Rencana ini ditulis oleh :
TAN SRI SYED HAMID ALBAR,
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan
Awam Darat (SPAD)
Persepsi adalah satu proses yang mana
penerimaan naluri kita diterjemah dan digabungkan menjadi satu pandangan yang
menyeluruh terhadap persekitaran kita. Walaupun semestinya berdasarkan kepada
infomasi yang tidak lengkap dan tidak sahih, persepsi sering disamakan dengan
realiti dan mewakili perangai kita. Hari ini kita lihat politik di serata dunia
menjadi lebih bercelaru. Kita berdepan dengan persoalan tentang kebebasan serta
pertembungan antara hak individu dan kepentingan masyarakat dalam konteks
demokrasi dan hak asasi. Dalam order baru dunia, kuasa besar Barat berjaya
membentuk hegemoni, politik dan ekonomi, tanpa adanya dunia multipolar. Serentak
dengan itu, situasi ekonomi dunia terus tidak menentu; dan mengikut ramalan
Bank Dunia, ekonomi dunia akan terus bergerak perlahan. Pengerusi Federal
Reserve Amerika Syarikat pula meramalkan ekonomi negara itu tidak akan
bertambah baik, malahan akan terus meruncing.
Berlatar belakang kedudukan ekonomi
dunia yang tidak memberangsangkan, bidang politik juga menyaksikan perubahan
kerajaan sama ada melalui proses pilihan raya bebas atau melalui pemberontakan
seperti mana yang telah tercetus khususnya di Asia Barat. 'Sumpitan' daripada
kuasa dalaman kerajaan, kuasa luar akhirnya mengakibatkan kerajaan berkenaan
digulingkan dengan pertumpahan darah dan kehilangan nyawa di kalangan mereka
yang terlibat dan tidak terlibat. Maka nyata bahawa persepsi ekonomi-politik
hari ini sememangnya bercelaru. Soalnya adakah persepsi ini terancang agar
akhirnya keadaan bercelaru ini menjemput campur tangan asing secara
terang-terangan melalui ketetapan atau resolusi Majlis Keselamatan PBB sebagai
pengendorsnya untuk menghalalkan campur tangan dan perubahan.
Jelas sekali campur tangan ke atas
negara-negara Islam adalah amat ketara berbanding yang diberikan perhatian
kepada negara-negara lain yang berkonflik contohnya di Amerika Latin. Namun apa
yang dipanggil penyelesaian itu tidak menjamin keamanan dan keselamatan.
Kuasa-kuasa besar Barat terus menggunakan kekuatan ketenteraan dan PBB dibawa
bersama bagi mencorakkan order baru dunia di atas asas persepsi bahawa campur
tangan kemanusiaan dan mahu mendemokratikkan negara-negara tersebut adalah
jalan penyelesaian yang terbaik. Walaupun perubahan yang mereka bawa tidak
semestinya menjadi jawapan ataupun jalan penyelesaian kepada konflik dalaman
sesebuah negara, ia tidak pula menjadi persoalan. Justeru masalah keselamatan,
keamanan, ekonomi dan politik terus menekan dan membawa penderitaan kepada
rakyat di negara-negara yang kononnya telah diselamatkan. Tapi apa yang jelas
ia berjaya melahirkan negara-negara yang pro Barat dengan agenda demokrasi dan
kebebasan. Persoalannya, sama ada hegemoni dan sistem ekonomi kapitalis yang
dieksport Barat dapat menangani segala kemelut termasuk ekonomi dan politik di
Eropah belum lagi terserlah.
Apa yang nyata ialah tersebarnya satu
persepsi bahawa perlunya transformasi melalui sistem kapitalis, demokrasi dan
globalisasi di negara-negara yang tidak mengenalnya sebelum ini. Tetapi
realitinya masih lagi sangsi. Pendekatan sebegitu dianggap sebagai penjajahan
cara baru yang bertukar hanya bentuknya. Tambahan lagi, banyak pendapat yang
mengatakan sistem kapitalis, demokrasi dan globalisasi bukanlah satu
penyelesaian muktamad untuk semua keadaan yang dihadapi oleh dunia. Tidak dapat
dinafikan yang umat manusia berada di atas satu pentas yang telah didekatkan
serta saling kebergantungan akibat dari kemajuan teknologi maklumat dan internet.
Dalam tamadun sains dan teknologi ini jelas sekali kuasa terkuat yang muncul
hari ini adalah pihak media. Mereka berupaya bercanang, mereka-reka, dan
membina persepsi yang tidak berlandaskan realiti semasa. Pengaruh media menjadi
dominan dan berjaya serta berkesan membentuk persepsi dalam semua persoalan.
Persepsi boleh membentuk pemikiran,
pegangan dan keputusan sama ada semasa berdepan dengan krisis ataupun di luar
krisis. Masyarakat setempat dan antarabangsa tidak dapat lari daripada hakikat
ini. Media alternatif telah menyentuh dan menentukan hala tuju dalam pelbagai
bidang termasuk politik domestik dan antarabangsa. Justeru, kebebasan
demokratik seharusnya diteraskan kepada wasatiyyah atau kesederhanaan bagi
mencapai keseimbangan dalam melaksanakan tanggungjawab di antara hak individu
dan masyarakat. Komunikasi dan penyampaian maklumat yang bergerak begitu pantas
dengan insiden dan kejadian semasa memerlukan kerajaan berada di hadapan. Pada
hari ini, Malaysia sedang melalui proses transformasi yang amat hebat dalam
sejarah politik dan ekonomi negara. Ia dilaksanakan untuk menaikkan taraf
hidup, melahirkan peluang perkerjaan dan menjadikan Malaysia sebuah negara
berpendapatan tinggi serta terhubung di antara satu wilayah dengan wilayah yang
lain atau dari satu tempat ke tempat yang lain. Pemimpin dan mereka yang berada
di persekitaran pemimpin perlu dapat menguasai setiap nadi dan pergerakan
dasar, sama ada tersurat ataupun tersirat.
Mereka harus mengerti dan memahami
niat dan tujuan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Bidang Ekonomi Utama
Negara (NKEA), ProgramTransformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi
Kerajaan ( GTP) yang luhur dan murni itu dapat dirasai dan dikecapi oleh
rakyat. Dalam konteks ini amalan dan implementasi akan diyakini oleh golongan
yang hendak dimanfaatkan. Jika program-program dapat dilaksanakan dengan telus
dan sempurna maka akan terbitlah keyakinan terhadap pemimpin dan kerajaan dan
kredibiliti pemerintah akan dapat ditingkatkan. Bila dapat diajukan dasar,
sasarannya dan maklumat dengan telus dan tepat maka susah untuk dimanipulasikan
oleh mana-mana pihak yang berkepentingan untuk memenuhi agenda mereka bagi
melahirkan persepsi negatif terhadap kerajaan. Persepsi negatif hanya boleh
dikalahkan dengan kebenaran. Tetapi jika kebenaran tersembunyi, akhirnya
pembohongan yang diulang-ulangkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab akan
diterima sebagai kebenaran.
Justeru, kejayaan dan kegagalan
kerajaan pada dewasa ini bergantung banyak kepada bagaimana pemimpin dan
jentera dianggap cekap dan autoratif dalam menengahkan kebenaran sebagai
realiti. Sekali gus pihak yang lain tidak dapat membentuk persepsi negatif
terhadap setiap dasar atau tindakan kerajaan. Kerajaan tidak boleh hanya
respons setelah sesuatu terjadi dan persepsi negatif telah diatur bentuk oleh
'Dr. Spin' pihak lawan. Apabila itu berlaku mereka akan mewarnakan kebenaran
melalui persepsi mereka. Begitu juga kerajaan tidak boleh membiar atau mengizinkan
manipulasi fakta oleh pihak lain dan kemudiannya kelam-kabut menyediakan
jawapan. Dasar pemerintah sebenarnya hendaklah diterjemah dan diimplimentasi
agar dapat dilihat sendiri manfaatnya oleh rakyat dan bukan sesuatu yang
dilaung-laungkan oleh kerajaan. Dalam hal ini kerajaan tidak boleh bersikap
defensif dan apologetik. Sudah banyak sentuhan yang dihulurkan melalui program
dan tindakan sama ada untuk jangka masa pendek ataupun panjang.
Media arus perdana dan alternatif
harus digunakan untuk melaporkan pencapaian sebenar program dan tindakan
tersebut, bukan hanya setakat untuk melaungkan persepsi transformasi. Pemimpin
pula perlu perihatin membicara menggunakan bahasa dan memahami kecenderungan
setiap peringkat masyarakat . Jika tidak, jurang realiti dan persepsi akan
dibentuk oleh orang lain dan akan merugikan pemerintah. Sekiranya ingin berjaya
dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, kerajaan perlu menangani pertarungan
persepsi ini dengan cara yang bijak dan berkesan. Persepsi yang pemimpin kerajaan
atau politik tidak bersih atau sombong atau hidup mewah atau susah untuk
ditemui perlu dapat diatasi melalui pendekatan yang sungguh mesra rakyat dan
terbuka dengan cara bertawaduk seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri. Pada
masa yang sama dari sekarang hingga PRU-13, insya-Allah masyarakat tidak
didedahkan dengan cerita-cerita skandal, salah laku sama ada bersifat jenayah
ataupun tidak, yang membangkitkan kemarahan dan keraguan rakyat atau
menyinggung sensitiviti mereka sehingga boleh menjejaskan sokongan dan minat
kepada kerajaan dalam PRU-13.
Seharusnyalah parti pemerintah dapat
mengatasi pihak pembangkang dengan memaparkan keupayaan, keikhlasan dan
ketelusan kerajaan. Sebenarnya pemerintahlah penterjemah dan pelaksana kepada
pembinaan satu negara bangsa berteraskan 1Malaysia untuk semua rakyat mengecapi
kemajuan dan kesejahteraan.
Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Isnin, 13 Ogos 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan