JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



18 Ogos 2012

ISU SOSIAL : OPS SELAMAT, KADAR LAJU, DAN TOL


Rencana ini ditulis oleh:
Oleh DR. AHMAD ZAKI ISMAIL
PENULIS ialah Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia.


Musim perayaan sudah menghampiri. Hanya tinggal dua atau tiga hari lagi. Tentu banyak keperluan sudah tersedia. Tahun ini agaknya persiapan dan persediaan sudah tentu lebih meriah daripada sebelumnya. Maklumlah banyak yang menerima durian runtuh baik di sektor awam mahupun para peneroka. Cuma yang tidak jelas adalah pekerja swasta dan para peniaga serta penjaja. Apakan daya, inilah yang dikatakan nasib kita tidak serupa. Bagaimanapun, kita merasa lega apabila pengumuman dibuat oleh Menteri Kerja Raya menyatakan bahawa pemegang konsesi setuju menurunkan tarif tol sehingga 37 peratus meskipun sebenarnya gimiknya lebih daripada apa yang dinyata. Maklumlah yang 37 peratus itu bukannya lebuh raya PLUS yang memang kita semua gunakan untuk pulang berhari raya. Walau apa pun setiap pengurangan kos meskipun sekadar lima ke 10 peratus pun tetap mengurangkan beban kita semua. Ia amat dialu-alukan dan dihulurkan ucapan terima kasih.

Kemudian, PDRM pula membatalkan Ops Sikap. Nah terasa senang sikit hati bila membacanya di dada media. Malangnya, di masa sama turut diumumkan penurunan kadar had laju sebanyak 10 kilometer (km). Lantas terdetik dalam fikiran, bahawa negara kita sudah sampai ke tahap pening. Kerana kita seolah-olah tidak menyedari bahawa undang-undang bukan boleh dilaksanakan secara berkala dan diubah mengikut situasi. Sekiranya pemandu mengikut kelajuan 110 km sejam di hari biasa adalah tidak melanggar peraturan tetapi di musim perayaan ia sudah ditakrif sebagai melanggar peraturan. Kemudian, Ops Selamat yang dilancarkan membawa mesej yang hampir sempurna. PDRM mahukan semua rakyat merasa meriah dan selamat dalam meraikan musim perayaan. Memang begitulah sepatutnya tugas agensi yang dihormati itu, bukan sekadar menjadi penguat kuasa tetapi memberikan perkhidmatan di luar kotak seperti yang dilaksana oleh negara hasil strategi lautan biru yang ternyata memberikan impak segera.

Selepas itu ada pula pengumuman yang menyatakan bahawa kamera perangkap had laju sudah dipasang dan dikuat kuasa di seluruh lebuh raya tentu menyentak benak pengguna tentang apa sebenarnya yang ingin ditawarkan kepada kita? Apabila kita kumpulkan kesemua senarai di atas dalam satu pakej dan difikirkan semula seolah-olah rakyat kini sedang disajikan dengan umpan enak yang bakal direntap melalui cara lembut tetapi amat menyakitkan. Kita kena kembali kepada asas undang- undang diwujudkan iaitu mewujudkan peraturan, serta mendidik. Ia bukan mempunyai tujuan lain yang seolah-olah untuk menjadi sumber pendapatan. Bayangkan di lebuh raya ada kawasan yang menuruni bukit diletakkan had laju 80 atau 90 km yang mana menunggu di hadapan adalah kamera penguat kuasa. Sekiranya pemandu menyedari kehadiran anggota polis di hadapan mereka dan tiba-tiba membrek bagi mengelakkan disaman fikirlah apa yang bakal berlaku pada kenderaan yang mengekori di belakang yang tidak menyedarinya.

Pada masa sama, kita melihat bahawa anggota penguat kuasa terutama polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan sebenarnya agak longgar terhadap kenderaan komersial termasuk lori dan bas. Seperti wujudnya semacam persetujuan terancang apabila kelihatan kenderaan komersial sekarang ini semakin bermaharaja lela meskipun pelbagai teguran, aduan, pendedahan dan tragedi yang berlaku disebabkan kedegilan para pemandu kenderaan komersial ini. Akhirnya perasaan aman dan selamat serta gembira untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan perayaan diwarnai dengan perasaan geram, marah, benci dan tekanan yang membawa kesan yang buruk jika dipendam dalam tempoh lama. Ia bukan sahaja buruk kepada peribadi, tetapi pada keluarga, anggota masyarakat dan paling buruk kepada kerajaan sendiri. Kerana itu, pihak yang berkaitan sebenarnya perlu lebih peka dalam melaksanakan sebarang keputusan supaya ia tidak memberi impak berbeza daripada apa yang diharapkan. Setiap perbelanjaan yang dikeluarkan biarlah berbaloi dan biarlah memberikan mesej yang betul serta meninggalkan kesan yang positif bukan sebaliknya.

Saman menyaman ini sebenarnya biarlah menjadi perkara yang terakhir yang perlu dilaksanakan dalam suasana syahdu musim perayaan. Sebaliknya, kalau PDRM benar-benar ingin mengubah persepsi masyarakat terhadap peranan mereka, inilah masanya. Di masa sama, apa salahnya kalau pemegang konsesi semuanya memberikan diskaun pada kadar 50 peratus untuk tempoh seminggu musim perayaan berkenaan. Kerana dari segi congak pun orang sudah boleh menganggarkan berapa hasil pungutan di musim perayaan yang mampu mereka kutip saban tahun. Bukanlah diminta sampai sebulan, cuma sekadar seminggu sebagai tanda ucapan terima kasih kepada para pengguna yang tidak pernah jemu menggunakan dan membayar perkhidmatan mereka.

Inilah yang dikatakan sebagai tanggungjawab sosial yang sebenar bukan sekadar memberi ole-ole di lorong tol berbayar dengan tiga biji kurma dan sebotol air mineral, sedangkan di lorong smart tag dan touch n go cuma menjadi pemerhati sahaja. Walhal, kumpulan ini sudah membayar dahulu sebelum guna. Menyentuh mengenai had laju pula, pada persepsi yang berbeza tentu kita bersetuju bahawa ia bukannya menjadi satu faktor sahaja yang menyumbang kepada kemalangan. Statistik dengan nyata menunjukkan bahawa kemalangan maut banyak berlaku di Jalan Persekutuan berbanding di lebuh raya. Apakah Majlis Keselamatan Jalan Raya tidak peka mengenainya?

Ia sebenarnya lebih kepada sikap, kecekapan dan juga keadaan jalan serta cuaca. Pemandu yang memandu laju secara konsisten sebenarnya adalah pemandu yang cekap dan boleh dirujuk rekod kemalangan mereka yang rata-ratanya hampir tiada. Kerana golongan ini sentiasa siap siaga dan cekap mengemudi sebab tahu akan risikonya. Hujahan ini bukan bererti menyokong memandu lebih laju tetapi sekadar menjelaskan keadaan. Bayangkanlah memandu di lebuh raya di waktu malam dengan kadar kurang 110 km sejam pada jarak perjalanan tiga jam. Mungkin anda mudah terlena sekiranya tidak cuba memecut sekali sekala bagi mengurangkan tekanan dan rasa jemu. Itulah sebenarnya hakikat dan realiti yang perlu kita ambil kira untuk memahami pola pemanduan dan kemalangan yang berlaku sebelum membuat sebarang rumusan.

Oleh itu, dalam kemeriahan suasana menjelang Aidilfitri yang bakal menjelma ini marilah kita semua mengambil sikap yang saling menguntungkan semua pihak. Pihak pemerintah dan rakyat jelata saling memerlukan, begitu juga anggota perkhidmatan awam, para peniaga, kuli atau tauke kaya semua mempunyai peranan dalam sebuah negara. Semoga hari raya tahun ini akan memberikan rasa insaf, rasa selamat dan rasa sejahtera kepada kita semua yang seharusnya sentiasa bersyukur dengan apa yang sudah kita nikmati selama ini. Sebuah negara yang merdeka, aman dan makmur.

Sumber :
Utusan Malaysia
18 Ogos 2012

Tiada ulasan: