Rencana ini ditulis oleh :
MOHAMAD ABDULLAH
Timbalan Pendaftar Pejabat Naib
Canselor,
Universiti Sains Malaysia
Terdapat banyak kejadian yang dianggap
kecil tetapi apabila dilakukan atau tidak diambil peduli kerapkali mengundang
masalah, malah boleh membawa padah yang membuatkan kita menyesal sepanjang
hayat. Dalam kesibukan kita menjalani kehidupan ini, kerjaya mahu pun
perjuangan yang tertentu, kita kerap abaikan perkara-perkara yang dianggap
remeh, namun berpotensi untuk menjadi besar. Apabila memandu kereta baru,
berjenama hebat sesetengah orang cuba mengujinya di jalan raya dengan kelajuan
tinggi. Kita jangka kita cekap dan mampu mengawalnya apatah lagi kereta baru
yang canggih teknologinya dan mampu mengelak kerosakan, tetapi apabila
terbabas, kereta dan diri kita mungkin selamat, tetapi pengguna jalan raya lain
mungkin mendapat kesan dan akibatnya. Jalan raya akan sesak teruk dan padahnya
dirasai sama oleh orang lain.
Pada musim perayaan ini, kita memandu
dan tergesa-gesa untuk cepat sampai destinasi. Kita cuba mengambil jalan mudah
dengan teknik pemanduan yang kita sangka cekap dan hebat. Kita memotong di sana
sini tanpa mengira selekoh bahaya atau kesesakan, malah juga menggunakan laluan
kecemasan. Siapa tahu, yang akan tiba di destinasi kita hanyalah jenazah yang
terbujur kaku, tangisan sanak saudara pada pagi yang sepatutnya disambut
gembira dan bahagia dan juga menyebabkan kesesakan lebuh raya atau jalan raya
yang di luar jangkaan. Kita tidak pernah serik dengan pelbagai berita dan foto
ngeri kemalangan jalan raya, kecacatan dan pelbagai kerosakan kerana kita ambil
mudah. Betul, malang tidak berbau, tetapi jika kita yang mengundangnya, kita
hanya menyusahkan diri dan keluarga serta mereka yang menyayangi kita, tetapi
juga orang lain. Memandu dalam keadaan mengantuk, tidak sabar, berlumba, laju
yang keterlaluan, mengambil mudah dan mementingkan diri dan banyak lagi yang
kita lakukan yang sebenarnya mengundang padah buat diri sendiri dan orang lain.
Kita berlumba-lumba di jalan raya,
mengharungi segala susah payah dan tekanan perasaan untuk balik kampung bertemu
ibu bapa dan sanak saudara. Malangnya apabila tiba di kampung halaman
anak-anak, malah kita sendiri pun memberi lebih banyak masa melayan telefon
bimbit dengan pelbagai urusan dan media sosial, terperuk melayan pelbagai
tayangan menarik di televisyen dan pelbagai lagi, daripada benar-benar
mengambil masa dari kesempatan yang ada untuk mengukuhkan silaturrahim,
berkenalan dengan sanak saudara yang tidak pernah ditemui atau melayan karenah
ibu bapa yang telah tua dan ingin sedikit perhatian kita. Kita kata, kita
adalah masyarakat yang bersopan santun dan berbudi bahasa. Tetapi hari ini
anak-anak muda kita yang masih belajar di kolej dihukum mahkamah kerana memaki
hamun pihak berkuasa. Kita sendiri pun mencarut di mana sahaja termasuk di
dalam kereta yang terperangkap dalam kesesakan. Anak-anak memerhatikan kita dan
kitalah cerminannya.
Ramadan dan Syawal yang akan datang
dianggap bulan seribu sujud dan penuh kemuliaan, namun sikap dan kasih sayang
kita kepada orang lain jarang kita nilaikan. Kita terus memandang kecil hal-hal
yang merosakkan masa hadapan masyarakat dan negara. Kita tidak perduli nasib jiran
tetangga dan mereka yang memerlukan. Kita jarang melihat nasib mereka dalam
kalangan keluarga sendiri yang memerlukan bantuan dan sokongan. Kita lupa
saudara-saudara kita yang menghidap penyakit berbahaya termasuk HIV AIDS,
penagihan najis dadah dan lain-lainnya yang tersisih. Kita hina kesilapan
mereka dan keluarga mereka yang dilanda musibah jadi bahan umpatan dan
sesetengahnya jenazah pun enggan diuruskan. Lalu apabila orang lain yang datang
hulurkan bantuan dan sokongan, terutamanya dari kumpulan agama lain, kita marah
dan lihat dengan prasangka. Kita bercerita pula tentang hal-hal yang boleh
menggugat keselamatan negara dan keharmonian sesama rakyat yang ada. Kita adu
domba dan menyalahkan sesiapa sahaja termasuk kerajaan dan pihak berkuasa. Kita
lupa melihat tanggungjawab dan amanah yang dipikul bersama, yang harus bermula
dari diri sendiri malah juga institusi agama kita.
Demikian juga apabila kita melihat
hal-hal yang tidak bermoral yang berlaku di sekitar kita. Orang yang menari
separuh bogel di tiang. Orang menganjur pesta arak dan separuh bogel di tepi
kolam renang hotel. Mereka yang mengadakan pelbagai perkara yang amat
menjengkelkan. Jenayah yang melibatkan anak-anak yang tidak tahu apa-apa. Kita
anggap itu hanyalah tanggungjawab kerajaan dan pemimpin tertentu. Kita tuding
jari dan riuh-rendahkan pelbagai perkara dengan tujuan untuk mengatakan pihak
berkuasa tidak mengambil tindakan apa-apa. Kita salahkan polis dan pihak
berkuasa. Kita seolah-olah tidak ada tanggungjawab. Seolah-olah tugas kita
hanya pandai mengkritik. Tanggungjawab kita hanya menuding jari. Ini
termasuklah dalam kalangan orang yang mahir agama yang sepatutnya turut
memimpin dan membawa jalan penyelesaian terbaik. Menyatu padukan ummah dan
mengajak untuk melakukan kebaikan secara realistik, bukan hanya berceramah atas
pentas dan berkempen untuk tujuan tertentu.
Apabila soal-soal kebajikan dan
kesejahteraan masyarakat pun dijadikan bahan untuk menuding jari, maka tidak
hairanlah apabila orang menghina hukum dan perkara-perkara agama pun kita boleh
kita bertoleransi. Kita kata pula yang hukum agama boleh berubah mengikut masa.
Kita tafsir mengikut keperluan yang ada, kononnya untuk kemashalatan yang lebih
besar. Kemashlahatan siapa? Kemashlahatan masyarakat atau pihak dan individu
tertentu? Kita banyak bercakap tentang moral, etika dan agama. Kita marah
kerana ada pemimpin tertentu yang diangkat sebagai tokoh dan pemimpin, yang
dituduh dan dicari segala alasan dan bukti untuk mengatakan tidak bermoral,
korupsi dan pelbagai keburukan lagi. Tetapi bila pihak kita dituduh menjulang
pemimpin tidak bermoral, kita bela mati-matian. Jika sekali atau dua kali
bolehlah agaknya dianggap fitnah dan sengaja diada-adakan, tetapi jika
berkali-kali, kita masih lagi menganggap bersih dan hebat, walau pun sanggup
menjual nama baik agama, bangsa dan tanah air sendiri di luar negara.
Malah jika orang yang kita anggap
'baik' dan 'bermoral' melakukan tindakan bertentangan dengan nilai dan norma
yang ada, kita anggap itu fitnah dan sengaja direka. Jika orang lain yang buat
dan dianggap bukan dalam kem sendiri, cepat sahaja melenting dan diminta ambil
tindakan segera, tubuh suruhanjaya siasatan dan pelbagai lagi. Banyak lagi
hal-hal lain yang kita bersikap talam dua muka dan double-standard. Kita anggap
remeh dan kecil, walau pun yang menyentuh akidah dan kepercayaan agama kita
sendiri. Contoh terdekat ialah apabila dikatakan hukum agama boleh berubah
mengikut keadaan. Siapa yang menentukan keadaan itu? Atau pun kita pejam mata
sebelah apabila terang-terang 'sahabat' kita menentang hukum Islam dan negara
Islam yang kita canangkan. Apatah lagi apabila ada individu tidak bermoral yang
memperjuangkan kebebasan yang selari dengan apa yang kita percayai, terus
sahaja menerimanya sebagai pemimpin besar, apatah lagi apabila diiktiraf pula
oleh negara tertentu yang mempunyai agenda yang sama dan selalu tidak senang
melihat pencapaian dan kemajuan negara. Mereka ini walau pun terang-terang
perjuangkan sesuatu yang bertentangan dengan agama, tetap disokong, digenggam
erat tanggannya malah kalau boleh dipeluk, asalkan dapat jatuhkan orang lain
yang dianggap lawan.
Demikian, banyaknya hal-hal kecil dan
remeh tetapi beri kesan besar terhadap kedaulatan, keselamatan masyarakat dan
keharmonian negara yang kita sayangi. Perkara-perkara kecil yang boleh
bersemarak sehingga merosakkan tamadun umat, kematian dan kesusahan bukan
sahaja kepada individu malah juga kepada masyarakat seluruhnya. Pada Ramadan
ini, sambutan Hari Raya Aidilfitri dan nantinya Hari Ulang Tahun Kemerdekaan
Ke-55, wajar kita membuat muhasabah, senaraikan lagi, betapa banyaknya perkara
kecil yang sewajarnya diambil tindakan awal kerana ia seperti barah dan
penyakit kronik yang jika tidak ditangani awal, akan menyebabkan kesusahan dan
kehancuran.
Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Isnin, 13 Ogos 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan