman dengan masyarakat luar kampus juga boleh diiktiraf sebagai cabang ilmu malah sangat istimewa kerana tidak diperoleh melalui pembacaan. “Bagi mahasiswa yang tahu menghabiskan tempoh cutinya dengan pengisian pelbagai aspek, transformasi diri dapat dilihat sebaik saja semester baru dibuka. Bukankah ini satu bonus yang boleh dicari sewaktu cuti panjang? Jadi jangan beri alasan cuti panjang hanya membuang masa kerana diri sendiri merangka setiap perancangan,” katanya. Malangnya, katanya kebanyakan mahasiswa tidak pandai memanfaatkan masa itu sebaliknya terus terleka dengan aktiviti membuang masa. “Mereka gunakan alasan waktu inilah tempoh ‘membalas dendam’ segala masa yang sudah digunakan semasa belajar. Alasan itu tidak matang. Nasihat saya, gunakan masa dengan baik selain menjaga imej universiti supaya tidak dicela masyarakat,” katanya.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Isnin, 13 Ogos 2012

16 Ogos 2012

ISU SOSIAL : SIKAP TIDAK HORMATI PERATURAN TRAFIK


Rencana ini ditulis oleh:
TAN SRI LEE LAM THYE
Aktivis sosial.


Berada di jalan raya setiap hari membuatkan saya tertanya-tanya mengapa begitu ramai penunggang motosikal yang sanggup memperjudikan nyawa dan anggota badan serta pertaruh nyawa dengan kematian semata-mata tidak menghiraukan lampu isyarat ketika melintas di persimpangan jalan. Ia bukan hanya penunggang motosikal individu malah melibatkan pasangan yang berumur dan kadang kala bersama anak-anak kecil yang terselit di tengah-tengah. Saya sering terfikir sama ada mereka ini menghargai nyawa mereka dan anak-anak. Apa yang telah saya nyatakan adalah fakta berlakunya pada setiap hari. Berdasarkan oleh pemantauan saya, lebih daripada 50 peratus penunggang motosikal kita melanggar peraturan lampu isyarat ketika di persimpangan trafik. Mengapakah mereka bersikap acuh tidak acuh dan tidak hormat pada undang-undang?

Saya masih ingat pada satu kes, seorang penunggang motosikal wanita menunggang tanpa memakai topi keledar. Sewaktu ditahan oleh seorang anggota polis, wanita tersebut memanggilnya bodoh. Mereka menunjukkan sikap tidak peduli pada undang-undang dan ia juga mencerminkan sikap negatif di kalangan penunggang motosikal ini terhadap keselamatan mereka sendiri. Walaupun ada yang memakai topi keledar, tetapi jika dilihat dengan teliti mereka tidak memakainya dengan cara yang betul. Ia sama seperti tidak memakai topi keledar. Mereka beranggapan bahawa peraturan trafik boleh dilanggar dan diabaikan kerana peluang untuk mereka ditangkap adalah nipis.

Bagi mereka ia tidak perlu untuk berhenti ketika lampu isyarat merah apabila ketiadaan trafik. Atau adakah orang awam merasakan bahawa pihak berkuasa tidak memandang serius terhadap penguatkuasaan peraturan trafik. Contohnya, mereka boleh melihat bahawa ada yang meletakkan kenderaan di kawasan larangan letak kereta tetapi tiada tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pesalah ini. Jika terdapat pegawai penguatkuasaan diletakkan di persimpangan trafik, sudah pasti ramai yang di tangkap. Tetapi ini bukanlah perkara yang hendak ditekankan. Persoalannya kenapa begitu ramai penunggang motosikal tidak menunjukkan sikap hormat terhadap undang-undang dan peraturan sehingga ditahap membahayakan nyawa sendiri dan orang yang tersayang.

Saya juga mendapati bahawa sudah muncul satu trend di mana anak-anak muda terlibat dalam jenayah dan gejala-gejala sosial. Nilai-nilai murni sudah tiada untuk menentukan perlakuan mereka dan sikap hormat pada undang-undang serta arahan sudah tiada. Ada antaranya juga tidak menunjukkan sikap hormat kepada ibu bapa mereka sendiri. Remaja yang berusia seawal 15 tahun melibatkan diri dalam lagak ngeri mat rempit seolah-olah untuk mengejek dan mencabar pihak polis di jalan raya. Kejadian mat rempit yang melarikan diri daripada sekatan-jalan serta mencederakan anggota polis semakin meningkat. Di sebalik isu tidak menghormati peraturan, ia juga menunjukkan kemerosotan nilai-nilai murni seperti ihsan, kesopanan, kesabaran, merendah diri dan toleransi seperti yang diperlihatkan bagaimana rakyat Malaysia membawa diri mereka di khalayak ramai.

Sindrom negatif seperti yang digambarkan dalam masalah aktiviti pembuli jalan, pembuli sekolah, menggunakan kekerasan, memaparkan kekasaran dan pembuangan sampah di tempat awam telah terbukti menunjukkan dengan jelas bahawa kempen budi bahasa yang dilakukan masih belum mencukupi. Isu berkaitan tidak menunjukkan sikap hormat pada undang-undang perlu diberi perhatian dan kita perlu mengenal pasti puncanya sebelum ia bertambah teruk. Adakah usaha pihak sekolah dan ibu bapa sudah mencukupi bagi memupuk sikap menghormati undang-undang di kalangan generasi muda? Adakah benar terdapat begitu banyak tekanan negatif di kalangan rakan sebaya yang telah membawa kepada keadaan yang tidak diingini seperti itu? Persoalan-persoalan ini adalah relevan dan tidak boleh diabaikan oleh semua yang terlibat dalam pendidikan anak-anak kita yang akan menjadi aset negara kita pada masa hadapan.

Sumber :
Utusan Malaysia
15 Ogos 2012

ISU UMUM : PERGINYA LAGENDA BADMINTON NEGARA


Rencana ini ditulis oleh:
NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

Punch Gunalan (kiri) dan Ng Boon Bee mengharumkan nama negara apabila menjuarai acara beregu lelaki pada Kejohanan Seluruh England 1971.


Setelah bertarung dengan penyakit barah hati yang dihidapinya, legenda badminton negara, Datuk P. Punch Gunalan, 68, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.45 pagi di Pusat Perubatan Subang Jaya, Selangor, pada 15 Ogos 2012. Anak kelahiran Sepang, Selangor itu cukup sinonim dengan sukan badminton kerana selain pernah menjadi pemain, beliau turut bergiat sebagai jurulatih sebelum mengakhiri kerjayanya sebagai pentadbir sukan itu. Beliau bermain badminton sejak berusia lima tahun dengan bimbingan bapanya. Kesungguhannya berlatih sejak kecil itu membolehkan memegang dua status yang jarang dimiliki mana-mana pemain badminton iaitu jaguh perseorangan dan jaguh beregu.

Kebolehannya untuk beraksi dua acara berlainan pada setiap masa meletakkan lulusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Brighton College of Technology, England sebagai salah seorang pemain badminton terulung pernah dilahirkan Malaysia. Kematian bapanya ketika beliau berusia 13 tahun tidak menghalangnya untuk menjadi juara acara perseorangan dan beregu Terbuka Negeri Sembilan. Beliau ketika itu berusia 17 tahun. Beliau juga menjadi juara remaja Kejohanan Badminton Gabungan Asia (ABC) di Kuala Lumpur ketika berusia 18 tahun pada 1962. Pada 1970, Punch Gunalan mewakili skuad Piala Thomas kebangsaan tetapi Malaysia kecundang 2-7 kepada Indonesia pada perlawanan akhir di gelanggang sendiri.

Beliau kemudiannya memenangi pingat emas acara beregu di Sukan Asia di Bangkok pada 1970 dengan mengalahkan pemain Jepun, Hiroe Yuki. Pada tahun berkenaan, beliau yang berusia 26 tahun menamatkan zaman bujangnya dengan mendirikan rumah tangga bersama Datin Vijeya Kumari. Sepanjang perkahwinan itu, pasangan berkenaan dikurniakan seorang anak lelaki, Dr. Roshan yang merupakan seorang pakar ortopedik. Ketika era kegemilangannya sebagai pemain, Punch Gunalan merupakan jaguh yang digeruni kerana dikenali sebagai pemain yang agresif dan gemarkan corak menyerang. Legenda itu pada awal kariernya menggunakan nama Gunalan Panchacharan sebelum ditukar kepada 'Punch' Gunalan, nama samaran yang diberikan para penulis sukan berikutan corak permainannya yang 'gemar melakukan smash'.

Pada 1971, beliau bersama pasangannya, Ng Boon Bee merangkul juara dalam acara beregu lelaki kejohanan Seluruh England dengan menundukkan beregu Indonesia, Rudy Hartono-Indra Gunawan. Gandingan mantap dengan Boon Bee yang dikenali sebagai pakar beregu cukup terserlah apabila kedua-dua mereka membolot sejumlah kejuaraan lain selepas itu. Kedua-dua mereka sebenarnya turut merangkul 'pingat' Olimpik pertama negara apabila meraih perak pada temasya 1972 di Munich, Jerman. Malangnya ia hanya merupakan sukan pertunjukan dan tidak diambil kira dalam pungutan pingat. Badminton hanya diperkenalkan dalam Sukan Olimpik 1992 di Barcelona, Sepanyol. Pada tahun 1974, beliau cemerlang apabila meraih emas acara perseorangan dan gangsa bagi acara beregu di Kejohanan Komanwel, Christchurch, New Zealand.

Persaraannya pada 1974 sepatutnya lebih bergaya dan lengkap, seandainya beliau tidak tewas kepada legenda badminton Indonesia, Rudy Hartono pada perlawanan akhir perseorangan lelaki Seluruh England tahun berkenaan. Beliau kecundang 8-15, 15-9, 15-10 dan berpuas hati dengan gelaran naib juara perseorangan. Selepas berhenti bermain, Punch Gunalan melibatkan diri dalam bidang kejurulatihan dan merupakan Ketua Jurulatih Pasukan Piala Thomas Malaysia ketika negara menjadi juara pada 1992 di Kuala Lumpur. Di bawah bimbingannya juga, Malaysia mara ke peringkat akhir Piala Thomas pada 1976,1988 dan 1990. Pada 1992, beliau dianugerahkan darjah Panglima Setia Diraja oleh Kerajaan Persekutuan yang membawa gelaran 'Datuk'. Beliau kemudian menyertai bidang pentadbiran sukan itu apabila menyertai Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) pada 1992 sebagai ahli majlis, sebelum dilantik menjadi Naib Presiden pada 1997 hingga 2005.

Beliau turut dilantik sebagai Timbalan Presiden pada 2005 sebelum meletakkan jawatan itu pada 2008. Pada tahun berkenaan, beliau menjalani pembedahan pintasan jantung dan sejak itu, kehidupannya lebih banyak dihabiskan bersama keluarga. Pelbagai pihak yang mengulas peletakan jawatannya dalam badan induk sukan badminton dunia itu menyifatkan langkah berkenaan sebagai satu kehilangan besar. Menurut mereka, walaupun beliau diselubungi kontroversi sepanjang kariernya, namun hakikatnya beliau seorang pemimpin yang agresif dan berani mencuba dalam usaha menaikkan status sukan badminton dan badan induk itu. Antara idea hebat Punch Gunalan yang telah menaikkan martabat badan badminton dunia itu adalah menukar nama IBF kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF). Beliau turut memperkenalkan kejohanan Siri Super pada 2007 untuk membolehkan pemain badminton dunia menikmati pendapatan yang lebih baik.

Menurut mereka, banyak idea lain yang tidak pernah difikir atau tidak berani dicuba pemimpin lain juga telah diperkenalkannya dan ia memang bersesuaian dengan sikap agresif yang menjadi kebiasaannya sejak menjadi pemain badminton lagi. Sementara itu, ketika ditemu ramah Utusan Malaysia pada April 2011, Punch Gunalan berkata, tiada kekesalan terpendam dalam hatinya kerana beliau tidak terlepas satu pun kejuaraan besar, sewaktu era kegemilangannya. "Yang patut menang pada zaman itu, semua sudah dimenangi. Kalau kempunan pun, pingat Olimpik dan Kejohanan Dunia, tetapi kedua-duanya masih belum dipertandingkan pada zaman saya," ujarnya.

Ditanya mengenai pengalaman paling manis, beliau dengan segera menyebut kejayaannya merangkul pingat emas berganda bagi Sukan SEAP (kini Sukan SEA), Sukan Asia dan Sukan Komanwel pada lewat 1960-an dan awal 1970-an. "Kejayaan meraih emas berganda dalam semua temasya sukan berkenaan memberikan saya kepuasan yang tidak terhingga kerana sumbangan emas kepada kontinjen Malaysia adalah begitu bermakna," jelasnya. Ditanya siapakah pemain yang paling digeruninya, Punch Gunalan berkata, individu itu ialah pemain legenda China, Tang Xian Hu dan beliau bernasib baik kerana mereka hanya bertarung sekali sahaja ketika aksi persahabatan.

Sumber :
Utusan Malaysia
15 Ogos 2012

15 Ogos 2012

ISU SOSIAL : BERAYA BERSAMA 'KELUARGA BESAR'


Rencana ini ditulis oleh :
PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia.


Tahun 2012 unik sekali lagi bagi Malaysia yang meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama sambutan Hari Kemerdekaan serentak. Kedua-duanya amat signifikan bagi masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai keturunan, kepercayaan dan amalan. Faktor alam dan populasi yang diwarnai dengan kepelbagaian membolehkan Malaysia terus subur dengan bermacam-macam perayaan dan sambutan kenegaraan. Ia mencerminkan kemampuan Malaysia untuk terus utuh walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam dan luar negara. Sambutan Hari Raya Aidilfitri amat menarik di kawasan luar bandar yang melihat kawasan bandar sunyi sepi kecuali mereka yang tidak dapat pulang beraya di kampung akan memenuhinya, apatah lagi wujud fenomena kebanjiran warga asing ketika musim perayaan. Pada malam pengumuman tarikh rayanya oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, akan ada kunjungan dari rumah ke rumah dengan marhaban raya. Pada pagi raya, ramai berpusu-pusu ke masjid mengikuti khutbah raya yang lazimnya menandakan kesyukuran penyempurnaan bulan Ramadan dan permulaan bulan Syawal. Takbir kedengaran di merata tempat, laungan puji-pujian kesyukuran kepada yang Esa.

Di kampung saya, Tanjong Malim, Perak, satu ketika dahulu sambutan sebarang perayaan amat meriah. Ia dinanti bukan sekadar untuk turut sama dalam aktiviti berkunjung dari rumah ke rumah tetapi lebih daripada itu, nilai persahabatan dan silaturahim dalam kalangan anggota jiran amat tinggi. Nilai sosialisasi yang kebal ketika itu adalah usaha bersama mengacau dodol yang dilakukan berjam-jam oleh sesama jiran sebagaimana membuat kuih-muih lain. Yang kecil mahupun dewasa sentiasa menanti waktu dan tikanya kerana keseronokan dapat bersama. Begitu juga dengan ketupat, lemang dan rendangnya. Semangat gotong-royong memberi gambaran betapa eratnya hubungan antara jiran yang turut meningkatkan tahap moraliti dalam kalangan masyarakat setempat. Ia bukan sekadar nilai kejiranan tetapi lebih daripada itu, wujud 'keluarga besar' termasuk anak-anak dalam kalangan pelbagai kumpulan etnik yang bersama meraikannya; 'perkongsian' sebagai teras keutamaan dalam hubungan kemanusiaan 'keluarga besar' ini.

Yang memasang lampu malam tujuh likur juga ialah anak-anak ini; yang mencari buluh membuat lemang pun anak-anak ini. Yang bermain dalam hujan, di padang bola, takraw dan badminton juga anak-anak ini. Bermain galah panjang, guli, sorok-sorok, dan jongkang-jongket tidak terkecuali. Berlaga ikan dan mencari ikan sepat tidak ketinggalan sementara menunggu waktu berbuka pun anak-anak ini. Tiada istilah penat sewaktu bulan Ramadan kerana masing-masing seronok dengan apa yang dilalui dan faham ia diberkati. Kemeriahan beraya dalam kalangan remaja muda ketara bila bernyanyi lagu raya sehingga senja suram; malam hiba; berbasikal ke merata tempat bukan mencari 'duit raya' tetapi kenikmatan bersama. Keseronokan dirasai semua walaupun ada perbezaan tetapi ia pemangkin untuk penjelasan ada ketikanya boleh menjadi 'satu'. Jiwa yang jujur dan ikhlas memagari insan sebegini rupa kerana pedoman datangnya dari orang tua. Nilai hormat yang tinggi bukan sahaja pada Opah dan Atuk tetapi kesemua warga emas adalah milik bersama. Jika mereka sakit, keseluruhan jiran merasainya kerana ikatan 'ziarah' dan 'melawat' tanpa pelawaan ataupun kunjungan berasaskan kepada jemputan atas nama 'keluarga besar'. Pada waktu beraya, bersalam dengan mereka merupakan satu 'keberkatan'.

Hari ini, pengisian ke atas kemerdekaan membolehkan kita terus beraya dengan aman dan muhibah. Kemerdekaan menandakan betapa kita bersyukur berbanding dengan negara-negara lain, kita masih mampu gah di peta dunia pesat membangun dengan kesinambungan kepimpinan yang mempertahankan kestabilan dan perkembangan yang seiring dengan anjakan global. Kita tidak terkebelakang tetapi maju ke hadapan. Modal insan ramai yang dilihat berpotensi dan mempunyai ilmu, keupayaan dan kemahiran yang setanding dengan bangsa lain di dunia ini. Kesemua ini berjaya kerana adanya keyakinan dan kepercayaan kepada semangat 'Malaysia'. Meskipun begitu, tidak dinafikan ada segelintir yang tidak memiliki aspirasi warga 'Malaysia'; warga yang terlalu taksub dengan fahaman tertentu sehingga membelakangkan nilai 'keluarga besar' Malaysia. Yang dikhuatiri adalah tingkah laku yang boleh memudaratkan kedaulatan negara dengan perilaku tidak menghormati simbol kebanggaan negara termasuk lagu Negaraku, bunga raya dan jata negara. Tidak lupa kepada Rukunegara. Begitu juga dengan institusi raja-raja Melayu.

Musibah kadang-kadang datangnya dari kita dan bukan orang lain sampaikan isu sokongan ke atas pejuang wira di sukan Olimpik pun boleh dipolitikkan oleh sesetengah orang yang jiwanya ketara sifar. Budaya saling perlu memerlukan di antara satu sama lain, memahami dan hormat merupakan nilai besar yang wujud sekian lamanya tetapi adakah nilai ini bersedia dikorbankan kerana peningkatan celik huruf dalam kalangan masyarakat Malaysia sehingga bersedia warisan bangsa lupus sebagaimana yang ketara dalam ungkapan sesetengah pihak untuk meraikan Hari Raya mahupun kemerdekaan. Kedua-duanya bukan sekadar perayaan dan sambutan; kedua-duanya juga lambang besar nilai kemasyarakatan dan pengukuhan roh sosial yang penting untuk menyuburkan rasa 'kepunyaan' dan 'kekitaan' dalam kalangan warga Malaysia. Pertahanan negara datang dari rakyat yang bersyukur kepada nikmat dan limpahan rezeki dalam menggapai kecemerlangan diri. Ia tidak boleh dikorbankan hanya kerana sejarah mahu diubah ataupun tidak mahu mengambil inisiatif untuk memahami pencapaian yang membawa Malaysia kepada kedudukannya.

Walaupun fenomena baru menunjukkan wujudnya sentimen bersifat 'cool' untuk memberontak dan mahu didengar; nilai 'perkongsian' tidak boleh terjejas dan dibiarkan pupus kerana kesannya cukup besar kepada ketamadunan bangsa dan negara. Konsep 'ziarah' perlu dirungkai semula di alam yang mempertontonkan bagaimana ucapan dan pertemuan menjadi-jadi di alam maya dan bukan di alam sebenar. Kampung adalah tanah tumpahnya darah dan bermulanya susur-galur yang mesti diwarisi dan dikongsi generasi ke generasi. Pengisian kemerdekaan membolehkan kita masih boleh beraya dengan penuh kesyukuran dan menerapkan unsur 'kejujuran' dan 'rendah diri' serta 'budi'; memahami dan mahu memahami; memastikan dijauhkan dari dicabuli oleh golongan yang cuma mementingkan keselesaan sendiri. Ia boleh diraikan dalam pelbagai cara dengan penyertaan pelbagai kumpulan anggota masyarakat. Keunikan adalah kepada 'kepelbagaian' dan ia bukan sebagai 'penghalang' malahan satu 'keistimewaan' yang mesti diwarisi turun-temurun walaupun berubah zaman.

Sama ertinya untuk kemerdekaan; atas kemampuan meraikannya kerana wujud kestabilan dan keselesaan untuk hidup rukun dan bersama. Ada kelemahan dan penambahbaikan dilakukan sentiasa tetapi ia bukan satu indikator untuk menjadi sempadan kepada pencapaian negara yang melihat Malaysia muncul di mercu dan alam baru kerana rakyat dan pemimpinnya. Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri di bulan kemerdekaan kepada semua warga Malaysia. Nostalgia lama pasti menjelma apabila pulang beraya di kampung; sama-sama kita sambut kedua-duanya dengan acuan tempatan kita sendiri dan secara berterusan menyemarakkan nilai 'keluarga besar' Malaysia yang menjadi simbol kesepaduan kita dalam komuniti rencam ini.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Rabu, 15 Ogos 2012

14 Ogos 2012

ISU BAHASA : BAHASA INGGERIS BUKAN PENGUKUR KEMULIAAN PEKERJAAN


Rencana ini ditulis oleh :
Dr Anwar Ridhwan
Sasterawan Negara, dan
Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA


Iklan dalam bahasa Inggeris yang semakin meluas di negara ini boleh memberikan gambaran serta persepsi salah terhadap hubungan pekerjaan dengan bahasa berkenaan. Ia cuba memberi gambaran serta persepsi bahawa bahasa Inggeris diperlukan dalam semua sektor pekerjaan. Kalau anda tidak menguasainya, anda akan tertinggal, atau anda akan menganggur. Tanpa menafikan kepentingan bahasa Inggeris dan bahasa lain sebagai sumber ilmu dan ruang pekerjaan, masyarakat kita tidak seharusnya terlalu ditakut-takutkan dengan bahasa berkenaan. Anak kita mempelajarinya secara formal selama 11 tahun iaitu enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah. Keupayaan penguasaan bahasa Inggeris mereka akan mencorakkan masa depan masing-masing. Keupayaan mereka seharusnya tidak diragui jika pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah memperlihatkan keberkesanannya.  Yang tidak ingin kita lihat ialah wujudnya kelas pekerjaan berdasarkan perbezaan bahasa. Kita tidak akan selesa jika ada yang beranggapan pekerjaan dalam lingkungan berbahasa Inggeris sebagai berada dalam kelas pertama”
Kelas pekerjaan

Yang tidak ingin kita lihat ialah wujudnya kelas pekerjaan berdasarkan perbezaan bahasa. Kita tidak akan selesa jika ada yang beranggapan pekerjaan dalam lingkungan berbahasa Inggeris sebagai berada dalam kelas pertama sementara yang lain berada dalam kelas kedua dan sebagainya. Kemuliaan pekerjaan tidak diukur semata-mata dengan bahasa atau pendapatan yang diperoleh. Tidak semua pelaburan yang dibawa masuk ke Malaysia memerlukan pekerja yang menguasai bahasa Inggeris sebagai prasyarat. Sebagai contoh, cuba kita lihat realiti pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia kebelakangan ini, sebagai mana laporan Jabatan Perangkaan:

“Stok FDI di Malaysia meningkat daripada RM129.1 bilion pada 2001 kepada RM312.5 bilion pada 2010, pertumbuhan ketara sebanyak 142.1 peratus. Sementara tahun ke tahun, stok FDI meningkat sebanyak RM42.3 bilion atau 15.7 peratus. Komponen modal ekuiti & perolehan dilabur semula membentuk bahagian terbesar berjumlah RM293.7 bilion atau 94.0 peratus. Sektor pembuatan mengekalkan kedudukannya sebagai penerima stok FDI tertinggi sebanyak 46.8 peratus, diikuti oleh sektor kewangan & insurans 23.1 peratus dan sektor perdagangan borong & runcit 8.2 peratus. Tiga sumber utama FDI adalah dari Singapura, Jepun dan Amerika Syarikat (AS).”

Singapura dan Amerika Syarikat (AS) dianggap sebagai pengguna bahasa Inggeris tetapi tidak Jepun. Itu tidak menggambarkan kepentingan bahasa Inggeris di sektor swasta secara menyeluruh kerana hanya 5 hingga 10 peratus eksekutifnya yang perlu menguasai bahasa Inggeris terutama dalam beberapa syarikat Singapura dan AS yang beroperasi di Malaysia. Sebahagian eksekutif di syarikat Jepun memang berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan atasan Jepun mereka tetapi ada juga eksekutif (Melayu dan bukan Melayu yang terdidik di Jepun) berkomunikasi langsung dalam bahasa Jepun dengan pegawai atasan Jepun mereka.

Dapatan Jabatan Perangkaan itu juga menunjukkan sektor pembuatan menguasai 46.8 peratus stok FDI di mana bahasa Inggeris diperlukan secara minimum atau tidak perlu sama sekali. Hanya di sektor kewangan dan insurans yang menduduki tempat kedua (23.1 peratus), bahasa Inggeris mungkin diperlukan, terutama oleh eksekutifnya tetapi hubungan dengan klien Melayu, Cina dan India tidak semestinya dalam bahasa Inggeris. Di sektor perdagangan borong dan runcit (8.2 peratus), bahasa Inggeris bukan bahasa utamanya. Dapatan berkenaan boleh digunakan untuk mematahkan mitos keperluan bahasa Inggeris di sektor swasta khususnya yang berkaitan dengan FDI.

Tahun lalu Perdana Menteri mengumumkan wujudnya 10,000 peluang pekerjaan baru, dalam kerangka pelan transformasi ekonomi, bernilai RM1.4 bilion. Adakah 10,000 kerja baru di sektor swasta amat memerlukan penguasaan bahasa Inggeris? Dan jika diperlukan, bukankah pengalaman pelajar Malaysia mempelajari bahasa Inggeris selama 11 tahun sudah mencukupi untuk menceburi sektor swasta itu?  Pada masa sama kita mesti menanjakkan keupayaan bahasa Melayu dalam sektor ekonomi dan perdagangan. Kita mesti membuktikan bahasa Melayu adalah bahasa ilmu pengetahuan moden, dan sistem pendidikan kebangsaan kita terus penting untuk era ini dan zaman akan datang.

Citra bahasa Melayu

Sehubungan itu, citra bahasa Melayu dalam lapangan pekerjaan seharusnya lebih penting daripada bahasa Inggeris atau sekurang-kurangnya setaraf dengan bahasa Inggeris.  Untuk mencapai citra berkenaan bukan saja diperlukan keberanian politik, malah perjuangan bersama kalangan profesional, usahawan dan cendekiawan Melayu. Ketika kerajaan dan sektor awam tidak mungkin menyerap jumlah tenaga kerja yang lebih besar, rakyat kini beralih kepada majikan di sektor swasta. Di sektor swasta ini persepsi kononnya bahasa Inggeris lebih utama daripada bahasa Melayu haruslah dikikis dan diketepikan.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Berita Harian
Selasa, 14 Ogos 2012

ISU SOSIAL : KEREDUPAN HATI WARGA EMAS


Rencana ini ditulis oleh :
DR. JESSICA ONG HAI LIAW
Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan, 
Korporat dan Perhubungan Antarabangsa, dan
Pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.


Cadangan kenaikan had umur bagi pengeluaran penuh KWSP kepada 60 tahun selari dengan batas umur persaraan minimum swasta menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pencarum. Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata, memang ada ura-ura tersebut namun beliau berkata kerajaan tidak bercadang melaksanakan sistem tersebut. Had umur bagi membolehkan pengeluaran penuh caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kekal pada umur 55 tahun dan bukan 60 tahun. Berita ini tentu menggembirakan kerana persaraan akan diiringi sejumlah wang untuk masa depan. Apabila mendapat sejumlah wang yang besar itu, bagaimana pula hendak menguruskan wang tersebut. Sesetengah warga emas memberitahu ia boleh membantu hidup anak-anak yang kesempitan. Namun begitu, bagaimana pula kehidupan warga emas yang tidak caruman KWSP atau wang pencen? Warga emas yang hanya bertungkus lumus bekerja dahulunya dan berjaya menyara anak-anak hingga ke peringkat universiti tetapi tiada simpanan pada hari tua. Akhirnya mereka hanya mengharapkan anak-anak akan menyara mereka. Adakah itu realiti kehidupan yang diharapkan atau sebaliknya?

Anak-anak pada hari ini sibuk bekerja dan tidak dapat menjaga ibu bapa. Kenyataan itu sudah menjadi kebiasaan kerana kata mereka menghantar ke rumah orang tua lebih mudah sebab ibu bapa mereka akan ada ramai kawan di sana. Di rumah orang tua, ada jururawat yang menjaga jika sakit dan demam. Sesetengah orang pula menyerahkan penjagaan ibu bapa kepada orang gaji dan jarang menjenguk mereka. Ramai ibu atau bapa yang terlantar di hospital dan dijaga orang lain, yang bukan anak-anak mereka. Kata mereka, wang tidak menjadi masalah cuma mereka tidak mempunyai masa hendak menjaga ibu bapa. Justeru, ibu bapa dibiarkan menanggung rindu dan menghitung hari-hari sunyi mengharapkan kepulangan anak-anak. Kita perlu ingat, restu ibu bapa amat penting dalam memberikan keberkatan dalam hidup kita. Syurga di bawah telapak kaki ibu kerana doa ibu tiada tandingannya dan amat membahagiakan kita. Kata-kata itu memang sering diingati kerana seorang ibu boleh memelihara sepuluh orang anak tapi sepuluh orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu. Ibu mengandungkan anak selama sembilan bulan 10 hari bertarung nyawa ketika melahirkan dan penat lelah menjaga anak-anak mereka.

Segala pengorbanan ibu bapa tidak pernah menuntut ganjaran dan berharap anak-anak yang sudah dewasa mampu menampung diri sendiri. Satu hari nanti kita juga akan menjadi tua. 'What goes around comes around'. Adakah itu semua benar berlaku atau lakonan dalam drama yang kita tonton seperti drama Baitul Rahmat di TV1 dan 7 Ramadan di TV3? Drama Baitul Rahmat yang ke udara jam 7.30 malam di TV1 berjaya mengutip jumlah penonton 541,105 penonton sarat dengan pengajaran kepada kita supaya jangan menderhaka kepada ibu bapa. Drama 7 Ramadan di TV3 juga amat memberikan pengajaran yang penuh pengertian. Tahniah diucapkan kepada stesen televisyen kerajaan dan swasta yang menyampaikan mesej-mesej berguna kepada masyarakat. Iklan-iklan di televisyen seperti iklan raya Petronas pada 2006 yang memaparkan tentang kasih ayah kepada anak perempuannya tetapi akhirnya diketepikan apabila sudah tua dan sakit. Pengajaran yang boleh kita jadikan iktibar, jika itu yang kita lakukan kepada orang tua kita maka tidak mustahil jika kita pula dilakukan demikian oleh anak-anak kita.

Kita masih boleh mencari ruang untuk memberikan yang terbaik kepada ibu bapa kita kerana di sebalik keredupan masa depan warga emas, tidak semua orang memiliki sifat-sifat begini kerana masih ramai yang sayangkan ibu bapanya dan masih ada prihatin. Sekumpulan nenek berbangsa Cina yang tinggal di kawasan perumahan saya sentiasa berbincang di sebuah kedai kopi menyatakan entah bila giliran mereka akan dihantar ke rumah orang tua jika mereka sakit nanti. Salah seorang makcik yang dipanggil Makcik Kampar kerana berasal dari Kampar adalah antara yang paling takut nasibnya akan berakhir di Rumah Orang Tua. Namun, ramalannya tepat kerana dia telah dihantar ke Rumah Orang Tua kerana masalah penglihatan. Makcik Kampar telah melakukan pembedahan mata namun masih kabur penglihatannya dan itulah nasibnya. Sekumpulan nenek itu sering mengeluh dan risau adakah nasib mereka akan berakhir seperti Makcik Kampar. Bagi kaum Cina, ibu bapa memang suka tinggal dengan anak lelaki kerana bagi mereka anak lelaki adalah pewaris. Namun begitu, makin ramai orang Cina memilih untuk tinggal dengan anak perempuan kerana kata mereka menantu lelaki lebih mudah untuk diajak berbincang.

Saya amat memahami situasi ini kerana bukan mudah hubungan antara ibu bapa mertua dengan menantu perempuan atau lelaki. Namun saya tidak memahami kenapa anak-anak cuba lari daripada tanggungjawab sebelum cuba bertanggungjawab ke atas orang tua mereka. Saya pernah mendengar kata-kata bahawa mereka ingin mencari suami atau isteri yang tiada ibu bapa. Kata mereka lebih mudah dan tidak ada masalah bila kahwin. Anak-anak yang dari awal merancang untuk berhijrah ke luar negara dan lari tanggungjawab? Anak-anak yang sengaja duduk terlalu jauh dari ibu bapa dan anak-anak yang tidak membenarkan ibu bapanya menjejakkan kaki ke rumah apabila mereka sudah kaya-raya. Macam-macam yang berlaku pada hari ini apabila anak-anak terlalu berkira dalam soal menjaga ibu bapa. Mereka sanggup memberikan wang tetapi tidak sanggup menjaga ibu bapa kerana suami atau isteri tidak suka dengan kehadiran orang tua di rumah. Mereka lupa bahawa ibu bapa yang ada di rumah akan membawa keberkatan dan rezeki kepada kita sebenarnya. Nasib warga emas masih baik jika ada anak-anak yang sanggup sekurang-kurangnya memberi wang dan bagaimana pula dengan anak-anak yang langsung tidak memberi wang kepada ibu bapa mereka? Kata mereka, ibu bapa mereka sudah kaya tetapi sebenarnya apa yang ibu bapa hendakkan bukan ratusan ringgit.

Kata Makcik Azura yang mempunyai wang pencen, jika duit RM50 pun dah cukup menggembirakan kerana itu ingatan anak-anak kepadanya. Wang itu disimpannya untuk anak-anaknya juga bila dia tiada lagi di dunia ini. Kita fikir sejenak, siapalah kita dan bagaimana kita dapat bernafas pada hari ini jika tidak ada ibu bapa yang melahirkan dan membesarkan kita. Kaum Melayu dan kaum India bagaimana pula pandangan mereka? Adakah anak-anak lelaki yang perlu lebih bertanggungjawab atau anak perempuan atau sama sahaja? Pertelagahan antara anak-anak tentang siapa yang perlu menjaga ibu bapa mereka memang wujud dan apabila saya melihat dari perspektif anak-anak pula memang ada yang memberikan penjelasan. Keluhan anak-anak yang menyatakan ibu bapa yang pilih kasih, tak pernah sayangkan mereka dan macam-macam cerita yang berlaku. Namun, pada pendapat saya, yang tua tetap perlu kita hormati walaupun mereka pernah bersalah dan pilih kasih. Ibu bapa tetap perlu kita jaga sehingga akhir hayat mereka. Jenguklah mereka di mana sahaja mereka berada sempena bulan Ramadan dan mohon kemaafan di Syawal nanti kerana itulah keberkatan yang tiada nilainya. Sayangilah ibu bapa kita. Salam 1Hati.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Isnin, 14 Ogos 2012

13 Ogos 2012

ISU UMUM : TRANSFORMASI : SUATU PERSEPSI


Rencana ini ditulis oleh :
TAN SRI SYED HAMID ALBAR,
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)


Persepsi adalah satu proses yang mana penerimaan naluri kita diterjemah dan digabungkan menjadi satu pandangan yang menyeluruh terhadap persekitaran kita. Walaupun semestinya berdasarkan kepada infomasi yang tidak lengkap dan tidak sahih, persepsi sering disamakan dengan realiti dan mewakili perangai kita. Hari ini kita lihat politik di serata dunia menjadi lebih bercelaru. Kita berdepan dengan persoalan tentang kebebasan serta pertembungan antara hak individu dan kepentingan masyarakat dalam konteks demokrasi dan hak asasi. Dalam order baru dunia, kuasa besar Barat berjaya membentuk hegemoni, politik dan ekonomi, tanpa adanya dunia multipolar. Serentak dengan itu, situasi ekonomi dunia terus tidak menentu; dan mengikut ramalan Bank Dunia, ekonomi dunia akan terus bergerak perlahan. Pengerusi Federal Reserve Amerika Syarikat pula meramalkan ekonomi negara itu tidak akan bertambah baik, malahan akan terus meruncing.

Berlatar belakang kedudukan ekonomi dunia yang tidak memberangsangkan, bidang politik juga menyaksikan perubahan kerajaan sama ada melalui proses pilihan raya bebas atau melalui pemberontakan seperti mana yang telah tercetus khususnya di Asia Barat. 'Sumpitan' daripada kuasa dalaman kerajaan, kuasa luar akhirnya mengakibatkan kerajaan berkenaan digulingkan dengan pertumpahan darah dan kehilangan nyawa di kalangan mereka yang terlibat dan tidak terlibat. Maka nyata bahawa persepsi ekonomi-politik hari ini sememangnya bercelaru. Soalnya adakah persepsi ini terancang agar akhirnya keadaan bercelaru ini menjemput campur tangan asing secara terang-terangan melalui ketetapan atau resolusi Majlis Keselamatan PBB sebagai pengendorsnya untuk menghalalkan campur tangan dan perubahan.

Jelas sekali campur tangan ke atas negara-negara Islam adalah amat ketara berbanding yang diberikan perhatian kepada negara-negara lain yang berkonflik contohnya di Amerika Latin. Namun apa yang dipanggil penyelesaian itu tidak menjamin keamanan dan keselamatan. Kuasa-kuasa besar Barat terus menggunakan kekuatan ketenteraan dan PBB dibawa bersama bagi mencorakkan order baru dunia di atas asas persepsi bahawa campur tangan kemanusiaan dan mahu mendemokratikkan negara-negara tersebut adalah jalan penyelesaian yang terbaik. Walaupun perubahan yang mereka bawa tidak semestinya menjadi jawapan ataupun jalan penyelesaian kepada konflik dalaman sesebuah negara, ia tidak pula menjadi persoalan. Justeru masalah keselamatan, keamanan, ekonomi dan politik terus menekan dan membawa penderitaan kepada rakyat di negara-negara yang kononnya telah diselamatkan. Tapi apa yang jelas ia berjaya melahirkan negara-negara yang pro Barat dengan agenda demokrasi dan kebebasan. Persoalannya, sama ada hegemoni dan sistem ekonomi kapitalis yang dieksport Barat dapat menangani segala kemelut termasuk ekonomi dan politik di Eropah belum lagi terserlah.

Apa yang nyata ialah tersebarnya satu persepsi bahawa perlunya transformasi melalui sistem kapitalis, demokrasi dan globalisasi di negara-negara yang tidak mengenalnya sebelum ini. Tetapi realitinya masih lagi sangsi. Pendekatan sebegitu dianggap sebagai penjajahan cara baru yang bertukar hanya bentuknya. Tambahan lagi, banyak pendapat yang mengatakan sistem kapitalis, demokrasi dan globalisasi bukanlah satu penyelesaian muktamad untuk semua keadaan yang dihadapi oleh dunia. Tidak dapat dinafikan yang umat manusia berada di atas satu pentas yang telah didekatkan serta saling kebergantungan akibat dari kemajuan teknologi maklumat dan internet. Dalam tamadun sains dan teknologi ini jelas sekali kuasa terkuat yang muncul hari ini adalah pihak media. Mereka berupaya bercanang, mereka-reka, dan membina persepsi yang tidak berlandaskan realiti semasa. Pengaruh media menjadi dominan dan berjaya serta berkesan membentuk persepsi dalam semua persoalan.

Persepsi boleh membentuk pemikiran, pegangan dan keputusan sama ada semasa berdepan dengan krisis ataupun di luar krisis. Masyarakat setempat dan antarabangsa tidak dapat lari daripada hakikat ini. Media alternatif telah menyentuh dan menentukan hala tuju dalam pelbagai bidang termasuk politik domestik dan antarabangsa. Justeru, kebebasan demokratik seharusnya diteraskan kepada wasatiyyah atau kesederhanaan bagi mencapai keseimbangan dalam melaksanakan tanggungjawab di antara hak individu dan masyarakat. Komunikasi dan penyampaian maklumat yang bergerak begitu pantas dengan insiden dan kejadian semasa memerlukan kerajaan berada di hadapan. Pada hari ini, Malaysia sedang melalui proses transformasi yang amat hebat dalam sejarah politik dan ekonomi negara. Ia dilaksanakan untuk menaikkan taraf hidup, melahirkan peluang perkerjaan dan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi serta terhubung di antara satu wilayah dengan wilayah yang lain atau dari satu tempat ke tempat yang lain. Pemimpin dan mereka yang berada di persekitaran pemimpin perlu dapat menguasai setiap nadi dan pergerakan dasar, sama ada tersurat ataupun tersirat.

Mereka harus mengerti dan memahami niat dan tujuan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), ProgramTransformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan ( GTP) yang luhur dan murni itu dapat dirasai dan dikecapi oleh rakyat. Dalam konteks ini amalan dan implementasi akan diyakini oleh golongan yang hendak dimanfaatkan. Jika program-program dapat dilaksanakan dengan telus dan sempurna maka akan terbitlah keyakinan terhadap pemimpin dan kerajaan dan kredibiliti pemerintah akan dapat ditingkatkan. Bila dapat diajukan dasar, sasarannya dan maklumat dengan telus dan tepat maka susah untuk dimanipulasikan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan untuk memenuhi agenda mereka bagi melahirkan persepsi negatif terhadap kerajaan. Persepsi negatif hanya boleh dikalahkan dengan kebenaran. Tetapi jika kebenaran tersembunyi, akhirnya pembohongan yang diulang-ulangkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab akan diterima sebagai kebenaran.

Justeru, kejayaan dan kegagalan kerajaan pada dewasa ini bergantung banyak kepada bagaimana pemimpin dan jentera dianggap cekap dan autoratif dalam menengahkan kebenaran sebagai realiti. Sekali gus pihak yang lain tidak dapat membentuk persepsi negatif terhadap setiap dasar atau tindakan kerajaan. Kerajaan tidak boleh hanya respons setelah sesuatu terjadi dan persepsi negatif telah diatur bentuk oleh 'Dr. Spin' pihak lawan. Apabila itu berlaku mereka akan mewarnakan kebenaran melalui persepsi mereka. Begitu juga kerajaan tidak boleh membiar atau mengizinkan manipulasi fakta oleh pihak lain dan kemudiannya kelam-kabut menyediakan jawapan. Dasar pemerintah sebenarnya hendaklah diterjemah dan diimplimentasi agar dapat dilihat sendiri manfaatnya oleh rakyat dan bukan sesuatu yang dilaung-laungkan oleh kerajaan. Dalam hal ini kerajaan tidak boleh bersikap defensif dan apologetik. Sudah banyak sentuhan yang dihulurkan melalui program dan tindakan sama ada untuk jangka masa pendek ataupun panjang.

Media arus perdana dan alternatif harus digunakan untuk melaporkan pencapaian sebenar program dan tindakan tersebut, bukan hanya setakat untuk melaungkan persepsi transformasi. Pemimpin pula perlu perihatin membicara menggunakan bahasa dan memahami kecenderungan setiap peringkat masyarakat . Jika tidak, jurang realiti dan persepsi akan dibentuk oleh orang lain dan akan merugikan pemerintah. Sekiranya ingin berjaya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, kerajaan perlu menangani pertarungan persepsi ini dengan cara yang bijak dan berkesan. Persepsi yang pemimpin kerajaan atau politik tidak bersih atau sombong atau hidup mewah atau susah untuk ditemui perlu dapat diatasi melalui pendekatan yang sungguh mesra rakyat dan terbuka dengan cara bertawaduk seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri. Pada masa yang sama dari sekarang hingga PRU-13, insya-Allah masyarakat tidak didedahkan dengan cerita-cerita skandal, salah laku sama ada bersifat jenayah ataupun tidak, yang membangkitkan kemarahan dan keraguan rakyat atau menyinggung sensitiviti mereka sehingga boleh menjejaskan sokongan dan minat kepada kerajaan dalam PRU-13.

Seharusnyalah parti pemerintah dapat mengatasi pihak pembangkang dengan memaparkan keupayaan, keikhlasan dan ketelusan kerajaan. Sebenarnya pemerintahlah penterjemah dan pelaksana kepada pembinaan satu negara bangsa berteraskan 1Malaysia untuk semua rakyat mengecapi kemajuan dan kesejahteraan.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Isnin, 13 Ogos 2012

ISU SOSIAL : KESAN BESAR SIKAP PEMANDU


Rencana ini ditulis oleh :
MOHAMAD ABDULLAH
Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor,
Universiti Sains Malaysia


Terdapat banyak kejadian yang dianggap kecil tetapi apabila dilakukan atau tidak diambil peduli kerapkali mengundang masalah, malah boleh membawa padah yang membuatkan kita menyesal sepanjang hayat. Dalam kesibukan kita menjalani kehidupan ini, kerjaya mahu pun perjuangan yang tertentu, kita kerap abaikan perkara-perkara yang dianggap remeh, namun berpotensi untuk menjadi besar. Apabila memandu kereta baru, berjenama hebat sesetengah orang cuba mengujinya di jalan raya dengan kelajuan tinggi. Kita jangka kita cekap dan mampu mengawalnya apatah lagi kereta baru yang canggih teknologinya dan mampu mengelak kerosakan, tetapi apabila terbabas, kereta dan diri kita mungkin selamat, tetapi pengguna jalan raya lain mungkin mendapat kesan dan akibatnya. Jalan raya akan sesak teruk dan padahnya dirasai sama oleh orang lain.

Pada musim perayaan ini, kita memandu dan tergesa-gesa untuk cepat sampai destinasi. Kita cuba mengambil jalan mudah dengan teknik pemanduan yang kita sangka cekap dan hebat. Kita memotong di sana sini tanpa mengira selekoh bahaya atau kesesakan, malah juga menggunakan laluan kecemasan. Siapa tahu, yang akan tiba di destinasi kita hanyalah jenazah yang terbujur kaku, tangisan sanak saudara pada pagi yang sepatutnya disambut gembira dan bahagia dan juga menyebabkan kesesakan lebuh raya atau jalan raya yang di luar jangkaan. Kita tidak pernah serik dengan pelbagai berita dan foto ngeri kemalangan jalan raya, kecacatan dan pelbagai kerosakan kerana kita ambil mudah. Betul, malang tidak berbau, tetapi jika kita yang mengundangnya, kita hanya menyusahkan diri dan keluarga serta mereka yang menyayangi kita, tetapi juga orang lain. Memandu dalam keadaan mengantuk, tidak sabar, berlumba, laju yang keterlaluan, mengambil mudah dan mementingkan diri dan banyak lagi yang kita lakukan yang sebenarnya mengundang padah buat diri sendiri dan orang lain.

Kita berlumba-lumba di jalan raya, mengharungi segala susah payah dan tekanan perasaan untuk balik kampung bertemu ibu bapa dan sanak saudara. Malangnya apabila tiba di kampung halaman anak-anak, malah kita sendiri pun memberi lebih banyak masa melayan telefon bimbit dengan pelbagai urusan dan media sosial, terperuk melayan pelbagai tayangan menarik di televisyen dan pelbagai lagi, daripada benar-benar mengambil masa dari kesempatan yang ada untuk mengukuhkan silaturrahim, berkenalan dengan sanak saudara yang tidak pernah ditemui atau melayan karenah ibu bapa yang telah tua dan ingin sedikit perhatian kita. Kita kata, kita adalah masyarakat yang bersopan santun dan berbudi bahasa. Tetapi hari ini anak-anak muda kita yang masih belajar di kolej dihukum mahkamah kerana memaki hamun pihak berkuasa. Kita sendiri pun mencarut di mana sahaja termasuk di dalam kereta yang terperangkap dalam kesesakan. Anak-anak memerhatikan kita dan kitalah cerminannya.

Ramadan dan Syawal yang akan datang dianggap bulan seribu sujud dan penuh kemuliaan, namun sikap dan kasih sayang kita kepada orang lain jarang kita nilaikan. Kita terus memandang kecil hal-hal yang merosakkan masa hadapan masyarakat dan negara. Kita tidak perduli nasib jiran tetangga dan mereka yang memerlukan. Kita jarang melihat nasib mereka dalam kalangan keluarga sendiri yang memerlukan bantuan dan sokongan. Kita lupa saudara-saudara kita yang menghidap penyakit berbahaya termasuk HIV AIDS, penagihan najis dadah dan lain-lainnya yang tersisih. Kita hina kesilapan mereka dan keluarga mereka yang dilanda musibah jadi bahan umpatan dan sesetengahnya jenazah pun enggan diuruskan. Lalu apabila orang lain yang datang hulurkan bantuan dan sokongan, terutamanya dari kumpulan agama lain, kita marah dan lihat dengan prasangka. Kita bercerita pula tentang hal-hal yang boleh menggugat keselamatan negara dan keharmonian sesama rakyat yang ada. Kita adu domba dan menyalahkan sesiapa sahaja termasuk kerajaan dan pihak berkuasa. Kita lupa melihat tanggungjawab dan amanah yang dipikul bersama, yang harus bermula dari diri sendiri malah juga institusi agama kita.

Demikian juga apabila kita melihat hal-hal yang tidak bermoral yang berlaku di sekitar kita. Orang yang menari separuh bogel di tiang. Orang menganjur pesta arak dan separuh bogel di tepi kolam renang hotel. Mereka yang mengadakan pelbagai perkara yang amat menjengkelkan. Jenayah yang melibatkan anak-anak yang tidak tahu apa-apa. Kita anggap itu hanyalah tanggungjawab kerajaan dan pemimpin tertentu. Kita tuding jari dan riuh-rendahkan pelbagai perkara dengan tujuan untuk mengatakan pihak berkuasa tidak mengambil tindakan apa-apa. Kita salahkan polis dan pihak berkuasa. Kita seolah-olah tidak ada tanggungjawab. Seolah-olah tugas kita hanya pandai mengkritik. Tanggungjawab kita hanya menuding jari. Ini termasuklah dalam kalangan orang yang mahir agama yang sepatutnya turut memimpin dan membawa jalan penyelesaian terbaik. Menyatu padukan ummah dan mengajak untuk melakukan kebaikan secara realistik, bukan hanya berceramah atas pentas dan berkempen untuk tujuan tertentu.

Apabila soal-soal kebajikan dan kesejahteraan masyarakat pun dijadikan bahan untuk menuding jari, maka tidak hairanlah apabila orang menghina hukum dan perkara-perkara agama pun kita boleh kita bertoleransi. Kita kata pula yang hukum agama boleh berubah mengikut masa. Kita tafsir mengikut keperluan yang ada, kononnya untuk kemashalatan yang lebih besar. Kemashlahatan siapa? Kemashlahatan masyarakat atau pihak dan individu tertentu? Kita banyak bercakap tentang moral, etika dan agama. Kita marah kerana ada pemimpin tertentu yang diangkat sebagai tokoh dan pemimpin, yang dituduh dan dicari segala alasan dan bukti untuk mengatakan tidak bermoral, korupsi dan pelbagai keburukan lagi. Tetapi bila pihak kita dituduh menjulang pemimpin tidak bermoral, kita bela mati-matian. Jika sekali atau dua kali bolehlah agaknya dianggap fitnah dan sengaja diada-adakan, tetapi jika berkali-kali, kita masih lagi menganggap bersih dan hebat, walau pun sanggup menjual nama baik agama, bangsa dan tanah air sendiri di luar negara.

Malah jika orang yang kita anggap 'baik' dan 'bermoral' melakukan tindakan bertentangan dengan nilai dan norma yang ada, kita anggap itu fitnah dan sengaja direka. Jika orang lain yang buat dan dianggap bukan dalam kem sendiri, cepat sahaja melenting dan diminta ambil tindakan segera, tubuh suruhanjaya siasatan dan pelbagai lagi. Banyak lagi hal-hal lain yang kita bersikap talam dua muka dan double-standard. Kita anggap remeh dan kecil, walau pun yang menyentuh akidah dan kepercayaan agama kita sendiri. Contoh terdekat ialah apabila dikatakan hukum agama boleh berubah mengikut keadaan. Siapa yang menentukan keadaan itu? Atau pun kita pejam mata sebelah apabila terang-terang 'sahabat' kita menentang hukum Islam dan negara Islam yang kita canangkan. Apatah lagi apabila ada individu tidak bermoral yang memperjuangkan kebebasan yang selari dengan apa yang kita percayai, terus sahaja menerimanya sebagai pemimpin besar, apatah lagi apabila diiktiraf pula oleh negara tertentu yang mempunyai agenda yang sama dan selalu tidak senang melihat pencapaian dan kemajuan negara. Mereka ini walau pun terang-terang perjuangkan sesuatu yang bertentangan dengan agama, tetap disokong, digenggam erat tanggannya malah kalau boleh dipeluk, asalkan dapat jatuhkan orang lain yang dianggap lawan.

Demikian, banyaknya hal-hal kecil dan remeh tetapi beri kesan besar terhadap kedaulatan, keselamatan masyarakat dan keharmonian negara yang kita sayangi. Perkara-perkara kecil yang boleh bersemarak sehingga merosakkan tamadun umat, kematian dan kesusahan bukan sahaja kepada individu malah juga kepada masyarakat seluruhnya. Pada Ramadan ini, sambutan Hari Raya Aidilfitri dan nantinya Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-55, wajar kita membuat muhasabah, senaraikan lagi, betapa banyaknya perkara kecil yang sewajarnya diambil tindakan awal kerana ia seperti barah dan penyakit kronik yang jika tidak ditangani awal, akan menyebabkan kesusahan dan kehancuran.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Isnin, 13 Ogos 2012