Rencana ini ditulis oleh :
Zin Mahmud
Semalam saya ternampak pintu gerbang baru didirikan di sebuah
penempatan lama di Selangor yang dipercayai dibina secara rasmi dengan papan
tandanya tertera nama kampung dalam tiga bahasa. Paling atas diletakkan nama
kampung itu dalam Bahasa Malaysia, di bawahnya tertera tulisan Cina dan diikuti
dengan Tamil. Secara praktikal sebenarnya, tidak perlu ditulis dalam tiga
bahasa: Melayu, Cina dan India, lebih-lebih ia hanya untuk menunjukkan nama
kampung itu. Cukup dengan tulisan Bahasa Malaysia dan pastinya semua orang
dapat membacanya. Sudah tentu semua rakyat Malaysia tahu membaca tulisan Melayu
rumi lebih-lebih lagi untuk nama tempat.
Malah mereka yang bukan warganegara seperti pendatang dari
Indonesia, Bangladesh, Nepal, Filipina, Vietnam, Myanmar dan Nepal juga boleh
membaca tulisan Bahasa Malaysia sekurang-kurangnya bagi nama tempat. Jadi, apa
perlunya papan tanda nama tempat itu ditulis dengan tiga bahasa? Maka dapat
dianggap bahawa tindakan untuk meletakkan tiga bahasa itu adalah atas semangat
kepelbagaian bahasa dengan menghargai bahasa-bahasa selain Bahasa Malaysia. Sebagai
negara demokrasi sesiapa pun bebas menggunakan bahasa apa sekalipun. Ditambah
pula semua warganegara adalah bertaraf saksama, maka begitu jugalah bahasa yang
digunakan di negara ini.
Dalam pada itu Bahasa Malaysia tetap diiktiraf sebagai bahasa
kebangsaan dan didaulatkan. Sebab itulah dalam mendirikan papan tanda di atas
pintu gerbang itu, tulisan Bahasa Malaysia diletakkan di atas sekali dengan
saiz yang besar. Sementara bahasa Cina diletakkan kecil sedikit iaitu di tempat
kedua, diikuti dengan bahasa Tamil. Sekali lalu, dilihat tindakan seperti ini
telah memberi penghormatan kepada ketiga-tiga bahasa dan seterusnya kepada ketiga-tiga
kaum utama negara ini. Namun, jika diteliti secara mendalam lagi, apa yang
dianggap sebagai amalan kepelbagaian bahasa dan kepelbagaian kaum ini adalah
pada hakikatnya bersifat perkauman dan meletakkan satu kaum di atas kaum lain. Cuba
lihat apabila amalan meletakkan bahasa Melayu, paling atas dan diikuti dengan
tulisan Cina dan Tamil, maka ia seolah-oleh meletakkan kedudukan paling tinggi
kepada bahasa Melayu, diikuti dengan Cina dan Tamil.
Mungkin bahasa Melayu wajar diutamakan
kerana ia adalah Bahasa
Malaysia dan menjadi
bahasa kebangsaan. Tetapi kedudukan itu juga meletakkan
bahasa Cina pada kedudukan
lebih tinggi daripada bahasa Tamil.
Majoriti
Ataupun mungkin ia dilihat dari sudut majoriti penduduk. Maka
orang Melayu merupakan kaum paling ramai bilangannya, maka sebab itulah bahasa
Melayu diutamakan, diikuti dengan kaum Cina yang bilangannya kedua terbesar dan
akhirnya India yang mana bilangannya paling sedikit. Tetapi pemahaman ini
adalah tidak tepat. Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan bukan kerana
bilangan orang Melayu adalah paling banyak di negara ini. Bahasa Melayu dipilih
menjadi bahasa kebangsaan dan kemudiannya dikenali sebagai Bahasa Malaysia
kerana ia merupakan bahasa penghubung dan penyatu rakyat negara ini. Pada
awalnya bahasa Melayu memang sudah menjadi lingua franca yang digunakan oleh
semua kaum untuk berhubung antara satu sama lain. Dengan bahasa inilah, semua
penduduk negara ini boleh saling memahami. Ia tidak ada kaitan dengan hegemoni
bahasa Melayu ataupun kaum Melayu.
Hakikatnya, dengan bahasa Melayu, semua rakyat negara ini berada
pada kedudukan saksama kerana dapat berhubung secara setaraf di antara satu
sama lain. Ia juga melenyapkan perbezaan dan pengasingan antara tiga kaum di
negara ini, iaitu Melayu, Cina dan India kerana semuanya menggunakan Bahasa
Malaysia. Tambahan pula rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan
bukannya tiga kaum saja, Melayu, Cina dan India. Banyak lagi kaum lain di
negara ini. Dari segi bahasa pula, bahasa Cina juga bukannya satu tetapi
terdapat pelbagai dialek iaitu Hokkien, Kantonis, Hakka dan lain-lain.
Sementara tidak semua kaum India bertutur Tamil. Ada yang berbahasa Telugu,
Malayalam, Punjabi dan macam-macam lagi.
Amalan mengasing-asingkan penduduk Tanah Melayu kepada tiga kaum
ditambah pula dengan tiga bahasa berlaku pada zaman penjajahan. Maka pada zaman
sebelum kemerdekaan itu, empat bahasa digunakan iaitu Inggeris, Melayu, Cina
dan India. Sudah tentu Inggeris dianggap sebagai bahasa pentadbiran dengan tiga
bahasa lain iaitu Melayu, Cina dan India dipandang sebagai bahasa vernakular
atau bahasa tempatan. Ketika mana dibuat papan tanda, maka akan disusun sesuatu
kenyataan itu menurut tiga peringkat. Yang atas sekali adalah Inggeris, diikuti
dengan bahasa Melayu tulisan jawi, bahasa Cina dan bahasa Tamil. Maka susunan
bahasa mengikut tahap kedudukan kaum di Tanah Melayu ketika itu.
Tetapi kemerdekaan negara meletakkan
semua warganegara setaraf
dengan penggunaan
satu bahasa kebangsaan bersama.
Sumber
Utusan Malaysia
14 Oktober 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan