Rencana ini ditulis oleh :
Fauziah Arof
Bukan satu perkara luar biasa di negara ini apabila wanita
berpendidikan tinggi, sudah mendapat pekerjaan yang baik, alih-alih terpaksa
berhenti kerja untuk menumpukan perhatian sepenuhnya menjaga anak-anak di
rumah. Dan bukan juga satu saranan yang baharu kita dengar apabila Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, mengharapkan lebih 1,000
syarikat swasta akan mendirikan taska di premis masing-masing dalam masa
terdekat bagi menggalakkan golongan wanita yang bergelar ibu menyertai pasaran
kerja.
Keciciran kaum wanita berpendidikan tinggi ini daripada pasaran
pekerjaan sememangnya amat dirasai. Betapa tidak, kerajaan telah berbelanja
besar untuk pendidikan sehingga 68 peratus pelajar di universiti ialah wanita,
tapi hanya 48 peratus sahaja wanita dalam pasaran kerja dan ini sudah tentunya
memberikan kerugian besar kepada negara. Kajian oleh Lembaga Penduduk dan
Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati masalah penjagaan anak-anak
adalah punca utama wanita di negara ini menamatkan kerjaya mereka lebih awal. Ini
berlaku terutamanya di kalangan wanita berusia lingkungan 35 hingga 39 tahun
iaitu sebanyak 71 peratus yang mana di peringkat umur sebegini adalah kemuncak
kerjaya bagi wanita dan pada masa sama anak-anak memerlukan perhatian dan kasih
sayang daripada ibu.
Kemudahan taska ini bukan sahaja akan membuka ruang kepada wanita
yang berpendidikan tinggi untuk terus berkerjaya, malah wanita yang
berpendidikan rendah dan sederhana turut menerima manfaatnya. Dalam mengharungi
kos sara hidup yang tinggi terutamanya di bandar-bandar, golongan isteri tidak
kira tahap mana pendidikannya turut membantu suami yang berpendapatan rendah
atau gaji sekadar cukup makan untuk mencari rezeki dan membina ekonomi keluarga
yang lebih kukuh. Jadi, sudah tentunya, soal penjagaan anak merupakan satu isu
yang cukup besar, bukan isu remeh-temeh yang sering diperlekehkan oleh majikan
apabila pekerjanya memberi alasan datang lewat kerana terpaksa menguruskan
hal-hal anak.
Hendak membawa anak ke pejabat pada waktu-waktu genting kerana
pengasuh ada hal kecemasan, tentunya menimbulkan rasa tidak selesa diri
sendiri, anak dan juga pekerja-pekerja sekeliling, yang akan menjeling-jeling
sekiranya anak tersebut menangis atau nakal. Untuk mencari pembantu rumah,
lebih-lebih lagi dengan macam-macam ragam pembantu rumah asing dan macam-macam
hal, demand dan proses yang perlu dilalui untuk mengambil mereka bekerja, akan
memberi satu lagi tekanan lain pula. Dalam pada itu, kes penderaan, kecederaan
dan kematian bayi dan kanak-kanak di pusat penjagaan dan jiran yang diberikan
tanggungjawab untuk menjaga anak-anak turut amat merisaukan ibu bapa untuk
melepaskan anak mereka dalam penjagaan orang lain ketika bekerja.
Sehubungan itu, kemudahan taska di tempat kerja terutamanya di
sektor-sektor swasta banyak membantu dalam menangani masalah ini. Dengan
insentif yang diberikan oleh kerajaan seperti geran RM10,000 dan pelbagai
potongan cukai menerusi peruntukan Bajet 2013 yang selari dengan pelan
pembangunan awal kanak-kanak jika kemudahan ini diwujudkan di syarikat-syarikat
swasta, sepatutnya tiada kekangan yang besar untuk menyediakannya. Jika
syarikat-syarikat besar terutamanya boleh dan mampu berbelanja sakan untuk
projek tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) setiap tahun, membantu masyarakat
susah di luar sana, mengapa tidak memperuntukkan kos tertentu untuk membina
kemudahan taska untuk kebajikan pekerja-pekerjanya sendiri. Jika boleh membina
ruang untuk beriadah untuk pekerja-pekerjanya, ruang kafe yang besar dan ada
pula syarikat besar yang boleh meletakkan pusat rawatan kecemasan di premisnya,
mengapa tidak boleh membina ruang untuk taska.
Kemudahan ini secara tidak langsung, akan menyebabkan
pekerja-pekerja berasa tenang untuk bekerja kerana tidak perlu terkejar-kejar
menghantar dan mengambil anak di pusat penjagaan. Dalam pada itu, mereka boleh
meluangkan masa dengan anak-anak yang berada di depan mata pada waktu rehat dan
mungkin juga akan mengurangkan masa kepada pekerja-pekerja yang gemar
berkunjung ke pusat-pusat beli belah pada waktu makan tengah hari terutamanya
pada waktu rehat yang panjang, iaitu hari Jumaat. Jadi masa akan lebih terurus,
mereka akan ada masa yang berkualiti untuk anak-anak, dan pada masa yang sama
mereka akan lebih fokus pada kerja. Jika majikan bimbang, pejabat akan
`beroperasi seperti pusat jagaan anak-anak pula, peraturan-peraturan tertentu
boleh dibuat bagi memastikan kemudahan itu tidak sama sekali menganggu
perjalanan dan urusan kerja.
Pun begitu, dalam menyediakan pusat taska
di tempat kerja, soal
keselamatan, tenaga penjaga, kemahiran, dan kepakaran perlu diberi penekanan,
agar tidak diadakan sekadar tangkap muat. Ini penting, agar taska di
pejabat-pejabat ini tidak membawa masalah sama yang sering berlaku di pusat
penjagaan kanak-kanak lain atau pengasuh yang beroperasi di
rumah yang akhirnya
memberikan tekanan
yang serupa kepada ibu yang bekerja.
Sumber
Utusan Malaysia
10 Oktober 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan