Rencana ini ditulis oleh :
ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan
Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) dan Felo Penyelidik,
Institut Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara
Malaysia
Umum mengetahui Singapura adalah satu-satunya negara maju di
rantau Asia Tenggara. Bagaimana ekonomi Singapura dipacu sehingga mencapai
status ekonomi negara maju? Salah satu strategi yang digunakannya adalah dengan
menarik bakat-bakat terbaik di seluruh dunia terutamanya negara China dan India
bekerja memajukan dan menyumbang idea untuk ekonomi Singapura. Natijahnya,
rakyat Singapura sendiri berasa mereka dipinggirkan oleh kerajaan. Maka,
tercetuslah rungutan dan keluhan rakyat Singapura bahawa bakat-bakat negara
lain telah mengambil alih peranan mereka. Meskipun kebanyakan bakat luar adalah
sebangsa dengan mereka, namun bukan bermakna rakyat Singapura berasa mereka
lebih selamat dengan kehadiran bakat-bakat luar yang sama warna kulit.
Perkara sama juga berlaku di Malaysia. Cuma bezanya kualiti warga
asing yang bekerja di Singapura dengan warga asing yang mencari rezeki di
Malaysia. Umum mengetahui negara kita berada di landasan yang betul untuk
menjadi negara maju. Maka, berpusu-pusu warga asing datang mencari rezeki di
Malaysia. Mereka ini kebanyakannya mempunyai latar belakang pendidikan yang
rendah. Maaf cakaplah dalam kebanyakan keadaan mereka ini telah menyebabkan
rakyat Malaysia sendiri berasa berada di negara asing. Jumlah yang terlalu
ramai tetapi kualiti yang ada tidaklah sehebat seperti warga asing yang bekerja
di Singapura. Jadi apakah pekerjaan yang mereka lakukan? Di kebanyakan sektor
mereka hanya bekerja sebagai pekerja bawahan yang bersifat buruh. Sumbangan
mereka ini tidak begitu besar terhadap negara kita. Berbeza 15 tahun yang lalu
kualiti pekerja sebegini amatlah diperlukan kerana daya saing negara bergantung
pada kos buruh yang rendah.
Tetapi kini negara kita berada pada tahap ekonomi sederhana dan
menuju ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, maka daya saing berdasarkan kos
buruh yang rendah tidak memberi impak besar terhadap ekonomi negara. Malaysia
memerlukan pekerja yang berkualiti dan berkemahiran tinggi. Ekonomi negara
memerlukan lebih ramai para pekerja yang berinovasi, kreatif dan produktif.
Hanya pekerja yang mempunyai bakat luar biasa sahaja yang mampu memberi idea di
luar kotak dan pada masa sama idea itu boleh dilaksanakan untuk memajukan
ekonomi negara. Jadi, apa perlunya begitu ramai warga asing di Malaysia?
Sudahlah mereka ini tidak begitu menyumbang terhadap ekonomi negara, perniagaan
penduduk tempatan pula diambil alih oleh mereka sedangkan ia adalah hak mutlak
rakyat Malaysia.
Dilaporkan bahawa ramai warga asing yang berniaga dan perniagaan
mereka telah menjana keuntungan yang amat besar terhadap mereka sehinggakan
sebanyak RM6 bilion setahun mengalir keluar ke negara asing. Sekali lagi,
ekonomi negara kita mengalami kerugian besar. Jumlah ini cukup besar untuk
membantu golongan miskin warga tempatan. Yang menjadi masalahnya, di manakah
penguat kuasa-penguat kuasa yang diamanahkan untuk membanteras kegiatan
perniagaan warga asing yang menyalahi undang-undang negara kita? Adakah mereka
tidak nampak atau buat-buat tidak nampak sedangkan warga asing berniaga secara
terang-terangan dan berleluasa?
Nak salahkan warga asing seratus peratus pun tak boleh sebab kita
sendiri telah menyebabkan aktiviti perniagaan mereka menjadi-jadi sampaikan
mengalahkan usahawan tulen tempatan. Bukankah sepatutnya kita mempertahankan
usahawan tulen tempatan? Begitu juga ramai peniaga tempatan sanggup
mengalibabakan perniagaan kepada warga asing. Ini seolah-olah sudah menjadi
tabiat segelintir peniaga kita. Mahu untung segera dalam jangka masa pendek. Mereka
ini tidak fikir panjang. Mereka ini juga tidak bersyukur kerana ramai lagi
usahawan tulen tempatan yang sanggup berniaga sepenuhnya dan bukan mencari
untung atas angin. Lebih baik mereka ini tidak dibenarkan berniaga seumur hidup
kerana telah merugikan negara. Kerajaan perlu tegas dengan perkara ini. Jika
tidak, jangan menyesal satu hari nanti warga asing mengawal ekonomi Malaysia.
Perkara ini tidak mustahil boleh berlaku kalau kita berdiam diri sahaja.
Suka menjadi penonton berbanding menjadi penggerak utama ekonomi
negara. Sudahlah warga asing ini mula menguasai perniagaan-perniagaan di
Malaysia, jenayah pula semakin bertambah. Berapa banyak kes warga tempatan
terutamanya wanita diganggu oleh Awang Hitam? Bagaimana mereka ini sebegitu
berani mengganggu penduduk tempatan jika tidak kerana jumlah mereka semakin
ramai. Ini belum diambil kira kes-kes jenayah berat seperti merompak, membunuh
dan merogol. Rakyat tertanya-tanya sampai bilakah perkara ini akan berakhir? Kita
tidak boleh lagi mengharapkan warga asing memberi sumbangan besar terhadap
ekonomi negara kita. Warga tempatan sepatutnya memberi sumbangan besar. Dengan
tertubuhnya Talent Corporation, dijangkakan ramai bakat-bakat luar biasa warga
Malaysia yang bekerja di luar negara akan kembali menyumbang bakti di Malaysia.
Tetapi perlu diingat bagaimana pula dengan
bakat-bakat sedia ada
di Malaysia? Mereka ini
sepatutnya diutamakan dan bukannya bakat-bakat
'asing' yang bekerja di luar negara, jauh sekali
warga asing yang banyak menyusahkan rakyat
dan merugikan ekonomi negara kita.
'asing' yang bekerja di luar negara, jauh sekali
warga asing yang banyak menyusahkan rakyat
dan merugikan ekonomi negara kita.
Sumber
Utusan Malaysia
12 Oktober 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan