JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



18 Oktober 2012

ISU ALAM SEKITAR : MALAPETAKA ALAM DAN PEMBANGUNAN


Rencana ini ditulis oleh :
SENATOR DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH,
Anggota delegasi Malaysia dalam Persidangan ASEP 7 di Vientiane juga ialah
Pakar Rujuk di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya


Ada tiga masalah besar dunia yang mendapat perhatian utama dalam persidangan antarabangsa di Vientiane, Laos pada 3 dan 4 Oktober lalu. Tiga masalah yang merunsingkan itu ialah perubahan iklim dan bencana alam, pembangunan mampan dan masalah-masalahnya, serta jurang yang semakin melebar antara yang kaya dan yang miskin.

Persidangan yang diadakan di ibu negara yang pernah dilanda perang berpanjangan itu dihadiri oleh lebih 200 orang ahli Parlimen dari 27 buah negara yang bergabung dalam ASEP (Asia-Europe Parliamentary Partnership) termasuk perwakilan dari negara-negara China, Rusia, Jepun dan Jerman. Hadir sama, perutusan khas Setiausaha Agung PBB dan wakil IMF. Perwakilan Malaysia diketuai oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang. Saya sendiri juga mendapat penghormatan sebagai seorang anggota delegasi Parlimen Malaysia.

Ketiga-tiga masalah di atas tentu sahaja saling berkaitan. Dan natijahnya, yang menjadi tumpuan keprihatinan para perwakilan dan pemerhati dalam persidangan itu, ialah: kelaparan atau keupayaan (kekurangan upaya) menyediakan makanan secukupnya untuk keperluan seluruh manusia yang mendiami buana ini. Pada tahun 2050 nanti, bilangan penghuni bumi ini memerlukan makanan sebanyak dua kali ganda daripada yang diperlukan sekarang. Sehubungan dengan kesukaran untuk menghasilkan makanan dua kali ganda itu ialah harga makanan yang semakin meningkat. Satu laporan yang dibentangkan dalam persidangan itu mengingatkan bahawa zaman makanan berharga murah (the era of cheap food) sudah berlalu. Semuanya itu adalah ancaman yang sangat gawat terhadap ekonomi dunia, terutama di negara-negara yang berpendapatan rendah.

Kerana itulah maka pembangunan mampan (sustainable development) amat diperlukan untuk memastikan pengeluaran makanan mencukupi dan kesejahteraan hidup terjamin. Maka, persidangan itu memilih tema "Perkongsian Asia-Eropah untuk Pembangunan Mampan" (Asia-Europe Partnership for Sustainable Development) Daripada ucapan-ucapan utama sidang pleno dan perbincangan-perbincangan khas sidang kelompok serta kertas-kertas maklumat yang diedarkan, jelaslah bahawa pembangunan mampan itu menghadapi banyak masalah. Ada masalah berpunca daripada bencana alam , terutama perubahan iklim dan mala petaka lain seperti tsunami, banjir besar, gempa bumi dan musim kemarau yang berpanjangan.

Semua itu bukan sahaja mengancam pembangunan mampan - dan dengan sendirinya mengancam usaha-usaha pengeluaran makanan yang mencukupi - malah juga telah mengakibatkan ratusan juta penduduk miskin di serata dunia mengalami korban nyawa dan harta benda. Hakikat itu diperjelaskan lagi oleh Utusan Khas Setiausaha Agung PBB, Ms Margareta Wahlstrom yang memaklumkan fakta dan angka berikut: Sepanjang 12 tahun lalu, bencana alam mengorbankan tidak kurang daripada 1.1 juta nyawa di serata dunia, terutama di negara-negara yang kurang maju. Harta benda yang musnah bernilai tidak kurang daripada 1.3 trilion Dolar Amerika (AS$1.300,000,000,000). Dan bilangan manusia yang menerima akibat secara langsung atau secara tidak langsung ialah 2.7 bilion orang.

Sepanjang 2011 sahaja kerugian ekonomi yang dialami oleh negara Asia-Pasifik akibat pelbagai bencana alam itu mencapai angka AS$294 bilion.

Contoh yang lebih khusus lagi ialah pengalaman pahit tuan rumah persidangan. Sepanjang tahun lalu sahaja, akibat bencana alam terutama banjir, Laos mencatat korban nyawa manusia seramai 30 orang dan kemusnahan serta kerosakan harta benda bernilai 1,764 bilion kip > AS$220.500.000. Banjir itu memusnahkan jalan raya, jambatan, sekolah, hospital, kawasan pelancongan serta loji-loji bekalan air dan elektrik. Satu contoh lain yang disebut ialah nasib malang Pakistan yang dilanda banjir besar berulang-ulang sejak beberapa tahun terakhir dan mengakibatkan 50 juta penduduk kehilangan rumah tempat tinggal. Tentu sahaja turut musnah pelbagai infrastruktur yang lain.

Itulah antara contoh bencana alam yang berpunca daripada perubahan iklim yang menjadi rintangan utama pembangunan mampan. Selain itu disentuh pula masalah yang berpunca daripada tingkah dan kerenah manusia: tamak haloba, bongkak dan angkuh serta perilaku yang tidak rasional termasuk kecenderungan bertindak semata-mata kerana dorongan emosi. Jika perubahan iklim mengakibatkan eko-sistem yang tidak stabil, maka kerenah manusia menyebabkan sistem politik tidak stabil dan kehidupan sosial menjadi kacau bilau. Ini termasuklah pengurusan kewangan, termasuk hutang awam. Dan semuanya itu adalah rintangan terhadap pembangunan mampan yang menyukarkan usaha menyediakan makanan secukupnya untuk umat manusia.

Berkait rapat dengan kerenah manusia itu adalah masalah jurang yang semakin melebar antara yang miskin dan kaya yang turut mendapat perhatian dalam ucapan beberapa perwakilan. Umpamanya perwakilan dari Indonesia, Haryono Isman, menyebut tentang pertumbuhan ekonomi dunia daripada AS$34 trilion 20 tahun lalu kepada AS$64 trilion pada masa sekarang. Begitu juga dalam masa 20 tahun itu perdagangan antara bangsa berkembang menjadi tiga kali ganda kepada AS$28 trilion. Tetapi pertumbuhan ekonomi dan perkembangan perdagangan semata-mata tidaklah memadai dan tidak akan menyelesaikan keseluruhan masalah jika tidak diikuti dengan pembahagian atau pengagihan yang merata dan saksama. "Ketidaksetaraan sekarang semakin menjadi-jadi sama ada antara satu negara dengan negara lain atau antara satu golongan dengan golongan lain dalam sesebuah negara," tegas Haryono.

Sehubungan dengan ketidaksetaraan itu, perwakilan juga diingatkan bahawa lebih satu bilion orang, iaitu satu per enam daripada seluruh penduduk dunia, sekarang sedang diancam oleh bahaya kelaparan tegar. Demikianlah masalah dan rintangan yang dihadapi dalam usaha merealisasikan pembangunan mampan itu. Justeru menyedari pelbagai masalah itulah maka perwakilan dalam persidangan tersebut sepakat untuk meningkatkan kerjasama antarabangsa yang lebih produktif. Sehubungan itu, Abu Zahar menyarankan supaya persidangan tersebut dimanfaatkan "untuk terus memupuk persamaan hasrat dan meneroka saluran-saluran kerjasama baru demi merealisasikan matlamat dan kepentingan bersama.

Selaras dengan saranan Abu Zahar itu, Persidangan ASEP di Vientiane tersebut dapat dianggap sebagai satu langkah positif "memupuk persamaan" dan "meneroka saluran-saluran kerjasama yang lebih kreatif dan produktif." Persidangan itu memberi kesempatan kepada para perwakilan bertukar-tukar nota dan pengalaman serta memperluas horizon dan perspektif. Dan bagi saya secara peribadi kehadiran dan penyertaan dalam persidangan itu, telah menimbulkan sejenis keinsafan dan sekali gus rasa syukur. Pendedahan kepada pelbagai masalah dan mala petaka yang di alami oleh negara-negara lain menyedarkan saya tentang betapa beruntungnya penduduk dan negara Malaysia yang secara relatif bebas daripada bencana alam, rata-rata bebas daripada kebuluran dan bebas daripada belenggu kemiskinan tegar.

Sehubungan itu, dalam sesi perbincangan mengenai isu-isu pengeluaran makanan, antara lain saya nyatakan: "Untuk masa ini, Malaysia tidak mengalami sebarang masalah kelaparan. Ekonomi negara kami masih berjaya membekalkan makanan untuk 28 juta orang rakyat tempatan dan untuk dua juta orang lagi pendatang asing yang mencari nafkah di negara kami". Secara berkias saya bayangkan bahawa Allah masih melindungi Malaysia daripada ditimpa pelbagai mala petaka alam. Yang membimbangkan sekarang adalah mala petaka buatan manusia yang mengancam kestabilan politik dan mengugut kerukunan hidup sosial dalam negara yang kami cintai.

Sumber
Utusan Malaysia
18 Oktober 2012

Tiada ulasan: