Rencana ini ditulis oleh :
ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan
Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) dan
Felo Penyelidik Institut Keusahawanan dan Koperasi Universiti
Utara Malaysia
Pelaburan langsung domestik (DDI) mula mendapat tempat dalam
struktur ekonomi Malaysia. Tidak sebagaimana 20 tahun lalu, negara kita terlalu
bergantung pada pelaburan langsung asing (FDI) berasaskan kos buruh yang rendah
yang akhirnya mengundang ketidakseimbangan ekonomi apabila krisis ekonomi
melanda dunia. Sebagai contoh, krisis ekonomi Asia pada 1997/98, krisis
subprima Amerika Syarikat (AS) dan krisis hutang zon Eropah menjadikan DDI
begitu penting melestarikan ekonomi negara. Negara tidak boleh terlalu
bergantung dengan FDI kerana jika krisis ekonomi dunia berlaku, ekonomi negara
kita juga akan terjejas teruk. Maka antara strategi terbaik dalam memacu
pertumbuhan ekonomi negara pada masa kini dan mendatang adalah meningkatkan
keupayaan sektor pelaburan swasta tempatan ke tahap global.
Bajet 2013 banyak menyentuh mengenai perkara ini. Umpamanya,
kerajaan menyediakan Dana Strategik Pelaburan Domestik bernilai RM1 bilion bagi
memanfaatkan aktiviti penyumberan luar dan pemerolehan teknologi untuk syarikat
tempatan. Selain itu, Bajet 2013 memberi tumpuan khusus untuk perusahaan kecil
dan sederhana (PKS) dengan pelancaran Pelan Induk PKS (2012-2020) yang
berasaskan inovasi dan produktiviti serta berimpak tinggi. Fokus PKS juga
terarah dalam industri halal dengan Dana Industri Halal sebanyak RM200 juta
disediakan bagi membiayai modal kerja PKS yang terlibat secara langsung dengan
industri halal. Prospek industri halal amat cerah dengan pertambahan permintaan
terhadap produk-produk halal di peringkat global. Lebih-lebih lagi negara kita
mempunyai kekuatan tersendiri dalam mengeluarkan produk-produk halal berbanding
negara-negara lain.
Satu perkara yang amat menarik dalam Bajet 2013 adalah golongan
penjaja dan peniaga kecil tidak dipinggirkan. Tidak mustahil mereka ini juga
bakal menjadi usahawan hebat suatu hari nanti, maka nasib mereka juga
sewajarnya dibela. Skim perlindungan insurans berkelompok yang berjumlah RM16
juta setahun dibiayai oleh kerajaan bertujuan melindungi penjaja dan peniaga
kecil jika sekiranya berlaku kemudaratan diri, hilang upaya serta kematian. Skim
ini secara tidak langsung boleh merangsang kekuatan kepada para penjaja dan
peniaga kecil untuk melipat kali ganda usaha mereka dalam perniagaan. Ada di
antara mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, maka, dengan
kewujudan skim begini, mengurangkan kerisauan mereka jika sekiranya berlaku
malapetaka ke atas mereka.
Di samping itu, bagi membantu mereka dalam selok-belok perniagaan,
program Business in Transformation dilancarkan bagi memberi bimbingan mengenai
konsep perniagaan baru seperti kedai bergerak, kios dan perniagaan atas talian.
Bimbingan seperti ini memberi satu pendedahan baru kepada mereka mengenai
kepentingan teknologi maklumat terbaru dan strategi peniagaan moden. Ini kerana
kebanyakan penjaja dan peniaga kecil masih mengekalkan perniagaan cara
tradisional yang sukar untuk mengaut keuntungan yang lebih lumayan. Umpama
mereka mungkin tidak menyedari mengenai pemasaran atas talian yang skop pasaran
lebih luas, murah, cepat dan mudah. Dengan cara ini, produk-produk mereka
berkemungkinan besar boleh mendapat tempat bukan sahaja dalam pasaran tempatan
tetapi juga boleh memasuki pasaran global.
Dari sudut kewangan pula, kerajaan telah menyediakan dana melalui
Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) yang boleh dipohon oleh usahawan
kecil. Dana ini banyak membantu usahawan kecil memulakan dan memajukan
peniagaan mereka. Walaubagaimanapun, satu aspek yang perlu diambil kira oleh
mereka adalah kemahiran mengurus kewangan. Ramai di antara usahawan kecil dan
sederhana bahkan usahawan besar sekalipun telah gagal mengurus kewangan mereka
sebaik mungkin. Sebagai contoh, masih ramai usahawan kecil yang tidak
mengetahui cara-cara merekodkan kewangan mereka secara sistematik. Rekod-rekod
kewangan perniagaan mereka tidak teratur sehingga memberi implikasi besar
terhadap perniagaan seharian mereka. Perkara ini tidak boleh dipandang remeh
kerana mengurus kewangan perniagaan tidak sebagaimana mengurus kewangan
peribadi dan jika tersilap langkah boleh memudaratkan perniagaan tersebut dalam
tempoh jangka masa panjang.
Satu lagi komponen yang begitu penting dalam perniagaan selain
pemasaran dan kewangan adalah kualiti produk dan perkhidmatan. Maka, para
peniaga kecil dan sederhana yang inginkan kejayaan sebagai usahawan hebat perlu
fokus kepada kualiti produk dan perkhidmatan mereka. Sering kali mereka ini
tersilap caturan dalam menjaga kualiti produk dan perkhidmatan mereka. Sebagai
contoh, kegagalan peniaga makanan untuk mengekalkan kelazatan makanan yang
dijual boleh menyebabkan pelanggan tetap mereka tidak lagi mengunjungi gerai mahupun
restoren mereka. Begitu juga, sekiranya makanan tersebut gagal disediakan
dengan segera boleh menyebabkan pelanggan 'lari' ke gerai mahupun restoran
lain. Kegagalan ini berkemungkinan besar meniti dari mulut ke mulut pelanggan
lain dan jika tiada tindakan pembetulan dilakukan, lebih ramai lagi pelanggan
tidak mengunjungi gerai mahupun restoren tersebut.
Ini baru melibatkan pasaran tempatan belum lagi melibatkan pasaran
luar negara yang lebih rumit prosedurnya. Sebab itulah kita lihat banyak produk
Malaysia sukar menembusi pasaran global seperti Jepun hanya kerana tidak
menepati piawaian dan kualiti yang ditetapkan oleh pihak berkenaan. Oleh itu,
bagi meramaikan usahawan tempatan yang hebat, tiga perkara ini iaitu pemasaran,
kewangan dan kualiti produk perlu diberi perhatian oleh semua pihak yang
terlibat dalam perniagaan.
Sumber
Utusan Malaysia
10 Oktober 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan