Penggunaan Bahasa Melayu rojak" yang berleluasa dalam
kalangan masyarakat adalah satu kes kehilangan bahasa, yang mana jika tidak
dibendung akan beransur-ansur menghakis kekuatan bahasa itu sendiri. Timbalan
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kehilangan bahasa boleh
berlaku pada tahap masyarakat umum, apabila sejumlah besarnya tidak fasih lagi
menggunakan bahasa ibunda atau bahasa etnik mereka sepenuhnya, sama ada secara
lisan atau tulisan.
"Dengan adanya kecanggihan alat media
dan komunikasi seperti
siaran radio, televisyen, internet, khidmat pesanan ringkas (SMS), laman sosial
seperti facebook dan twitter, sering kali ejaan dan sebutan tidak digunakan
dengan betul. Penggunaan Bahasa Melayu yang betul dilihat semakin dipinggirkan
dalam mengharungi dunia globalisasi. Ini merupakan satu petanda yang amat buruk
bahawa bangsa berkenaan sedang mengalami kehilangan bahasa,"
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Sambutan Bulan
Bahasa Kebangsaan 2012, di Stadium Tertutup Nilai pada 10 Oktober 2012. Muhyiddin
yang juga Menteri Pelajaran berkata, masyarakat perlu berhenti daripada berasa
malu menggunakan bahasa kebangsaan dan menggunakannya dengan rasa bangga dalam
kehidupan seharian seperti sewaktu menghadiri persidangan, mesyuarat, menulis
laporan atau berbual dengan rakan sekerja. Katanya, setelah negara merdeka
sejak 55 tahun lalu, tidak ada alasan untuk masyarakat untuk tidak memahami
bahasa kebangsaan, sehinggakan terpaksa menggunakan Bahasa Inggeris terutama
dalam majlis-majlis yang dianjurkan.
"Bukanlah bermakna Bahasa Inggeris tidak penting, tetapi jika
kita tidak menggunakan bahasa kebangsaan, bermakna kita tidak memartabatkan
bahasa kita. Sekiranya kita tidak memartabatkan bahasa kita, masakan orang lain
akan melakukannya,"
Sumber
Utusan Malaysia
10 Oktober 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan