Rencana ini ditulis oleh :
Mohd Fadly Samsudin
Esok, Ramadan bakal sampai tiba ke
penghujungnya. Ramadan ternyata memberi kebahagiaan, di dalamnya ada kedamaian
malah jiwa kita begitu dekat kepada Maha Pencipta. Berdoalah selalu semoga
Allah mempertemukan kita Ramadan akan datang. Ganjaran pahala yang Allah
tawarkan pada bulan ini tidak mungkin ditemui di bulan lain. Allah
mensyariatkan puasa supaya nafsu kita dapat dikalahkan. Mengekalkan konsisten
selepas Ramadan itulah menjadi matlamat utama. Ia proses manusia kembali semula
kepada fitrahnya. Allah berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang
beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti orang-orang yang terdahulu.
Mudah-mudahan kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah ayat 183). Tarbiah Ramadan
terbukti mampu melahirkan manusia yang memiliki keperibadian tinggi. Semakin
tinggi nilai takwa seseorang, semakin banyak manfaat yang diberikan kepada
orang di sekelilingnya.
Berdasarkan hadis nabi, baginda
menjelaskan pintu syurga dibuka seluas-luasnya, manakala pintu neraka ditutup
serapat-rapatnya di sepanjang Ramadan ini. Keikhlasan akan melahirkan
kesungguhan dalam melaksanakannya serta mencapai apa yang diharapkan. Peluang
itu sentiasa terbuka buat kita semua walaupun Ramadan tahun ini hanya berbaki
sehari saja lagi. Perpisahan dengan Ramadan bermakna kita meninggalkan
kesempatan meraih pahala berlipat kali ganda selain ‘terlepas’ kesempatan
memperoleh keampunan Allah terhadap dosa yang tidak mampu kita kira banyaknya. Sebab
itu, jangan kita sia-siakan detik perpisahan ini. Teruskan amalan berzikir,
membaca al-Quran, munajat, memohon keampunan dari Allah. Renungi dan
menangislah kerana kita akan berpisah dengan kemuliaan dan keberkatan Ramadan.
Pensyarah Pusat Kajian Pengurusan
Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Shukri
Hanapi berkata, matlamat khusus puasa Ramadan adalah bagi menimbulkan rasa
ketakwaan kepada Allah SWT. “Ramadan
bermatlamat mendidik umatnya menjadi individu lebih beriman dan bertakwa
sepanjang masa, bukan untuk tempoh atau musim tertentu saja. Kejayaan tarbiah Ramadan boleh dilihat
daripada tingkah laku serta amalan dalam kehidupan seseorang. Umat Islam perlu
berusaha mengekalkan prestasi ibadah yang dilakukan sepanjang Ramadan ini dalam
bulan berikutnya supaya ia selari dengan matlamat khusus Ramadan,” katanya.
Beliau berkata, beberapa langkah boleh
diamalkan bagi mengekalkan istiqamah amal soleh selepas Ramadan. “Pertama,
sentiasa memohon pertolongan Allah supaya terus diberi hidayah dan keteguhan
iman. Allah memuji orang yang sering berdoa supaya sentiasa diberikan hidayah. Allah berfirman yang bermaksud, “(Mereka
berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati
kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami
limpah rahmat dari sisi-Mu; sesungguhnya
Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya” (Surah Ali ‘Imran ayat
8). Kedua, sentiasa menghadiri majlis
ilmu seperti kuliah agama, ceramah dan tazkirah. Ketiga, berusaha mengenali dan
menghayati sejarah hidup sahabat, tabi’in dan orang soleh melalui pembacaan
atau kuliah agama.
“Keempat, sentiasa menjaga dan
menitikberatkan perkara fardu seperti solat lima waktu dan mengqada’ puasa
Ramadan yang pernah ditinggalkan. Kelima,
sentiasa melakukan ibadah sunat walaupun sedikit. Rasulullah bersabda yang
bermaksud, “Amalan yang paling disukai Allah ialah amalan yang istiqamah
(berterusan atau konsisten) walaupun sedikit.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Keenam, memperbanyakkan berzikir kepada Allah dan sentiasa beristighfar kerana
ia adalah amalan yang mudah dilakukan. Manfaatnya sangat besar iaitu dapat
menguatkan iman dan hati. Ketujuh, melakukan taubat nasuha supaya tidak kembali
ke lembah kehinaan. Allah sangat suka kepada hamba-Nya yang bertaubat,”
katanya.
Menurutnya, Indeks Prestasi Utama
(KPI) puasa Ramadan dinilai berdasarkan perubahan tingkah laku dan amalan
seseorang Muslim yang menjalani ibadah puasanya. “KPI pekerja lebih bersifat kuantitatif,
manakala KPI puasa Ramadan bersifat kualitatif atau dalam bentuk yang tidak
boleh dihitung peratusannya. Manusia mudah menuruti apa saja keinginannya
meskipun keinginan itu sesuatu yang tidak baik, mengganggu serta merugikan
orang lain. Sebab itu, dalam Islam terdapat perintah supaya memerangi hawa
nafsu. Allah berfirman yang bermaksud,
“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai
Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya.” (Surah
al-Jathiyah ayat 23). “Puasa yang dilaksanakan membuatkan seseorang terus
mempertahankan keinginan yang baik, meskipun peluang melakukan penyimpangan
terbuka luas,” katanya.
Menurutnya, segala nikmat yang
dimiliki perlu di syukuri dengan membuat perbandingan dengan golongan lain yang
barangkali terpaksa mendapatkan sesuatu dengan penuh kesukaran. “Mengingati dan
merasakan penderitaan orang lain dapat memberikan keinsafan bagaimana beratnya
keperitan yang terpaksa mereka tanggung. Umat Islam di sesetengah negara ada yang tidak
mempunyai bekalan makanan, minuman dan barang keperluan harian seperti yang
berlaku di Syria, Palestin serta Rohingnya,” katanya. Beliau berkata, puasa
melahirkan sifat jujur dan amanah dalam diri yang berpaksikan takwa kepada
Allah. “Apabila sifat ini terbina dalam
diri, logiknya tidak akan timbul masalah mencuri tulang pada waktu bekerja,
datang lewat ke tempat kerja, pecah amanah, tidak jujur, rasuah dan
penyelewengan di kalangan umat Islam. “Tidak dinafikan, dalam bulan Ramadan
kita sentiasa menepati masa; berbuka tepat pada waktunya, begitu juga ketika
bersahur kita akan berhenti apabila tamat waktunya. “Lebih hebat lagi, kita
boleh menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid yang selama ini tidak mampu
dilakukan. Justeru, sifat menepati masa ini perlu dibawa setiap masa bukan pada
bulan Ramadan saja,” katanya.
Menurutnya, faktor ganjaran turut
memainkan peranan penting dalam membentuk tingkah laku dan amalan manusia
sepanjang Ramadan. “Terdapat pelbagai ganjaran dalam bulan Ramadan. Walaupun
ganjaran pahala itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar, namun kepercayaan
kita terhadapnya ditunjangi keimanan, nas dan dalil.“Pada penghujung Ramadan
umat Islam seharusnya semakin seronok meningkatkan amal ibadat. Orang berpuasa
seperti pelumba lari; semakin hampir ke garisan penamat, semakin laju
lariannya. “Jika tidak ada sikap ingin menang, cepat lemah semangat dan lalai,
sudah tentu mereka mudah tertewas. Sejarah kehidupan generasi salafus soleh
dulu, semangat beribadah mereka cukup tinggi hinggakan sanggup bergilir-gilir
tidur, bangun dan saling mengejutkan bagi memastikan mereka dapat melaksanakan
qiamullail.“Malah Perang Badar Kubra juga tercatat sebagai sejarah hebat buat
umat Islam kerana berlaku ketika tentera Islam berlapar dan dahaga kerana
berpuasa,” katanya.
Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Harian Metro
Jumaat, 17 Ogos 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan