Rencana ini ditulis oleh :
Dr Anwar Ridhwan
Sasterawan Negara, dan
Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA
Iklan dalam bahasa Inggeris yang
semakin meluas di negara ini boleh memberikan gambaran serta persepsi salah
terhadap hubungan pekerjaan dengan bahasa berkenaan. Ia cuba memberi gambaran
serta persepsi bahawa bahasa Inggeris diperlukan dalam semua sektor pekerjaan.
Kalau anda tidak menguasainya, anda akan tertinggal, atau anda akan menganggur.
Tanpa menafikan kepentingan bahasa Inggeris dan bahasa lain sebagai sumber ilmu
dan ruang pekerjaan, masyarakat kita tidak seharusnya terlalu ditakut-takutkan
dengan bahasa berkenaan. Anak kita mempelajarinya secara formal selama 11 tahun
iaitu enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah.
Keupayaan penguasaan bahasa Inggeris mereka akan mencorakkan masa depan
masing-masing. Keupayaan mereka seharusnya tidak diragui jika pengajaran dan
pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah memperlihatkan keberkesanannya. Yang tidak ingin kita lihat ialah wujudnya
kelas pekerjaan berdasarkan perbezaan bahasa. Kita tidak akan selesa jika ada
yang beranggapan pekerjaan dalam lingkungan berbahasa Inggeris sebagai berada
dalam kelas pertama”
Kelas pekerjaan
Yang tidak ingin kita lihat ialah
wujudnya kelas pekerjaan berdasarkan perbezaan bahasa. Kita tidak akan selesa
jika ada yang beranggapan pekerjaan dalam lingkungan berbahasa Inggeris sebagai
berada dalam kelas pertama sementara yang lain berada dalam kelas kedua dan
sebagainya. Kemuliaan pekerjaan tidak diukur semata-mata dengan bahasa atau
pendapatan yang diperoleh. Tidak semua pelaburan yang dibawa masuk ke Malaysia
memerlukan pekerja yang menguasai bahasa Inggeris sebagai prasyarat. Sebagai
contoh, cuba kita lihat realiti pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia
kebelakangan ini, sebagai mana laporan Jabatan Perangkaan:
“Stok FDI di Malaysia meningkat
daripada RM129.1 bilion pada 2001 kepada RM312.5 bilion pada 2010, pertumbuhan
ketara sebanyak 142.1 peratus. Sementara tahun ke tahun, stok FDI meningkat
sebanyak RM42.3 bilion atau 15.7 peratus. Komponen modal ekuiti & perolehan
dilabur semula membentuk bahagian terbesar berjumlah RM293.7 bilion atau 94.0
peratus. Sektor pembuatan mengekalkan kedudukannya sebagai penerima stok FDI
tertinggi sebanyak 46.8 peratus, diikuti oleh sektor kewangan & insurans
23.1 peratus dan sektor perdagangan borong & runcit 8.2 peratus. Tiga
sumber utama FDI adalah dari Singapura, Jepun dan Amerika Syarikat (AS).”
Singapura dan Amerika Syarikat (AS)
dianggap sebagai pengguna bahasa Inggeris tetapi tidak Jepun. Itu tidak
menggambarkan kepentingan bahasa Inggeris di sektor swasta secara menyeluruh
kerana hanya 5 hingga 10 peratus eksekutifnya yang perlu menguasai bahasa
Inggeris terutama dalam beberapa syarikat Singapura dan AS yang beroperasi di
Malaysia. Sebahagian eksekutif di syarikat Jepun memang berkomunikasi dalam
bahasa Inggeris dengan atasan Jepun mereka tetapi ada juga eksekutif (Melayu
dan bukan Melayu yang terdidik di Jepun) berkomunikasi langsung dalam bahasa
Jepun dengan pegawai atasan Jepun mereka.
Dapatan Jabatan Perangkaan itu juga
menunjukkan sektor pembuatan menguasai 46.8 peratus stok FDI di mana bahasa
Inggeris diperlukan secara minimum atau tidak perlu sama sekali. Hanya di
sektor kewangan dan insurans yang menduduki tempat kedua (23.1 peratus), bahasa
Inggeris mungkin diperlukan, terutama oleh eksekutifnya tetapi hubungan dengan
klien Melayu, Cina dan India tidak semestinya dalam bahasa Inggeris. Di sektor
perdagangan borong dan runcit (8.2 peratus), bahasa Inggeris bukan bahasa
utamanya. Dapatan berkenaan boleh digunakan untuk mematahkan mitos keperluan
bahasa Inggeris di sektor swasta khususnya yang berkaitan dengan FDI.
Tahun lalu Perdana Menteri mengumumkan
wujudnya 10,000 peluang pekerjaan baru, dalam kerangka pelan transformasi
ekonomi, bernilai RM1.4 bilion. Adakah 10,000 kerja baru di sektor swasta amat
memerlukan penguasaan bahasa Inggeris? Dan jika diperlukan, bukankah pengalaman
pelajar Malaysia mempelajari bahasa Inggeris selama 11 tahun sudah mencukupi
untuk menceburi sektor swasta itu? Pada
masa sama kita mesti menanjakkan keupayaan bahasa Melayu dalam sektor ekonomi
dan perdagangan. Kita mesti membuktikan bahasa Melayu adalah bahasa ilmu
pengetahuan moden, dan sistem pendidikan kebangsaan kita terus penting untuk
era ini dan zaman akan datang.
Citra bahasa Melayu
Sehubungan itu, citra bahasa Melayu
dalam lapangan pekerjaan seharusnya lebih penting daripada bahasa Inggeris atau
sekurang-kurangnya setaraf dengan bahasa Inggeris. Untuk mencapai citra berkenaan bukan saja
diperlukan keberanian politik, malah perjuangan bersama kalangan profesional,
usahawan dan cendekiawan Melayu. Ketika kerajaan dan sektor awam tidak mungkin
menyerap jumlah tenaga kerja yang lebih besar, rakyat kini beralih kepada
majikan di sektor swasta. Di sektor swasta ini persepsi kononnya bahasa
Inggeris lebih utama daripada bahasa Melayu haruslah dikikis dan diketepikan.
Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Berita Harian
Selasa, 14 Ogos 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan