18 Oktober 2012

ISU KESIHATAN : MASALAH OBESITI, KESIHATAN DAN MENGERJAKAN IBADAH


Rencana ini ditulis oleh :
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


Obesiti bukan lagi perkara biasa yang dapat diterjemahkan sebagai sihat secara fizikal. Namun ia telah menjadi masalah yang sinonim dengan penyakit tidak berjangkit yang lain. Obesiti merupakan satu masalah kesihatan awam yang serius kerana boleh melibatkan komplikasi penyakit lain yang dikategorikan sebagai penyakit moden. Paling membimbangkan, obesiti menular dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Walaupun bukan penyakit berjangkit tetapi pola pemakanan dan gaya hidup seseorang menyebabkan permasalahan terus merebak dalam sesebuah komuniti. Jika sedari kecil lagi telah mengalami masalah obesiti, tidak dikawal dan tidak mengambil usaha pencegahan, maka tidak mustahil Malaysia akan melahirkan lebih ramai generasi yang gebu, gemuk dan gempal (3G) pada masa akan datang. F

Fenomena 3G ini sudah pun berlaku tetapi ia mungkin akan berterusan sekiranya tiada langkah pencegahan yang mampu dirintis oleh masyarakat. Malah, lebih memburukkan lagi jika individu yang tidak memiliki kesihatan yang baik, tidak mampu menunaikan tanggungjawab untuk beribadah kepada Allah dengan sempurna. Umum mengetahui bahawa badan yang berat akan memenatkan. Beban berat badan akan memberi kelelahan kepada diri sendiri. Beribadah turut menjadi berat. Tidak mustahil kemalasan akan datang seiring dengan kepenatan dan terhadnya pergerakan. Penyakit akibat obesiti juga membataskan kemampuan untuk beribadah dengan sempurna. Jadi, obesiti memang memberi impak yang mendalam kepada ibadah dan tuntutan hidup yang lain.

Abu Hurairah pernah menukilkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Pada hari kiamat, akan datang seorang yang berbadan besar lagi gemuk. Namun, di sisi Allah timbangannya tidak melebihi berat sayap seekor nyamuk". Seiring itu, wajar kita mengambil iktibar bahawa beban membawa berat badan yang berlebihan akan menyebabkan kemalasan bersarang dalam diri seseorang. Ia menjadi penghalang untuk melaksanakan suruhan Allah dengan lebih sempurna, berkualiti dan optimum.

Namun, barangkali ada yang berpendapat, sekiranya makan dengan banyak maka akan menghasilkan tenaga dan stamina yang tinggi untuk beribadah. Malangnya, sifirnya tidak pernah sebegitu. Ramai di antara kita, apabila makan pasti berlebihan. Makan bukan sekadar untuk menguatkan diri malah akan membebankan perut dan diri secara fizikal. Ibn Hajar menyatakan dalam Fath al-Bari: "Kerana kebiasaan orang yang gemuk lemah kefahamannya dan berat untuk beribadah." Tambahan pula, The Annals of Neurology 2010 telah membuktikan bahawa wujudnya hubungkait antara saiz otak yang lebih kecil dan peningkatan risiko demensia dengan aras lemak yang lebih tinggi dalam badan. Maka, tidak dapat disangkal wujud kemungkinan jika seseorang mengalami masalah berat badan, daya ingatan dan penumpuan juga akan berkurangan.

Bukanlah menafikan bahawa faktor genetik juga menjadi punca obesiti. Namun, yang menjadi permasalahan kini ialah kebanyakan kita tidak mengamalkan gaya hidup sihat sedangkan ia merupakan tuntutan dalam ajaran Islami. Akhirnya menyumbang kepada masalah dan kemudaratan diri sendiri. Kadangkala kita menyedari tentang hal tersebut, namun masih lagi bertangguh untuk melakukan perubahan. Pada satu sudut lain, berapa ramai di antara ibu bapa pada hari yang menjadikan "electronic babysitter" seperti televisyen dan komputer menjadi teman rapat kepada anak-anak? Kajian menunjukkan bahawa semakin lama anak-anak meluangkan masa menonton televisyen, kecergasan otot mereka akan semakin berkurangan dan ukur lilit pinggang semakin meningkat disebabkan kegemukan apabila menghampiri usia remaja. Ia berpotensi menyebabkan masalah kesihatan apabila menginjak dewasa.

Dalam mendidik anak-anak, kadangkala ibu bapa tidak perasan bahawa mereka telah menyediakan satu spektrum pendidikan gaya hidup tidak sihat secara tidak formal. Antaranya membiarkan anak-anak menghabiskan masa di hadapan televisyen, tidak mempedulikan aktiviti kecergasan di luar dan tidak prihatin kepada apa jua jenis makanan yang anak-anak makan. Secara tidak sedar sebenarnya ibu bapa pada hari ini telah pun memulakan usaha mewujudkan generasi yang tidak sihat pada masa akan datang.

Anak-anak yang mengalami obesiti dan berlebihan berat badan akan cenderung untuk diejek oleh rakan sebaya. Ini akan memberi kesan kepada jati diri, menyebabkan tertekan dan kurang keyakinan terhadap penampilan diri. Dapatan kajian menunjukkan terdapat hubungan korelasi antara obesiti dan tekanan mental. Jika dilihat pada perangkaan Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan mendapati masalah tekanan mental kanak-kanak dan remaja meningkatkan sebanyak 20% pada tahun 2011 berbanding 13% pada tahun 1996.

Mungkinkah peningkatan statistik yang membimbangkan dan sering diperbahaskan ini adalah salah satunya berpunca daripada masalah obesiti yang berlaku dalam kanak-kanak dan remaja pada hari ini? Maka, kita wajar menilai semula apakah makanan yang dijamah dan disuapkan ke mulut pada setiap hari sama ada untuk diri mahu pun keluarga di bawah tanggungan kita. Sejauhmana ia memberi nilai tambah kepada kesihatan? Atau lebih buruk lagi kita tidak mampu mengubah pola pemakanan dan gaya hidup selama ini walaupun telah menyedari akan peri pentingnya menjaga kesihatan.

Ketahuilah bahawa walaupun berdikit-dikit dalam membuat perubahan ke arah kesihatan yang lebih baik akan memberi kesan yang besar daripada langsung tidak melakukan apa-apa tindakan. Mengawal berat badan, pemilihan makanan yang terbaik dan berkat, mengambil langkah-langkah pencegahan penyakit, adalah komitmen kita untuk memerangi obesiti dan penyakit tidak berjangkit lain daripada terus bermaharajalela. Semua usaha ini adalah untuk merangka dan merancang bagi mencapai kesihatan yang optimum agar ibadah yang kita laksanakan lebih baik dan berkualiti serta diterima oleh Allah.

Sumber
Utusan Malaysia
18 Oktober 2012

ISU ALAM SEKITAR : MALAPETAKA ALAM DAN PEMBANGUNAN


Rencana ini ditulis oleh :
SENATOR DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH,
Anggota delegasi Malaysia dalam Persidangan ASEP 7 di Vientiane juga ialah
Pakar Rujuk di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya


Ada tiga masalah besar dunia yang mendapat perhatian utama dalam persidangan antarabangsa di Vientiane, Laos pada 3 dan 4 Oktober lalu. Tiga masalah yang merunsingkan itu ialah perubahan iklim dan bencana alam, pembangunan mampan dan masalah-masalahnya, serta jurang yang semakin melebar antara yang kaya dan yang miskin.

Persidangan yang diadakan di ibu negara yang pernah dilanda perang berpanjangan itu dihadiri oleh lebih 200 orang ahli Parlimen dari 27 buah negara yang bergabung dalam ASEP (Asia-Europe Parliamentary Partnership) termasuk perwakilan dari negara-negara China, Rusia, Jepun dan Jerman. Hadir sama, perutusan khas Setiausaha Agung PBB dan wakil IMF. Perwakilan Malaysia diketuai oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang. Saya sendiri juga mendapat penghormatan sebagai seorang anggota delegasi Parlimen Malaysia.

Ketiga-tiga masalah di atas tentu sahaja saling berkaitan. Dan natijahnya, yang menjadi tumpuan keprihatinan para perwakilan dan pemerhati dalam persidangan itu, ialah: kelaparan atau keupayaan (kekurangan upaya) menyediakan makanan secukupnya untuk keperluan seluruh manusia yang mendiami buana ini. Pada tahun 2050 nanti, bilangan penghuni bumi ini memerlukan makanan sebanyak dua kali ganda daripada yang diperlukan sekarang. Sehubungan dengan kesukaran untuk menghasilkan makanan dua kali ganda itu ialah harga makanan yang semakin meningkat. Satu laporan yang dibentangkan dalam persidangan itu mengingatkan bahawa zaman makanan berharga murah (the era of cheap food) sudah berlalu. Semuanya itu adalah ancaman yang sangat gawat terhadap ekonomi dunia, terutama di negara-negara yang berpendapatan rendah.

Kerana itulah maka pembangunan mampan (sustainable development) amat diperlukan untuk memastikan pengeluaran makanan mencukupi dan kesejahteraan hidup terjamin. Maka, persidangan itu memilih tema "Perkongsian Asia-Eropah untuk Pembangunan Mampan" (Asia-Europe Partnership for Sustainable Development) Daripada ucapan-ucapan utama sidang pleno dan perbincangan-perbincangan khas sidang kelompok serta kertas-kertas maklumat yang diedarkan, jelaslah bahawa pembangunan mampan itu menghadapi banyak masalah. Ada masalah berpunca daripada bencana alam , terutama perubahan iklim dan mala petaka lain seperti tsunami, banjir besar, gempa bumi dan musim kemarau yang berpanjangan.

Semua itu bukan sahaja mengancam pembangunan mampan - dan dengan sendirinya mengancam usaha-usaha pengeluaran makanan yang mencukupi - malah juga telah mengakibatkan ratusan juta penduduk miskin di serata dunia mengalami korban nyawa dan harta benda. Hakikat itu diperjelaskan lagi oleh Utusan Khas Setiausaha Agung PBB, Ms Margareta Wahlstrom yang memaklumkan fakta dan angka berikut: Sepanjang 12 tahun lalu, bencana alam mengorbankan tidak kurang daripada 1.1 juta nyawa di serata dunia, terutama di negara-negara yang kurang maju. Harta benda yang musnah bernilai tidak kurang daripada 1.3 trilion Dolar Amerika (AS$1.300,000,000,000). Dan bilangan manusia yang menerima akibat secara langsung atau secara tidak langsung ialah 2.7 bilion orang.

Sepanjang 2011 sahaja kerugian ekonomi yang dialami oleh negara Asia-Pasifik akibat pelbagai bencana alam itu mencapai angka AS$294 bilion.

Contoh yang lebih khusus lagi ialah pengalaman pahit tuan rumah persidangan. Sepanjang tahun lalu sahaja, akibat bencana alam terutama banjir, Laos mencatat korban nyawa manusia seramai 30 orang dan kemusnahan serta kerosakan harta benda bernilai 1,764 bilion kip > AS$220.500.000. Banjir itu memusnahkan jalan raya, jambatan, sekolah, hospital, kawasan pelancongan serta loji-loji bekalan air dan elektrik. Satu contoh lain yang disebut ialah nasib malang Pakistan yang dilanda banjir besar berulang-ulang sejak beberapa tahun terakhir dan mengakibatkan 50 juta penduduk kehilangan rumah tempat tinggal. Tentu sahaja turut musnah pelbagai infrastruktur yang lain.

Itulah antara contoh bencana alam yang berpunca daripada perubahan iklim yang menjadi rintangan utama pembangunan mampan. Selain itu disentuh pula masalah yang berpunca daripada tingkah dan kerenah manusia: tamak haloba, bongkak dan angkuh serta perilaku yang tidak rasional termasuk kecenderungan bertindak semata-mata kerana dorongan emosi. Jika perubahan iklim mengakibatkan eko-sistem yang tidak stabil, maka kerenah manusia menyebabkan sistem politik tidak stabil dan kehidupan sosial menjadi kacau bilau. Ini termasuklah pengurusan kewangan, termasuk hutang awam. Dan semuanya itu adalah rintangan terhadap pembangunan mampan yang menyukarkan usaha menyediakan makanan secukupnya untuk umat manusia.

Berkait rapat dengan kerenah manusia itu adalah masalah jurang yang semakin melebar antara yang miskin dan kaya yang turut mendapat perhatian dalam ucapan beberapa perwakilan. Umpamanya perwakilan dari Indonesia, Haryono Isman, menyebut tentang pertumbuhan ekonomi dunia daripada AS$34 trilion 20 tahun lalu kepada AS$64 trilion pada masa sekarang. Begitu juga dalam masa 20 tahun itu perdagangan antara bangsa berkembang menjadi tiga kali ganda kepada AS$28 trilion. Tetapi pertumbuhan ekonomi dan perkembangan perdagangan semata-mata tidaklah memadai dan tidak akan menyelesaikan keseluruhan masalah jika tidak diikuti dengan pembahagian atau pengagihan yang merata dan saksama. "Ketidaksetaraan sekarang semakin menjadi-jadi sama ada antara satu negara dengan negara lain atau antara satu golongan dengan golongan lain dalam sesebuah negara," tegas Haryono.

Sehubungan dengan ketidaksetaraan itu, perwakilan juga diingatkan bahawa lebih satu bilion orang, iaitu satu per enam daripada seluruh penduduk dunia, sekarang sedang diancam oleh bahaya kelaparan tegar. Demikianlah masalah dan rintangan yang dihadapi dalam usaha merealisasikan pembangunan mampan itu. Justeru menyedari pelbagai masalah itulah maka perwakilan dalam persidangan tersebut sepakat untuk meningkatkan kerjasama antarabangsa yang lebih produktif. Sehubungan itu, Abu Zahar menyarankan supaya persidangan tersebut dimanfaatkan "untuk terus memupuk persamaan hasrat dan meneroka saluran-saluran kerjasama baru demi merealisasikan matlamat dan kepentingan bersama.

Selaras dengan saranan Abu Zahar itu, Persidangan ASEP di Vientiane tersebut dapat dianggap sebagai satu langkah positif "memupuk persamaan" dan "meneroka saluran-saluran kerjasama yang lebih kreatif dan produktif." Persidangan itu memberi kesempatan kepada para perwakilan bertukar-tukar nota dan pengalaman serta memperluas horizon dan perspektif. Dan bagi saya secara peribadi kehadiran dan penyertaan dalam persidangan itu, telah menimbulkan sejenis keinsafan dan sekali gus rasa syukur. Pendedahan kepada pelbagai masalah dan mala petaka yang di alami oleh negara-negara lain menyedarkan saya tentang betapa beruntungnya penduduk dan negara Malaysia yang secara relatif bebas daripada bencana alam, rata-rata bebas daripada kebuluran dan bebas daripada belenggu kemiskinan tegar.

Sehubungan itu, dalam sesi perbincangan mengenai isu-isu pengeluaran makanan, antara lain saya nyatakan: "Untuk masa ini, Malaysia tidak mengalami sebarang masalah kelaparan. Ekonomi negara kami masih berjaya membekalkan makanan untuk 28 juta orang rakyat tempatan dan untuk dua juta orang lagi pendatang asing yang mencari nafkah di negara kami". Secara berkias saya bayangkan bahawa Allah masih melindungi Malaysia daripada ditimpa pelbagai mala petaka alam. Yang membimbangkan sekarang adalah mala petaka buatan manusia yang mengancam kestabilan politik dan mengugut kerukunan hidup sosial dalam negara yang kami cintai.

Sumber
Utusan Malaysia
18 Oktober 2012

14 Oktober 2012

ISU BAHASA : KESAKSAMAAN PADA RAKYAT MELALUI BAHASA KEBANGSAAN


Rencana ini ditulis oleh :
Zin Mahmud


Semalam saya ternampak pintu gerbang baru didirikan di sebuah penempatan lama di Selangor yang dipercayai dibina secara rasmi dengan papan tandanya tertera nama kampung dalam tiga bahasa. Paling atas diletakkan nama kampung itu dalam Bahasa Malaysia, di bawahnya tertera tulisan Cina dan diikuti dengan Tamil. Secara praktikal sebenarnya, tidak perlu ditulis dalam tiga bahasa: Melayu, Cina dan India, lebih-lebih ia hanya untuk menunjukkan nama kampung itu. Cukup dengan tulisan Bahasa Malaysia dan pastinya semua orang dapat membacanya. Sudah tentu semua rakyat Malaysia tahu membaca tulisan Melayu rumi lebih-lebih lagi untuk nama tempat.

Malah mereka yang bukan warganegara seperti pendatang dari Indonesia, Bangladesh, Nepal, Filipina, Vietnam, Myanmar dan Nepal juga boleh membaca tulisan Bahasa Malaysia sekurang-kurangnya bagi nama tempat. Jadi, apa perlunya papan tanda nama tempat itu ditulis dengan tiga bahasa? Maka dapat dianggap bahawa tindakan untuk meletakkan tiga bahasa itu adalah atas semangat kepelbagaian bahasa dengan menghargai bahasa-bahasa selain Bahasa Malaysia. Sebagai negara demokrasi sesiapa pun bebas menggunakan bahasa apa sekalipun. Ditambah pula semua warganegara adalah bertaraf saksama, maka begitu jugalah bahasa yang digunakan di negara ini.

Dalam pada itu Bahasa Malaysia tetap diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dan didaulatkan. Sebab itulah dalam mendirikan papan tanda di atas pintu gerbang itu, tulisan Bahasa Malaysia diletakkan di atas sekali dengan saiz yang besar. Sementara bahasa Cina diletakkan kecil sedikit iaitu di tempat kedua, diikuti dengan bahasa Tamil. Sekali lalu, dilihat tindakan seperti ini telah memberi penghormatan kepada ketiga-tiga bahasa dan seterusnya kepada ketiga-tiga kaum utama negara ini. Namun, jika diteliti secara mendalam lagi, apa yang dianggap sebagai amalan kepelbagaian bahasa dan kepelbagaian kaum ini adalah pada hakikatnya bersifat perkauman dan meletakkan satu kaum di atas kaum lain. Cuba lihat apabila amalan meletakkan bahasa Melayu, paling atas dan diikuti dengan tulisan Cina dan Tamil, maka ia seolah-oleh meletakkan kedudukan paling tinggi kepada bahasa Melayu, diikuti dengan Cina dan Tamil.

Mungkin bahasa Melayu wajar diutamakan 
kerana ia adalah Bahasa Malaysia dan menjadi 
bahasa kebangsaan. Tetapi kedudukan itu juga meletakkan bahasa Cina pada kedudukan 
lebih tinggi daripada bahasa Tamil.

Majoriti

Ataupun mungkin ia dilihat dari sudut majoriti penduduk. Maka orang Melayu merupakan kaum paling ramai bilangannya, maka sebab itulah bahasa Melayu diutamakan, diikuti dengan kaum Cina yang bilangannya kedua terbesar dan akhirnya India yang mana bilangannya paling sedikit. Tetapi pemahaman ini adalah tidak tepat. Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan bukan kerana bilangan orang Melayu adalah paling banyak di negara ini. Bahasa Melayu dipilih menjadi bahasa kebangsaan dan kemudiannya dikenali sebagai Bahasa Malaysia kerana ia merupakan bahasa penghubung dan penyatu rakyat negara ini. Pada awalnya bahasa Melayu memang sudah menjadi lingua franca yang digunakan oleh semua kaum untuk berhubung antara satu sama lain. Dengan bahasa inilah, semua penduduk negara ini boleh saling memahami. Ia tidak ada kaitan dengan hegemoni bahasa Melayu ataupun kaum Melayu.

Hakikatnya, dengan bahasa Melayu, semua rakyat negara ini berada pada kedudukan saksama kerana dapat berhubung secara setaraf di antara satu sama lain. Ia juga melenyapkan perbezaan dan pengasingan antara tiga kaum di negara ini, iaitu Melayu, Cina dan India kerana semuanya menggunakan Bahasa Malaysia. Tambahan pula rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan bukannya tiga kaum saja, Melayu, Cina dan India. Banyak lagi kaum lain di negara ini. Dari segi bahasa pula, bahasa Cina juga bukannya satu tetapi terdapat pelbagai dialek iaitu Hokkien, Kantonis, Hakka dan lain-lain. Sementara tidak semua kaum India bertutur Tamil. Ada yang berbahasa Telugu, Malayalam, Punjabi dan macam-macam lagi.

Amalan mengasing-asingkan penduduk Tanah Melayu kepada tiga kaum ditambah pula dengan tiga bahasa berlaku pada zaman penjajahan. Maka pada zaman sebelum kemerdekaan itu, empat bahasa digunakan iaitu Inggeris, Melayu, Cina dan India. Sudah tentu Inggeris dianggap sebagai bahasa pentadbiran dengan tiga bahasa lain iaitu Melayu, Cina dan India dipandang sebagai bahasa vernakular atau bahasa tempatan. Ketika mana dibuat papan tanda, maka akan disusun sesuatu kenyataan itu menurut tiga peringkat. Yang atas sekali adalah Inggeris, diikuti dengan bahasa Melayu tulisan jawi, bahasa Cina dan bahasa Tamil. Maka susunan bahasa mengikut tahap kedudukan kaum di Tanah Melayu ketika itu.

Tetapi kemerdekaan negara meletakkan 
semua warganegara setaraf dengan penggunaan 
satu bahasa kebangsaan bersama.

Sumber
Utusan Malaysia
14 Oktober 2012

ISU PENGGUNA : BOIKOT PENIAGA DAN PENGUSAHA TAMAK


ROHAMI SHAFIE
NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Sukar dipercayai satu ketika dahulu harga kuih-muih serendah lima sen sahaja tetapi kini sekurang- kurangnya 40 sen, sementara saiznya pula lebih kecil. Melihat kemelesetan ekonomi dunia pada 1990-an dan sekitar 2007, mungkin fenomena kenaikan harga tidak boleh dibendung terutama apabila nilai mata wang ringgit jatuh mendadak ketika itu. Namun, tidak kurang juga kes-kes peniaga, peruncit dan orang tengah yang tamak menaikkan harga dengan pelbagai alasan tidak munasabah atau tidak berkaitan langsung dengan produk atau perkhidmatan mereka. Ekoran pembentangan Bajet 2013 baru-baru ini, trend itu dilihat muncul semula dengan menggunakan alasan pemberian imbuhan oleh kerajaan, bonus mahupun harga gula naik selepas subsidi dikurangkan.

Trend itu sebenarnya sudah bertahun-tahun berulang setiap kali pembentangan bajet, pengumuman kenaikan imbuhan, pemberian bonus, kenaikan harga minyak, pilihan raya dan bermacam faktor lain yang boleh dijadikan alasan. Tidak cukup mengaut untung besar dengan menggunakan pekerja asing yang dibayar gaji rendah, peluang memerah setiap sen daripada pelanggan tidak akan dilepaskan. Walaupun peniaga, peruncit mahupun orang tengah yang mengamalkan trend keji itu adalah kumpulan minoriti yang tamak, namun jumlahnya kini semakin meningkat sehinggakan ramai pengguna terpaksa menanggung beban. Mereka inilah yang paling bising apabila kerajaan menggerakkan pelbagai program rakyat seperti kedai runcit, kedai ikan, kedai kain, kedai buku, klinik rakyat, rumah mahupun menu rakyat bagi menyekat tindakan mengaut untung mudah.

Boleh dikatakan semua benda mahu dinaikkan harganya. Namun begitu, kenaikan harga makanan sama ada yang sudah dimasak di kedai dan restoran atau bahan basah di pasar menjadi contoh terbaik kerana secara langsung kenaikan itu memberi kesan kepada pengguna setiap hari. Mengambil contoh mudah, air kosong (tanpa ais) yang sepatutnya diberi percuma dikenakan bayaran 20 sen dan di sesetengah kedai dicaj sehingga RM1.50 atau lebih, kononnya atas dasar kedai makan eksklusif, sedangkan cuma kedai mamak biasa sahaja. Apabila kerajaan mengurangkan subsidi gula sebanyak 20 sen sekilogram, perlukah harga air minuman dinaikkan 20 sen juga bagi setiap gelas atau cawan? Adakah segelas atau secawan minuman manis diisi dengan sekilo gula? Tidak kurang juga harga makanan seperti lauk-pauk dinaikkan atas alasan serupa tetapi kebiasaannya dalam gandaan 50 sen bagi memudahkan kiraan.

Jika harga minyak RON97 dinaikkan juga, semua harga barang mahu dinaikkan lagi kononnya kos pengangkutan meningkat, sedangkan lori-lori menggunakan diesel. Apa pula keperluan menaikkan harga jika gaji ditingkatkan atau bonus diumumkan? Adakah pengumuman itu juga 'menambah kos' perniagaan? Itu belum lagi ditambah dengan perbuatan menyorokkan bekalan bagi meningkatkan harga di pasaran. Secara logiknya, tidak ada sebab untuk menaikkan harga barang disebabkan pengurangan subsidi, bonus, gaji mahupun kenaikan harga minyak yang hanya meningkatkan kos kepada tauke-tauke yang memandu kereta mewah. Alasan tidak mampu menampung kos juga umpama penipuan jelas kerana jika benar tidak mampu sudah tentu syarikat atau pengusaha akan gulung tikar dan bukannya menambah lagi cawangan di seluruh negara.

Dalam hal ini, bukan semua peniaga itu tamak haloba dan gemar menaikkan harga sesuka hati tetapi komuniti peniaga juga perlu bekerjasama dalam memantau peniaga lain yang memilih jalan keji untuk mengumpul kekayaan. Orang ramai pula seperti sudah malas untuk mengadu kerana tidak nampak tindakan tegas diambil tetapi secara diam, ramai yang memboikot peniaga-peniaga yang tamak itu. Peniaga yang jujur boleh mengambil kesempatan trend itu dengan mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka yang tidak dinaikkan harga bagi menarik pelanggan dan memberi alternatif yang lebih besar kepada orang ramai. Hakikatnya, perbuatan menaikkan harga barang dan perkhidmatan sesuka hati umpama menggali kubur sendiri kerana pengguna kini lebih peka dan tahu hak mereka.

Jika tamak dan tidak sabar mengumpul kekayaan dengan memerah orang lain, lambat-laun peniaga, peruncit mahupun orang tengah yang pentingkan diri ini akan ditinggalkan kerana pengguna akan mencari produk atau perkhidmatan serupa di tempat lain. Ditambah dengan pelbagai kemudahan baru disediakan kerajaan, golongan peniaga tamak mungkin dapat dihapuskan jika mendapat kerjasama rakyat dan komuniti peniaga. Pihak berkuasa pula jangan tunggu sehingga banyak laporan diterima, bergeraklah secara proaktif dan siasat setiap kes yang dilaporkan atau sekurang-kurangnya dedahkan peniaga manakah yang tamak haloba itu agar rakyat dapat bersatu memulaukannya.

Sumber
Utusan Malaysia
14 Oktober 2012

12 Oktober 2012

ISU UMUM : MALAYSIA PERLU PEKERJA BERKUALITI DAN BERKEMAHIRAN TINGGI


Rencana ini ditulis oleh :
ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan
Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) dan Felo Penyelidik,
Institut Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia


Umum mengetahui Singapura adalah satu-satunya negara maju di rantau Asia Tenggara. Bagaimana ekonomi Singapura dipacu sehingga mencapai status ekonomi negara maju? Salah satu strategi yang digunakannya adalah dengan menarik bakat-bakat terbaik di seluruh dunia terutamanya negara China dan India bekerja memajukan dan menyumbang idea untuk ekonomi Singapura. Natijahnya, rakyat Singapura sendiri berasa mereka dipinggirkan oleh kerajaan. Maka, tercetuslah rungutan dan keluhan rakyat Singapura bahawa bakat-bakat negara lain telah mengambil alih peranan mereka. Meskipun kebanyakan bakat luar adalah sebangsa dengan mereka, namun bukan bermakna rakyat Singapura berasa mereka lebih selamat dengan kehadiran bakat-bakat luar yang sama warna kulit.

Perkara sama juga berlaku di Malaysia. Cuma bezanya kualiti warga asing yang bekerja di Singapura dengan warga asing yang mencari rezeki di Malaysia. Umum mengetahui negara kita berada di landasan yang betul untuk menjadi negara maju. Maka, berpusu-pusu warga asing datang mencari rezeki di Malaysia. Mereka ini kebanyakannya mempunyai latar belakang pendidikan yang rendah. Maaf cakaplah dalam kebanyakan keadaan mereka ini telah menyebabkan rakyat Malaysia sendiri berasa berada di negara asing. Jumlah yang terlalu ramai tetapi kualiti yang ada tidaklah sehebat seperti warga asing yang bekerja di Singapura. Jadi apakah pekerjaan yang mereka lakukan? Di kebanyakan sektor mereka hanya bekerja sebagai pekerja bawahan yang bersifat buruh. Sumbangan mereka ini tidak begitu besar terhadap negara kita. Berbeza 15 tahun yang lalu kualiti pekerja sebegini amatlah diperlukan kerana daya saing negara bergantung pada kos buruh yang rendah.

Tetapi kini negara kita berada pada tahap ekonomi sederhana dan menuju ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, maka daya saing berdasarkan kos buruh yang rendah tidak memberi impak besar terhadap ekonomi negara. Malaysia memerlukan pekerja yang berkualiti dan berkemahiran tinggi. Ekonomi negara memerlukan lebih ramai para pekerja yang berinovasi, kreatif dan produktif. Hanya pekerja yang mempunyai bakat luar biasa sahaja yang mampu memberi idea di luar kotak dan pada masa sama idea itu boleh dilaksanakan untuk memajukan ekonomi negara. Jadi, apa perlunya begitu ramai warga asing di Malaysia? Sudahlah mereka ini tidak begitu menyumbang terhadap ekonomi negara, perniagaan penduduk tempatan pula diambil alih oleh mereka sedangkan ia adalah hak mutlak rakyat Malaysia.

Dilaporkan bahawa ramai warga asing yang berniaga dan perniagaan mereka telah menjana keuntungan yang amat besar terhadap mereka sehinggakan sebanyak RM6 bilion setahun mengalir keluar ke negara asing. Sekali lagi, ekonomi negara kita mengalami kerugian besar. Jumlah ini cukup besar untuk membantu golongan miskin warga tempatan. Yang menjadi masalahnya, di manakah penguat kuasa-penguat kuasa yang diamanahkan untuk membanteras kegiatan perniagaan warga asing yang menyalahi undang-undang negara kita? Adakah mereka tidak nampak atau buat-buat tidak nampak sedangkan warga asing berniaga secara terang-terangan dan berleluasa?

Nak salahkan warga asing seratus peratus pun tak boleh sebab kita sendiri telah menyebabkan aktiviti perniagaan mereka menjadi-jadi sampaikan mengalahkan usahawan tulen tempatan. Bukankah sepatutnya kita mempertahankan usahawan tulen tempatan? Begitu juga ramai peniaga tempatan sanggup mengalibabakan perniagaan kepada warga asing. Ini seolah-olah sudah menjadi tabiat segelintir peniaga kita. Mahu untung segera dalam jangka masa pendek. Mereka ini tidak fikir panjang. Mereka ini juga tidak bersyukur kerana ramai lagi usahawan tulen tempatan yang sanggup berniaga sepenuhnya dan bukan mencari untung atas angin. Lebih baik mereka ini tidak dibenarkan berniaga seumur hidup kerana telah merugikan negara. Kerajaan perlu tegas dengan perkara ini. Jika tidak, jangan menyesal satu hari nanti warga asing mengawal ekonomi Malaysia. Perkara ini tidak mustahil boleh berlaku kalau kita berdiam diri sahaja.

Suka menjadi penonton berbanding menjadi penggerak utama ekonomi negara. Sudahlah warga asing ini mula menguasai perniagaan-perniagaan di Malaysia, jenayah pula semakin bertambah. Berapa banyak kes warga tempatan terutamanya wanita diganggu oleh Awang Hitam? Bagaimana mereka ini sebegitu berani mengganggu penduduk tempatan jika tidak kerana jumlah mereka semakin ramai. Ini belum diambil kira kes-kes jenayah berat seperti merompak, membunuh dan merogol. Rakyat tertanya-tanya sampai bilakah perkara ini akan berakhir? Kita tidak boleh lagi mengharapkan warga asing memberi sumbangan besar terhadap ekonomi negara kita. Warga tempatan sepatutnya memberi sumbangan besar. Dengan tertubuhnya Talent Corporation, dijangkakan ramai bakat-bakat luar biasa warga Malaysia yang bekerja di luar negara akan kembali menyumbang bakti di Malaysia.

Tetapi perlu diingat bagaimana pula dengan  
bakat-bakat sedia ada di Malaysia? Mereka ini 
sepatutnya diutamakan dan bukannya bakat-bakat 
'asing' yang bekerja di luar negara, jauh sekali 
warga asing yang banyak menyusahkan rakyat 
dan merugikan ekonomi negara kita.

Sumber
Utusan Malaysia
12 Oktober 2012

11 Oktober 2012

ISU KESIHATAN : TANGANI SAKIT MENTAL SEPERTI PENYAKIT SERIUS YANG LAIN


Rencana ini ditulis oleh :
TAN SRI LEE LAM THYE
Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental.


Promosi dan peningkatan kesihatan mental di kalangan rakyat Malaysia dari semua golongan umur harus diberikan keutamaan dan dijadikan sebahagian agenda utama kesihatan nasional berkaitan isu-isu kesihatan yang perlu ditangani. Masalah kesihatan mental terutamanya yang berkaitan tekanan mental hendaklah ditangani segera supaya stress, kemarahan dan keganasan, kemurungan dan cubaan bunuh diri dapat dielakkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mendedahkan baru-baru ini bahawa masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di negara ini berada pada tahap membimbangkan.

Prevalen masalah kesihatan mental dalam kalangan orang dewasa adalah 11.2% dalam tahun 2006 berbanding 10.6% dalam 1996 dan prevalen masalah kesihatan mental di kalangan kanak-kanak dan remaja adalah 20.3% berbanding 13.0% dalam 1996. Selain itu, prevalen masalah kesihatan mental di kalangan wanita 12.1% dan di kalangan lelaki adalah 10.4%. Prevalen masalah kesihatan mental paling tinggi di kalangan kumpulan umur 70 -74 tahun, iaitu 19.5% dan diikuti dengan kumpulan umur 16 - 19 tahun adalah 14.4%. Prevalen masalah kesihatan mental lebih tinggi di kalangan mereka yang bujang adalah 13.1% dan diikuti balu 12.2% dan bercerai adalah 13.6% berbanding yang statusnya berkahwin sebanyak 10.5%. Selain itu, prevalen masalah kesihatan mental paling tinggi di kalangan mereka yang tiada pendidikan iaitu 16.6%.

Peningkatan pada tahap tekanan dan tanggungjawab sosial yang rumit adalah di antara faktor-faktor yang menyebabkan lebih ramai orang mengalami masalah mental. Tekanan yang berlebihan akan memberi kesan yang serius kepada kesihatan mental dan kehidupan seharian kita. Tiada negara atau individu yang terkecuali daripada gangguan mental dan kesannya ke atas keadaan psikologikal, sosial dan kesan terhadap ekonomi juga tinggi. Kesihatan mental tidak lagi boleh diabaikan sebaliknya ia perlu diberikan perhatian sama seperti masalah kesihatan lain.

Kesihatan mental bukan sekadar berkenaan 
penyakit mental. Ia adalah perasaan kesejahteraan, keupayaan menghadapi cabaran dan untuk 
memastikan sikap positif terhadap diri sendiri.

Promosi kesihatan mental boleh diperkenalkan di sekolah untuk menyediakan pelajar-pelajar menghadapi tekanan mental di sekolah dan kaedah menanganinya dengan baik, terutamanya semasa menduduki peperiksaan. Di antara aktiviti untuk mempromosikan kesihatan mental yang boleh dilakukan di sekolah termasuklah meningkatkan pemahaman mengenai kesihatan mental di kalangan warga sekolah melalui sesi ceramah, pameran dan kuiz atau pertandingan yang boleh dilakukan sebagai aktiviti kurikulum tambahan yang melibatkan PIBG dan kelab-kelab sekolah. Lebih ramai kaunselor yang terlatih dengan kemahiran dan teknik untuk memimpin dan membantu pelajar-pelajar menangani masalah tekanan atau stress sangat diperlukan. Isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar perlu ditangani segera. Sekiranya mereka tidak mendapat bantuan, negara kita akan menanggung beban satu generasi yang menghadapi masalah kesihatan mental yang serius di dalam suasana persaingan global yang kian meningkat.

Kita tidak dapat menidakkan bahawa sistem persekolahan yang berorientasikan peperiksaan menyebabkan tekanan daripada ibu bapa ke atas anak-anak untuk berjaya di sekolah. Kita perlu menerapkan sikap percayakan diri sendiri kepada anak-anak supaya kegagalan atau kekecewaan dapat dilihat sebagai peluang untuk mencuba lagi dan bukan sebagai kekurangan atau kelemahan diri. Pendidikan dan promosi ke atas kesihatan mental yang bertujuan mengekang peningkatan masalah psikososial dalam kalangan masyarakat, adalah amat penting, selari dengan aspirasi kita untuk menjadi negara maju yang sudah semestinya akan memberi tekanan hebat kepada kita untuk menjalankan tanggungjawab dalam kehidupan seharian.

Gangguan mental dan penyakit mental lain 
adalah satu peringatan pahit di dalam kehidupan yang tidak sepatutnya kita abaikan di dalam usaha untuk mencapai status negara maju.

Sumber
Utusan Malaysia
11 Oktober 2012

10 Oktober 2012

ISU PENDIDIKAN : SEKOLAH SATU SESI DILAKSANA LIMA TAHUN LAGI



Sistem satu sesi persekolahan dijangka dapat dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata buat masa sekarang, kurang 20 peratus daripada keseluruhan sekolah di seluruh negara yang masih mengamalkan sistem persekolahan dua sesi. Katanya sejak sekian lama, kerajaan mahu melaksanakan sistem satu sesi di seluruh negara kerana ia lebih sesuai untuk pembelajaran di negara ini tetapi perlu menambah bilangan bilik darjah dan mengatasi masalah kekurangan guru.

"Bilangan bilik darjah jadi masalah kerana di sesetengah tempat kita tidak meramalkan bilangan pelajar meningkat dengan begitu besar sekali. Jadi, terpaksa diadakan 
dua sesi iaitu pagi dan petang,"

Beliau berkata kepada pemberita selepas membuat tinjauan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia, di sini. Muhyiddin berkata, pelaksanaan sistem persekolahan satu sesi penting kerana tempoh masa boleh dilanjutkan dengan menambah satu atau dua jam untuk mata pelajaran Matematik, Sains atau Bahasa Inggeris. Muhyiddin berkata Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 juga mensasarkan pelaksanaan sistem persekolahan satu sesi sepenuhnya sekiranya mendapat peruntukan yang besar

"Itu mudah dilakukan kerana mereka tidak perlu 
pulang lebih awal seperti yang dilakukan oleh sekolah-sekolah swasta. Aktiviti kokurikulum juga dapat diadakan pada waktu petang sekiranya sistem persekolahan 
satu sistem dilaksanakan,"

Sumber
Utusan Malaysia
10 Oktober 2012

ISU BAHASA : BAHASA "ROJAK" HAKIS KEKUATAN BAHASA KEBANGSAAN



Penggunaan Bahasa Melayu “rojak" yang berleluasa dalam kalangan masyarakat adalah satu kes kehilangan bahasa, yang mana jika tidak dibendung akan beransur-ansur menghakis kekuatan bahasa itu sendiri. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kehilangan bahasa boleh berlaku pada tahap masyarakat umum, apabila sejumlah besarnya tidak fasih lagi menggunakan bahasa ibunda atau bahasa etnik mereka sepenuhnya, sama ada secara lisan atau tulisan.

"Dengan adanya kecanggihan alat media 
dan komunikasi seperti siaran radio, televisyen, internet, khidmat pesanan ringkas (SMS), laman sosial seperti facebook dan twitter, sering kali ejaan dan sebutan tidak digunakan dengan betul. Penggunaan Bahasa Melayu yang betul dilihat semakin dipinggirkan dalam mengharungi dunia globalisasi. Ini merupakan satu petanda yang amat buruk bahawa bangsa berkenaan sedang mengalami kehilangan bahasa,"

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2012, di Stadium Tertutup Nilai pada 10 Oktober 2012. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, masyarakat perlu berhenti daripada berasa malu menggunakan bahasa kebangsaan dan menggunakannya dengan rasa bangga dalam kehidupan seharian seperti sewaktu menghadiri persidangan, mesyuarat, menulis laporan atau berbual dengan rakan sekerja. Katanya, setelah negara merdeka sejak 55 tahun lalu, tidak ada alasan untuk masyarakat untuk tidak memahami bahasa kebangsaan, sehinggakan terpaksa menggunakan Bahasa Inggeris terutama dalam majlis-majlis yang dianjurkan.

"Bukanlah bermakna Bahasa Inggeris tidak penting, tetapi jika kita tidak menggunakan bahasa kebangsaan, bermakna kita tidak memartabatkan bahasa kita. Sekiranya kita tidak memartabatkan bahasa kita, masakan orang lain akan melakukannya,"

Sumber
Utusan Malaysia
10 Oktober 2012

ISU EKONOMI : MERAMAIKAN USAHAWAN HEBAT


Rencana ini ditulis oleh :
ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan
Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) dan
Felo Penyelidik Institut Keusahawanan dan Koperasi Universiti Utara Malaysia


Pelaburan langsung domestik (DDI) mula mendapat tempat dalam struktur ekonomi Malaysia. Tidak sebagaimana 20 tahun lalu, negara kita terlalu bergantung pada pelaburan langsung asing (FDI) berasaskan kos buruh yang rendah yang akhirnya mengundang ketidakseimbangan ekonomi apabila krisis ekonomi melanda dunia. Sebagai contoh, krisis ekonomi Asia pada 1997/98, krisis subprima Amerika Syarikat (AS) dan krisis hutang zon Eropah menjadikan DDI begitu penting melestarikan ekonomi negara. Negara tidak boleh terlalu bergantung dengan FDI kerana jika krisis ekonomi dunia berlaku, ekonomi negara kita juga akan terjejas teruk. Maka antara strategi terbaik dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara pada masa kini dan mendatang adalah meningkatkan keupayaan sektor pelaburan swasta tempatan ke tahap global.

Bajet 2013 banyak menyentuh mengenai perkara ini. Umpamanya, kerajaan menyediakan Dana Strategik Pelaburan Domestik bernilai RM1 bilion bagi memanfaatkan aktiviti penyumberan luar dan pemerolehan teknologi untuk syarikat tempatan. Selain itu, Bajet 2013 memberi tumpuan khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan pelancaran Pelan Induk PKS (2012-2020) yang berasaskan inovasi dan produktiviti serta berimpak tinggi. Fokus PKS juga terarah dalam industri halal dengan Dana Industri Halal sebanyak RM200 juta disediakan bagi membiayai modal kerja PKS yang terlibat secara langsung dengan industri halal. Prospek industri halal amat cerah dengan pertambahan permintaan terhadap produk-produk halal di peringkat global. Lebih-lebih lagi negara kita mempunyai kekuatan tersendiri dalam mengeluarkan produk-produk halal berbanding negara-negara lain.

Satu perkara yang amat menarik dalam Bajet 2013 adalah golongan penjaja dan peniaga kecil tidak dipinggirkan. Tidak mustahil mereka ini juga bakal menjadi usahawan hebat suatu hari nanti, maka nasib mereka juga sewajarnya dibela. Skim perlindungan insurans berkelompok yang berjumlah RM16 juta setahun dibiayai oleh kerajaan bertujuan melindungi penjaja dan peniaga kecil jika sekiranya berlaku kemudaratan diri, hilang upaya serta kematian. Skim ini secara tidak langsung boleh merangsang kekuatan kepada para penjaja dan peniaga kecil untuk melipat kali ganda usaha mereka dalam perniagaan. Ada di antara mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, maka, dengan kewujudan skim begini, mengurangkan kerisauan mereka jika sekiranya berlaku malapetaka ke atas mereka.

Di samping itu, bagi membantu mereka dalam selok-belok perniagaan, program Business in Transformation dilancarkan bagi memberi bimbingan mengenai konsep perniagaan baru seperti kedai bergerak, kios dan perniagaan atas talian. Bimbingan seperti ini memberi satu pendedahan baru kepada mereka mengenai kepentingan teknologi maklumat terbaru dan strategi peniagaan moden. Ini kerana kebanyakan penjaja dan peniaga kecil masih mengekalkan perniagaan cara tradisional yang sukar untuk mengaut keuntungan yang lebih lumayan. Umpama mereka mungkin tidak menyedari mengenai pemasaran atas talian yang skop pasaran lebih luas, murah, cepat dan mudah. Dengan cara ini, produk-produk mereka berkemungkinan besar boleh mendapat tempat bukan sahaja dalam pasaran tempatan tetapi juga boleh memasuki pasaran global.

Dari sudut kewangan pula, kerajaan telah menyediakan dana melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) yang boleh dipohon oleh usahawan kecil. Dana ini banyak membantu usahawan kecil memulakan dan memajukan peniagaan mereka. Walaubagaimanapun, satu aspek yang perlu diambil kira oleh mereka adalah kemahiran mengurus kewangan. Ramai di antara usahawan kecil dan sederhana bahkan usahawan besar sekalipun telah gagal mengurus kewangan mereka sebaik mungkin. Sebagai contoh, masih ramai usahawan kecil yang tidak mengetahui cara-cara merekodkan kewangan mereka secara sistematik. Rekod-rekod kewangan perniagaan mereka tidak teratur sehingga memberi implikasi besar terhadap perniagaan seharian mereka. Perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana mengurus kewangan perniagaan tidak sebagaimana mengurus kewangan peribadi dan jika tersilap langkah boleh memudaratkan perniagaan tersebut dalam tempoh jangka masa panjang.

Satu lagi komponen yang begitu penting dalam perniagaan selain pemasaran dan kewangan adalah kualiti produk dan perkhidmatan. Maka, para peniaga kecil dan sederhana yang inginkan kejayaan sebagai usahawan hebat perlu fokus kepada kualiti produk dan perkhidmatan mereka. Sering kali mereka ini tersilap caturan dalam menjaga kualiti produk dan perkhidmatan mereka. Sebagai contoh, kegagalan peniaga makanan untuk mengekalkan kelazatan makanan yang dijual boleh menyebabkan pelanggan tetap mereka tidak lagi mengunjungi gerai mahupun restoren mereka. Begitu juga, sekiranya makanan tersebut gagal disediakan dengan segera boleh menyebabkan pelanggan 'lari' ke gerai mahupun restoran lain. Kegagalan ini berkemungkinan besar meniti dari mulut ke mulut pelanggan lain dan jika tiada tindakan pembetulan dilakukan, lebih ramai lagi pelanggan tidak mengunjungi gerai mahupun restoren tersebut.

Ini baru melibatkan pasaran tempatan belum lagi melibatkan pasaran luar negara yang lebih rumit prosedurnya. Sebab itulah kita lihat banyak produk Malaysia sukar menembusi pasaran global seperti Jepun hanya kerana tidak menepati piawaian dan kualiti yang ditetapkan oleh pihak berkenaan. Oleh itu, bagi meramaikan usahawan tempatan yang hebat, tiga perkara ini iaitu pemasaran, kewangan dan kualiti produk perlu diberi perhatian oleh semua pihak yang terlibat dalam perniagaan.

Sumber
Utusan Malaysia
10 Oktober 2012

ISU SOSIAL : MAJIKAN JANGAN MEMPERLEKEH ISU JAGA ANAK


Rencana ini ditulis oleh :
Fauziah Arof


Bukan satu perkara luar biasa di negara ini apabila wanita berpendidikan tinggi, sudah mendapat pekerjaan yang baik, alih-alih terpaksa berhenti kerja untuk menumpukan perhatian sepenuhnya menjaga anak-anak di rumah. Dan bukan juga satu saranan yang baharu kita dengar apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, mengharapkan lebih 1,000 syarikat swasta akan mendirikan taska di premis masing-masing dalam masa terdekat bagi menggalakkan golongan wanita yang bergelar ibu menyertai pasaran kerja.

Keciciran kaum wanita berpendidikan tinggi ini daripada pasaran pekerjaan sememangnya amat dirasai. Betapa tidak, kerajaan telah berbelanja besar untuk pendidikan sehingga 68 peratus pelajar di universiti ialah wanita, tapi hanya 48 peratus sahaja wanita dalam pasaran kerja dan ini sudah tentunya memberikan kerugian besar kepada negara. Kajian oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati masalah penjagaan anak-anak adalah punca utama wanita di negara ini menamatkan kerjaya mereka lebih awal. Ini berlaku terutamanya di kalangan wanita berusia lingkungan 35 hingga 39 tahun iaitu sebanyak 71 peratus yang mana di peringkat umur sebegini adalah kemuncak kerjaya bagi wanita dan pada masa sama anak-anak memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada ibu.

Kemudahan taska ini bukan sahaja akan membuka ruang kepada wanita yang berpendidikan tinggi untuk terus berkerjaya, malah wanita yang berpendidikan rendah dan sederhana turut menerima manfaatnya. Dalam mengharungi kos sara hidup yang tinggi terutamanya di bandar-bandar, golongan isteri tidak kira tahap mana pendidikannya turut membantu suami yang berpendapatan rendah atau gaji sekadar cukup makan untuk mencari rezeki dan membina ekonomi keluarga yang lebih kukuh. Jadi, sudah tentunya, soal penjagaan anak merupakan satu isu yang cukup besar, bukan isu remeh-temeh yang sering diperlekehkan oleh majikan apabila pekerjanya memberi alasan datang lewat kerana terpaksa menguruskan hal-hal anak.

Hendak membawa anak ke pejabat ‘pada waktu-waktu genting’ kerana pengasuh ada hal kecemasan, tentunya menimbulkan rasa tidak selesa diri sendiri, anak dan juga pekerja-pekerja sekeliling, yang akan menjeling-jeling sekiranya anak tersebut menangis atau nakal. Untuk mencari pembantu rumah, lebih-lebih lagi dengan macam-macam ragam pembantu rumah asing dan macam-macam hal, demand dan proses yang perlu dilalui untuk mengambil mereka bekerja, akan memberi satu lagi tekanan lain pula. Dalam pada itu, kes penderaan, kecederaan dan kematian bayi dan kanak-kanak di pusat penjagaan dan jiran yang diberikan tanggungjawab untuk menjaga anak-anak turut amat merisaukan ibu bapa untuk melepaskan anak mereka dalam penjagaan orang lain ketika bekerja.

Sehubungan itu, kemudahan taska di tempat kerja terutamanya di sektor-sektor swasta banyak membantu dalam menangani masalah ini. Dengan insentif yang diberikan oleh kerajaan seperti geran RM10,000 dan pelbagai potongan cukai menerusi peruntukan Bajet 2013 yang selari dengan pelan pembangunan awal kanak-kanak jika kemudahan ini diwujudkan di syarikat-syarikat swasta, sepatutnya tiada kekangan yang besar untuk menyediakannya. Jika syarikat-syarikat besar terutamanya boleh dan mampu berbelanja sakan untuk projek tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) setiap tahun, membantu masyarakat susah di luar sana, mengapa tidak memperuntukkan kos tertentu untuk membina kemudahan taska untuk kebajikan pekerja-pekerjanya sendiri. Jika boleh membina ruang untuk beriadah untuk pekerja-pekerjanya, ruang kafe yang besar dan ada pula syarikat besar yang boleh meletakkan pusat rawatan kecemasan di premisnya, mengapa tidak boleh membina ruang untuk taska.

Kemudahan ini secara tidak langsung, akan menyebabkan pekerja-pekerja berasa tenang’ untuk bekerja kerana tidak perlu ‘terkejar-kejar’ menghantar dan mengambil anak di pusat penjagaan. Dalam pada itu, mereka boleh meluangkan masa dengan anak-anak yang berada di depan mata pada waktu rehat dan mungkin juga akan mengurangkan masa kepada pekerja-pekerja yang gemar berkunjung ke pusat-pusat beli belah pada waktu makan tengah hari terutamanya pada waktu rehat yang panjang, iaitu hari Jumaat. Jadi masa akan lebih terurus, mereka akan ada masa yang berkualiti untuk anak-anak, dan pada masa yang sama mereka akan lebih fokus pada kerja. Jika majikan bimbang, pejabat akan `beroperasi’ seperti pusat jagaan anak-anak pula, peraturan-peraturan tertentu boleh dibuat bagi memastikan kemudahan itu tidak sama sekali menganggu perjalanan dan urusan kerja.

Pun begitu, dalam menyediakan pusat taska 
di tempat kerja, soal keselamatan, tenaga penjaga, kemahiran, dan kepakaran perlu diberi penekanan, agar tidak diadakan sekadar ‘tangkap muat’. Ini penting, agar taska di pejabat-pejabat ini tidak membawa masalah sama yang sering berlaku di pusat penjagaan kanak-kanak lain atau pengasuh yang beroperasi di 
rumah yang akhirnya memberikan tekanan 
yang serupa kepada ibu yang bekerja.

Sumber
Utusan Malaysia
10 Oktober 2012

ISU SOSIAL : KEKANG BUDAYA HIDUP BERHUTANG


Rencana ini ditulis oleh :
DR ASYRAF WADJI DASUKI


Ahad lalu penulis berada di Doha, Qatar semalaman atas jemputan sebuah universiti di sana yang melantik penulis selaku Penilai Luar Antarabangsa bagi tesis sarjana seorang pelajar berbangsa Jerman yang sudah memeluk Islam. Beliau kini bekerja di sebuah institusi perbankan Islam di Qatar. Tesis beliau adalah berkenaan dengan penstrukturan produk kewangan Islam berpandukan suluhan Maqasid al-Syariah. Penulis tidak berhajat mengulas mengenai tesis beliau. Cuma penulis ingin berkongsi sebahagian daripada perbincangan kami mengenai fenomena berhutang yang kian membarah kalangan masyarakat di negara Barat yang kini merebak ke Timur Tengah. Malah Malaysia juga kini berhadapan dengan budaya berhutang kalangan masyarakat lantaran kecenderungan untuk hidup melebih kemampuan.

Sememangnya budaya berhutang terutamanya dalam penggunaan kad kredit mahupun melalui pembiayaan peribadi tampak menjadi wabak yang kian membiak dan memudaratkan dalam masyarakat ketika ini. Lebih mencemaskan rata-rata yang diisytiharkan muflis kad kredit adalah golongan muda yang menjadi aset penting negara masa depan. Sikap sesetengah institusi perbankan yang cuba mengaut keuntungan jangka pendek dengan menawarkan pelbagai insentif terhadap produk berupa pembiayaan peribadi turut menyumbang kepada gejala gaya hidup berhutang. Sering kali juga fokus pemasaran produk pembiayaan ini tertumpu kepada golongan penjawat awam yang mempunyai gaji tetap. Namun pembiayaan sebegini hanya menjurus kepada budaya berhutang bagi tujuan hidup mewah, melebih apa yang diperlukan.  

Ramai yang mulai menyuarakan kebimbangan terhadap fenomena sebegini hingga mencetuskan pelbagai cadangan termasuklah memperketat pengeluaran kad kredit dan syarat membolehkan individu mendapatkan pembiayaan peribadi daripada bank tempatan. Namun bagi penulis, isu ini perlu ditangani secara bersepadu yang tidak hanya bersifat penguatkuasaan mahupun sekatan. Apa yang juga mustahak ialah mengambil pendekatan mendidik generasi muda dan masyarakat amnya agar lebih berhemah dan bijak dalam menguruskan kewangan dan perbelanjaan hidup berasaskan prinsip dan nilai muamalah Islam yang sejati. Sememangnya aspek perbelanjaan dan pengurusan kewangan adalah antara sifat utama seorang mukmin.

Ini jelas dinukilkan ALLAH sebagaimana firman-Nya: "(Iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan membelanjakan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka." 
(Surah Al-Baqarah : 3)

Setiap rezeki dan harta yang dimiliki adalah kurniaan ALLAH yang wajib dibelanjakan berasaskan prinsip dan nilai mengikut syariat. Prinsip Islam memperuntukkan agar pemilik harta membelanjakan hartanya secara berhemah untuk kepentingan dirinya, keluarganya dan untuk kepentingan perjuangan di jalan ALLAH bebas daripada kebakhilan dan kekikiran. Namun, dalam keadaan yang lain, manhaj Islam yang adil turut mengharamkan sikap membazir dan berlebih-lebihan. Setiap sen daripada harta yang diperoleh mahupun dibelanjakan akan dipertanggungjawabkan oleh ALLAH pada setiap insan : dari mana dia memperolehnya? Dan bagaimana pula dia membelanjakannya? Demikianlah ajaran dan tuntunan Nabi SAW kepada setiap umat manusia.

Begitulah hebatnya Islam berbanding agama lain yang membenarkan penganutnya untuk menikmati kehidupan di dunia. Malah Islam menentang keras gaya hidup seperti rahib atau pendeta dalam amalan agama Kristian, Manuisme, Sufisme, Hinduisme dan lain-lainnya yang membekukan kehidupan dan menghalangi perkembangan peradaban. Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Siapakah yang mengharamkan perhiasan daripada ALLAH yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-Nya dan (siapa pula yang mengharamkan) rezeki yang baik." (Surah Al-A’raf : 32). Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Dan golongan kiri, siapakah golongan kiri itu? Dalam (seksaan) angin yang amat panas dan air panas yang mendidih, dan dalam naungan asap yang hitam, tidak sejuk dan tidak menyenangkan. Sesungguhnya mereka sebelum itu hidup bermewah-mewah. Dan mereka terus-menerus mengerjakan dosa yang besar. (Surah Al-Waqiah: 41-46)

Jika diselidiki secara rasional dan objektif, kita dapati keghairahan untuk memenuhi tuntutan gaya hidup bermewah jugalah yang sering menjerumuskan seseorang untuk berhutang melalui wahana kad kredit mahupun produk pembiayaan peribadi yang lain. Kedangkalan ilmu, kebobrokan nilai dan kegelojohan berbelanja akhirnya mengakibatkan umat terbelenggu dalam malapetaka hutang yang mampu menghakis jati diri, maruah dan menjahanamkan masa depan negara. Justeru pendidikan menguruskan kewangan dan perbelanjaan berhemah adalah keperluan mendesak untuk diperluas dan diperhebat dalam masyarakat ketika ini.

Umat harus dididik agar dalam keghairahan mereka berbelanja jangan sampai terjerat dalam kancah hutang yang membinasakan. Umat harus dipasakkan dalam pemikiran bahawa kad kredit hanya sekadar wahana untuk pembayaran dan bukannya untuk berlagak 
mewah atau berlebih-lebihan.

Sumber
Sinar Harian
10 Oktober 2012