Rencana ini ditulis oleh :
MOHD. AYOP ABD. RAZID
Penganalisis Media di Bahagian
Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan.
Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein
ketika merasmikan Kongres Kebangsaan Kebudayaan di Universiti Malaya pada 16
Ogos 1971 menyebut: "Kita hendaklah sentiasa berpandu kepada cita-cita
membentuk satu negara di mana rakyatnya dari pelbagai kaum dan golongan dapat
dijalin dalam satu ikatan yang padu". Mesej ucapan tersebut cukup jelas,
iaitu perpaduan. Sejak era Tunku Abdul Rahman hinggalah kepada Perdana Menteri
yang ada pada hari ini, persoalan mengenai perpaduan tetap menjadi tajuk utama
yang ditekankan untuk membina negara yang kukuh dan bersatu padu. Hakikatnya,
perpaduan amat penting yang menjadi pra-syarat kepada keharmonian dan
kesejahteraan hidup masyarakat majmuk di Malaysia. Justeru, usaha membina dan
memelihara perpaduan sentiasa menjadi agenda utama dalam mengemudi negara ini.
Bertitik tolak dari kepentingan perpaduan inilah maka strategi dan usaha
menyatukan rakyat Malaysia dilaksanakan melalui Dasar Perpaduan Nasional (DPN).
Tujuan utama DPN adalah menjadikan
masyarakat Malaysia sebagai satu keseluruhan atau kesatuan yang padu dan kukuh
melalui pemupukan semangat kecintaan (patriotisme) terhadap negara. Memahami
dan menyedari betapa pentingnya perpaduan maka Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak dalam ucapannya pada Majlis Malam Penghargaan Media Massa UMNO 2009
di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC pada 12 Disember 2009 mengingatkan bahawa
sekiranya perpaduan semakin menipis dan terhakis maka akan terserlah 'defisit
moral' dan 'defisit empati' dalam masyarakat. Dalam ucapannya itu, Najib
meletakkan nilai empati sebagai unsur penting yang harus diterapkan dan
disuburkan dalam kalangan generasi muda supaya mereka menjadi generasi yang
mengambil berat terhadap orang lain. Lebih jauh lagi, Najib menyebut bahawa
atas rasa empati inilah maka kerajaan pimpinannya bertanggungjawab untuk
memikul moral mission untuk melindungi rakyat, memberi peranan dan
tanggungjawab pada rakyat dan meluhurkan etika kecemerlangan di kalangan
rakyat.
Persoalan mengenai 'empati' seperti
yang disebut Najib itu selari dengan pandangan B.Bery, sarjana sosiologi. Dalam
bukunya Race and Etnic Relationship (1965), Bery menyatakan dalam masyarakat
majmuk sikap empati yang tinggi amat didambakan bagi membina interaksi yang
harmoni dan aman. Menyedari hakikat itulah maka Najib dalam ucapannya itu
menyebut landasan demokrasi yang diamalkan di bawah kerajaan Barisan Nasional
(BN) adalah berlandaskan konsep empati, keprihatinan terhadap rakyat dan
bertindak secara bertanggungjawab. Najib juga menyebut bahawa prinsip
kebebasan, keseimbangan dan keadilan sentiasa ditekankan kerajaan supaya hak
untuk hidup di negara ini tidak dimonopoli sesuatu kaum. Sikap terlalu memusat
dan mengagungkan bangsa sendiri (etnosentrisme) akan membawa kepada pemisahan
dan ketegangan etnik yang tidak menguntungkan sesiapa. Sebaliknya ia boleh
melemahkan solidariti masyarakat. Setiap rakyat harus membuka ruang dan
perkongsian hidup serta tidak menyentuh perkara-perkara sensitif seperti yang
digariskan dalam Perlembagaan negara.
Perasaan syak wasangka tidak akan wujud
sekiranya semua pihak bertindak dan bersuara mengikut lunas-lunas Perlembagaan
negara. Justeru, amat tidak wajar ada suara-suara yang cuba membangkitkan
isu-isu sensitif seperti mempertikai hak istimewa orang Melayu, tuntutan untuk
menjadikan bahasa lain sebagai bahasa rasmi pendidikan dan sebagainya. Hakikat
yang harus diakui ialah semua kaum di negara ini menikmati pelbagai kebebasan
sepanjang 55 tahun pentadbiran kerajaan BN. Proses dan perjalanan sejarah
negara ini jelas membukti dan memberikan gambaran bahawa rakyat berbilang kaum
hidup saling menghormati, memahami dan bertolak ansur antara satu sama lain. Paras
toleransi yang tinggi antara kaum yang diterjemahkan melalui 'politik kompromi'
atau 'politik permuafakatan' BN menyebabkan kita kekal menikmati keharmonian
dan perpaduan hidup. Sejarah mampu membicarakan secara menyeluruh, objektif dan
empirikal tentang fakta ini.
Contohnya, sekolah-sekolah Cina
diizinkan beroperasi di negara ini selagi ia mematuhi undang-undang negara.
Sekolah-sekolah Cina inilah yang menjadi saluran pemupukan budaya kecinaan,
khususnya dalam memelihara bahasa dan budaya mereka. Kerajaan yang ditunjangi
UMNO tidak pernah menyekatnya. Orang Cina juga bebas dan paling banyak
menubuhkan persatuan-persatuan mereka. Persatuan-persatuan mereka ini lebih
mengutamakan usaha menyalurkan bantuan kepada masyarakat mereka sendiri. Kaum
Cina di negara ini juga kekal menguasai ekonomi, di samping terlibat aktif
dalam politik negara. 'Ketuanan ekonomi' mereka amat terserlah, malah disebabkan
penguasaan ekonomi inilah menjadikan kebanyakan bandar-bandar utama di negara
ini seolah-olah mengalami proses 'pencinaan'.
Kesimpulannya, sempena menyambut ulang
tahun kemerdekaan negara ke-55 ini maka seluruh pemimpin sama ada dari parti
kerajaan dan pembangkang serta rakyat jelata mensyukuri nikmat perpaduan yang
dikecapi selama ini. Semua pihak mesti berusaha memelihara perpaduan dan
keharmonian hidup dengan menghormati fasal-fasal yang termaktub dalam
perlembagaan berhubung perkara-perkara sensitif yang dilarang untuk disentuh
kerana ia boleh mengundang ketegangan kaum. Hayatilah kata-kata Najib ini:
"Hanya melalui kekuatan 'roh perpaduan' dapat kita lahirkan semangat
patriotisme dan jiwa besar rakyat merdeka, sedang teras patriotisme pula adalah
rasa keprihatinan mendalam di antara sesama warga negara".
Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
21 Ogos 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan