Rencana ini ditulis oleh :
PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia.
Tahun 2012 unik sekali lagi bagi
Malaysia yang meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama sambutan Hari Kemerdekaan
serentak. Kedua-duanya amat signifikan bagi masyarakat Malaysia yang terdiri
daripada pelbagai keturunan, kepercayaan dan amalan. Faktor alam dan populasi
yang diwarnai dengan kepelbagaian membolehkan Malaysia terus subur dengan
bermacam-macam perayaan dan sambutan kenegaraan. Ia mencerminkan kemampuan
Malaysia untuk terus utuh walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam dan
luar negara. Sambutan Hari Raya Aidilfitri amat menarik di kawasan luar bandar
yang melihat kawasan bandar sunyi sepi kecuali mereka yang tidak dapat pulang
beraya di kampung akan memenuhinya, apatah lagi wujud fenomena kebanjiran warga
asing ketika musim perayaan. Pada malam pengumuman tarikh rayanya oleh
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, akan ada kunjungan dari rumah ke rumah dengan
marhaban raya. Pada pagi raya, ramai berpusu-pusu ke masjid mengikuti khutbah
raya yang lazimnya menandakan kesyukuran penyempurnaan bulan Ramadan dan
permulaan bulan Syawal. Takbir kedengaran di merata tempat, laungan puji-pujian
kesyukuran kepada yang Esa.
Di kampung saya, Tanjong Malim, Perak,
satu ketika dahulu sambutan sebarang perayaan amat meriah. Ia dinanti bukan
sekadar untuk turut sama dalam aktiviti berkunjung dari rumah ke rumah tetapi
lebih daripada itu, nilai persahabatan dan silaturahim dalam kalangan anggota
jiran amat tinggi. Nilai sosialisasi yang kebal ketika itu adalah usaha bersama
mengacau dodol yang dilakukan berjam-jam oleh sesama jiran sebagaimana membuat
kuih-muih lain. Yang kecil mahupun dewasa sentiasa menanti waktu dan tikanya
kerana keseronokan dapat bersama. Begitu juga dengan ketupat, lemang dan
rendangnya. Semangat gotong-royong memberi gambaran betapa eratnya hubungan
antara jiran yang turut meningkatkan tahap moraliti dalam kalangan masyarakat
setempat. Ia bukan sekadar nilai kejiranan tetapi lebih daripada itu, wujud
'keluarga besar' termasuk anak-anak dalam kalangan pelbagai kumpulan etnik yang
bersama meraikannya; 'perkongsian' sebagai teras keutamaan dalam hubungan
kemanusiaan 'keluarga besar' ini.
Yang memasang lampu malam tujuh likur
juga ialah anak-anak ini; yang mencari buluh membuat lemang pun anak-anak ini.
Yang bermain dalam hujan, di padang bola, takraw dan badminton juga anak-anak
ini. Bermain galah panjang, guli, sorok-sorok, dan jongkang-jongket tidak
terkecuali. Berlaga ikan dan mencari ikan sepat tidak ketinggalan sementara
menunggu waktu berbuka pun anak-anak ini. Tiada istilah penat sewaktu bulan
Ramadan kerana masing-masing seronok dengan apa yang dilalui dan faham ia
diberkati. Kemeriahan beraya dalam kalangan remaja muda ketara bila bernyanyi
lagu raya sehingga senja suram; malam hiba; berbasikal ke merata tempat bukan
mencari 'duit raya' tetapi kenikmatan bersama. Keseronokan dirasai semua
walaupun ada perbezaan tetapi ia pemangkin untuk penjelasan ada ketikanya boleh
menjadi 'satu'. Jiwa yang jujur dan ikhlas memagari insan sebegini rupa kerana
pedoman datangnya dari orang tua. Nilai hormat yang tinggi bukan sahaja pada
Opah dan Atuk tetapi kesemua warga emas adalah milik bersama. Jika mereka
sakit, keseluruhan jiran merasainya kerana ikatan 'ziarah' dan 'melawat' tanpa
pelawaan ataupun kunjungan berasaskan kepada jemputan atas nama 'keluarga
besar'. Pada waktu beraya, bersalam dengan mereka merupakan satu 'keberkatan'.
Hari ini, pengisian ke atas kemerdekaan
membolehkan kita terus beraya dengan aman dan muhibah. Kemerdekaan menandakan
betapa kita bersyukur berbanding dengan negara-negara lain, kita masih mampu
gah di peta dunia pesat membangun dengan kesinambungan kepimpinan yang
mempertahankan kestabilan dan perkembangan yang seiring dengan anjakan global. Kita
tidak terkebelakang tetapi maju ke hadapan. Modal insan ramai yang dilihat
berpotensi dan mempunyai ilmu, keupayaan dan kemahiran yang setanding dengan
bangsa lain di dunia ini. Kesemua ini berjaya kerana adanya keyakinan dan
kepercayaan kepada semangat 'Malaysia'. Meskipun begitu, tidak dinafikan ada
segelintir yang tidak memiliki aspirasi warga 'Malaysia'; warga yang terlalu
taksub dengan fahaman tertentu sehingga membelakangkan nilai 'keluarga besar'
Malaysia. Yang dikhuatiri adalah tingkah laku yang boleh memudaratkan
kedaulatan negara dengan perilaku tidak menghormati simbol kebanggaan negara
termasuk lagu Negaraku, bunga raya dan jata negara. Tidak lupa kepada
Rukunegara. Begitu juga dengan institusi raja-raja Melayu.
Musibah kadang-kadang datangnya dari
kita dan bukan orang lain sampaikan isu sokongan ke atas pejuang wira di sukan
Olimpik pun boleh dipolitikkan oleh sesetengah orang yang jiwanya ketara sifar.
Budaya saling perlu memerlukan di antara satu sama lain, memahami dan hormat
merupakan nilai besar yang wujud sekian lamanya tetapi adakah nilai ini
bersedia dikorbankan kerana peningkatan celik huruf dalam kalangan masyarakat
Malaysia sehingga bersedia warisan bangsa lupus sebagaimana yang ketara dalam
ungkapan sesetengah pihak untuk meraikan Hari Raya mahupun kemerdekaan. Kedua-duanya
bukan sekadar perayaan dan sambutan; kedua-duanya juga lambang besar nilai
kemasyarakatan dan pengukuhan roh sosial yang penting untuk menyuburkan rasa 'kepunyaan'
dan 'kekitaan' dalam kalangan warga Malaysia. Pertahanan negara datang dari
rakyat yang bersyukur kepada nikmat dan limpahan rezeki dalam menggapai
kecemerlangan diri. Ia tidak boleh dikorbankan hanya kerana sejarah mahu diubah
ataupun tidak mahu mengambil inisiatif untuk memahami pencapaian yang membawa
Malaysia kepada kedudukannya.
Walaupun fenomena baru menunjukkan
wujudnya sentimen bersifat 'cool' untuk memberontak dan mahu didengar; nilai
'perkongsian' tidak boleh terjejas dan dibiarkan pupus kerana kesannya cukup
besar kepada ketamadunan bangsa dan negara. Konsep 'ziarah' perlu dirungkai
semula di alam yang mempertontonkan bagaimana ucapan dan pertemuan menjadi-jadi
di alam maya dan bukan di alam sebenar. Kampung adalah tanah tumpahnya darah
dan bermulanya susur-galur yang mesti diwarisi dan dikongsi generasi ke
generasi. Pengisian kemerdekaan membolehkan kita masih boleh beraya dengan
penuh kesyukuran dan menerapkan unsur 'kejujuran' dan 'rendah diri' serta
'budi'; memahami dan mahu memahami; memastikan dijauhkan dari dicabuli oleh
golongan yang cuma mementingkan keselesaan sendiri. Ia boleh diraikan dalam
pelbagai cara dengan penyertaan pelbagai kumpulan anggota masyarakat. Keunikan
adalah kepada 'kepelbagaian' dan ia bukan sebagai 'penghalang' malahan satu
'keistimewaan' yang mesti diwarisi turun-temurun walaupun berubah zaman.
Sama ertinya untuk kemerdekaan; atas
kemampuan meraikannya kerana wujud kestabilan dan keselesaan untuk hidup rukun
dan bersama. Ada kelemahan dan penambahbaikan dilakukan sentiasa tetapi ia
bukan satu indikator untuk menjadi sempadan kepada pencapaian negara yang
melihat Malaysia muncul di mercu dan alam baru kerana rakyat dan pemimpinnya. Selamat
menyambut Hari Raya Aidilfitri di bulan kemerdekaan kepada semua warga
Malaysia. Nostalgia lama pasti menjelma apabila pulang beraya di kampung;
sama-sama kita sambut kedua-duanya dengan acuan tempatan kita sendiri dan
secara berterusan menyemarakkan nilai 'keluarga besar' Malaysia yang menjadi
simbol kesepaduan kita dalam komuniti rencam ini.
Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Rabu, 15 Ogos 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan