JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



21 Ogos 2012

ISU UMUM : MEMBINA JATI DIRI SUMBER MANUSIA HINGGA 60 TAHUN


Rencana ini ditulis oleh :
AMIR TAN


Apabila seorang pekerja mencecah tanda aras untuk bersara, iaitu berusia 55 tahun atau 60 tahun, pastinya mereka diselubungi oleh perasaan tidak tenteram berkaitan masa depan dalam kehidupannya sebagai seseorang insan. Persoalan yang bersarang dalam benak mereka adalah mungkinkah mampu bertahan menempuh kehidupan tanpa pekerjaan dan pendapatan tetap dari gaji bulanan? Kegusaran ini menjadi lebih serius sekiranya ketika itu terdapat penyakit kronik menyerang dirinya. Ini adalah fenomena biasa dalam dunia pekerjaan. Ia mesti dilalui oleh penjawat awam mahupun swasta tanpa mengambil kira pangkat atau kedudukannya semasa bekerja. Bersara atau berhenti kerja suatu pengalaman yang tidak terkecuali oleh sesiapapun. Ia adalah suatu realiti.

Bagi penjawat awam, kehidupan yang akan tempuhi mereka jauh berbeza dibandingkan dengan pekerja swasta. Mereka ini dilindungi skim pencen yang ditetapkan oleh kerajaan. Kadar pencen yang diperoleh mengikut jumlah gaji yang diterima ketika bersara. Jikalau besar, maka besar jumlahnya dan begitu sebaliknya. Sementara itu, pekerja swasta memperoleh sejumlah wang yang tersimpan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Sekiranya gaji bulanannya besar, maka simpanan dalam KWSP besar juga jumlahnya. Tetapi malang, dalam tinjauan rambang majoriti mereka hanya mampu bertahan lima atau sepuluh tahun sahaja. Selepas tempoh itu wang di tangan menjadi kosong dan penghidupan menjadi tertekan.

Berdasarkan fakta tersebut, maka suatu usaha yang serius perlu dilakukan supaya penghidupan pekerja swasta selepas bersara selamat dan selesa. Langkah melanjutkan tempoh bekerja sehingga usia 60 tahun sepatutnya menjadi kenyataan dan dapat dinikmati golongan pekerja swasta. Ia wajar dilaksanakan segera. Bagaimanapun, tempoh bekerja yang dilanjutkan dari usia 55 tahun kepada 60 tahun perlu diisi dengan skim-skim atau faedah perkhidmatan lain supaya mereka mampu meneruskan penghidupan yang baik dan sempurna selepas berada di luar dunia pekerjaan. Kementerian Sumber Manusia sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap kesejahteraan hidup kaum pekerja sewajarnya mewajibkan majikan memberi peluang kepada pekerja masing-masing mengikuti latihan separa profesional teknikal sebagai menambah nilai sumber manusia selepas bersara. Latihan-latihan itu perlu digabung dengan persediaan mental supaya jati diri mereka tidak mudah mengalah apabila berhadapan dengan cabaran hidup di luar dunia pekerjaan.

Sebagai usaha tokok nilai tambah terhadap skim-skim latihan, Kementerian Sumber Manusia juga perlu membentuk sebuah tabung berpusat dengan kerjasama Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) untuk membantu pesara swasta menampung kos rawatan perubatan dan pendidikan anak-anak pesara. Tabung berpusat ini mesti dikeluarkan dari geran awal kerajaan, MEF dan caruman para pekerja secara sama rata untuk menambah dana tabung berpusat berkenaan. Tabung berpusat ini mesti ditadbir urus oleh sebuah Lembaga yang terdiri daripada mereka yang berwibawa dan telus. Campur tangan politik terhadap tabung berpusat ini pula adalah paling minimum atau tiada langsung. Ciri-ciri ini dikira dapat menjamin tiada penyelewengan dan keyakinan golongan pekerja swasta terhadap tabung berpusat itu kukuh dan mereka terus memberikan caruman atau sumbangan.

KWSP yang selama ini menjadi kumpulan simpanan wang pekerja juga perlu mengambil langkah proaktif dengan menggubal Akta atau Peraturan membenar pesara mengeluarkan hanya 80 peratus sahaja daripada simpanan mereka. Baki 20 peratus disimpan oleh KWSP sebagai modal pelaburan pesara dan menikmati dividen yang diurus tadbir atau dilabur oleh KWSP. Walaupun pulangan dividen mungkin kecil, tetapi dapat menampung sebahagian kecil dari keperluan hidup pesara ia dikira sudah memadai. Kesejahteraan hidup pekerja, sama ada di sektor awam mahupun swasta bukan tergantung kepada kerajaan atau mana-mana badan yang ditubuhkan oleh kerajaan. Ia seharusnya bermula dari pekerja atau pesara itu sendiri. Justeru pekerja yang akan bersara mesti melihat ke dalam diri masing-masing sebelum realiti dunia persaraan terjadi. Setiap pekerja mesti mampu menilai keupayaan, bakat dan keistimewaan diri masing-masing. Apabila dikenal pasti, ciri-ciri itu mesti dipupuk supaya subur menjadi nilai tokok tambah jati diri. Dengan demikian, mereka mudah menempuh cabaran di dunia luar pekerjaan asal.

Sementara menunggu tiba tahun persaraan, seorang pekerja juga boleh mengintai-intai peluang pekerjaan baru dan berlainan supaya suasana baru boleh membentuk jati dirinya menjadi insan yang berkualiti menerusi iltizam yang tinggi. Semua ciri-ciri pembentukan diri yang tercatat bukanlah mudah dicapai. Tetapi sebagai pesara ataupun bakal pesara, mereka tiada pilihan untuk memacu penghidupan yang baik dalam dunia persaraan, melainkan berusaha membentuk jati diri sebagai insan yang berkualiti. Kualiti diri itulah dikatakan aset sumber manusia yang berharga. Persoalan yang timbul kini adakah dalam pasaran tenaga kerja kita memiliki jati diri yang berkualiti? Mungkinkah yang terdapat sekarang hanya kecil sahaja bilangannya, sementara bakinya terdiri dari mereka yang tercari-cari jati diri atau meraba-raba arah tujunya?

Mengambil kira senario dunia pekerjaan kini, ternyata Kementerian Sumber Manusia, MEF dan majikan belum dapat membentuk jati diri sumber manusia yang dikehendaki. Semua pihak yang terlibat masih mengharapkan penglibatan kerajaan walaupun mereka sedar penglibatan swasta dan pekerja sangat penting. Sikap seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana kerajaan hanya agensi penggerak, manakala pekerja sebenarnya menjadi pemangkin kepada pembentukan sumber manusia. Dengan komitmen kerajaan untuk melanjutkan tempoh bekerja sehingga usia 60 tahun di sektor swasta, ia menjadi pendorong supaya pekerja lebih komited dengan tanggungjawab masing-masing sebagai sumber manusia yang berkualiti. Namun, langkah itu bukanlah sesuatu yang muktamad untuk menyelesaikan kebimbangan pekerja swasta berhadapan dengan dunia persaraan mereka.

Formula itu hanya permulaan yang baik ke arah merungkai runtunan jiwa pekerja swasta. Bertitik tolak dari sini diharapkan lebih banyak lagi usaha positif dilakukan dan seterusnya mendorong pekerja swasta fokus serta produktif dengan pekerjaan mereka tanpa mengambil kira apa jua bidang profesion mereka. Bagi kaum pekerja, mereka tidak boleh menafikan sebahagian besar dari usaha Kementerian Sumber Manusia memanfaatkan penghidupan mereka sudah semakin menguntungkan. Sebagai sebahagian dari komponen pembangunan negara, sudah semestinya mereka perlu sentiasa produktif dari semasa ke semasa. Justeru mereka perlu memanfaatkan tempoh pekerjaan sehingga menjelang usia emas 60 tahun dan tempoh persaraan selepas itu. Inilah yang dikatakan insan yang memiliki jati diri tinggi terhadap diri dan dunia pekerjaannya.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
21 Ogos 2012

Tiada ulasan: