22 Ogos 2012

ISU PENDIDIKAN : CABARAN MENGURUS PENGAJIAN TINGGI


Rencana ini ditulis oleh :
PROF DATUK DR. OMAR OSMAN
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia


Mengurus pengajian tinggi pada abad kedua puluh satu memerlukan kesepaduan tindakan dalam kalangan pengurus dan pentadbir akademik, para akademia dan siswa-siswi sebagai satu komponen utama yang ada di universiti, di samping mengiktiraf bakat di universiti sebagai tonggak kritikal institusi. Universiti perlu terus hidup dalam dunia ilmu yang berkembang tanpa melupakan acuan tersendiri sebuah negara bangsa dan memastikan kampus universiti terus bersemarak dengan aktiviti keilmuan dan wacana-wacana yang berupaya memajukan pemikiran dan perdebatan ilmu. Kepelbagaian dalam pemikiran dan disiplin ilmu sejak dahulu, menjadikan universiti begitu rencam, bukan hanya kerana manusia dan bakat yang ada adalah pelbagai, tetapi juga pemegang-pemegang taruh yang memberikan harapan besar dalam membentuk masa depan negara dan sumber manusianya, memperkasakan siswa-siswi dengan ilmu dan sahsiah diri serta pada masa yang sama menjadikan universiti sebagai institusi ilmu yang berupaya melakukan perubahan terhadap masa hadapan negara dan bangsa sebagai sebahagian daripada komuniti dunia.

Selain daripada itu, universiti perlu seimbangkan antara idealisme ilmu yang sering menjadi pegangan para akademia serta penting kepada pemajuan kritikal minda dengan realiti kehidupan masyarakat, bersikap realistik dan mampu memindahkan ilmu kepada masyarakat yang memerlukan pemboleh ubah perubahan. Malah terminologi libatsama masyarakat atau community engagement menjadi satu perkara utama pada masa ini bagi memastikan universiti sentiasa relevan dengan kehendak dan keperluan negara. Bukan sahaja masyarakat, malah industri yang menjadi pemain besar dalam ekonomi negara dan dunia perlu dilibat sama sebagai sebahagian daripada proses keilmuan universiti. Di samping modaliti libat sama masyarakat dianggap penting untuk pemindahan ilmu kepada masyarakat, penerokaan modaliti baru untuk perpindahan juga perlu di terokai. Contohnya memindahkan kepada masyarakat melalui industri atau institusi dalam komuniti seperti koperasi dan pertubuhan sukarela lain yang bergerak sama untuk perubahan masyarakat.

Selain melihat kepada kaedah dan metodologi perpindahan ilmu, isu asal tujuan universiti pula timbul. Timbul persoalan dan keraguan, adakah universiti makin lari daripada prinsip asas keilmuannya dalam proses penjanaan dan pemerkasaan ilmu sesuai dengan universaliti atau kesejagatan yang perlu dipertahankannya, usaha mentransformasikan kehidupan masyarakat melalui ilmu dan sebagainya sedangkan pada masa yang sama perlu pula melihat sisi lain ilmu untuk aplikasi secara langsung, apatah lagi berdikari dalam mencari dana untuk menampung kos yang makin meningkat naik. Hakikatnya ialah universiti bukan lagi menara gading yang terpisah dan terasing yang begitu sukar untuk didekati, sebaliknya perlu diubah menjadi menara ilmu yang mencambah mekarkan proses mencari kebenaran dalam pelbagai disiplin ilmu dan mengembang serta memajukannya dalam konteks keilmuan.

Universiti dan pengajian tinggi perlu dipertahankan prinsip asas peranannya dalam mempertahankan kekuatan ilmunya, namun pada masa yang sama komuniti pengajian tinggi perlu sedar dan memahami bahawa kedua-dua proses keilmuan dalam konteks pembangunan ilmu dan libat sama masyarakat mahu pun industri perlu berjalan seiring kerana sifatnya bukanlah statik tetapi dinamik seiring dengan perubahan masa. Asasnya ilmu perlu dipindahkan kepada masyarakat walau apa pun modalitinya. Di sini jugalah timbul cabaran untuk pengurus dan pentadbir universiti agar lebih kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tanggungjawabnya dan berdaya saing dalam konteks global. Malah bagaimana universiti dan pengajian tinggi perlu meneruskan tradisi memimpin bukan sekadar dipimpin dan memastikannya terus relevan dalam menangani dan menghadapi arus perubahan global.

Universiti-universiti kita juga bergerak bersama sebagai satu pasukan yang berwibawa dan dihormati, berintegriti tinggi dan disegani, bersedia dengan idea dan pemikiran baru yang segar malah juga meneroka penemuan-penemuan baru bagi menghadapi kecanggihan teknologi yang ada secara bersama atas nama negara, walau pun boleh bersaing dalam konteks tempatan dalam hal-hal yang tertentu. Ini bermakna kita bergerak sama ke puncak, saling membantu dalam pelbagai bidang kekuatan dan kepakaran atas nama satu negara. Sama seperti satu pasukan yang melakukan kayuhan ke puncak, ia perlu persediaan rapi. Orang yang mengayuh perlukan persediaan minda, fizikal dan mental, manakala basikal yang dikayuh harus dalam keadaan yang sempurna dengan mereka yang mempunyai kepakaran bersedia membantu jika ada masalah ketika kayuhan dan dalam perjalanan.

Pasukan sokongan sangat penting untuk pastikan tidak ada yang tertinggal atau ditinggalkan. Malah, apabila berada di puncak pula, perlu bersyukur dan jangan cuba menjadi wira tunggal dan berlagak hebat kerana dalam masa sedetik, kita boleh terhumban seorang. Sama ada pengajian tinggi dalam konteks sebuah universiti mahu pun sebuah negara pengalaman berkayuh ke puncak dalam satu pasukan ini penting untuk dihayati. Pengajian tinggi negara dan universiti kita tidak boleh lagi bergerak berseorangan secara silo’ tetapi berkongsi kepakaran antara disiplin yang ada untuk saling mengukuhkan antara satu sama lain. Kepimpinan universiti perlu bersatu hati dalam menentukan arah tujunya pada masa hadapan. Pertanyaan seorang profesor dalam satu bengkel yang diadakan baru-baru ini, adakah kita “syok sendiri“dengan ilmu kita atau benar-benar memenuhi keperluan masyarakat, pemegang taruh dan juga siswa-siswi yang ada, adalah pernyataan jujur dalam memastikan universiti dan pengajian tinggi negara berada pada landasan yang sewajarnya.

Ini bukan bemakna kita menidakkan sumbangan besar universiti selama ini, namun kita perlu menilai dan menetapkan arah sebenarnya pada masa hadapan. Universiti dan pengajian tinggi tidak terkecuali dari akauntabiliti, sama seperti kedudukannya apabila autonomi yang menjadi kata magis pengajian tinggi diberi kepada universiti oleh kerajaan. Autonomi adalah satu keperluan dan kemestian dalam mempertahanan kebebasan akademia yang menjadi perjuangan pelbagai pihak apabila menyentuh tentang kredibiliti universiti. Namun kita perlu sedar, kebergantungan kepada dana awam menyebabkan agak sukar autonomi sebenar dinikmati sepenuhnya walau pun kebebasan membuat keputusan terhadap beberapa perkara asas sudah banyak diberi. Begitu juga dengan ekosistem lain dalam penyelidikan dan inovasi mahu pun akademik yang telah sedia ada untuk dilakukan penambahbaikan dan keberhasilan yang dapat memperkasakan proses keilmuan dan penyampaian.

Perkara utama sekarang ialah bagaimana untuk pengurus dan pentadbir universiti dan pengajian tinggi dapat menggunakan segala sumber yang ada dengan kreatif dan inovatif untuk terus melakukan perubahan, menjadi pemimpin ilmu dan pemimpin perubahan, berdaya saing, berupaya mempertahan dan menjadikan universiti benar-benar menara ilmu, berintegriti tinggi, siswa-siswi yang passionate kepada ilmu dan pada masa yang sama mengeluarkan siswazah yang mampu berfikir dan melakukan perubahan dengan menggunakan ilmunya sekaligus mendorong libat sama semua pihak termasuk industri dan masyarakat bagi menggalas hasrat yang sama. Pengajian tinggi juga memerlukan perubahan terhadap sistem dan proses pengajaran dan pembelajaran, arah tuju penyelidikan dan inovasi serta bagaimana universiti meletak kedudukannya agar terus relevan dalam agenda pembangunan nasional, masyarakat, industri dan penerokaan di peringkat dunia dan antarabangsa. Juga bagaimana untuk kita melihat sumber sedia ada yang boleh digemblengkan seramai mungkin di dalam insitusi dan di luar institusi serta dalam kalangan pemegang taruh. Sinergi kesemua elemen yang ada amat penting dalam menghadapi cabaran yang ada pada masa hadapan.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
22 Ogos 2012

21 Ogos 2012

ISU UMUM : MEMBINA JATI DIRI SUMBER MANUSIA HINGGA 60 TAHUN


Rencana ini ditulis oleh :
AMIR TAN


Apabila seorang pekerja mencecah tanda aras untuk bersara, iaitu berusia 55 tahun atau 60 tahun, pastinya mereka diselubungi oleh perasaan tidak tenteram berkaitan masa depan dalam kehidupannya sebagai seseorang insan. Persoalan yang bersarang dalam benak mereka adalah mungkinkah mampu bertahan menempuh kehidupan tanpa pekerjaan dan pendapatan tetap dari gaji bulanan? Kegusaran ini menjadi lebih serius sekiranya ketika itu terdapat penyakit kronik menyerang dirinya. Ini adalah fenomena biasa dalam dunia pekerjaan. Ia mesti dilalui oleh penjawat awam mahupun swasta tanpa mengambil kira pangkat atau kedudukannya semasa bekerja. Bersara atau berhenti kerja suatu pengalaman yang tidak terkecuali oleh sesiapapun. Ia adalah suatu realiti.

Bagi penjawat awam, kehidupan yang akan tempuhi mereka jauh berbeza dibandingkan dengan pekerja swasta. Mereka ini dilindungi skim pencen yang ditetapkan oleh kerajaan. Kadar pencen yang diperoleh mengikut jumlah gaji yang diterima ketika bersara. Jikalau besar, maka besar jumlahnya dan begitu sebaliknya. Sementara itu, pekerja swasta memperoleh sejumlah wang yang tersimpan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Sekiranya gaji bulanannya besar, maka simpanan dalam KWSP besar juga jumlahnya. Tetapi malang, dalam tinjauan rambang majoriti mereka hanya mampu bertahan lima atau sepuluh tahun sahaja. Selepas tempoh itu wang di tangan menjadi kosong dan penghidupan menjadi tertekan.

Berdasarkan fakta tersebut, maka suatu usaha yang serius perlu dilakukan supaya penghidupan pekerja swasta selepas bersara selamat dan selesa. Langkah melanjutkan tempoh bekerja sehingga usia 60 tahun sepatutnya menjadi kenyataan dan dapat dinikmati golongan pekerja swasta. Ia wajar dilaksanakan segera. Bagaimanapun, tempoh bekerja yang dilanjutkan dari usia 55 tahun kepada 60 tahun perlu diisi dengan skim-skim atau faedah perkhidmatan lain supaya mereka mampu meneruskan penghidupan yang baik dan sempurna selepas berada di luar dunia pekerjaan. Kementerian Sumber Manusia sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap kesejahteraan hidup kaum pekerja sewajarnya mewajibkan majikan memberi peluang kepada pekerja masing-masing mengikuti latihan separa profesional teknikal sebagai menambah nilai sumber manusia selepas bersara. Latihan-latihan itu perlu digabung dengan persediaan mental supaya jati diri mereka tidak mudah mengalah apabila berhadapan dengan cabaran hidup di luar dunia pekerjaan.

Sebagai usaha tokok nilai tambah terhadap skim-skim latihan, Kementerian Sumber Manusia juga perlu membentuk sebuah tabung berpusat dengan kerjasama Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) untuk membantu pesara swasta menampung kos rawatan perubatan dan pendidikan anak-anak pesara. Tabung berpusat ini mesti dikeluarkan dari geran awal kerajaan, MEF dan caruman para pekerja secara sama rata untuk menambah dana tabung berpusat berkenaan. Tabung berpusat ini mesti ditadbir urus oleh sebuah Lembaga yang terdiri daripada mereka yang berwibawa dan telus. Campur tangan politik terhadap tabung berpusat ini pula adalah paling minimum atau tiada langsung. Ciri-ciri ini dikira dapat menjamin tiada penyelewengan dan keyakinan golongan pekerja swasta terhadap tabung berpusat itu kukuh dan mereka terus memberikan caruman atau sumbangan.

KWSP yang selama ini menjadi kumpulan simpanan wang pekerja juga perlu mengambil langkah proaktif dengan menggubal Akta atau Peraturan membenar pesara mengeluarkan hanya 80 peratus sahaja daripada simpanan mereka. Baki 20 peratus disimpan oleh KWSP sebagai modal pelaburan pesara dan menikmati dividen yang diurus tadbir atau dilabur oleh KWSP. Walaupun pulangan dividen mungkin kecil, tetapi dapat menampung sebahagian kecil dari keperluan hidup pesara ia dikira sudah memadai. Kesejahteraan hidup pekerja, sama ada di sektor awam mahupun swasta bukan tergantung kepada kerajaan atau mana-mana badan yang ditubuhkan oleh kerajaan. Ia seharusnya bermula dari pekerja atau pesara itu sendiri. Justeru pekerja yang akan bersara mesti melihat ke dalam diri masing-masing sebelum realiti dunia persaraan terjadi. Setiap pekerja mesti mampu menilai keupayaan, bakat dan keistimewaan diri masing-masing. Apabila dikenal pasti, ciri-ciri itu mesti dipupuk supaya subur menjadi nilai tokok tambah jati diri. Dengan demikian, mereka mudah menempuh cabaran di dunia luar pekerjaan asal.

Sementara menunggu tiba tahun persaraan, seorang pekerja juga boleh mengintai-intai peluang pekerjaan baru dan berlainan supaya suasana baru boleh membentuk jati dirinya menjadi insan yang berkualiti menerusi iltizam yang tinggi. Semua ciri-ciri pembentukan diri yang tercatat bukanlah mudah dicapai. Tetapi sebagai pesara ataupun bakal pesara, mereka tiada pilihan untuk memacu penghidupan yang baik dalam dunia persaraan, melainkan berusaha membentuk jati diri sebagai insan yang berkualiti. Kualiti diri itulah dikatakan aset sumber manusia yang berharga. Persoalan yang timbul kini adakah dalam pasaran tenaga kerja kita memiliki jati diri yang berkualiti? Mungkinkah yang terdapat sekarang hanya kecil sahaja bilangannya, sementara bakinya terdiri dari mereka yang tercari-cari jati diri atau meraba-raba arah tujunya?

Mengambil kira senario dunia pekerjaan kini, ternyata Kementerian Sumber Manusia, MEF dan majikan belum dapat membentuk jati diri sumber manusia yang dikehendaki. Semua pihak yang terlibat masih mengharapkan penglibatan kerajaan walaupun mereka sedar penglibatan swasta dan pekerja sangat penting. Sikap seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana kerajaan hanya agensi penggerak, manakala pekerja sebenarnya menjadi pemangkin kepada pembentukan sumber manusia. Dengan komitmen kerajaan untuk melanjutkan tempoh bekerja sehingga usia 60 tahun di sektor swasta, ia menjadi pendorong supaya pekerja lebih komited dengan tanggungjawab masing-masing sebagai sumber manusia yang berkualiti. Namun, langkah itu bukanlah sesuatu yang muktamad untuk menyelesaikan kebimbangan pekerja swasta berhadapan dengan dunia persaraan mereka.

Formula itu hanya permulaan yang baik ke arah merungkai runtunan jiwa pekerja swasta. Bertitik tolak dari sini diharapkan lebih banyak lagi usaha positif dilakukan dan seterusnya mendorong pekerja swasta fokus serta produktif dengan pekerjaan mereka tanpa mengambil kira apa jua bidang profesion mereka. Bagi kaum pekerja, mereka tidak boleh menafikan sebahagian besar dari usaha Kementerian Sumber Manusia memanfaatkan penghidupan mereka sudah semakin menguntungkan. Sebagai sebahagian dari komponen pembangunan negara, sudah semestinya mereka perlu sentiasa produktif dari semasa ke semasa. Justeru mereka perlu memanfaatkan tempoh pekerjaan sehingga menjelang usia emas 60 tahun dan tempoh persaraan selepas itu. Inilah yang dikatakan insan yang memiliki jati diri tinggi terhadap diri dan dunia pekerjaannya.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
21 Ogos 2012

ISU PERPADUAN : SYUKURI NIKMAT PERPADUAN


Rencana ini ditulis oleh :
MOHD. AYOP ABD. RAZID
Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan.


Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein ketika merasmikan Kongres Kebangsaan Kebudayaan di Universiti Malaya pada 16 Ogos 1971 menyebut: "Kita hendaklah sentiasa berpandu kepada cita-cita membentuk satu negara di mana rakyatnya dari pelbagai kaum dan golongan dapat dijalin dalam satu ikatan yang padu". Mesej ucapan tersebut cukup jelas, iaitu perpaduan. Sejak era Tunku Abdul Rahman hinggalah kepada Perdana Menteri yang ada pada hari ini, persoalan mengenai perpaduan tetap menjadi tajuk utama yang ditekankan untuk membina negara yang kukuh dan bersatu padu. Hakikatnya, perpaduan amat penting yang menjadi pra-syarat kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup masyarakat majmuk di Malaysia. Justeru, usaha membina dan memelihara perpaduan sentiasa menjadi agenda utama dalam mengemudi negara ini. Bertitik tolak dari kepentingan perpaduan inilah maka strategi dan usaha menyatukan rakyat Malaysia dilaksanakan melalui Dasar Perpaduan Nasional (DPN).

Tujuan utama DPN adalah menjadikan masyarakat Malaysia sebagai satu keseluruhan atau kesatuan yang padu dan kukuh melalui pemupukan semangat kecintaan (patriotisme) terhadap negara. Memahami dan menyedari betapa pentingnya perpaduan maka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapannya pada Majlis Malam Penghargaan Media Massa UMNO 2009 di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC pada 12 Disember 2009 mengingatkan bahawa sekiranya perpaduan semakin menipis dan terhakis maka akan terserlah 'defisit moral' dan 'defisit empati' dalam masyarakat. Dalam ucapannya itu, Najib meletakkan nilai empati sebagai unsur penting yang harus diterapkan dan disuburkan dalam kalangan generasi muda supaya mereka menjadi generasi yang mengambil berat terhadap orang lain. Lebih jauh lagi, Najib menyebut bahawa atas rasa empati inilah maka kerajaan pimpinannya bertanggungjawab untuk memikul moral mission untuk melindungi rakyat, memberi peranan dan tanggungjawab pada rakyat dan meluhurkan etika kecemerlangan di kalangan rakyat.

Persoalan mengenai 'empati' seperti yang disebut Najib itu selari dengan pandangan B.Bery, sarjana sosiologi. Dalam bukunya Race and Etnic Relationship (1965), Bery menyatakan dalam masyarakat majmuk sikap empati yang tinggi amat didambakan bagi membina interaksi yang harmoni dan aman. Menyedari hakikat itulah maka Najib dalam ucapannya itu menyebut landasan demokrasi yang diamalkan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah berlandaskan konsep empati, keprihatinan terhadap rakyat dan bertindak secara bertanggungjawab. Najib juga menyebut bahawa prinsip kebebasan, keseimbangan dan keadilan sentiasa ditekankan kerajaan supaya hak untuk hidup di negara ini tidak dimonopoli sesuatu kaum. Sikap terlalu memusat dan mengagungkan bangsa sendiri (etnosentrisme) akan membawa kepada pemisahan dan ketegangan etnik yang tidak menguntungkan sesiapa. Sebaliknya ia boleh melemahkan solidariti masyarakat. Setiap rakyat harus membuka ruang dan perkongsian hidup serta tidak menyentuh perkara-perkara sensitif seperti yang digariskan dalam Perlembagaan negara.

Perasaan syak wasangka tidak akan wujud sekiranya semua pihak bertindak dan bersuara mengikut lunas-lunas Perlembagaan negara. Justeru, amat tidak wajar ada suara-suara yang cuba membangkitkan isu-isu sensitif seperti mempertikai hak istimewa orang Melayu, tuntutan untuk menjadikan bahasa lain sebagai bahasa rasmi pendidikan dan sebagainya. Hakikat yang harus diakui ialah semua kaum di negara ini menikmati pelbagai kebebasan sepanjang 55 tahun pentadbiran kerajaan BN. Proses dan perjalanan sejarah negara ini jelas membukti dan memberikan gambaran bahawa rakyat berbilang kaum hidup saling menghormati, memahami dan bertolak ansur antara satu sama lain. Paras toleransi yang tinggi antara kaum yang diterjemahkan melalui 'politik kompromi' atau 'politik permuafakatan' BN menyebabkan kita kekal menikmati keharmonian dan perpaduan hidup. Sejarah mampu membicarakan secara menyeluruh, objektif dan empirikal tentang fakta ini.

Contohnya, sekolah-sekolah Cina diizinkan beroperasi di negara ini selagi ia mematuhi undang-undang negara. Sekolah-sekolah Cina inilah yang menjadi saluran pemupukan budaya kecinaan, khususnya dalam memelihara bahasa dan budaya mereka. Kerajaan yang ditunjangi UMNO tidak pernah menyekatnya. Orang Cina juga bebas dan paling banyak menubuhkan persatuan-persatuan mereka. Persatuan-persatuan mereka ini lebih mengutamakan usaha menyalurkan bantuan kepada masyarakat mereka sendiri. Kaum Cina di negara ini juga kekal menguasai ekonomi, di samping terlibat aktif dalam politik negara. 'Ketuanan ekonomi' mereka amat terserlah, malah disebabkan penguasaan ekonomi inilah menjadikan kebanyakan bandar-bandar utama di negara ini seolah-olah mengalami proses 'pencinaan'.

Kesimpulannya, sempena menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-55 ini maka seluruh pemimpin sama ada dari parti kerajaan dan pembangkang serta rakyat jelata mensyukuri nikmat perpaduan yang dikecapi selama ini. Semua pihak mesti berusaha memelihara perpaduan dan keharmonian hidup dengan menghormati fasal-fasal yang termaktub dalam perlembagaan berhubung perkara-perkara sensitif yang dilarang untuk disentuh kerana ia boleh mengundang ketegangan kaum. Hayatilah kata-kata Najib ini: "Hanya melalui kekuatan 'roh perpaduan' dapat kita lahirkan semangat patriotisme dan jiwa besar rakyat merdeka, sedang teras patriotisme pula adalah rasa keprihatinan mendalam di antara sesama warga negara".

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
21 Ogos 2012

ISU SOSIAL : SATUKAN KELUARGA MALAYSIA MELALUI HORMAT-MENGHORMATI


Rencana ini ditulis oleh :
ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) dan
Felo Penyelidik, Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan (IMBRe) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia.


Tiada siapa yang mampu menyatakan dengan hujah-hujah jelas bahawa Malaysia telah mengamalkan diskriminasi kaum. Walaupun ada yang memomokkan negara kita melaksanakan dasar yang seolah-olah mengamalkan diskriminasi kaum minoriti, namun bukti jelas menunjukkan sesiapa sahaja yang bergelar warganegara Malaysia telah mendapatkan keadilan saksama. Setiap rakyat Malaysia dijaga kebajikannya. Yang miskin dibantu, yang kaya pula sentiasa diberi peluang untuk menambah kekayaan. Dasar afirmatif Malaysia tidak pernah merugikan sesiapa. Yang membezakan Malaysia dan negara lain adalah penduduk majoriti Malaysia adalah golongan yang perlu dibantu. Kebanyakan mereka adalah golongan susah berbanding penduduk minoriti Malaysia. Mungkin ada yang akan menyamakan dasar sedia ada seolah-olah dasar Apartheid, namun kalau kita lihat dan teliti secara mendalam, dasar itu telah meminggirkan golongan majoriti yang serba miskin di Afrika Selatan suatu ketika dahulu. Golongan minoriti menindas golongan majoriti melalui dasar Aparteid. Di Malaysia, golongan majoriti tidak pernah menindas golongan minoriti, malahan golongan minoritilah yang menguasai kekayaan ekonomi berbanding golongan majoriti.

Meskipun kuasa politik berada di tangan golongan majoriti, golongan minoriti diberi peluang seluas-luasnya untuk memperkasakan kaum masing-masing. Sebagai contoh, mana ada negara di dunia ini yang mengamalkan sistem pendidikan vernakular kecuali di Malaysia? Sebab itulah kita lihat, saban hari generasi muda Malaysia semakin terpisah mengikut kaum. Di negara-negara lain, mereka mengetahui implikasi besar terhadap negara dengan mengamalkan dasar sistem pendidikan vernakular, iaitu generasi muda yang berbilang kaum apabila dewasa nanti tidak akan mengenali satu sama lain. Jika tidak dicegah dari awal boleh membawa bencana kepada negara. Perpaduan rakyat bagi sesebuah negara banyak bergantung pada sistem pendidikan. Anak-anak muda yang berbilang kaum wajar dididik di bawah satu bumbung agar memahami antara satu sama lain. Mana mungkin mereka ini memahami satu sama lain, jika tidak pernah bercakap sesama sendiri. Maka, sesuatu yang tidak mengejutkan apabila terdapat generasi muda yang tidak boleh bertutur dan menulis bahasa Melayu. Bayangkan, jika masalah bahasa pun tidak boleh diatasi, bagaimana mungkin untuk mengenali satu sama lain secara mendalam?

Dua perkara ini iaitu sistem pendidikan sekolah kebangsaan dan bahasa Melayu perlu diperkasakan oleh kerajaan. Tindakan perlu dilakukan dengan tegas tanpa ragu-ragu. Kerajaan perlu melihat kesan positif dalam jangka masa panjang. Sebagai negara berbilang kaum, Malaysia memerlukan satu sistem pendidikan yang membolehkan semua kaum bergaul sesama sendiri. Perkasakan sistem pendidikan sekolah kebangsaan terlebih dahulu berbanding sistem pendidikan vernakular kerana ia merupakan keutamaan tertinggi. Begitu juga, bahasa Melayu wajar dimartabatkan dalam semua aspek kehidupan rakyat Malaysia. Kepada ahli-ahli politik dan ahli-ahli perniagaan usahlah malu untuk bercakap dalam bahasa Melayu. Negara tidak akan rugi jika sekiranya bahasa Melayu dimartabatkan dalam semua aspek kehidupan. Malahan, orang asing akan menyanjung tinggi Malaysia kerana mementingkan bahasa sendiri berbanding bahasa asing. Banyak negara yang lebih maju di Malaysia seperti Perancis, Jepun dan Jerman tidak ragu-ragu memartabatkan bahasa mereka.

Kenapa kita sendiri luntur kewibawaan dalam memperkasakan bahasa Melayu? Di manakah jati diri kita? Malang sekali kerana bahasa Melayu merupakan bahasa yang cukup hebat di dunia, tetapi kita sendiri lebih berasa bangga bercakap dalam bahasa asing di tanah air sendiri. Tidakkah kita sedar, bahasa juga memainkan peranan yang cukup penting dalam perpaduan rakyat dan juga dalam memajukan ekonomi negara? Selain dasar sistem pendidikan sekolah kebangsaan dan memartabatkan bahasa Melayu, rakyat Malaysia juga perlu belajar menerima satu sama lain. Sebelum ini, kita lebih bertoleransi satu sama lain tetapi untuk memastikan keutuhan perpaduan rakyat Malaysia, penerimaan adalah tunjang kepada perpaduan kaum. Sebagaimana sebuah keluarga, masing-masing menerima satu sama lain. Mustahil keluarga tersebut bersatu dan hidup harmoni sekiranya tidak dapat menerima satu sama lain. Baik adik beradik mahupun ibu bapa, keluarga yang bahagia akan tergambarlah suasana keceriaan, bertimbang rasa dan saling hormat menghormati satu sama lain serta mengetahui hak masing-masing.

Mereka tidak akan mengambil hak orang lain kerana dipupuk untuk menerima hak masing-masing tanpa menyentuh hak yang lain. Masing-masing menjaga perasaan lain agar hati dan perasaan tidak terguris sama sekali. Penerimaan sebeginilah yang patut diamalkan oleh rakyat Malaysia agar sentiasa bersatu. Sebagai satu keluarga besar, rakyat Malaysia hanya boleh disatukan secara menyeluruh kalau masing-masing menerima satu sama lain. Jangan terlalu tamak untuk mengambil hak orang lain, kononnya itu hak kita. Kita juga yang akan berasa kurang selesa, jika sekiranya orang lain pula mengambil hak kita. Justeru, belajarlah menerima satu sama lain dan asasnya telah ditunjukkan oleh nenek moyang kita sejak merdeka lagi. Mereka sebenarnya telah banyak membantu memikirkan masa depan kita. Itulah sumbangan terbesar mereka kepada kita untuk memastikan zuriat mereka bersatu padu setiap masa dalam sebuah keluarga yang besar.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
21 Ogos 2012

20 Ogos 2012

JADIKAN MOTIVASI : DARI BAU KE KOTA LONDON


Rencana ini ditulis oleh :
ZAAIN ZIN

Hampir separuh pendapatan saya sebagai buruh kasar digunakan semata-mata untuk membeli baju renang mereka 
- Pamg Joheng


Perjalanan menaiki kapal terbang dari tanah air ke Kota London dianggarkan mengambil masa kira-kira 13 jam. Berkurung lebih separuh hari di dalam pesawat yang terbang pada ketinggian mencecah 10,000 meter di udara, sesiapa pun pasti berasa letih, lesu dan lenguh-lenguh sendi di seluruh badan. Bayangkan pula ‘perjalanan’ selama bertahun-tahun yang perlu ditempuhi seorang anak Bidayuh kelahiran Bau, Sarawak seawal usia lapan tahun untuk menjadi ratu terjun yang kita kenal hari ini - Pandelela Rinong Pamg. Kecewa, marah, gembira, sakit, gementar, penat, jemu serta segala macam jerih-perih perlu diharungi sewaktu menjalani latihan keras lapan jam sehari. Itu bayaran yang membolehkan beliau menjejakkan kaki ke Kota London. Bukan calang-calang orang yang mampu melepasi ranjau sebegitu satu-persatu untuk muncul sebagai atlet terjun tersohor serta memiliki reputasi tersendiri.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika bertandang ke Kuching, mengakui kagum dengan Pandelela yang disifatkan bersemangat waja dan kecemerlangan itu perlu diteladani sesiapa sahaja. Kita tengok dalam televisyen, penampilannya hanya sekejap, dalam beberapa saat sahaja dia terjun. Tetapi untuk sampai ke tahap kecekapan itu memerlukan kita bekerja kuat," katanya. Dibesarkan di Bau, sebuah daerah kecil yang langsung tidak memiliki kolam renang awam, ibu bapanya sendiri tidak menyangka anak gadis mereka yang diberi nama Pandelela Rinong itu akan menjadi seorang jaguh sukan terjun. Mengikut loghat orang Sarawak, ‘pande’ berasal daripada perkataan ‘pandey’ iaitu pandai, manakala ‘rinong’ dalam bahasa Bidayuh bermaksud tenang," ujar ibunya, Hartini Lamim ketika menerima kunjungan Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Hartini, 44, berkata, nama itu diilhamkan kerana proses melahirkan Pandelela cukup mudah. Anak keduanya itu pandai merancang bila hendak ‘keluar. Pendek kata, semua berlaku dalam keadaan tenang tanpa sebarang masalah. Ketika menamakan anaknya itu pula, kata Hartini, dia tidak meramal apa yang akan berlaku pada masa depan. Namun nama itu secara kebetulan menggambarkan ciri-ciri seorang juara dalam diri Pandelela iaitu pandai dan tenang. Bakat Pandelela dikesan oleh Wang Jin Lan, jurulatih skuad terjun Sarawak sekitar 2001, iaitu ketika dia berusia lapan tahun. Hartini dan suami, Pamg Joheng, 46, tidak teragak-agak memberi keizinan walaupun mereka sendiri tidak pasti sejauh mana Pandelela boleh pergi. Turut dipilih mengikuti latihan bersama skuad terjun negeri ialah anak sulung mereka, Pardika Indoma yang ketika itu berusia sembilan tahun.

Jurulatih meminta kami menyediakan baju renang untuk mereka. Jadi kami terus ke bandar. Saya terkejut melihat harganya yang sangat mahal, lebih kurang RM200. Hampir separuh pendapatan saya sebagai buruh kasar digunakan semata-mata untuk membeli baju renang mereka," kata Pamg yang dibayar upah kira-kira RM600 sebulan oleh majikannya. Tambah Pamg, dia meminta anak-anaknya menjaga baju renang masing-masing sebaik mungkin dan menggunakannya sehingga benar-benar lusuh sebelum digantikan dengan yang baharu. Pengakuan ikhlas Pamg menggambarkan betapa sederhana hidup mereka sekeluarga. Kesederhanaan itu jugalah yang mengajar Pandelela supaya bersungguh-sungguh dalam bidang diceburinya.

Kecemerlangan


Kejayaannya yang sulung adalah sewaktu merangkul dua pingat emas untuk kontinjen Sarawak dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) Kedah pada 2006. Setahun kemudian, beliau meraih emas di Sukan SEA XXIV Korat. Pandelela mula dikenali ramai selepas memenangi pingat emas dalam acara terjun di Sukan Komanwel Delhi dan pingat perak di Sukan Asia XVI Guangzhou yang masing-masing berlangsung pada 2010. Kejayaan demi kejayaan itu menjadi pemangkin kepada deretan kecemerlangan yang lain. Sejak itu, beliau tidak menoleh ke belakang lagi. Pada temasya Olimpik tahun ini, Pandelela tiba di Kota London dengan reputasi sebagai antara penerjun terbaik Asia di samping menjadi atlet harapan yang disebut-sebut mampu meraih pingat untuk negara. Selepas atlet harapan lain, terutama gandingan beregu badminton Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong dan jaguh berbasikal trek, Azizulhasni Awang gagal meraih sebarang pingat, semua mata rakyat Malaysia tertumpu kepada Pandelela.

Menggalas harapan negara untuk memenangi sekurang-kurangnya pingat gangsa pada Olimpik - tekanan yang hadir bukan sedikit. Percubaan awal menerusi acara 3 meter papan anjal bergandingan dengan Cheong Jun Hoong serta acara 10 meter terjun seirama bersama Leong Mun Yee gagal. Mereka menduduki tangga tercorot dan kedua tercorot. Pandelela yang tingginya cuma 159 sentimeter bagaimanapun bangkit membuktikan kejaguhan apabila muncul sebagai penerjun ketiga terbaik dunia dalam acara 10 meter platform individu pada awal pagi Jumaat lalu. Kejayaan itu, walaupun sekadar melayakkannya meraih gangsa, amat menggembirakan seluruh rakyat Malaysia. Masakan tidak, negara ini belum pernah memenangi pingat dalam acara lain kecuali badminton sejak menyertai Olimpik buat pertama kali pada 1956.


Insan paling gembira sudah pasti ibu bapanya. Malah, lensa kamera jurugambar sempat merakam aksi spontan Pamg mencium wajah anaknya di kaca televisyen ketika RTM menyiarkan secara langsung upacara penyampaian hadiah. Bagi Pamg, dialah bapa yang paling gembira di dunia kerana doanya untuk melihat Pandelela naik ke atas podium sebagai pemenang pingat dimakbulkan tuhan. Apa pun alasannya, Pamg dan isteri berhak untuk berasa gembira. Mereka mengambil risiko mengizinkan Pandelela aktif sebagai atlet ketika ramai ibu bapa lain menghalang anak-anak berbuat perkara sama kerana berpendapat bidang sukan tidak menjamin masa depan. Mereka berkorban wang, masa dan tenaga. Di kala muncul suara sumbang mempertikaikan kemampuan Pandelela, mereka tetap berdiri teguh di belakangnya. Mereka sentiasa berdoa di samping menyokong dan percaya kepada potensi anak kedua daripada empat beradik itu.

Perjalanan Pandelela ke Olimpik London boleh kita simpulkan berakhir dengan kejayaan luar biasa. Beliau melakar sejarah menjadi atlet wanita negara pertama memenangi pingat di Olimpik. Empat tahun dari sekarang, gadis itu bakal merintis jalan ke Rio De Jeneiro untuk mengintai emas pertama negara pula. Tuah ayam nampak di kaki, tuah Pandelela siapa yang tahu? Apa yang pasti kini, Pendelela mempunyai sebab yang kukuh untuk meninggalkan Kota London dan kembali ke Bau dengan penuh bergaya!

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
19 Ogos 2012

ISU GLOBAL : HENTIKAN KESENGSARAAN UMAT ISLAM ROHINGYA DI MYANMAR


Rencana ini ditulis oleh :
SHAHBUDIN EMBUN
Penulis buku - Najib Peneraju Transformasi


Bayangkan di kala takbir Syawal sedang bergema di seluruh dunia, menyambut kemenangan berpuasa selama sebulan di bulan Ramadan, umat Islam di Rohingya terus dihimpit, dikeji, dinafikan hak sebagai manusia, dizalimi, diseksa, dirogol dan dibunuh. Itu sebabnya dalam isu ini, dengan jelas kita semua perlu bersuara dengan kuat dan lantang! Ya, tidak ada kompromi. Sudah sampai masanya kekejaman penghapusan etnik Rohingya di Rakhine, Myanmar perlu diberhentikan serta-merta. Bukan itu sahaja, bahkan mereka yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan di mahkamah antarabangsa dan dikenakan hukuman yang sewajarnya. Penulis amat bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Malaysia akan terus memainkan peranan untuk meneruskan tekanan politik serta mendapatkan penglibatan pertubuhan hak asasi manusia bagi memainkan peranan yang lebih bermakna dan penting.

Baru-baru ini penulis berkesempatan mengikuti satu persidangan yang dihadiri oleh 62 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara ASEAN membincangkan isu 800,000 penduduk Rohingya di Burma. Dan yang lebih menyedihkan, penduduk Rohingya ini dianggap sebagai orang luar atau pendatang tanpa izin. Bukankah sejarah telah membuktikan dengan jelas bahawa kaum Rohingya adalah kaum pribumi di wilayah Rakhine. Untuk makluman, umat Islam Rohingya kebanyakannya tinggal di sebelah barat Myanmar di negeri Arakan yang bersempadan dengan Bangladesh. Dalam hal ini ternyata sekali kerajaan Myanmar tidak mematuhi langsung protokol ASEAN Human Rights Body, yang dipersetujui negara itu pada 15 Disember 2008. Itu sebabnya umat Islam Rohingya masih terus menderita akibat pencabulan dan pembunuhan secara terang-terangan yang bakal mengancam kewujudan kaum Rohingya di negara itu sekiranya kekejaman ini terus dibiarkan.

Kita perlu tahu bahawa penghapusan etnik ini bukannya berlaku sejak setahun dua ini. Ia telah lama dilancarkan sejak 1982 lagi, iaitu kira-kira 30 tahun lalu! Dan kita masih lagi tidak dapat membantu umat Islam di Rohingya yang terus dibunuh dengan kejam oleh rejim tentera Myanmar. Daripada laporan akhbar, pada tahun itu sahaja seramai 100,000 umat Islam disiksa dan dibunuh dengan kejam, seolah-olah nyawa mereka tidak ada nilainya. Dan kini difahamkan juga terdapat 400,000 pelarian Rohingya berada di kem pelarian di Bangladesh, 60,000 berlindung di Thailand, 150,000 di Pakistan, dan 40,000 di Malaysia. Sebahagian daripada mereka yang bernasib baik terdampar di Malaysia, Indonesia dan Australia tetapi ramai juga di kalangan mereka yang menemui ajal di tengah samudera yang mengganas, iaitu akibat mati lemas atau kebuluran di tengah laut.

Sudah jatuh ditimpa tangga. Sudahlah negara tumpahnya darah menganggap mereka ini sebagai kaum pendatang, ada juga negara-negara yang mendakwa sebagai negara Islam juga tidak mahu para pendatang ini menjadi pelarian di tempat mereka. Jika hendak disebutkan satu persatu kekejaman yang dilakukan terhadap umat Islam Rohingya, ia terlalu banyak untuk dinyatakan. Bayangkanlah, jika pembunuhan boleh berlaku dengan sewenang-wenangnya, maka kekejaman seperti pencabulan hak asasi, rogol, penyiksaan, tiada pengiktirafan sebagai rakyat adalah antara kekejaman yang dilakukan oleh pihak junta tentera Myanmar. Masyarakat etnik Rohingya juga disiksa tanpa bicara dan terdapat kes yang mana berlakunya pemaksaan keluar daripada Islam dan dipaksa menganut Buddha.

Penulis yakin, Najib yang begitu prihatin dengan keadaan di Myanmar akan terus memberi tekanan dan menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk memainkan peranan yang lebih berkesan dalam menangani isu ini. OIC merupakan organisasi antara kerajaan kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Keanggotaan OIC terdiri daripada 57 negara dari empat benua dengan penduduk melebihi 1.5 bilion. OIC merupakan pertubuhan yang besar dan seharusnya dapat memainkan peranan yang lebih bermakna memastikan tidak ada lagi penganiayaan dan pembunuhan dilakukan terhadap umat Islam Rohingya. OIC juga perlu mengeluarkan kenyataan secara kolektif menggesa Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah Perkara 35 untuk campur tangan dengan serta-merta. Tiada kompromi dan usaha ini mesti dilakukan dengan secepat mungkin. Sememangnya tidak dapat dinafikan lagi bahawa masalah di Rohingya perlu ditangani segera. Dan satu dunia bukan sahaja perlu mengutuk kerajaan Myanmar yang membiarkan masalah ini berterusan, namun perlu bertindak dengan lebih aktif.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
18 Ogos 2012

ISU UMUM : RAYA WARGA ASING DI KUALA LUMPUR


Rencana ini ditulis oleh :
NIZAM YATIM
pengarang@utusan.com.my


Ketika kebanyakan umat Islam berkumpul bersama keluarga di kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri esok, terdapat juga yang menyambutnya dengan cara tersendiri di sekitar ibu kota. Mereka ialah warga asing, antaranya dari Indonesia, Bangladesh dan Vietnam yang sudah menjadi tradisi ketika cuti perayaan, mereka akan bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur bagi memenuhi masa terluang. Kebanyakan mereka tidak pulang ke kampung walaupun diberikan cuti umum selama dua hari dengan pelbagai alasan termasuk ingin berjimat-cermat atau disebabkan tidak mampu membayar kos pengangkutan pulang ke tanah air yang mahal. Keadaan jalan raya dan stesen pengangkutan awam yang lengang berbanding hari biasa memudahkan mereka untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain di sekitar kota metropolitan itu dengan pantas, tanpa perlu menempuh kesesakan.

Antara tempat yang menjadi tumpuan warga asing adalah kawasan sekitar Menara Berkembar Petronas yang lebih dikenali sebagai Kuala Lumpur City Centre (KLCC). Rata-rata warga asing menganggap KLCC adalah tempat yang wajib dikunjungi ketika cuti kerana ia lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti stesen transit aliran ringan (LRT), pusat beli-belah, masjid dan taman rekreasi. Keunikan seni bina menara berkenaan yang mempunyai pengaruh Islam juga menarik minat warga asing untuk bergambar sebagai tanda kenang-kenangan. Cuti umum memberi peluang kepada mereka untuk datang ke KLCC bersama rakan-rakan untuk melihat menara itu secara lebih dekat. Terdapat juga warga asing terutama golongan profesional yang keluar bersiar-siar bersama keluarga dengan membawa anak-anak bermain di taman permainan kanak-kanak dan kolam mandi yang disediakan.

Ada juga warga asing menjadikan kawasan Taman KLCC sebagai tempat berkelah dengan menikmati makanan dan minuman secara berkumpulan. Sambil menikmati keindahan bangunan pencakar langit dan air pancut yang terdapat di sekitar kawasan itu, mereka juga meluangkan masa untuk berehat dan berbual kosong dengan rakan-rakan senegara. Bagi sesetengah warga asing, pusat beli-belah di KLCC adalah tempat untuk mereka menjamu mata dengan barangan berjenama walaupun tidak mampu membelinya kerana harga yang mahal. Dalam pada itu, bagi warga asing yang gemar membeli-belah, kawasan tumpuan adalah sekitar bangunan Kota Raya dan Sinar Kota yang menawarkan pelbagai barangan pada harga berpatutan. Di situ, terdapat banyak barangan tiruan dengan jenama terkenal dijual bagi membolehkan warga asing bergaya walaupun bukan asli.

Deretan kedai yang disewa warga asing di Jalan Silang yang menjual barangan dari negara asal masing-masing turut menjadi tumpuan untuk mereka berkumpul sehingga kawasan tersebut digelar sebagai 'Mini Dhaka'. Tujuan sebenar mereka berkumpul beramai-ramai adalah untuk menghilangkan kerinduan kepada kampung halaman masing-masing, selain mahu bertanyakan khabar rakan-rakan yang mungkin bekerja di negeri lain di negara ini. Hari raya juga adalah waktu yang membolehkan mereka mengambil kesempatan untuk berniaga secara haram di kaki lima jalan kerana menyedari anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang bercuti. Adegan tawar-menawar barangan jualan di kalangan mereka seperti buah-buahan, makanan dan barang kemas turut mencetuskan suasana hiruk-pikuk di kawasan terbabit.

Kehadiran ramai warga asing itu menyebabkan anak jati Kuala Lumpur yang beraya di ibu kota menjadi kumpulan minoriti sehingga mungkin disalah anggap sebagai golongan pendatang. Turut terasa dengan kebanjiran warga asing itu adalah pemandu pengangkutan awam rakyat tempatan yang terpaksa bekerja pada hari raya. Mereka terpaksa melayan pelbagai ragam warga asing berkenaan. Antara laluan yang paling ramai dipenuhi kelibat warga asing adalah pengangkutan bas dari Rawang ke tengah ibu kota dan tren komuter dari Pelabuhan Klang. Turut menjadi tumpuan adalah restoran mamak di sekitar Pasar Seni yang tetap dibuka walaupun Hari Raya yang dipenuhi warga asing untuk menjamu selera. Terdapat juga warga asing yang mengambil kesempatan cuti Hari Raya dengan menonton wayang.

Sementara itu, kebanjiran warga asing ke ibu kota pada Hari Raya Aidilfitri turut memberikan kesan buruk apabila rata-rata mereka dilihat masih membawa tabiat dari negara asal iaitu membuang sampah di merata-rata. Mereka juga berebut-rebut untuk menaiki bas dan LRT sehingga menyebabkan Kuala Lumpur berubah wajah menjadi seperti bandar-bandar di negara dunia ketiga. Di Taman KLCC pula, terdapat warga asing dewasa yang menggunakan peralatan permainan yang dikhususkan untuk kanak-kanak. Untuk mengelak fenomena ini berulang setiap kali musim perayaan, sudah sampai masanya pihak pengurus taman berkenaan menempatkan lebih ramai pengawal keselamatan bagi memantau kerenah warga asing terbabit. Pekerja untuk mengutip sampah juga perlu ditambah. Ingatlah setiap kali tibanya Aidilfitri, bukan bermakna semua orang harus bercuti.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
18 Ogos 2012

18 Ogos 2012

ISU SOSIAL : OPS SELAMAT, KADAR LAJU, DAN TOL


Rencana ini ditulis oleh:
Oleh DR. AHMAD ZAKI ISMAIL
PENULIS ialah Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia.


Musim perayaan sudah menghampiri. Hanya tinggal dua atau tiga hari lagi. Tentu banyak keperluan sudah tersedia. Tahun ini agaknya persiapan dan persediaan sudah tentu lebih meriah daripada sebelumnya. Maklumlah banyak yang menerima durian runtuh baik di sektor awam mahupun para peneroka. Cuma yang tidak jelas adalah pekerja swasta dan para peniaga serta penjaja. Apakan daya, inilah yang dikatakan nasib kita tidak serupa. Bagaimanapun, kita merasa lega apabila pengumuman dibuat oleh Menteri Kerja Raya menyatakan bahawa pemegang konsesi setuju menurunkan tarif tol sehingga 37 peratus meskipun sebenarnya gimiknya lebih daripada apa yang dinyata. Maklumlah yang 37 peratus itu bukannya lebuh raya PLUS yang memang kita semua gunakan untuk pulang berhari raya. Walau apa pun setiap pengurangan kos meskipun sekadar lima ke 10 peratus pun tetap mengurangkan beban kita semua. Ia amat dialu-alukan dan dihulurkan ucapan terima kasih.

Kemudian, PDRM pula membatalkan Ops Sikap. Nah terasa senang sikit hati bila membacanya di dada media. Malangnya, di masa sama turut diumumkan penurunan kadar had laju sebanyak 10 kilometer (km). Lantas terdetik dalam fikiran, bahawa negara kita sudah sampai ke tahap pening. Kerana kita seolah-olah tidak menyedari bahawa undang-undang bukan boleh dilaksanakan secara berkala dan diubah mengikut situasi. Sekiranya pemandu mengikut kelajuan 110 km sejam di hari biasa adalah tidak melanggar peraturan tetapi di musim perayaan ia sudah ditakrif sebagai melanggar peraturan. Kemudian, Ops Selamat yang dilancarkan membawa mesej yang hampir sempurna. PDRM mahukan semua rakyat merasa meriah dan selamat dalam meraikan musim perayaan. Memang begitulah sepatutnya tugas agensi yang dihormati itu, bukan sekadar menjadi penguat kuasa tetapi memberikan perkhidmatan di luar kotak seperti yang dilaksana oleh negara hasil strategi lautan biru yang ternyata memberikan impak segera.

Selepas itu ada pula pengumuman yang menyatakan bahawa kamera perangkap had laju sudah dipasang dan dikuat kuasa di seluruh lebuh raya tentu menyentak benak pengguna tentang apa sebenarnya yang ingin ditawarkan kepada kita? Apabila kita kumpulkan kesemua senarai di atas dalam satu pakej dan difikirkan semula seolah-olah rakyat kini sedang disajikan dengan umpan enak yang bakal direntap melalui cara lembut tetapi amat menyakitkan. Kita kena kembali kepada asas undang- undang diwujudkan iaitu mewujudkan peraturan, serta mendidik. Ia bukan mempunyai tujuan lain yang seolah-olah untuk menjadi sumber pendapatan. Bayangkan di lebuh raya ada kawasan yang menuruni bukit diletakkan had laju 80 atau 90 km yang mana menunggu di hadapan adalah kamera penguat kuasa. Sekiranya pemandu menyedari kehadiran anggota polis di hadapan mereka dan tiba-tiba membrek bagi mengelakkan disaman fikirlah apa yang bakal berlaku pada kenderaan yang mengekori di belakang yang tidak menyedarinya.

Pada masa sama, kita melihat bahawa anggota penguat kuasa terutama polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan sebenarnya agak longgar terhadap kenderaan komersial termasuk lori dan bas. Seperti wujudnya semacam persetujuan terancang apabila kelihatan kenderaan komersial sekarang ini semakin bermaharaja lela meskipun pelbagai teguran, aduan, pendedahan dan tragedi yang berlaku disebabkan kedegilan para pemandu kenderaan komersial ini. Akhirnya perasaan aman dan selamat serta gembira untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan perayaan diwarnai dengan perasaan geram, marah, benci dan tekanan yang membawa kesan yang buruk jika dipendam dalam tempoh lama. Ia bukan sahaja buruk kepada peribadi, tetapi pada keluarga, anggota masyarakat dan paling buruk kepada kerajaan sendiri. Kerana itu, pihak yang berkaitan sebenarnya perlu lebih peka dalam melaksanakan sebarang keputusan supaya ia tidak memberi impak berbeza daripada apa yang diharapkan. Setiap perbelanjaan yang dikeluarkan biarlah berbaloi dan biarlah memberikan mesej yang betul serta meninggalkan kesan yang positif bukan sebaliknya.

Saman menyaman ini sebenarnya biarlah menjadi perkara yang terakhir yang perlu dilaksanakan dalam suasana syahdu musim perayaan. Sebaliknya, kalau PDRM benar-benar ingin mengubah persepsi masyarakat terhadap peranan mereka, inilah masanya. Di masa sama, apa salahnya kalau pemegang konsesi semuanya memberikan diskaun pada kadar 50 peratus untuk tempoh seminggu musim perayaan berkenaan. Kerana dari segi congak pun orang sudah boleh menganggarkan berapa hasil pungutan di musim perayaan yang mampu mereka kutip saban tahun. Bukanlah diminta sampai sebulan, cuma sekadar seminggu sebagai tanda ucapan terima kasih kepada para pengguna yang tidak pernah jemu menggunakan dan membayar perkhidmatan mereka.

Inilah yang dikatakan sebagai tanggungjawab sosial yang sebenar bukan sekadar memberi ole-ole di lorong tol berbayar dengan tiga biji kurma dan sebotol air mineral, sedangkan di lorong smart tag dan touch n go cuma menjadi pemerhati sahaja. Walhal, kumpulan ini sudah membayar dahulu sebelum guna. Menyentuh mengenai had laju pula, pada persepsi yang berbeza tentu kita bersetuju bahawa ia bukannya menjadi satu faktor sahaja yang menyumbang kepada kemalangan. Statistik dengan nyata menunjukkan bahawa kemalangan maut banyak berlaku di Jalan Persekutuan berbanding di lebuh raya. Apakah Majlis Keselamatan Jalan Raya tidak peka mengenainya?

Ia sebenarnya lebih kepada sikap, kecekapan dan juga keadaan jalan serta cuaca. Pemandu yang memandu laju secara konsisten sebenarnya adalah pemandu yang cekap dan boleh dirujuk rekod kemalangan mereka yang rata-ratanya hampir tiada. Kerana golongan ini sentiasa siap siaga dan cekap mengemudi sebab tahu akan risikonya. Hujahan ini bukan bererti menyokong memandu lebih laju tetapi sekadar menjelaskan keadaan. Bayangkanlah memandu di lebuh raya di waktu malam dengan kadar kurang 110 km sejam pada jarak perjalanan tiga jam. Mungkin anda mudah terlena sekiranya tidak cuba memecut sekali sekala bagi mengurangkan tekanan dan rasa jemu. Itulah sebenarnya hakikat dan realiti yang perlu kita ambil kira untuk memahami pola pemanduan dan kemalangan yang berlaku sebelum membuat sebarang rumusan.

Oleh itu, dalam kemeriahan suasana menjelang Aidilfitri yang bakal menjelma ini marilah kita semua mengambil sikap yang saling menguntungkan semua pihak. Pihak pemerintah dan rakyat jelata saling memerlukan, begitu juga anggota perkhidmatan awam, para peniaga, kuli atau tauke kaya semua mempunyai peranan dalam sebuah negara. Semoga hari raya tahun ini akan memberikan rasa insaf, rasa selamat dan rasa sejahtera kepada kita semua yang seharusnya sentiasa bersyukur dengan apa yang sudah kita nikmati selama ini. Sebuah negara yang merdeka, aman dan makmur.

Sumber :
Utusan Malaysia
18 Ogos 2012

ISU KESIHATAN : TAMBAH DOKTOR PAKAR, KURANG BEBAN KERAJAAN


Rencana ini ditulis oleh:
AZMI AZIZ
Perunding pelaburan.


Jumlah pesakit di kalangan rakyat Malaysia kian meningkat tahun demi tahun. Bukan sahaja keluhan pesakit yang terpaksa menunggu lama di hospital dan klinik kerajaan bahkan ia turut berlaku di hospital swasta. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengakui perkara ini berlaku berikutan masalah kekurangan doktor pakar. "Masalah kekurangan kepakaran adalah dilema utama kita. Hampir setiap klinik pakar hospital mengalami masalah ini dan usaha menambah jumlah pakar sedia ada adalah satu cabaran besar. "Pesakit yang datang ke klinik pakar sekarang perlu membuat temu janji terlebih dulu mengikut giliran yang membabitkan jumlah pesakit yang ramai. Sudah pasti ia memberi kesan daripada segi tempoh masa memberikan rawatan. Di seluruh negara, kita hanya ada lebih kurang 2,500 doktor pakar.   "Yang boleh saya katakan, jumlah ini terlalu kecil berbanding jumlah pesakit yang bertambah saban hari. Pun begitu, ia masih terkawal." kata Tiong Lai.

Pada masa ini, kementerian cuba menyasarkan untuk melahirkan 800 pakar setiap tahun bagi menampung keperluan ini. Bukan setakat doktor pakar, malah usaha dipertingkatkan untuk menambah jumlah doktor sedia ada kerana ia juga tidak memadai dengan keperluan negara setakat ini. Untuk itu, kementerian akan berusaha melahirkan 4,500 doktor setiap tahun. Apa pun langkah perlu diambil dalam memastikan bekalan sumber manusia yang mencukupi untuk menyokong pengembangan dan penyampaian perkhidmatan kesihatan. Keupayaan latihan di tujuh universiti awam dan lima kolej perubatan swasta perlu dipertingkatkan bagi melatih lebih ramai doktor, doktor gigi dan ahli farmasi. Integrated Healthcare Holdings Bhd (IHH), sayap penjagaan kesihatan Khazanah Nasional Berhad kini berada dalam kedudukan terbaik untuk menarik semula kemasukan doktor dan pakar perubatan (rakyat Malaysia dan lain-lain) yang bekerja di luar negara, untuk berhijrah kembali ke tanah air.

Dengan kembalinya kumpulan pakar ini ke Malaysia, mereka boleh bertindak menjadi pelatih untuk melatih kumpulan doktor muda Malaysia, seterusnya membantu meningkatkan lagi aktiviti pembangunan modal insan tempatan ini pada tahap kelas dunia. Dalam tempoh jangka panjang, ia akan membantu meningkatkan pembabitan bumiputera dalam bidang perubatan. Sebagai permulaan kerajaan boleh menggunakan rangkaian hospital milik IHH sebagai tempat bagi mengasah bakat profesional muda Malaysia. IHH menerusi syarikat yang dikuasainya mengendalikan 83 hospital di negara ini serta negara lain dengan sejumlah 12,316 katil. Industri penjagaan kesihatan adalah antara program transformasi yang dimulakan kerajaan hampir tiga tahun lalu, yang kini mula membuahkan hasil, sekali gus meletakkan negara di ambang landasan pertumbuhan yang baru.

Langkah transformasi yang diambil Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam melaksanakan Model Baru Ekonomi (MBE), khususnya dalam bidang penjagaan kesihatan, kini mula memperlihatkan hasilnya, iaitu mentransformasikan Malaysia antara penggiat utama dalam sektor penjagaan kesihatan dunia. Kerap kali kerajaan menyatakan hasrat untuk berundur daripada terbabit dalam perniagaan dan sebaliknya membenarkan sektor swasta mengambil peranan sebenarnya dalam perniagaan dan pembangunan ekonomi. Kerajaan tidak seharusnya terbabit dalam usaha niaga yang sepatutnya diterajui sektor swasta yang mampu menguruskannya dengan lebih baik. Namun hospital swasta memerlukan pihak lain untuk melabur bersama. Di sinilah kerajaan perlu campur tangan untuk menyediakan sebahagian daripada modal untuk memulakan sesebuah perkhidmatan kesihatan.

Contohnya perkhidmatan perubatan dan penjagaan kesihatan bagi memastikan kesihatan rakyat negara ini adalah terbaik. Kerajaan wajar memiliki projek itu. Perniagaan kesihatan memerlukan modal besar dan teknologi baru canggih jadi ia tidak mungkin bertapak tanpa pembabitan awal oleh kerajaan. Ini yang dimainkan oleh Khazanah. Namun apabila tiba masanya, ia mesti menarik diri. Ini bererti, kerajaan perlu beransur-ansur berundur, memberikan ruang kepada sektor swasta ambil peranan sebagai pengawal selia bagi memastikan semuanya lancar tanpa terlalu banyak campur tangan. Ramai sedia maklum syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mempunyai nilai pasaran sehingga 30-40 peratus di Bursa Malaysia. Peratusan tinggi ini membawa masalah kecairan atau mudah tunai dalam pasaran.

Berdasarkan cadangan dalam Model Baru Ekonomi, telah dikenal pasti 33 GLC dengan 21 GLC bagi tujuan pelupusan sepenuhnya; lima pelupusan separa dan tujuh penyenaraian penuh di bursa. Bagi memperlihatkan kesungguhan, Perdana Menteri sendiri mempengerusikan mesyuarat yang sering diadakan untuk memantau serta menyemak perkembangannya. Setakat ini, 13 syarikat sudah dilupuskan, 11 daripadanya selesai pada 2011. Antara nama besar terbabit termasuklah Felda Global Ventures, IHH Healthcare, Pos Malaysia dan EON Cap. Pengurangan peranan kerajaan dalam perniagaan adalah ciri penting dalam matlamat menjadikan negara kita sebuah negara berpendapatan tinggi. Teras kepada perubahan ini ialah matlamat menjadikan Malaysia sebuah ekonomi yang lebih berorientasikan pasaran kerana itulah satu-satunya cara memastikan negara kita berdaya saing relatif kepada seluruh dunia kelak. Kejayaan transformasi kita bersandar kepada sebuah kerajaan yang memberi tumpuan kepada fungsi utamanya, dan itulah yang sedang dilakukan.

Sumber :
Utusan Malaysia
18 Ogos 2012

17 Ogos 2012

ISU AGAMA : KEMBALI KEPADA FITRAH


Rencana ini ditulis oleh :
Mohd Fadly Samsudin


Esok, Ramadan bakal sampai tiba ke penghujungnya. Ramadan ternyata memberi kebahagiaan, di dalamnya ada kedamaian malah jiwa kita begitu dekat kepada Maha Pencipta. Berdoalah selalu semoga Allah mempertemukan kita Ramadan akan datang. Ganjaran pahala yang Allah tawarkan pada bulan ini tidak mungkin ditemui di bulan lain. Allah mensyariatkan puasa supaya nafsu kita dapat dikalahkan. Mengekalkan konsisten selepas Ramadan itulah menjadi matlamat utama. Ia proses manusia kembali semula kepada fitrahnya. Allah berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti orang-orang yang terdahulu. Mudah-mudahan kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah ayat 183). Tarbiah Ramadan terbukti mampu melahirkan manusia yang memiliki keperibadian tinggi. Semakin tinggi nilai takwa seseorang, semakin banyak manfaat yang diberikan kepada orang di sekelilingnya.

Berdasarkan hadis nabi, baginda menjelaskan pintu syurga dibuka seluas-luasnya, manakala pintu neraka ditutup serapat-rapatnya di sepanjang Ramadan ini. Keikhlasan akan melahirkan kesungguhan dalam melaksanakannya serta mencapai apa yang diharapkan. Peluang itu sentiasa terbuka buat kita semua walaupun Ramadan tahun ini hanya berbaki sehari saja lagi. Perpisahan dengan Ramadan bermakna kita meninggalkan kesempatan meraih pahala berlipat kali ganda selain ‘terlepas’ kesempatan memperoleh keampunan Allah terhadap dosa yang tidak mampu kita kira banyaknya. Sebab itu, jangan kita sia-siakan detik perpisahan ini. Teruskan amalan berzikir, membaca al-Quran, munajat, memohon keampunan dari Allah. Renungi dan menangislah kerana kita akan berpisah dengan kemuliaan dan keberkatan Ramadan.

Pensyarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Shukri Hanapi berkata, matlamat khusus puasa Ramadan adalah bagi menimbulkan rasa ketakwaan kepada Allah SWT.  “Ramadan bermatlamat mendidik umatnya menjadi individu lebih beriman dan bertakwa sepanjang masa, bukan untuk tempoh atau musim tertentu saja.  Kejayaan tarbiah Ramadan boleh dilihat daripada tingkah laku serta amalan dalam kehidupan seseorang. Umat Islam perlu berusaha mengekalkan prestasi ibadah yang dilakukan sepanjang Ramadan ini dalam bulan berikutnya supaya ia selari dengan matlamat khusus Ramadan,” katanya.

Beliau berkata, beberapa langkah boleh diamalkan bagi mengekalkan istiqamah amal soleh selepas Ramadan. “Pertama, sentiasa memohon pertolongan Allah supaya terus diberi hidayah dan keteguhan iman. Allah memuji orang yang sering berdoa supaya sentiasa diberikan hidayah.  Allah berfirman yang bermaksud, “(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu;  sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya” (Surah Ali ‘Imran ayat 8).  Kedua, sentiasa menghadiri majlis ilmu seperti kuliah agama, ceramah dan tazkirah. Ketiga, berusaha mengenali dan menghayati sejarah hidup sahabat, tabi’in dan orang soleh melalui pembacaan atau kuliah agama.  

“Keempat, sentiasa menjaga dan menitikberatkan perkara fardu seperti solat lima waktu dan mengqada’ puasa Ramadan yang pernah ditinggalkan.  Kelima, sentiasa melakukan ibadah sunat walaupun sedikit. Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Amalan yang paling disukai Allah ialah amalan yang istiqamah (berterusan atau konsisten) walaupun sedikit.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Keenam, memperbanyakkan berzikir kepada Allah dan sentiasa beristighfar kerana ia adalah amalan yang mudah dilakukan. Manfaatnya sangat besar iaitu dapat menguatkan iman dan hati. Ketujuh, melakukan taubat nasuha supaya tidak kembali ke lembah kehinaan. Allah sangat suka kepada hamba-Nya yang bertaubat,” katanya.

Menurutnya, Indeks Prestasi Utama (KPI) puasa Ramadan dinilai berdasarkan perubahan tingkah laku dan amalan seseorang Muslim yang menjalani ibadah puasanya.  “KPI pekerja lebih bersifat kuantitatif, manakala KPI puasa Ramadan bersifat kualitatif atau dalam bentuk yang tidak boleh dihitung peratusannya. Manusia mudah menuruti apa saja keinginannya meskipun keinginan itu sesuatu yang tidak baik, mengganggu serta merugikan orang lain. Sebab itu, dalam Islam terdapat perintah supaya memerangi hawa nafsu.  Allah berfirman yang bermaksud, “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya.” (Surah al-Jathiyah ayat 23). “Puasa yang dilaksanakan membuatkan seseorang terus mempertahankan keinginan yang baik, meskipun peluang melakukan penyimpangan terbuka luas,” katanya.

Menurutnya, segala nikmat yang dimiliki perlu di syukuri dengan membuat perbandingan dengan golongan lain yang barangkali terpaksa mendapatkan sesuatu dengan penuh kesukaran. “Mengingati dan merasakan penderitaan orang lain dapat memberikan keinsafan bagaimana beratnya keperitan yang terpaksa mereka tanggung.  Umat Islam di sesetengah negara ada yang tidak mempunyai bekalan makanan, minuman dan barang keperluan harian seperti yang berlaku di Syria, Palestin serta Rohingnya,” katanya. Beliau berkata, puasa melahirkan sifat jujur dan amanah dalam diri yang berpaksikan takwa kepada Allah.  “Apabila sifat ini terbina dalam diri, logiknya tidak akan timbul masalah mencuri tulang pada waktu bekerja, datang lewat ke tempat kerja, pecah amanah, tidak jujur, rasuah dan penyelewengan di kalangan umat Islam. “Tidak dinafikan, dalam bulan Ramadan kita sentiasa menepati masa; berbuka tepat pada waktunya, begitu juga ketika bersahur kita akan berhenti apabila tamat waktunya. “Lebih hebat lagi, kita boleh menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid yang selama ini tidak mampu dilakukan. Justeru, sifat menepati masa ini perlu dibawa setiap masa bukan pada bulan Ramadan saja,” katanya.

Menurutnya, faktor ganjaran turut memainkan peranan penting dalam membentuk tingkah laku dan amalan manusia sepanjang Ramadan. “Terdapat pelbagai ganjaran dalam bulan Ramadan. Walaupun ganjaran pahala itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar, namun kepercayaan kita terhadapnya ditunjangi keimanan, nas dan dalil.“Pada penghujung Ramadan umat Islam seharusnya semakin seronok meningkatkan amal ibadat. Orang berpuasa seperti pelumba lari; semakin hampir ke garisan penamat, semakin laju lariannya. “Jika tidak ada sikap ingin menang, cepat lemah semangat dan lalai, sudah tentu mereka mudah tertewas. Sejarah kehidupan generasi salafus soleh dulu, semangat beribadah mereka cukup tinggi hinggakan sanggup bergilir-gilir tidur, bangun dan saling mengejutkan bagi memastikan mereka dapat melaksanakan qiamullail.“Malah Perang Badar Kubra juga tercatat sebagai sejarah hebat buat umat Islam kerana berlaku ketika tentera Islam berlapar dan dahaga kerana berpuasa,” katanya.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Harian Metro
Jumaat, 17 Ogos 2012